Anda di halaman 1dari 5

INSTITUSI RAJA: PELINDUNG AGAMA, ADAT DAN BUDAYA.

Daulat Tuanku,
Hadirin Sekalian,
Seperti syair Farsi “Rakyat itu umpama akar, raja itu umpama
pohon, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri”.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t salam sayang buat
negaraku, Malaysia tercinta, negeriku Perak Aman dan Jaya.
Sekalung apresiasi saya hulurkan buat pengerusi, kombinasi
intelektual kehakiman yang bermisi, dif-dif kehormat yang disanjungi
seterusnya rakan taulan yang dikasihi

Hadirin hadirat sekalian,


Sebelum sauh dilabuhkan, tirai di singkap, marilah kita meneliti satu
persatu rangkai kata mauduk pada hari ini. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat, institusi bermaksud organisasi dan raja pula ialah
seorang pemerintah. Frasa pelindung pula ditakrifkan sebagai orang
yang memberikan pertolongan dari sesuatu perkara yang
mendatangkan keburukan. Agama, adat dan budaya ialah
kepercayaan, peraturan lazim dan tingkah laku serta cara fikir
masyarakat. Maka sulaman mauduk pidato pada hari ini “Institusi
Raja: Pelindung Agama, Adat dan Budaya” melembarkan takrifan
bahawa institusi raja ialah organisasi yang bertanggungjawab
melindungi agama adat dan budaya bangsa Melayu yang akan saya
telusuri dibawah tiga lembayung utama,
Hadirin dan hadirat, pencinta raja peneraju bangsa,

Bergerak kepada lembayung bicara pertama saya, Raja Islam


Disanjung, Agama Islam Dijunjung,
Menelusuri Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan, institusi
raja menjadi pelindung agama Islam sebagai agama rasmi. Artikel ini
menunjukkan bahawa kesucian agama Islam terpelihara kerana
Sultan atau Raja bertindak sebagai Ketua Agama yang
mempertahankannya. Kewibawaan Raja-Raja Melayu
mempertahankan Islam telah mencorakkan sistem politik sekaligus
menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat penyebaran Islam di
Nusantara. Arba’iyah Mohd Noor dalam Jurnal Al-Tamadun
merekodkan bahawa Sultan Mansur Shah menitahkan supaya kitab
tasawwuf dibawa ke istana Pasai yang masyhur sebagai pusat
pengajian agama sebelum dibawa ke Melaka. Baru-baru ini, di Perak,
timbul suatu isu di mana terdapat ahli politik yang menggunakan
masjid dan surau untuk tujuan politik. Hal ini telah menarik perhatian
pihak istana, sehingga Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 27 Mei
2019 menitahkan supaya masjid di negeri ini tidak dijadikan sebagai
tempat untuk penganjuran program politik. Titah bersulam teguran,
berjahit pesanan ini jelas menunjukkan peranan istana. Hal ini
sekaligus mengangkat bicara saya, Raja Islam Disanjung, Agama
Islam Dijunjung.
Hadirin dan hadirat pendaulat raja pemangkin sejahtera,

Bergerak kepada lembayung bicara kedua saya. Raja Melayu itu


akar, Adat Melayu Menguntum Mekar,

Saat Perjanjian Pangkor dimeterai pada tahun 1874, sehingga kini


selepas 145 tahun berlalu, suatu perkara telah disepakati bersama
iaitu, hal ehwal adat Melayu kekal di bawah bidang kuasa Raja
Melayu. Peribahasa “Biar mati anak, jangan mati adat” ialah suatu
pesanan keras bahawa adat Melayu mesti dipertahankan. Perjanjian
Pangkor yang dimeterai menunjukkan bahawa dari dahulu sehingga
kini, institusi raja akan selamanya menjadi pelindung demi
memastikan kesinambungan adat Melayu. Memetik bicara, Felo
Utama Institut Kajian Etnik UKM Prof. Datuk Teo Kok Seong, beliau
menyatakan bahawa “Institusi beraja juga memberi gambaran
kepada manifestasi keagungan tamadun dan peradaban Melayu
malah sistem monarki dunia turut mengagumi corak bergilir yang
diamalkan di Malaysia dan beliau turut menegaskan raja-raja Melayu
secara asasnya merupakan pelindung kepada adat Melayu.”. Bicara
ini jelas menunjukkan bahawa Raja Melayu Itu Akar, Adat Melayu
Menguntum Mekar.
Hadirin dan hadirat pemulia raja, pembina negara

Bergerak kepada lembayung bicara ketiga saya, Raja Melayu


Bijaksana, Budaya Melayu Terlaksana,

Memetik kata Ahli Antropologi Amerika, Clitford Geetz “Tanpa


manusia, budaya tidak ada, namun lebih penting dari itu, tanpa
budaya, manusia tidak akan ada". Dengan terciptanya sebuah
budaya, maka manusia tidak akan lepas dari budayanya masing-
masing. Namun begitu, sejak belakangan ini cabaran budaya Melayu
khususnya dalam meniti arus modenasi umpama melukut di tepi
gantang. Orang Melayu malu berbahasa Melayu, orang Melayu malu
berbusana Melayu. Kongres Budaya 2017 telah mendedahkan
masalah hakisan budaya ini bukan sahaja dalam kalangan orang
Melayu malah melibatkan hakisan warisan budaya, gaya hidup,
bahasa, pakaian, binaan tradisional malah identiti semua kaum di
Malaysia. Pengerusi Institut Seni Melayu Melaka, Tan Sri Dr. Abdul
Latiff Abu Bakar menegaskan pentingnya adat budaya Melayu tanpa
meminggirkan warisan budaya bangsa lain. Kemuncaknya, panel dan
peserta kongres sepakat memohon campur tangan institusi raja-raja
Melayu demi memastikan pewaris bangsa tidak hilang identiti
mereka dan prakarsa ini sekaligus mengangkat bahawa Raja Melayu
Bijaksana, Budaya Melayu Terlaksana.
Hadirin dan hadirat, rakyat bermuafakat, raja di daulat

Sebelum sauh dinaikkan, sebelum kata mengunci bicara, sebelum


langkah mengundur pergi, ingin saya simpulkan pelayaran bicara
saya pada hari ini, telah memperlihatkan bahawa raja dan rakyat
ibarat isi dengn kuku, serumpun bak serai, sesusun bak sireh. Kita
wajib berbangga kerana institusi raja masih wujud sehingga kini.
Tanpa permuafakatan raja dan rakyat, hilanglah kekuatan bangsa
dan negara. Tanpa institusi raja sebagai pemelihara agama, adat dan
budaya dan bahasa maka pincanglah bangsa. Sebelum mengundur
diri, marilah kita menghayati, wasiat Sultan Mansur Shah dalam
Sulatus Salatin, “Raja-raja itu umpama api, segala menteri itu
umpamanya kayu; kerana api itu tiada akan nyala jikalau tiada kayu”.
Seperti kata Farsi “Rakyat itu umpama akar dan raja itu umpama
pohon, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri”.
Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya. Raja adil disembah,
raja zalim disanggah.

Sekian wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin juga menyukai