Anda di halaman 1dari 3

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Yang Arif panel hakim, dif-dif

jemputan, guru-guru dan hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum


warahmatullahiwabarakatuh. Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dapat kita bertemu pada pagi
yang berbahagia. Dalam majlis ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk, “Peranan
Pelajar Ke Arah Memperkasakan Ummah”.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya meneruskan syarahan saya, izinkan saya mendefinisikan kata dan frasa utama yang
menjadi tunjang syarahan yang akan saya sampaikan. Kamus Dewan, Edisi Baharu, halaman 1011
mentakrifkan “peranan” sebagai tugas yang dipegang. “Pelajar” pula bermaksud orang yang belajar
dan menyelidiki ilmu sama ada di peringkat sekolah, maktab, universiti dan sebagainya, manakala
frasa “memperkasakan ummah” membawa makna menjadikan umat Islam kuat dan hebat.
Berdasarkan takrifan tersebut, secara tuntasnya tajuk syarahan saya dapat disimpulkan bahawa
penuntut ilmu mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menjadikan umat Islam satu ummah
yang kuat dan hebat.

Hadirin yang dihormati,

Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pelajar ke arah memperkasakan ummah?

Tirai syarahan ini saya singkap dengan mengutarakan satu firman Allah sebagai tunjang syarahan
saya.

Maksudnya “ ..Allah meninggikan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama(dari kalangan
kamu) beberapa darjat..” al-Mujadalah;11.
Lantas, inilah peranan pertama yang perlu dimainkan oleh pelajar untuk menjulang martabat
ummah iaitu menjadi generasi yang mencintai ilmu dan memiliki ciri-ciri budaya kecemerlangan
ilmu.Maju atau mundurnya sesebuah ummah bergantung kepada keupayaan mereka menguasai
ilmu pengetahuan. Ummah yang berilmu adalah ummah yang berwawasan, mempunyai kekuatan,
dihormati dan dicontohi. Sebaliknya, tanpa ilmu, wibawa ummah akan hilang, lemah, mudah
ditindas dan terus ketinggalan. Jadi, jelas kepada kita peranan pelajar ialah menguasai ilmu.

Hadiran yang budiman,

Islam telah menggariskan beberapa indeks bagi meningkatkan kualiti ummah. Salah satu aspek yang
terpenting ialah menyuburkan iman penganutnya. Lantaran itu, tugas pelajar yang kedua ialah
melestarikan iman agar mampu memandu ummah ke arah kegemilangan. Iman mempunyai kaitan
yang erat dengan kualiti insan dan ummah. Iman adalah asas kepada keagungan ummah
keseluruhannya. Jesteru, para pelajar mestilah berupaya melaksanakan titah perintah Allah dan
menjauhi laranganNya serta menghindari diri dari belenggu kejahilan. Iman yang mendalam akan
melahirkan sifat taqwa yang dapat memandu diri, masyarakat dan ummah menjalani kehidupan ini
dengan jalan yang lurus serta mampu menyelamatkan ummah daripada terdedah kepada segala
macam bahaya dan kesusahan. Sebagaimana firman Allah swt

Maksudnya “dan ingatlah, sesiapa uyang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan
baginya segala urusan.” At Talaq ; 4

Sejajar dengan itu, para pelajar disarankan mempertingkatkan kualiti iman, agar lahir dalam dirnya
jiwa kekuatan dan keberanian, yang akan menjadi motivasi untuk memaju dan memperkasakan
ummah.

Hadirin yang dikasihi,

Jika kita ingin melihat atau menyukat kekuatan dan kekayaan sesebuah negara, gunakanlah statistik
hasil mahsulnya. Kiranya kita ingin melihat masa hadapan ummah, kaji dan lihatlah kekuatan belia
dan kesedaran para pelajarnya. Sekiranya mereka para pelajar memenuhkan masa dengan membina
akhlak dan menghayati nilai-nilai murni, yakinlah bahawa masa depan ummah itu akan mencapai
kegemilangan. Kawalan akhlak merupakan teras dalam kehidupan beragama dan menjadi agenda
para rasul dan misi nabi-nabi sebagaimana digezetkan dalam sabda Rasulullah saw yang berbunyi;

Maksudnya “ Sesungguhnya aku diutuskan untuk melengkapkan akhlak yang mulia.”

Oleh itu, para pelajar mestilah menyedari bahawa akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada
kemajuan dan ketinggian ummah. Sebaliknya akhlak yang keji menjadi pemusnah yang berkesan dan
perosak yang meruntuhkan sendi-sendi kekuatan ummah. Sayugia, peranan pelajar yang amat
penting ialah menghiasi peribadi dengan akhlak mulia dan yang pasti ummah akan terbina melalui
peribadi luhur ini. Insya-allah.
Saudara-saudari yang dihormati,

Sekarang, apakah yang ummah harapkan daripada kita semua para pelajar? Pelajar Islam
mempunyai tugas besar lagi berat untuk membangunkan ummah. Teringat saya akan tulisan
Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya “ Membangun Ummah; Satu Kenyataan Bukan
Khayalan” menegaskan “Sesungguhnya, seorang muslim yang bertanggungjawab adalah juga
seorang nasionalis sejati; mencintai tanah air dan bangsanya sepenuh hati dan sentiasa berkorban
untuk membela dan menjaga maruahnya; juga seorang yang bersifat antarabangsa yang tulen.”
Rentetan daripada ini, seorang pelajar muslim mestilah menjadi warganegara yang baik, di samping
menjadi hamba Allah yang taat dan anak yang soleh. Pelajar muslim mestilah mempunyai jati diri
muslim yang kental sebagaimana yang diungkapkan dalam al-Quran:

Maksudnya “ Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan
mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” Surah al-Kahfi: 13

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Sebagai generasi Islam yang punya tanggungjawab terhadap agama dan ummah, maka nilai Islami
mestilah benar-benar menjiwai kehidupan para pelajar. Para pelajar perlu membina keunggulan
keperibadian dan kepimpinan ummah. Para pelajar mestilah menjadi dirinya, ruh jihad dalam jasad
ummah kini bagi mencetuskan kesedaran baru tentang ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan;
politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan peradaban. Marilah kita mengkaji pemimpin belia
mutakhir yang mampu menelurkan idea yang bernas, merangka program dengan rapi dan
menjalankan tugas membina kesedaran baru, membangunkan Islam dan membina kekuatan
ummah. Pemuda itu tidak lain dan tidak bukan iaitu Hassan al-Banna dan gerakan Ikhwanul
Muslimin.

Saya menyeru sahabat-sahabat pelajar, peranan kita ialah memperlengkapkan diri dengan ciri-ciri
budaya cemerlang secara kombinasi dan bersepadu ; kecemerlangan ilmu, kecemerlangan akal,
kecemerlangan fizikal, politik, ekonomi, professional. Natijahnya, jika kita memmiliki keunggulan ini,
ummah akan perkasa dan wibawa.

Sekian sahaja syarahan yang dapat saya sampaikan pada hari ini. Sebelum mengundur diri saya,
kata-kata Imam Malek menjadi renungan “ Tidak akan memperolehi kejayaan ummah kemudian,
melainkan mencontohi bagaimana ummah terdahulu memperolehinya. Masakan kapal belayar di
daratan?”

Sekian. Wassalam.

Anda mungkin juga menyukai