Anda di halaman 1dari 14

Prosiding Seminar Pengurusan Islam: Ke Arah Pemantapan Ummah

Disunting oleh:Ahmad Irdha Mokhtar dan Zulkefli Aini.


Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor.
ISBN 123-456-7890-98-7 (2015), http://www.ukm.my/skim

Kepimpinan Wanita Dalam Politik: Satu Perbincangan Tentang Pandangan Ulama

Nur Azyan Baharizan

Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam


Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor.
nurazyan91@gmail.com

Abstrak: Kertas ini bertujuan mengupas perbincangan mengenai pandangan ulama tentang isu
partisipasi wanita dalam politik. Mutakhir ini, terdapat pelbagai isu dan perbincangan yang
ditimbulkan oleh golongan serta individu tentang partisipasi wanita dalam politik. Ada golongan
yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang. Objektif utama artikel ini ditulis adalah
untuk mengkaji kedudukan wanita dalam Islam dan pandangan ulama mengenai kepimpinan
wanita dalam politik. Di samping itu, kajian ini juga untuk kepentingan dan keperluan golongan
wanita sebagai pemimpin politik dengan merujuk kepada sejarah kepimimpin wanita di zaman
pemerintahan Islam. Kajian ini dilakukan menggunakan kaedah kualitatif dengan mengambil
sumber-sumber daripada al-quran dan hadith serta pandangan ulama yang diperolehi daripada
hasil pembacaan sumber-sumber ilmiah seperti kitab-kitab rujukan. Hasil daripada kajian ini
mendapati kepimpinan wanita di dalam politik adalah dituntut di dalam Islam, malah ianya dilihat
menjadi keperluan dan kewajipan bagi wanita untuk melibatkan diri dalam politik seterusnya
menjadi pemimpin politik dalam konteks dunia masa kini. Tambahan itu, kepimpinan wanita
dilihat telah diterima dari segi kewujudannya, kepimpinannya, keterlibatannya, dan telah terbukti
kebolehannya. Cadangannya supaya semua pihak umummya negara dan masyarakat terbuka untuk
menerima dan menyokong kepimpinan wanita terutama di dalam politik.

PENDAHULUAN

Segelintir golongan mendakwa wanita sejak awal kedatangan Islam dahulu tidak begitu
berpengetahuan, kurang kesedaran, lemah, tidak berupaya dan pasif. Ini kerana tiada banyak catatan
sejarah yang menunjukkan kesungguhan dan penglibatan wanita dalam sesuatu bidang kehidupan. Ini
adalah kata-kata yang tidak berasas kerana dalam sejarah Islam, banyak contoh-contoh penglibatan
wanita dalam aspek-aspek kehidupan baik dalam sosial, ekonomi mahupun politik. Walaupun ramai
ulama yang menghalang wanita daripada melibatkan diri dalam politik berdasarkan dalil-dalil yang
sahih tetapi ada juga ulama-ulama yang mengharuskannya. Maka penulis mengambil inisiatif dengan
menghasilkan artikel ini untuk memberi penjelasan dan pemahaman yang jelas kepada masyarakat
diluar tentang kedudukan wanita dalam politik menurut Islam. Selain itu, penulis juga akan
menerangkan konsep kepimpinan Islam, wanita menurut Islam, sejarah penglibatan wanita dalam
politik, dan juga beberapa perbincangan mengenai hak-hak berpolitik bagi wanita Islam yang
menyentuh isu hak mereka dalam pilihan raya, isu mereka sebagai ahli majlis eksekutif serta
perlantikan umum bagi wanita.

Konsep Kepimpinan Menurut Islam

Kepimpinan menurut Islam tidak hanya tertumpu kepada pemimpin tertinggi di dalam negara seperti
ketua negara atau pemimpin-pemimpin negara, tetapi kepimpinan itu merangkumi kepimpinan
individu itu sendiri ke atas dirinya sendiri (Razaleigh Muhamat 2010: 58) Selain itu, kepimpinan di
dalam Islam lebih merujuk kepada amanah dan tanggungjawab. Ianya bermaksud bahawa kepimpinan
atau jawatan kepemimpinan itu sendiri bukanlah satu kedudukan atau pangkat yang boleh direbut dan
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

dibangga-banggakan, akan tetapi lebih kepada amanah dan tanggungjawab untuk menjalankan dan
melaksanakan tugas kepimpinan tersebut (Razaleigh Muhamat 2010: 58).

Definisi Kepimpinan Islam

Kepimpinan Islam diertikan sebagai usaha untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan individu
untuk melakukan sesuatu tugas, tingkahlaku individu apabila dia mengarahkan aktiviti kumpulan, satu
seni menyusun hubungan antara individu dengan beberapa kumpulan dan semua definisi ini
bermatlamatkan untuk memimpin dan memandu individu atau kumpulan ke arah mencapai satu
matlamat dan objektif yang dirancangkan (Razaleigh Muhamat 2010: 58). Oleh yang demikian,
kepimpinan Islam adalah suatu proses yang dilakukan untuk memberi kesan kepada manusia
kemudian menjadikan individu tersebut bersifat ke arah bekerjasama dan tolong menolong dalam
mencapai satu matlamat. Kepimpinan Islam juga bersandarkan kepada cara dan gaya kepimpinan
Rasullullah s.a.w yang mana sering dijadikan sebagai model dan panduan di dalam kepimpinan.
Rasulullah s.a.w adalah seorang pemimpin yang dipilih oleh Allah s.w.t dan dasar kepimpinan yang
dibawa oleh baginda berpabdukan wahyu daripada Allah. Baginda sangat menitikberatkan aspek
kepimpinan sehingga baginda memerintahkan supaya seorang jika bermusafir tiga orang hendaklah
melantik seorang ketua daripada mereka. Terdapat pelbagai istilah yang berkaitan dengan kepimpinan
dalam Islam antaranya ialah khalifah, imamah, qiyadah, siyadah dan riasah (Razaleigh
Muhamat 2010: 58).

Dalil Kepimpinan Islam

Terdapat beberapa nas syarak yang menyentuh dan menunjukkan tentang kepimpinan antaranya ialah
firman Allah s.w.t yang bermaksud dan berkatalah nabi Musa kepada saudaranya nabi Harun (semasa
keluar menerima taurat) gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaum aku, janganlah kamu
mengikut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan (al-Araf: 142).

Terdapat juga hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin
dan akan diminta bertangggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang
ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya.
Seorang isteri bertanggungjawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang
anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, bertanggungjawab kepada
majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Konsep Wanita Menurut Islam

Wanita adalah insan yang dipertanggungjawabkan (mukallaf) seperti lelaki. Mereka dituntut supaya
melakukan ibadah kepada Allah s.w.t dan menegakkan agamanya, menunaikan perintahnya, menjauhi
larangannya, mematuhi batas-batas yang ditetapkan serta berdakwah kepada Allah s.w.t dengan
menyuruh kepada kebaikan dan mencegah keburukan. Setiap tuntutan syara yang umum juga
ditujukan kepada mereka, kecuali ada dalil tertentu yang dikhususkan kepada lelaki sahaja. Oleh itu,
peranan wanita Muslimah penting dalam semua aspek kehidupan sejak bermulanya Islam hingga ke
hari ini.

Definisi Wanita

Definisi wanita menurut Kamus Dewan (2002) wanita bahasa ialah orang perempuan, lawan lelaki.
Dalam bahasa arab pula, perkataan wanita atau perempuan itu ialah al-nisa, imraatun dan al-untha.
Menurut Mucjam al-Wasit (1972) Untha membawa maksud orang yang mengandung dan melahirkan
dinamakan perempuan. Wanita juga di sebut al-mara ( )yang diberikan maksud oleh al-Lais (Ibn
Manzur 2012) iaitu urusan keperempuanan dan disebut juga dengan al-nisaa ) (Manakala
perkataan al-Marah dari segi bahasa ialah perempuan atau isteri (al-Jadid Arab-Melayu 1993).

2
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Kedudukan Wanita Dalam Islam

Islam merupakan agama yang memberi pengiktirafan tinggi kepada kaum wanita berbanding agama
yang lain. Selain mempunyai peranan dan hak yang sama dengan kaum lelaki, Islam turut memberi
kebebasan kepada kaum wanita untuk bertindak dan menguruskan diri dan harta miliknya
(Farahwahida & Raihan 2010). Islam juga memelihara hak-hak wanita daripada perkara-perkara yang
membawa kemusnahan ke atas diri serta maruahnya. Oleh yang demikian, wanita haruslah bijak dalam
memainkan peranannya di dalam kehidupan mahupun bermasyarakat.
Peranan wanita tidak terbatas dalam lingkungan urusan rumahtangga semata-mata, malah turut
berperanan dalam pembangunan negara. Wanita juga bertanggungjawab memimpin masyarakat dan
memandu mereka ke jalan Allah Selain itu, wanita juga bertanggungjawab memakmurkan bumi
seperti mana golongan lelaki. Sepertimana di dalam firman Allah di dalam al-Quran (al-Taubah :71)

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong
bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat
kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan
Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
Mustafa al-Sibai menyentuh tentang kedudukan dan hak kaum wanita antaranya ialah dari
segi kemanusiaannya, wanita adalah sama tarafnya dengan lelaki. Manakala, berkaitan dengan hak,
Islam memberikan kesenangan yang sempurna kepada wanita dalam berbagai-bagai transaksi ekonomi
ketika mereka sudah mencapai baligh dan tidak ada orang lain yang menguasai mereka.
Kesimpulannya, Islam mengangkat dan memuliakan kedudukan wanita dari pelbagai ruang dan
cabang kehidupan. Tambahan itu, penglibatan wanita di dalam urusan kepimpinan, politik,
pembangunan masyarakat dan negara adalah digalakkan di dalam Islam. Ini adalah satu bukti bahawa
wanita mempunyai keahlian di dalam masyarakat, agama dan ekonomi.(Husna Abdul Rahman 2015:
28)

SEJARAH PENGLIBATAN WANITA DALAM POLITIK

Sejarah merekodkan kesedaran politik dalam kalangan wanita Islam timbul sejak awal penurunan
wahyu. Khadijah binti Khuwailid merupakan wanita pertama dalam Islam yang menyumbang jasa
dalam perjuangan dakwah Rasulullah sama ada dari sudut kata-kata dan harta benda. Rasulullah juga
sentiasa berbincang dengan Khadijah dan meminta pandangannya dalam misi dakwah baginda.
Rasulullah berkata:

Dia membenarkanku ketika orang ramai mendustaiku. Dia beriman kepadaku ketika orang ramai
berpaling daripadaku dan dia mengorbankan harta-bendanya ketika orang ramai menghalangku.
(Shayuthy Aabdul Manas 2008:21)

Selain Khadijah, contoh tokoh politik yang lain ialah Ummu Salamah (Hindun binti Umaiyah). Beliau
terkenal dengan idea yang bernas dalam hal ehwal politik dan bijak menyusun strategi kepimpinan.

Antara penglibatan beliau dalam politik bersama Rasulullah ialah dalam peristiwa Perjanjian
Hudaibiyah (Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah 1994:431). Ketika itu Rasulullah dan para sahabat pergi

3
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

ke Makkah untuk menunaikan umrah tetapi tidak kesampaian kerana dihalang oleh kaum Quraisy di
Hudaibiyah. Dalam rundingan itu, satu perjanjian telah dimeterai yang dikenali sebagai Perjanjian
Hudaibiyah yang menyebabkan orang Madinah tidak boleh melaksanakan umrah dan tidak boleh
memasuki Makkah pada tahun tersebut.

Keputusan baginda menandatangani perjanjian tersebut tidak dipersetujui oleh para sahabat. Setelah
perjanjian itu dimeterai, baginda memerintahkan para sahabat bertahlul dan menyembelih binatang
bagi membatalkan umrah tetapi para sahabat enggan. Dalam situasi ini, Ummu Salamah memberi
nasihat supaya Rasulullah sendiri mendahului perbuatan menukar pakaian ihram, bertahlul dan
menyembelih binatang. Setelah para sahabat melihat perbuatan Rasulullah, mereka pun turut
mengikuti Rasulullah. Dalam peristiwa ini menunjukkan pandangan Ummu Salamah diterima oleh
Rasulullah dan Islam mengiktiraf pandangan seseorang walaupun daripada seorang wanita.

Terdapat juga tokoh-tokoh politik wanita selepas daripada zaman Rasulullah, antaranya ialah
Khairazan. Beliau adalah permaisuri kerajaan Abbasiah dan isteri kepada Imam Mahdi al-Abbasi,
khalifah Bani Abbas yang ketiga. Beliau ibu kepada dua orang putera; al-Hadi dan Harun al-Rashid.
Khairazan sentiasa memberi pandangan dalam hal-ehwal negara sejak pemerintahan suaminya.

Apabila anaknya Imam al-Hadi mengambil alih pemerintahan, beliau masih lagi ikut campur dalam
urusan pemerintahan anaknya sehingga anaknya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut lalu
menyisihkan ibunya daripada pemerintahan. Tetapi berlainan pula semasa pemerintahan Imam Harun
al-Rashid yang mengangkat kedudukan ibunya sehingga beliau menjadi pakar rujuk dalam urusan
negara. Khairazan adalah wanita berpengaruh yang berakhir pada satu zaman dan bermula semula
dalam zaman yang lain, pernah mengundurkan diri dalam urusan pemerintahan tetapi kemudian
diangkat semula (Shayuthy Abdul Manas 2008).

Selain Khairazan, Zubaidah juga tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan sepupu dan juga isteri
kepada Imam Harun al-Rashid. Kemahsyuran Zubaidah seperti mahsyurnya Imam Harun al-Rashid.
Pandangan beliau sentiasa didahului daripada pegawai-pegawai yang lain. Beliau seorang yang cantik,
pemalu, fasih berbicara, bijak dan berfikiran rasional. Beliau dianggap sebagai wanita Abbasiyah yang
terkuat. Beliau turut mencampuri urusan pemerintahan negara dan menguasai beberapa perkara
walaupun hanya di sebalik tabir. Beliau seolah-olah menjadi penunjuk cara dalam pemerintahan dan
sebagai orang kanan kepada suaminya (Shayuthy Abdul Manas 2008:37).

PERBINCANGAN ULAMA TENTANG PENGLIBATAN WANITA DALAM POLITIK

Majoriti wanita Islam tidak memainkan peranan positif dalam politik. Fenomena ini terus
membelengu minda mereka sehingga menjadi punca mengapa bidang ini didominasi oleh aktivis-
aktivis freemason dan pendukung-pendukung sekular.

Tidak dapat dinafikan bahawa pendapat yang tidak membenarkan wanita melibatkan diri
dalam politik adalah bersandarkan pada bukti-bukti yang sahih. Namun ramai juga ulama yang
membenarkannya. Hal ini kerana, tafsiran serta fahaman mereka terhadap sesuatu dalil tersebut
berbeza antara satu dengan yang lain. Adat dan persekitaran mereka juga mempengaruhi pandangan
mereka. Berikut merupakan beberapa dalil yang digunakan oleh ulama yang tidak membenarkan
penglibatan wanita dalam politik dan perbincangan ulama yang membenarkannya.

1- Lelaki lebih kuat daripada wanita

4
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Allah berfirman:

...


kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah melebihkan sebahagian
mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) menafkahkan
sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa: 34)

Sesetengah golongan menyangka kekuatan adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh wanita. Tetapi
pada hakikatnya, kekuatan bukannya sesuatu kelebihan mutlak kerana ia membawa maksud
tanggungjawab dan memimpin ahli keluarga di rumah.

Syed Qutub menukilkan, Kita tidak boleh mengandaikan lebih daripada ini mengenai kekuatan lelaki.
Kekuatan yang dimaksudkan daripada ayat tersebut ialah berkenaan dengan tanggungjawab lelaki
dalam institusi keluarga bukannya dalam bab menjaga dan memelihara institusi sosial (Syed
Qutub:55).

Dr. Yusof al-Qardhawi juga bersependapat dengan Syed Qutub dengan menyatakan bahawa ayat,
Mereka (lelaki) menafkahkan sebahagian dari harta mereka jelas menunjukkan kelebihan itu adalah
dalam konteks keluarga (Shayuthy Abdul Manas 2008:53). Ia adalah satu penghormatan untuk lelaki
seperti yang Allah nyatakan dalam al-Quran:

Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang baik. Akan
tetapi, para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah maha perkasa
lagi maha bijaksana. (surah al-Baqarah: 228)

Walaupun lelaki mempunyai kelebihan yang tidak ada pada wanita, tetapi wanita tetap mempunyai
peranannya tersendiri. Pandangannya perlu diambil kira terutama dalam hal ehwal keluarga.
Contohnya dalam kes tempoh tertentu menyusu anak, Allah berfirman:

Apabila keduanya ingin memisahkan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan
perrmesyuaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. (surah al-Baqarah: 233)

Salah faham pada maksud kelebihan ini menjadikan pergerakan wanita dalam lapangan politik
semakin lumpuh. Mereka tidak menyedari bahawa usaha mereka akan meninggalkan kesan yang lebih
mendalam kerana mereka lebih memahami aktiviti sosial wanital dan lebih mahir merangka strategi
untuk diri mereka.

2- Lelaki lebih layak memimpin wanita

Hadith yang telah direkodkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Bakrah: Tidak berjaya suatu kaum
yang diperintah oleh kaum wanita (Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah 1994:449).

Pelantikan wanita di luar institusi keluarga tidak ditegah, tetapi yang ditegah adalah pelantikan umum
iaitu dalam wilayah am.

5
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Wilayah am bermaksud melantik ketua negara. Perkataan amruhum merujuk kepada urusan
kepimpinan am. Manakala perkara-perkara lain seperti melantik ahli fatwa, ijtihad, ketua pendidikan
atau ketua jabatan dibolehkan dengan syarat pelantikan itu perlulah daripada ijmak dan kesepakatan
ulama. Dalam bidang kehakiman pula, Imam Abu Hanifah membolehkan wanita menjadi saksi
sekiranya dia menyaksikannya sendiri kecuali dalam kes hudud dan qisas. Ada juga sesetangah ulama
menerima penyaksian wanita dalam kedua-dua kes tersebut, antaranya Ibnu Qayyim di dalam bukunya
al-Turuq al-Hukumiyah manakala Imam Tobari membolehkannya secara am. Begitu juga dengan
Imam Ibnu Hazm, beliau membolehkannya kerana menurut beliau, perintah yang menegah wanita
daripada terlibat dalam pemerintahan adalah pemerintahan yang besar iaitu sebagai presiden atau
ketua negara. Ini dimaksudkan oleh pakar-pakar fiqh dalam ijmak mereka (Abd. Halim Muhd. Abu
Syuqah 1994:449).

3- Wanita Kurang Akal Fikiran dan Agama

Abu Said al-Khudri meriwayatkan, pada suatu pagi, Nabi Muhammad pergi ke masjid untuk
menunaikan solat,. Setelah selesai, baginda memerintahkan para sahabat supaya bersedekah. Baginda
bersabda:

Wahai manusia, hendaklah kamu bersedekah. Apabila baginda lalu di hadapan wanita, baginda
berkata lagi: Wahai wanita sekalian, bersedekahlah. Sesungguhnya aku melihat kebanyakan daripada
kalian adalah penghuni neraka. Lalu wanita-wanita itu bertanya: Mengapa demikian wahai
Rasulullah? Baginda pun menjawab: Kamu selalu mengutuk dan mengeji. Dan dalam riwayat lain
ada menyebut mereka bertanya: Kenapa akal dan agama kami kurang wahai Rasulullah? Rasulullah
pun menjawab: Bukankah penyaksian kamu adalah separuh daripada lelaki? Mereka menjawab:
Ya. Baginda pun berkata: Bukankah apabila kamu didatangi haid, maka kamu tidak menunaikan
solat dan tidak berpuasa? Mereka berkata: Ya. Baginda pun berkata: Itu yang menyebabkan
agama wanita kurang. (Mustafa al- Tohhan 1999:58)

Imam Bukhari merekodkan hadith ini dan meletakkannya pada taraf sahih. Namun, apabila
pemahamannya disalah tafsir, pendirian dan pegangan mereka turut menjadi salah.

Kurang yang dimaksudkan daripada hadith tersebut ialah kurang dari sudut kuantiti dan bukannya
kualiti. Wanita yang didatangi haid tidak boleh menunaikan solat dan berpuasa seperti mana lelaki.
Dan mereka hanya perlu mengganti puasanya tetapi tidak solatnya, maka kuantiti solatnya kurang
daripada lelaki. Jika kurang yang dimaksudkan adalah dari segi kualiti, mungkin ada wanita yang rajin
menunaikan solat sunat bagi menampung kekurangan ini atau ada juga jumlah ibadah sunnahnya lebih
daripada lelaki. Hal ini selari dengan firman Allah:

Sesiapa yang melakukan amal kebaikan sama ada lelaki ataupun perempuan dalam keadaan beriman,
maka setengahnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, sesungguhnya Kami memberi
balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka lakukan (surah an-Nahl: 97)

Kekurangan dari segi akal pula pula bukan bermaksud wanita kurang cerdik daripada lelaki. Malah
tidak dinafikan, ada wanita yang lebih bijak daripada lelaki,. Yang dimaksudkan adalah Allah
memberi kekuatan akal fikiran yang lebih kepada lelaki supya mereka lebih bijak mengawal perasaan
dan hawa nafsu, manakala wanita pula dianugerahkan kekuatan akal fikiran yang kurang berbanding
lelaki supaya mereka dapat mendahulukan perasaannya dan nalurinya berbanding akal. Ini bukan

6
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

bermakna lelaki lebih mulia berbanding wanita, sebaliknya ia sebenarnya membantu lelaki
melaksanakan amanah bersama dalam mendidik anak-anak. Bagaimana wanita mampu bersabar
dengan kerenah anak-anak jika naluri dan perasaannya tidak kuat?

Syarah hadith ini disokong oleh Syeikh Syarawi dan menyatakan bahawa, jika wanita itu lemah dan
kurang akalnya, tidaklah Rasulullah mengambil pandangan Ummu Salamah R.A dalam peristiwa
Perjanjian Hudaibiyah. Baginda juga tidak akan menyuruh sahabat merujuk Aishah R.A dalam urusan
agama seperti sabda baginda: Ambillah separuh daripada agama kamu daripada Humaira ini.
(Shayuthy Abdul Manas 2008:58)

4- Menutup Pintu Maksiat dan Kerosakan

Ada juga golongan yang berpendapat apabila wanita melibatkan diri dalam politik, mereka akan
terdedah kepada pergaulan bebas dengan lelaki yang bukan mahram dan ini adalah haram. Jadi apa
sahaja yang menjurus kepada haram maka puncanya juga adalah haram.

Tidak dapat dinafikan menutup pintu kerosakan atau haram dituntut dalam Islam. Namun ulama
menghuraikan apabila terlampau menutup atau terlampau mendedahkan menyebabkan banyak
kebaikan akan hilang. Sebagai contoh, mereka yang menghalang wanita daripada bersuara dalam
pilihanraya kerana mendakwa akan timbul fitnah atau kerosakan menyebabkan suara wanita Islam
tenggelam. Sedangkan masyarakat pada zaman ini seharusnya bersama-sama bersepakat dalam
menentang pendukung-pendukung sekularisme yang sentiasa mengeksploitasi wanita dalam
perjuangan ( Shayuthy abdul manas 2008:64).

Akan tetapi, apabila seseorang wanita dipilih atau dilantik, beliau perlulah menjaga batas-batas agama
apabila berurusan dengan lelaki. Antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian adalah tidak
melunakkan suara, berpakaian dengan pakaian yang patuh syariah dan tidak berhias serta menjaga
adab dan etika dalam pergaulan.

HAK-HAK BERPOLITIK BAGI WANITA ISLAM

Terdapat banyak dalil yang membolehkan wanita berpolitik, tetapi sejauh mana Islam memberi hak
tersebut kepada wanita? Topik ini akan merungkaikan hak wanita dalam pilihan raya, hak wanita
sebagai ahli eksekutif dan hak wanita dalam perlantikan umum.

Hakikatnya wanita perlu menyumbang dalam memajukan masyarakat dan menegakkan keadilan
dalam negara seperti mana yang tercatat dalam al-Quran:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong
bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, mendirikan
solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasull-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh
Allah; sesungguhnya allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana. (surah at-Taubah: 71)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Tamim ad-Dari bahawa Rasulullah pernah bersabda: Agama itu
nasihat, kami bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab: Untuk Allah , untuk kitab-Nya, untuk

7
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Rasul-nya, dan imam-imam muslimin dan orang ramai di kalangan mereka. (Abd. Halim Muhd. Abu
Syuqah 1994:441).

Islam meletakkan kedudukan nasihat begitu tinggi darjatnya sehingga Rasullullah mengibaratkan
agama itu nasihat yang membawa maksud agama tidak berperanan melainkan dengan saling
menasihati. Manakala agama pula adalah untuk setiap muslim tidak mengira wanita ataupun lelaki.
Maka tanggungjawab menasihati adalah tanggungjawab umat Islam seluruhnya termasuklah dalam
bentuk penulisan, memberikan pandangan dan berkata benar. (Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah
1994:441).

Para dan pengkaji berselisih pendapat tentang isu penglibatan wanita dalam politik. Majoriti penulis
berpendapat wanita boleh menyertai politik dengan berhujahkan dua peristiwa (Shayuthy Abdul
Manas 2008:71):

Pertama: peristiwa janji setia Rasulullah dengan kaum wanita.

Kedua: Pendirian Aishah R.A dan peranannya dalam Perang Jamal.

Dr. Mustafa al-Sibaie berpandangan bahawa dalam sejarah, Rasulullah hanya mengambil wanita bagi
berbaiah bersama baginda supaya tidak mensyirikkan Allah, tidak mencuri, tidak berzina dan tidak
membunuh anak-anak mereka. Maka sesiapa yang mendakwa hujah ini membuktikan penglibatan
aktif wanita dalam dunia politik sebenarnya dia memberikan penfsiran yang melampau dan
meramalkan peristiwa-peristiwa yang tidak sepatutnya.

Tentang Perang Jamal pula, beliau menyatakan bahawa Aishah telah memimpin tentera dalam
peperangan tersebut tetapi beliau hanya berada di dalam keretanya. Aishah menyesal dan bertaubat
dengan apa yang dilakukan kerana sebagai isteri Rasulullah beliau tidak sepatutnya keluar rumah.
Oleh itu, peristiwa ini tidak boleh dijadikan bukti bahawa wanita pada zaman itu memang bergiat aktif
dalam politik. (Shayuthy Abdul Manas 2008:72)

Walau apapun, sama ada kedua-dua hadith ini membolehkan wanita terlibat atau tidak dalam politik,
ia jelas membuktikan wanita juga turut memberi sumbangan yang besar dalam dunia politik sama ada
secara langsung atau tidak langsung.

1- Perbincangan Mengenai Hak Wanita dalam Pilihan Raya

Bagi menjelaskan isu ini, ulama merujuk kepada kaedah asal sesuatu adalah harus. Oleh kerana pada
asalnya tiada sebarang tegahan mengenai perkara ini, ulama menganggap hak ini memang dibolehkan
sejak dahulu lagi. Secara praktikal, kita mengikut apa yang disyariatkan mengikut kesesuaian semasa
terutamanya apabila ia mendatangkan kebaikan kepada kita. (Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah
1994:448)

Dr. Mustafa al-Sibaie memetik pandangan yang diutarakan oleh sekumpulan pakar undang-undang
mengenai hak wanita dalam pilihan raya. Katanya Selepas berbincang dan bertukar-tukar pandangan,
kami dapati Islam tidak menegah daripada memberikan hak ini kepada wanita. Pilihan raya adalah
memilih pemimpin sebagai wakil yang mewakili mereka dalam parlimen. Mereka boleh bercakap
melaluinya dan pada masa yang sama turut mempertahankan hak-haknya. Wanita juga tidak ditegah

8
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

daripada mewakili orang ramai demi mempertahankan hak-haknya sekaligus menyuarakan


kehendaknya sebagai anggota masyarakat. (Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah 1994:446)

Dr. Abdul Karim Zaidan (Abd. Karim Zaidan 2000:317-320) beliau telah mengemukakan beberapa
hujah berkenaan hak wanita dalam perlantikan khalifah.

Hujah pertama.

Mengemukan pandangan tentang individu yang layak menduduki jawatan khalifah merupakan antara
amanah dalam Islam. Dalam melaksanakan amanah ini, ia menuntut penglibatan wanita dalam
pemilihan tersebut. Hal ini kerana ia berkait rapat dengan kebaikan umum dan melahirkan kebaikan
ini kepada orang ramai. Wanita tidak dilarang daripada melakukan kebaikan kerana termasuk dalam
perkara tolong-menolong ke arah kebaikan dan taqwa.

Hujah kedua

Pemilihan khalifah merupakan antara agenda penting dan memerlukan permesyuaratan umat Islam.
Oleh itu, wanita merupakan sebahagian daripada ahli mesyuarat dan berhak mengemukakan
pandangan semasa pemilihan khalifah kerana menyuarakan atau mengutarakan pandangan adalah
sebahagian daripada mesyuarat. Perkara ini berdalilkan dengan firman Allah dalam surah as-Syura
ayat 38:

Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka.

Begitu juga dengan firman Allah:

Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh. Apabila keduanya ingin
memisahkan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan perrmesyuaratan, maka tidak ada
dosa atas keduanya. (Surah al-Baqarah: 233)

Oleh itu, jelas di sini wanita perlu menganggotai mesyuarat dalam perkara-perkara yang
mendatangkan kebaikan.

Hujah ketiga

Dalam kisah pemilihan khalifah selepas kematian Umar R.A, umat Islam berkumpul lalu Abdul
Rahman Bin Auf dilantik untuk membuat pilihan antara Utman bin Affan R.A ataupun Ali bin Abu
TAlib R.A. Ibnu Kathir berkata mengenai apa yang dilakukan oleh Abdul Rahman Bin Auf,
Kemudian Abdul Rahman Bin Auf bangun dan bermesyuarat dengan orang ramai mengenai kedua-
duanya (Uthman dan Ali), sehingga meminta pandangan daripada wanita juga. Sekiranya wanita
tidak mempunyai hak menyuarakan pendapat dalam pemilihan khalifah, sudah tentu Abdul Rahman
Bin Auf tidak meminta pendapat mereka mengenainya.

Hujah keempat

Hadith daripada Rasulullah S.A.W:

9
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Sesiapa yang tidak mengambil berat mengenai urusan kaum muslimin, maka dia tidak termasuk
dalam kalangan kami.

Hadith ini merujuk kepada kewajipan bagi semua umat Islam sama ada lelaki atau perempuan untuk
keluar dan mengambil tahu mengenai urusan orang Islam yang lain. Maka mengutarakan pandangan
dalam pemilihan khalifah merupakan salah satu tanda bahawa wanita mengambil bahagian dalam
urusan umat Islam.

Hujah keenam

Hadith Rasulullah S.A.W dari Tamim al-Dari:

Rasulullah bersabda: Agama itu nasihat, kami bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab: Untuk
Allah, kitab-Nya, rasul-Nya dan imam-imam orang Islam dan untuk orang ramai di kalangan mereka.

Maksud nasihat untuk orang ramai di kalangan orang Islam adalah membimbing mereka kepada
kejayaan dan menolong mereka ke arah kebaikan sama ada melalui perkataan atau perbuatan.
Kebaikan yang terkandung dalam pemilihan calon khalifah yang layak tidak mungkin dapat diperoleh
jika lelaki dan wanita tidak doberi peluang mengutarakan pendapat mereka mengenai calon yang
benar-benar dirasakan sesuai.

Hujah ketujuh

Pendapat kaum wanita mengenai calon boleh diperolehi melalui ijtihad atau fatwa. Ini kerana agama
Islam tidak menegah kaum wanita melakukan ijtihad pada perkara yang boleh dijtihadkan.

Ijtihad adalah proses penyelidikan yang serius dilakukan oleh para ulama yang bergelar mujtahid
dalam mengeluarkan hukum-hukum yang bersifat praktikal daripada al-quran dan al-Sunnah. Fatwa
pula adalah menerangkan hukum-hukum agama berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga
boleh mengeluarkan fatwa pada perkara yang boleh dikeluarkan fatwa daripadanya.

Kesimpulannya, wanita dalam Islam tidak ditegah daripada mempertahankan hak-haknya dan
mengutarakan kehendaknya sebagai rakyat yang berguna kepada masyarakat. Islam juga
membolehkan wanita memilih calon yang dirasakan layak menjadi ketua negara dan menguruskan
urusan pemerintahan kerajaan.

2- Hak Melantik Wanita sebagai Ahli Majlis Eksekutif

Sebagaimana yang kita ketahui, parlimen dalam undang-undang demokrasi moden mempunyai dua
jabatan iaitu muhasabah (pemantauan) iaitu memantau kerja-kerja pegawai kerajaan dan tasyrik
(perundangan) iaitu menggubal undang-undang. Secara ringkasnya, Dr. Mustafa al- Sibaie
berpendapat agama Islam membenarkan wanita menyertai parlimen. Namun beliau berpandangan
wanita tidak menggunakan hak-hak ini ke arah kebaikan sosial. Ini adalah pandangan beliau dalam
menilai kebaikan mengikut adat dan ikutan masyarakat. Tambahan pula, kebaikan sosial boleh
berubah-rubah mengikut tempat dan zaman kerana wujudnya perbezaan pandangan dalam menilainya.
(Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah 1994:448)

Badan perundangan

10
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Antara majlis rakyat yeng terpenting adalah badan yang berkaitan dengan kehakiman. Majlis ini
berperanan menafsirkan undang-undang dalam kerajaan. Ijtihad dalam syariah Islam terbuka kepada
semua golongan sama ada lelaki ataupun wanita. Tiada seorang pun yang meletakkan syarat ijtihad
melainkan ulama usul fikh iaitu mujtahid mestilah lelaki tidak boleh wanita. (Abd. Halim Muhd. Abu
Syuqah 1994:451)

Dr. Mustafa al-Sibaie berkata, Tiada tegahan dalam Islam wanita tidak boleh menggubal undang-
undang. Ini kerana, apa yang dituntut dalam perundangan adalah seseorang perlu memiliki ilmu
pengetahuan mengenai keperluan dan kepentingan yang dihajati oleh masyarakat. Agama memberi
hak ilmu pengetahuan yang sama kepada lelaki dan wanita. (Abd. Halim Muhd. Abu Syuqah
1994:448)

Badan pemantauan.

Berdasarkan kepada pemahaman syarak, badan ini diistilahkan sebagai badan yang bertanggungjawab
menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran selain daripada memberi nasihat dalam
agama. Ia adalah kewajipan imam-imam orang Islam dan orang ramai berdasarkan firman Allah:

Dan orang-orang yang beriman,lelaki dan perempuan, sebahagian mereka(adalah) menjadi penolong
bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, mendirikan
solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasull-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh
Allah; sesungguhnya allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana. (Surah at-Taubah: 71)

Selagi wanita menjaga haknya dalam menasihati, mengutarakan pandangan, menyuruh kepada
kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka tiada bukti syarak yang menghalang golongan ini
daripada menganggotai badan ini. Asal setiap adat dan pergaulan adalah harus melainkan ada
buktiyang jelas mengharamnya.

Hujah yang mengatakan tidak ada sebarang bukti daripada sejarah yang menunjukkan wanita
menganggotai syura bukan bermakna ia menjadi bukti syarak yang menegah perbuatan ini. Sebaliknya
ia termasuk dalam perkara berubahnya fatwa berdasarkan perubahan zaman, tempat dan keadaan.
Malah ia ditinggalkan untuk orang Islam berijtihad mengikut peredaran zaman, tempat dan situasi
sosial mereka. (Shayuthy Abdul Manas 2008:82)

Perlantikan umum bagi wanita

Ulama fiqh dan majoriti ulama yang lain meletakkan lelaki sebagai syarat menjadi ketua atau
pemimpin. Mereka berpandukan sepotong hadith sahih daripada Rasulullah:

Tidak Berjaya sesuatu kaum yang urusannya diperintah oleh wanita. (Abd. Halim Muhd. Abu
Syuqah 1994:449)

Imam Bukhari merekodkan hadith ini. Uthman bin al-Haitham menceritakan, Auf bin al-Hasan
menceritakan kepada kami daripada Abu Bakrah dengan katanya:

Muhammad Izzah Daruzah berkata, jelas sekali hadith ini ditujukan kepada pemerintahan anak
perempuan Kisra yang menduduki takhta Kerajaan Parsi. Isu yang ingin disampaikan daripada hadith

11
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

ini ialah wanita tidak boleh menjadi ketua negara, tidak kira sama ada kerajaan itu adalah kerajaan
beraja ataupun republik Turut bersetuju dangan pandangan ini ialah Syeikh Taqiyyuddin al- Nabhani
di dalam bukunya al-Syakhsiyyah al-Islamiyyah di dalam tajuk Syarat-syarat Khalifah.
(ShayuthyAbdul Manas 2008:84)

Hadith ini terbit daripada Rasulullah sebaik sahaja baginda mendengar kerajaan Parsi diperintah oleh
anak perempuan raja Parsi, Busra binti Kisra. Ini membuktikan pelantikan umum (wilayah am) hanya
dikhususkan untuk lelaki sahaja.

1- Hujah ke atas maksud hadith

Ustaz Zhofir al-Qasimi menolak hujah ini dengan berpendapat, Rasulullah berkata demikian sebaik
sahaja menerima berita peralihan tampuk pemerintahan tersebut berikutan daripada utusan baginda
disambut buruk oleh kerajaan Parsi seperti tercatat dalam sejarah.

Tambahan lagi, ulama usul fiqh lebih memahami kaedah istidlal, iaitu adakalanya ungkapan itu
disebut berdasarkan sebab khususnya bukan kerana lafaz umum. Ini bermakna hukum yang
dimaksudkan di dalam hadith adalah dikhususkan kepada peristiwa yang berlaku. Apabila sesuatu
lafaz itu umum, tidak bermakna hukumnya juga umum. Oleh itu, hadith ini tidak boleh dijadikan hujah
yang kuat bagi menghalang wanita daripada mengetuai kerajaan. ()Zhofir al-Qasimi 1992:341-342

Pandang ustaz Zhohir al-Qasimi tetap kekal dan boleh dipegang sebagai hujah kepada yang
menyokong amaran hadith ini. (Shayuthy Abdul Manas 2008:85)

2- Hujah ke atas pelapor hadith

Hadith ini dipetik daripada sahabat yang bernama Abu Bakrah. Beliau salah seorang guru Imam
Bukhari dan antara sahabat yang sentiasa berkata benar serta tidak pernah berbohong. Namun Qadhi
Ismail berkata Abdul Walid bercerita Qais bin Salim menceritakan daripada Qais bin Asim katanya:

Apabila seorang lelaki datang kepada Abu Bakrah lalu bersaksi kepadanya, aku menyaksikan orang
ramai menfasikkan diriku.

Ruwayat ini adalah thabit daripada Mujahid, Ikrimah, Hasan, Masruq dan Syabi. Orang Islam
menfasikkan Abu Bakrah kerana beliau pernah dikenakan hudud pada zaman khalifah Umar al-
Khattab kerana menuduh al-Mughirah bin Syubah berzina. Ibnu al-Qayyim berkata dalam Ilam al-
Muqiin, Orang yang menuduh perempuan berzina, apabila dia dikenakan hukuman had qazaf,
penyaksiannya tidak diterima selepas itu. Ini disepakati oleh semua imam kecuali dia bertaubat. Al-
Quran juga menyebut mengenai perkara ini. Namun apabila dia bertaubat, penyaksiannya diterima
kembali. Dua pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama adalah:

Pendapat pertama: penyaksiannya tidak diterima. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, sahabat-
sahabatnya dan ahli Iraq.

Pendapat kedua: penyaksiannya diterima. Ini pula pendapat Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam
Malik.

Imam Bukhari mendiamkan diri dan menghormati keadaan Abu Bakrah kerana beliau terlalu rapat
dengan Rasulullah. Tambahan pula golongan Ahli Sunnah wal Jamaah menganggap semua sahabat
adalah adil.

12
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Pendapat lain yang menerima penyaksian orang yang dikenakan hukuman had berhujah dengan hadith
Ibnu Uyainah memberitahu, beliau mendengar Imam Zuhri berkata, Penduduk Iraq menyangka
penyaksian orang yang dikenakan had adalah tidak sah dan si fulan memberitahuku, Umar berkata
kepada Abu Bakrah, Bertaubatlah, aku terima penyaksianmu. (Shayuthy Abdul Manas 2008:85-88)

Sehingga kini kita tidak menjumpai laporan lain sebagai bukti yang menunjukkan Abu Bakrah
menuturkan hadith ini dengan tujuan menyebarkan fitnah atau mencipta hadith yang beliau dengar
daripada Rasulullah hanya semata-mata untuk kepentingan peribadinya. (Shayuthy Abdul Manas
2008:89)

PENUTUP

Terdapat banyak dalil yang membolehkan wanita turut srta dalam politik. Memang diakui bahawa
keadaan semasa telah menuntut penglibatan mereka dalam arena ini. Namun, Islam telah
menggariskan batasan yang perlu mereka taati. Memang tidak dapat dinafikan bahawa tugas wanita di
rumah merupakan tangngungjawab yang paling utama. Namun penglibatannya dalam kerja-kerja
sosial di luar juga menjadi tanggungjawab yang perlu mereka galas. Maka, wanita perlu seimbang
antara kedua-dua kewajipan ini.

Sebagai seorang suami pula, memberi ruang dan peluang kepada isteri untuk melibatkan diri dalam
kerja-kerja sosial merupakan sedekah kepada isteri. Ruang dan keizinan yang diberikan kepada isteri
akan memberikan kesan yang baik kepada dirinya, keluarganya bahkan masyarakat Islam yang lain.
Namun isteri perlu akur terhadap suami jika tidak diizinkan kerana mentaati suami adalah lebih utama
dan mendahulukan suami adalah wajib berbanding tanggungjawab yang lain.

Apabila dikatakan wanita boleh menyertai Dewan Rakyat, ini tidak bermakna wanita boleh bercampur
gaul dengan yang bukan mahram tanpa batasan. Sebaliknya mereka perlu menjaga adab-adab dalam
bergaul dan berpakaian yang patuh syariah.

Pihak kerajaan pula wajib menjaga adab-adab dan memberikan tempat yang sewajarnya kepada wanita
dalam badan atau organisasi yang khusus. Hal ini bagi menjamin keselesaan dan mengelakkan fitnah
yang sering mereka takuti seterusnya membatutkan penglibatan mereka dalam politk.

Rujukan

Al-Quran al-Karim
Hadith.
Abu Shuqqah, cAbd al-Halim Muhammad. 1990.
Tahrirul Marah Fi Ashrir risalah. Kaherah: Dar al-Qalam.
Abd. Karim Zaidan. 2000
Al-Mufassol Fi Ahkam al-Marah. Bayrut: Muassasah al-Risalah
Farahwahida Yusof, Raihan Nordin. 2010.
Pandangan Gerakan Islam Liberal Terhadap Hak Asasi Wanita. pp 1-7. Universiti Teknologi
Malaysia.
Husna Abd. Rahman. 2015.
Kepimpinan Wanita Di Dalam Politik Semasa: Satu Kajian Menurut Perspektif Islam.
Prosiding Seminar Antarabangsa Pengurusan & Kepimpinan Islam: Isu Dan Cabaran. hlm 28

13
PROSIDING SEMINAR ANTARABANGSA PENGURUSAN & KEPIMPINAN ISLAM: ISU DAN CABARAN.

Ibn Manzur,Abi al-Fadl Jamal al-Din Muhammad Bin Mukram al-Afriqi al-Misri.
Lisan al- Arabc. Jilid 11. 1968. Dar Bayrut Li al-Tibaah Wa al-Nashr. Bayrut.
Kamus al-Jadid Arab-Melayu. 1993.
Kuala Lumpur: Penerbitan Seri Kota.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. 2002.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara Malaysia.
Mucjam al-Wasit. 1972. Juz 1-2. Kaherah.
Noresah Baharom. 2002.
Kamus Dewan Bahasa. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2010.
Kepimpinan DSan Pengurusan Islam. Sejarah, Teori, Dan Perlaksanaan. Bangi: Jabatan
Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Shayuthy Abdul Manas. 2008.
Apa Kata Islam Mengenai Wanita Berpolitik. Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn.
Bhd.
Syed Qutub. TT.
Fi Zilal al-Quran. Jilid 5. Bayrut: Dar al-Arabiyah.
Mustafa al-Tohhan. 1999.
Al-Marah Fi Maukib al-Dakwah. Kaherah: Dar al-Tauzi wa al-Nasyr al-Islamiyah.
Zhofir al-Qasimi. 1992.
Nizhom al-Hukmi Fi al-Syariah wa al-Tarikh al-Islami. Bayrut: Dar al-Nafais.

14

Anda mungkin juga menyukai