Anda di halaman 1dari 12

HUBUNGAN KELEMAHAN PENGURUSAN SUKAN DI SEKOLAH DAN KEBERKESANAN

PERANAN GURU SERTA MASYARAKAT DALAM MENGHADAPI KEKANGAN TERSEBUT

1.0 PENGENALAN

Menurut Omardin Ashaari (2002), pengurusan sukan bermaksud menguruskan sumber yang
berkaitan dengan sukan secara berkesan. Pengurusan ini bukan sahaja melibatkan pengurusan
manusia tetapi juga termasuk pengurusan untuk memastikan program dan pembangunan sukan
dapat berjalan dengan sempurna seperti mana yang dihajatkan. Mohd. Khairi dan Borhanuddin
(2005) pula mendefinisikan pengurusan sukan sebagai satu proses menyeluruh yang bertujuan
menstrukturkan segala aktiviti yang dikehendaki oleh sesuatu badan sukan. Oleh yang demikian,
Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) pada
tahun 2011 untuk menggalakkan penglibatan murid dalam aktiviti sukan seterusnya melahirkan
murid yang seimbang dalam aspek akademik dan perkembangan fizikal. Dasar ini juga dapat
memberi peluang secara menyeluruh kepada semua murid untuk melibatkan diri dalam sukan
secara lebih terurus serta mengimbangkan penekanan dalam melahirkan modal insan secara
holistik ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang berdaya saing tinggi.

Namun begitu, keberkesanan pengurusan sukan di sekolah sama ada di sekolah rendah
mahupun sekolah menengah sering menjadi topik perbahasan. Usaha-usaha untuk
meningkatkan keberkesanan pengurusan sukan di sekolah dilihat semakin mencabar kerana
terdapat kepincangan di antara pihak pentadbir, guru-guru, ibu bapa, masyarakat setempat serta
para pelajar. Justeru itu, isu pengurusan sukan di sekolah mestilah diambil serius oleh para guru
khususnya dan golongan masyarakat umumnya bagi mengelakkan masalah ini menjadi faktor
pemusnah dalam kemajuan perkembangan sistem pendidikan di Malaysia.

2.0 KEBERKESANAN PERANAN GURU DAN MASYARAKAT DALAM MENANGANI


MASALAH PENGURUSAN SUKAN DI SEKOLAH

2.1 AKAUNTABILITI AKADEMIK DALAM PENDIDIKAN SUKAN

Kebanyakan golongan pendidik dan masyarakat setempat pada hari ini memberikan
persepsi yang negatif terhadap pendidikan sukan di sekolah. Pendidikan Jasmani dan
Kesihatan merupakan contoh subjek yang cukup sinonim dalam pendidikan sukan.
Namun demikian, pelaksanaan kurikulum Pendidikan Jasmani ini kurang mendapat

1
perhatian yang sewajarnya daripada pihak guru, sekolah dan ibu bapa. Menurut Nor
Mohd Taib (1990), kajian mendapati bahawa lebih ramai ibu bapa yang menganggap
subjek ini boleh menganggu proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) murid-murid.
Maka, pendidikan jasmani tidak diajar dengan betul sebagaimana yang dibincangkan
dalam teori menyebabkan kualiti pengajaran bagi subjek ini tidak mencapai objektifnya.
Lebih malang ada sesetengah sekolah tidak melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran subjek pendidikan jasmani kerana beranggapan subjek ini tidak bersifat
akademik dan tidak penting dalam peperiksaan. Malah, kajian Hussein Ahmad (1993)
mengatakan guru yang tidak mempunyai kemahiran dalam subjek pendidikan jasmani
akan mengakibatkan kecederaan ke atas pelajar ketika melakukan aktiviti sukan ekoran
daripada pelajar tidak melakukan aktiviti pemanasan badan dengan sempurna.

Bagi mengatasi masalah ini, jurang akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani
dengan subjek-subjek akademik lain mesti dikurangkan. Strategi untuk meningkatkan
akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani ialah pelaksanaan proses P&P yang
betul oleh guru yang berkelayakan. Menurut Masurier & Corbin (2006), guru yang
berkelayakan seharusnya mengambil opsyen dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani
ataupun Sains Sukan agar penyampaian isi kandungan pelajaran dengan lebih berkesan
kerana memiliki kemahiran, pengetahuan pedagogi serta berkebolehan untuk
mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Selain itu, semua pihak
terutama masyarakat sekeliling harus mengiktiraf subjek pendidikan jasmani ini sebagai
subjek yang mempunyai akauntabiliti akademik sebagaimana subjek-subjek lain di
sekolah yang mempunyai matlamat dan objektif tersendiri. Tanggapan yang negatif
terhadap subjek tersebut bukan sahaja melemahkan semangat motivasi guru tetapi
menggambarkan pemikiran masyarakat di Malaysia yang masih pada tampuk minda
kelas ketiga.

2.2 KELAYAKAN GURU SUKAN


Di samping itu, guru merupakan agen penting dalam penyampaian pengetahuan dan
kemahiran kepada pelajar. Menurut De Knops et al. (2004), keberkesanan pengajaran
bergantung kepada tahap pengetahuan guru dan kompetensi guru. Tahap kompetensi
guru dipengaruhi oleh latar belakang seperti kelayakan dan juga pengalaman guru
mengurus aktiviti sukan. Dalam kajian Smith & Pierre (2009), kompetensi guru dapat
dinilai berdasarkan kreativiti dan kecekapan mereka merancang strategi pengurusan

2
sukan, memilih pendekatan dan teknik yang sesuai dengan tahap kepelbagaian
kecerdasan murid bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Seterusnya, guru baharu kebiasaannya kurang berpengalaman dan kurang yakin untuk
merancang strategi, memilih pendekatan serta mengubahsuai pengajarannya mengikut
tahap kemampuan murid berbanding guru yang berpengalaman dalam bidang sukan.
Namun demikian, Lunenberg dan Korthagen (2009) berpendapat guru akan memperolehi
pengalaman apabila mereka berinteraksi dengan persekitaran sekolah dan dunia
pengajaran yang sebenar. Oleh yang demikian, guru yang terlibat dalam pengurusan
sukan di sekolah perlu mempunyai kemahiran kepimpinan, bijak merancang strategi dan
kebolehan menguruskan belanjawan.

Masalah guru yang memegang jawatan pengurusan sukan di sekolah hendaklah


dikendalikan kepada individu yang selayaknya. Menjadi suatu tanggungjawab bagi pihak
pentadbiran sekolah untuk memastikan bahawa guru yang berkelayakan sahaja yang
mengurus kurikulum sukan di sekolah sekali gus melaksanakan program sukan di sekolah
dengan lancar. Malangnya, bilangan guru yang berkelayakan dalam bidang ini semakin
berkurangan di dalam setiap sekolah di Malaysia. Oleh yang demikian, para guru pelatih
yang menuntut di Institut Pendidikan Guru disarankan untuk mengambil opsyen
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sebagai subjek minor agar membentuk guru yang
mempunyai pengetahuan terkini dalam aktiviti fizikal. Menurut Muhamad Akbar Zahidi dan
Rahmad Sukor Ab. Samad (2014), golongan masyarakat terutama para ibu bapa pula
sewajarnya menyokong cita-cita anak mereka bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang
sukan dan tidak terlalu mementingkan nilai materialistik dalam masa depan anak-anak.
Bukan itu sahaja, pihak sekolah juga boleh menempatkan lebih ramai graduan pendidikan
Jasmani dan Kesihatan di setiap sekolah dengan sekurang-kurangnya empat orang guru
iaitu dua guru lelaki dan dua guru wanita.

2.3 KEMUDAHAN FIZIKAL DAN ALATAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), infrastruktur didefinisikan sebagai


kemudahan atau perkhidmatan asas untuk membangunkan sesuatu masyarakat.
Kemudahan ini bertujuan untuk menjalankan aktiviti sukan dengan jayanya. Kawasan
lapang seperti gelanggang badminton, gelanggang bola keranjang dan padang bola
memainkan peranan penting dalam menjalankan sesuatu aktiviti. Menurut Wan Azlan

3
Wan Ismail dan Tajul Arifin Muhamad (2015), kekangan yang dihadapi oleh sekolah
bandar ialah mendapatkan kawasan padang permainan yang agak luas disebabkan
faktor nilai hartanah yang tinggi. Kawasan sekolah menjadi semakin sempit, ruang untuk
sekolah menyediakan kemudahan agak terhad. Sekolah-sekolah di kawasan pedalaman
pula menghadapi kekangan dari segi kemudahan peralatan. Jika ditinjau di sekolah-
sekolah pedalaman dan luar bandar, jumlah peruntukan untuk membeli peralatan sukan
sering digunakan untuk pembangunan sekolah. Ini disokong pula dengan kajian oleh
Mohd Sofian Omar Fauzee (2002) mendapati 90 peratus daripada 30 responden
menyatakan bahawa kemudahan asas dan peralatan sukan yang ada di sekolah tidak
mencukupi bagi melaksanakan aktiviti sukan. Akibatnya pelajar terpaksa menggunakan
peralatan yang semakin uzur dan tidak selamat untuk digunakan.

Sekolah merupakan tempat pelaksanaan bagi pengurusan sukan seharusnya


bertanggungjawab ke atas kemudahan fizikal untuk kegunaan di dalam atau di luar kelas
pengajaran. Langkah pertama yang boleh diambil adalah setiap sekolah mestilah
mempunyai peralatan dan kemudahan asas yang lengkap. Mengikut spesifikasi
kemudahan sukan yang dikeluarkan oleh pihak KPM, setiap sekolah diwajibkan
mempunyai sekurang-kurangnya satu padang dan gelanggang di setiap sekolah
tersebut. Pihak masyarakat juga boleh menyumbangkan tenaga kerja mereka dalam
proses pembinaan prasarana ini. Kualiti peralatan sukan dan keselamatan pengguna
perlu dipertimbangkan dalam faktor pemilihan alatan. Dalam kajian Wee Eng Hoe (1994),
peralatan sukan yang digunakan semasa bersukan hendaklah selamat, bebas daripada
kerosakan serta diselenggarakan dengan baik. Penggunaan alat pelindung khas dan
bersesuaian mengikut saiz atlet dapat menjamin keselamatan dan mengurangkan risiko
kecederaan mereka. Bagi menyediakan kemudahan tambahan seperti bilik persalinan
khas, almari kecil, dewan khas dan gimnasium, pihak sekolah memerlukan dana
kewangan yang secukupnya. Oleh itu, Norzahida Mohamed (2013), berpendapat
masyarakat melalui ibu bapa perlu bergiat aktif dan memberi sumbangan termampu bagi
mengatasi masalah yang berlaku di sekolah. Sumbangan yang diberikan oleh ibu bapa
bukan sahaja diberikan menerusi sumbangan material tetapi boleh memberikan
sumbangan moral kepada anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa boleh menghadiri
Mesyuarat Agong serta memberikan pendapat untuk menambahbaik sistem pengurusan
sekolah.

4
2.4 KUASA POLITIK DALAM SUKAN

Pengurusan sukan yang lemah di sekolah adalah berpunca daripada kuasa politik
yang besar dalam sukan. Menurut Ahmad Atory Hussein (1993), politik memainkan
peranan besar dalam perkembangan sukan sama ada dalam atau di luar negara. Hal ini
dapat dilihat dengan jelas apabila sesebuah sekolah ingin mendapatkan bantuan untuk
membeli alatan sukan. Pihak sekolah akan meminta bantuan oleh individu-individu yang
mempunyai pengaruh serta pangkat seperti Dato’, Tan Sri dan sebagainya. Malah,
pengaruh individu yang memimpin badan-badan tersebut telah menciptakan persaingan
yang sihat dalam arena sukan. Walau bagaimanapun, timbul suatu isu yang sering
berlaku iaitu perebutan jawatan tertinggi dalam sesuatu badan sukan. Ada pihak yang
sanggup menggunakan pelbagai cara termasuk wang dan mencari publisiti murahan
untuk memenangi jawatan tersebut. Buktinya, berita pertelingkahan atau perbezaan
pendapat antara pegawai-pegawai dalam sesuatu badan sukan sering dipaparkan
dalam akhbar. Isu-isu perbezan pendapat ini banyak berkisar mengenai pemilihan atlet,
prestasi atlet yang merosot, elaun atlet, pelantikan jurulatih serta disiplin para atlet.
Hasilnya, keadaan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada pengurusan sukan
di negara seterusnya dalam perkembangan bakat atlet-atlet muda di sekolah.

Langkah pragmatik yang wajar diambil oleh para pentadbir dan masyarakat setempat
terutama para ibu bapa adalah menapis permohonan bantuan kepada golongan yang
mempunyai kepentingan dalam politik. Menurut Ishak Mad Shah (2006) dalam buku
beliau yang bertajuk, “Kepimpinan dan Hubungan Interpersonal dalam Organisasi”
memaklumkan bahawa masyarakat juga seharusnya memilih pemimpin yang bijak agar
menyusun atur program dan pengurusan sukan dengan strategik serta dapat membantu
atlet menyiapkan diri dari segi fizikal dan mental sebelum bertanding. Berlanjutan
daripada itu, pemimpin persatuan sukan haruslah dipilih daripada mereka yang
berkaliber, tiada kepentingan peribadi serta mengutamakan kebajikan para atlet. Oleh
yang demikian, sikap kepimpinan perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat agar
lahirnya pemimpin yang berkaliber dalam memimpin sesebuah organisasi.

5
2.5 PENGGUNAAN DADAH DALAM SUKAN
Menurut Mohd Nazri Ismail (2016), perkataan ‘doping’ daIam sukan merujuk
kepada penggunaan dadah atau ubat yang diharamkan oleh International Olympic
Council (IOC) bagi tujuan mendapatkan kelebihan daIam prestasi atlet. Pengurusan
sukan yang lemah telah mendorong para atlet untuk mengambil bahan-bahan
terlarang demi mengejar kemenangan serta mengukuhkan nama sebagai atlet yang
terkemuka. Hal ini disebabkan oleh kurangnya integriti yang diterapkan dalam
kalangan para atlet sejak daripada akar umbi iaitu bermula dari era persekolahan.
KepeIbagaian jenis dadah serta teknik menggunanya telah menyulitkan lagi
penyaringan dadah dan pihak makmal perlu sentiasa berwaspada kepada perubahan
trend dalam masalah ini. Bertautan daripada itu, kajian yang dijalankan oleh Pusat
Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) menunjukkan bahawa
dadah adalah bahan kimia yang amat merbahaya kepada individu yang
menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi.
Penggunaan dadah oleh segelintir atlet mampu memberikan kesan yang optimum
kepada tubuh serta mengelakkan kelesuan dalam tisu-tisu badan. Sebagai bukti,
petikan artikel Berita Harian bertarikh 09 September 2009 menyatakan bahawa
pelumba basikal Negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi mengambil dadah
terlarang jenis nandrolone iaitu sejenis steroid anabolik kerana ingin berada pada
tahap kesihatan yang terbaik selepas mendapat tahu beliau terpilih untuk mengikuti
program latihan elit skuad trek negara di Australia.

Cabaran yang dihadapi oleh pihak sekolah dan masyarakat umum dalam
pengurusan sukan adalah untuk menerapkan pendidikan tentang keburukan
pengambilan dadah dalam sukan sejak di bangku sekolah. Hal ini boleh dilaksanakan
melalui aktiviti kaunseling, ceramah, kempen kesedaran dan sebagainya kepada para
pelajar agar mereka dapat berusaha dan bekerja keras dalam mencapai sesuatu
kejayaan. Selain itu, para atlet juga perlu sedar, mereka harus bertanggungjawab
atas apa sahaja makanan yang diambil kerana persatuan mahupun pegawai sukan
tidak boleh memerhatikan pergerakan mereka sepanjang masa. Justeru itu, peranan
ibu bapa amat penting dalam perkara ini dengan mengingatkan anak-anak mereka
terutama anak-anak yang terlibat dalam aktiviti sukan sama ada mewakili sekolah
mahupun negara agar tidak mengambil sebarang makanan tambahan yang tidak
diluluskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

6
3.0 KESIMPULAN
Natijahnya, semua faktor yang dinyatakan diatas adalah punca pengurusan sukan di
sesebuah sekolah menjadi lemah. Pengurusan yang lemah bermula dari sekolah akan
menyebabkan pelbagai isu yang akan timbul pada masa akan datang. Langkah yang
dibicangkan sebentar tadi juga perlu diambil berat oleh setiap pihak dalam menangani isu
pendidikan negara ini. Peranan masyarakat terutama ibu bapa tidak boleh dikesampingkan
dalam usaha untuk memantapkan pengurusan sukan di sekolah. Oleh itu, ibu bapa perlulah
diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk
melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan
aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan
kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan
sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini
akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa
menjadi amalan dalam diri setiap insan yang ingin menggapai kejayaan. Tautan daripada itu,
pengurusan sukan di sekolah akan lebih sistematik dan terancang bagi melaksanakan
aktiviti-aktiviti sukan yang akan datang.

4.0 RUJUKAN
Ahmad Atory Hussein. (1993). Pengurusan Organisasi. Kuala Lumpur: Utusan

Publication and Distributors Sdn. Bhd.

De Knops, P., Theeboom, M., Hults, K., Hoecke, J.V., & De Martelaer, K. (2004). The

Quality Of School Physical Education In Flemish Secondary Schools. European

Physical Education Review, 10(10), 21-40.

Hussein Ahmad. (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Ishak Mad Shah. (2006). Kepimpinan dan Hubungan Interpersonal dalam Organisasi.

7
Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Press.

Kamus Dewan Edisi Keempat . (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2010). Buku Panduan Pelaksanaan Dasar Satu

Murid Satu Sukan (1M1S). Kuala Lumpur: Bahagian Sukan.

Lunenberg, M. & Korthagen, F. (2009). Experience, Theory, And Practical Wisdom In

Teaching And Teacher Education. Teacher and Teaching: Theory and Practice,

15(2), 225-240.

Masurier L.L. & Corbin C.B. (2006). Fitness For Life: Middle School. California: Human

Kinetics IL.

Mohd. Khairi. & Borhanuddin. (2005). Pengurusan Sukan Dalam Kokurikulum Di Sekolah

Menengah. Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia.

Mohd Nazri Ismail. (2016). Isu-Isu Doping Dalam Dunia Sukan. Penang: Penerbitan

Universiti Sains Malaysia.

Mohd Sofian Omar Fauzee. (2002). Psikologi Sukan Dan Kegiatan Fizikal. Shah Alam:

Karisma Publications Sdn. Bhd.

Muhamad Akbar Zahidi. & Rahmad Sukor Ab. Samad. (2014). Faktor Kekangan

Ibu Bapa Dan Persekitaran Sekolah Dalam Pelaksanaan Pengajaran Pendidikan

Jasmani Di Sekolah Rendah. Jurnal Kurikulum dan Pengajaran Asia Pasifik. Jilid

2(2) 4-13.

8
Nor Bin Mohamad Taib. (1990). Pandangan Pelajar Dan Ibu Bapa Terhadap Gerak Kerja

Kokurikulum Sekolah Menengah. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.

Omardin Ashaari. (2002). Pengurusan Sukan. Kuala Lumpur: Utusan Publication &

Distributors Sdn. Bhd.

Smith, D. & Pierre, E.S.P. (2009). Secondary Students’ Perceptions Of Enjoyment In

Physical Education: An American And English Perspective. Physical Educator,

66(4), 209-220.

Sukraini Thani. (2017, 8 Oktober). Khairy Buntu Tangani Doping. Berita Harian, ms 46.

Wan Azlan Wan Ismail. & Tajul Arifin Muhamad. (2015). Hubungan Faktor Penghalang

Terhadap Penglibatan Pelajar Dalam Pendidikan Jasmani Di Sekolah Menengah.

Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wee Eng Hoe. (1994). Organisasi dan Pentadbiran Sukan dan Pendidikan Jasmani.

Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

9
10
11
12

Anda mungkin juga menyukai