Anda di halaman 1dari 2

4.

Membaca Kunci Kejayaan Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya ke mari, bukan kerana ingin bermimpi, tetapi untuk membawa anda semua menyelami maudu pidato yang berbunyi Membaca Kunci Kejayaan. Assalamualaikum w.b.t. Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia. Semarak kasih, sekalung budi buat Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma, penjaga masa setia, Dif-dif Tehormat, seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan. Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh, izinkan saya mendefinisikan terlebih dahulu tajuk pidato saya agar hadirin di dalam dewan ini dapat menghayati pidato ini bersama saya. Hadirin yang dikasihi, Membaca bermaksud memerhatikan isi sesuatu yg tertulis atau tercetak dgn teliti dan memahamkan makna kandungannya. Kejayaan pula bermaksud menang, berhasil, mencapai kemajuan. Hasil yang boleh kita simpulkan di sini dapat diertikan sesuatu yang dijumpai dalam bentuk tulisan melalui proses membaca. Hadirin sekalian, Tahukah anda, hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang dibuat oleh Perpustakaan Negara pada 1996 merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sepanjang tahun. Kajian ini juga mendapati, bahan bacaan yang paling digemari ialah komik, diikuti majalah, buku dan surat khabar. Ini satu statistik yang amat memeranjatkan! Hasil kajian ini mendedahkan bahawa budaya membaca rakyat negara kita jauh masih ketinggalan berbanding negara-negara maju lain. Bagi mendiskusikan bersama anda akan peri pentingnya membaca, maka pada hari ini saya akan membawakan dua indikator utama. Hadirin yang dihormati, Indikator saya yang pertama - dengan budaya membaca, kita boleh menjadi seorang yang penuh dengan berjuta maklumat. Dengan maklumat yang pelbagai dan membina, kita dapat berdiri teguh dan terus maju melawan arus kemajuan dalam era globlisasi masa kini. Jika kita kurang membaca, maka kuranglah maklumat yang kita perolehi. Bukan itu sahaja, tetapi kita ketingalan jauh berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Tuntasnya, budaya

membaca ini sangat penting untuk memajukan diri kita dan seterusnya mencapai demi kejayaan memajukan negara. Selain itu, budaya membaca dapat memperbaiki masa depan seseorang. Hadirin sekalian, Menelusuri indikator saya yang kedua - budaya membaca turut menjana perkembangan masyarakat. Kerana budaya itulah, sejarah Rom Kuno mampu bermula dari sebuah desa kecil di tengah Itali sehingga berjaya menakluk dunia. Tamadun China dan India yang amat gemilang juga berkongsi rahsia yang sama. Hatta Christopher Colombus takkan kenal benua Amerika, Vasco Da Gama takkan menemui laluan ke India, Laksamana Cheng Ho takkan menjadi penjelajah terkemuka tanpa membaca kitab-kitab peta dunia! Bagi membudayakan amalan membaca dalam jiwa setiap rakyat, Jepun tidak pernah malu menggunakan sistem pendidikan Hanko dan Terakoya, tidak malu menulis dan membaca dengan kaedah Kanji dan Katagana, maka bangsa Malaysia juga seharusnya percaya kita mampu untuk membina tamadun dan negara dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Lantaran itulah, kerajaan berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya membaca, bukti bahawa kita yakin dan percaya, bangsa Malaysia takkan berjaya andai ilmu tidak dikongsi bersama, semuanya bertitik-tolak dari budaya membaca. Maka bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui amalan membaca dan penerokaan ilmu, kita mampu meningkatkan martabat diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sesungguhnya benarlah kalam pencipta, ilmu adalah cahaya. Pencetus cahaya ilmu bermula dengan kalimah iqra yakni bacalah! Akhir kata hadirin sekalian, kita renungkanlah, membina sebuah ketamadunan tidak sesingkat awan menjadi hujan, api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Tetapi asas tamadun adalah penerokaan ilmu melalui amalan membaca. Benarlah bahawa, Membaca Kunci Kejayaan. Sekian, terima kasih.