Anda di halaman 1dari 12

1.

0 PENDAHULUAN
Bahagian ini akan membincangkan tentang pengenalan, refleksi pengajaran dan
pembelajaran (PdP) serta refleksi nilai pendidikan. Selain itu, bahagian ini turut akan
menerangkan kemahiran asas sukan hoki serta gaya pembelajaran resiprokal yang
dipraktikkan di dalam kajian bagi meningkatkan penguasaan kemahiran menolak bola
bagi atlet hoki sekolah.
1.1 Pengenalan
Permainan adalah tunjang utama dalam pendidikan jasmani dan semestinya
disertai oleh semua lapisan murid tanpa mengira tahap kebolehan kemahiran (Holt,
Strean & Bengoecha, 2002). Di Malaysia, permainan mahupun aspek kesukanan
menjadi tunjang utama dalam sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani. Tambahan lagi,
melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan juga jelas menunjukkan usaha kerajaan ke arah
meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan
mahupun permainan di sekolah serta seterusnya memberi peluang kepada semua
murid yang berbakat dan berpotensi digilap ke tahap yang lebih tinggi (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2012).
Salah satu sukan mahupun permainan yang dipertandingkan di peringkat
sekolah rendah adalah permainan hoki. Terdapat beberapa kemahiran asas di dalam
permainan tersebut antaranya termasuklah kemahiran menggelecek, menolak,
menguis, memukul, menahan, mengawal dan merebut bola (Taverner, 2005).
Kemahiran-kemahiran asas tersebut perlu dikuasai oleh setiap pemain. Ini kerana,
menurut Taverner (2005) untuk menjadi pemain yang berdaya saing, kemahiran asas
perlulah dikuasai terlebih dahulu. Tambahan lagi, kemerosotan mutu sukan juga
adalah disebabkan kelemahan penguasaan kemahiran asas murid mahupun pemain
dalam kemahiran sukan yang diceburi.
Walau bagaimanapun, kemerosotan mutu sukan cuba ditangani melalui
pendekatan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan
menggubal Kurikulum Pendidikan Jasmani. Kurikulum tersebut dibahagikan kepada
tiga tunjang pembelajaran iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan (Kementerian
Pelajaran Malaysia, 1998). Melalui penerapan pelbagai tunjang pembelajaran
pendidikan jasmani diharapkan mampu memberi impak terhadap pembangunan sukan
negara. Tambahan lagi, menurut Disney dan Adlan (2003), mata pelajaran Pendidikan
Jasmani dapat dijadikan asas untuk menyelesaikan masalah kemerosotan mutu sukan
dan permainan negara dengan menggalakkan murid menyertai aktiviti permainan
melalui program latihan seterusnya meningkatkan prestasi permainan, tahap kesihatan
dan kecergasan mereka.

Selain itu, guru pendidikan jasmani di Malaysia juga boleh berperanan sebagai
jurulatih sebagai salah satu jalan penyelesaian bagi meningkatkan mutu sukan negara.
Justeru, guru yang bertindak sebagai jurulatih haruslah menghayati falsafah
kejurulatihan dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta berusaha
meningkatkan prestasi sukan dan permainan murid-murid (Connel & Thompson,
2000). Guru yang bertindak sebagai jurulatih haruslah memilih pendekatan serta
kaedah latihan dan pengajaran yang berkesan kepada murid. Hal ini kerana,
pencapaian murid dipengaruhi oleh gaya pengajaran guru, maka pemilihan gaya
pengajaran guru yang baik amat penting di dalam sesuatu sesi pengajaran dan
pembelajaran murid (Macfadyen & Bailey, 2002).
Olivia (1988) mendefinisikan gaya pengajaran sebagai satu set ciri-ciri peribadi
yang menunjukkan dengan jelas seseorang individu sebagai seorang tenaga pengajar
yang unik. Grasha (1996) pula menghuraikan gaya pengajaran sebagai orientasi dan
strategi yang digunakan oleh sesuatu institusi. Secara umumnya, gaya pengajaran
adalah pendekatan yang diambil oleh guru untuk mengajar murid-muridnya. Dengan
mengetahui pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan murid akan membawa
kepada pengajaran yang berkesan serta pembelajaran yang bermakna dan
menyeronokkan (Ee, 1987). Pada masa kini, terdapat banyak model gaya pengajaran
yang boleh dijadikan panduan kepada guru untuk merancang proses pengajaran dan
pembelajaran mereka. Oleh yang demikian, gaya pengajaran yang bersesuaian
dengan murid haruslah dipilih supaya kaedah dan bahan pengajaran yang digunakan
oleh seseorang guru adalah efisien. Salah satu gaya pengajaran yang biasa digunakan
secara meluas dalam pendidikan jasmani adalah gaya pengajaran resiprokal (Mosston
& Ashworth, 2008). Mosston dan Ashworth (2008) telah memperkenalkan 11 gaya
pengajaran pendidikan jasmani. Di dalam gaya pengajaran tersebut, guru dan murid
memainkan peranan masing-masing dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan gaya pengajaran Mosston dan Ashworth (2008) boleh dibahagikan
kepada dua kategori iaitu berpusatkan guru dan berpusatkan murid. Salah satu gaya
berpusatkan murid ialah gaya resiprokal.


1.2 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran
Berdasarkan sesi latihan pemain hoki yang telah dijalankan di salah sebuah
sekolah di kawasan Ampang. Pengkaji mendapati bahawa terdapat beberapa orang
murid yang masih lemah dalam kemahiran asas hoki yang dipelajari. Tambahan lagi,
berdasarkan pemerhatian pengkaji ke atas teknik dan perlakuan kemahiran murid,
pengkaji mendapati bahawa murid-murid tidak melaksanakan kemahiran menolak bola
dengan teknik dan perlakuan yang betul. Hal ini kerana, murid-murid masih tidak dapat
membezakan teknik dan perlakuan antara kemahiran menolak dan memukul bola hoki.
Buktinya, murid-murid melaksanakan aktiviti kemahiran menolak bola dengan teknik
pegangan kayu, dirian dan tolakan yang salah serta hampir sama menyerupai teknik
memukul bola. Kesannya, ketika latihan dan aktiviti permainan kecil murid-murid tidak
dapat menolak ke arah sasaran yang tepat memandangkan tahap penguasaan murid
dalam kemahiran menolak masih lagi lemah.
Pada awalnya pengkaji beranggapan bahawa faktor jarak menyebabkan yang
menyebabkan murid-murid gagal untuk menolak bola hoki tepat ke sasaran. Akan tetapi
setelah jarak dipendekkan, namun hasil tolakan bola yang dilakukan oleh murid masih
lagi sama iaitu berada pada tahap yang tidak memuaskan. Oleh itu, pengkaji membuat
kesimpulan awal bahawa kelemahan penguasaan kemahiran menolak bola hoki adalah
disebabkan faktor lain.



Berdasarkan masalah tersebut, pengkaji menyedari bahawa tahap penguasaan
kemahiran hoki murid yang rendah dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya
termasuklah dari segi masalah kurangnya pengalaman bermain. Hal ini demikian
kerana, rata-rata pemain pasukan hoki sekolah tersebut dibarisi oleh muka baharu.
Justeru, murid-murid tersebut masih lagi lemah dalam kemahiran sukan hoki yang
mereka ceburi. Tambahan lagi, masalah kekurangan alatan juga merupakan salah satu
faktor yang mempengaruhi penguasaan kemahiran murid semasa sesi latihan. Hal ini
kerana, jumlah peralatan hoki yang terhad di sekolah menyebabkan sesi pengajaran
dan latihan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Buktinya, murid-murid perlu
menunggu giliran untuk melakukan aktiviti memandangkan kayu dan bola hoki yang
disediakan oleh pihak sekolah adalah terhad. Oleh itu, kekurangan peluang untuk
melakukan kemahiran dan pengalaman bermain menjadi salah satu faktor kelemahan
penguasaan kemahiran hoki murid.
Selain itu, pengkaji juga mendapati bahawa masalah penguasaan kemahiran hoki
murid disebabkan oleh aspek sukan tersebut. Hal ini kerana, pengkaji menyedari
bahawa sukan hoki merupakan permainan yang memerlukan penguasaan kemahiran
yang kompleks jika dibandingkan dengan sukan lain seperti bola sepak. Buktinya,
berdasarkan kedua-dua sesi latihan yang dikelolakan oleh pengkaji, mendapati bahawa
kemahiran permainan hoki lebih sukar untuk dikuasai oleh murid jika dibandingkan
dengan kemahiran permainan bola sepak. Ini kerana, murid-murid mengambil masa
yang lebih lama untuk menguasai sesuatu kemahiran hoki. Tambahan lagi, biarpun
telah dilakukan berulang kali, namun tahap penguasaan kemahiran murid dalam
permainan hoki masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan. Oleh itu, maka
tidak hairanlah mengapa kemahiran permainan hoki lebih sukar untuk dikuasai oleh
murid memandangkan kemahiran dalam sukan tersebut memerlukan perlakuan teknik
yang kompleks untuk melaksanakannya dengan baik.
Walau bagaimanapun, berdasarkan temu bual secara tidak formal yang
dilaksanakan oleh pengkaji mendapati bahawa faktor utama yang menyebabkan murid
kurang menguasai kemahiran menolak bola hoki adalah disebabkan oleh faktor
kurangnya penekanan butiran mengajar kepada murid-murid disamping murid-murid
masih lagi baru dalam permainan tersebut. Masalah kekurangan penekanan butiran
mengajar oleh guru mungkin disebabkan oleh jumlah murid yang ramai ketika sesi
latihan sehinggakan guru terlepas pandang perlakuan murid yang salah dan tiada
langkah pembetulan yang dilaksanakan. Tambahan lagi, seperti yang diketahui umum
kemahiran tersebut juga merupakan satu jenis perlakuan yang kompleks bagi murid-
murid yang baru menceburi sukan tersebut. Justeru itu, sekiranya tiada penekanan
terhadap butiran perlakuan murid, maka tidak hairanlah murid sukar untuk menguasai
kemahiran tersebut dengan baik.








1.3 Refleksi Nilai Pendidikan

Berdasarkan refleksi pengajaran dan sesi latihan yang dijalankan, ternyata
terdapat sebilangan murid yang boleh dikategorikan sebagai lemah semasa melakukan
kemahiran menolak bola hoki. Oleh itu, guru pendidikan jasmani yang bertindak sebagai
jurulatih haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan murid
berkembang selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan disamping
menguasai kemahiran hoki yang dipelajari. Hal ini demikian kerana, penguasaan
kemahiran asas permainan merupakan perkara yang amat penting yang perlu dititik
beratkan oleh guru mahupun jurulatih ketika sesi latihan. Tambahan lagi, menurut
Taverner (2005) untuk menjadi pemain yang berdaya saing, kemahiran asas perlulah
dikuasai oleh murid terlebih dahulu. Oleh itu, perkara ini jelas menunjukkan betapa
pentingnya penguasaan kemahiran asas dalam sesuatu permainan yang perlu
ditekankan oleh guru mahupun jurulatih. Justeru, tidak hairanlah mengapa pengkaji
menekankan berkenaan penguasaan kemahiran menolak bola hoki semasa melatih
murid memandangkan kemahiran asas permainan merupakan perkara penting di dalam
memastikan pencapaian murid dalam sukan yang diceburi.
Selain itu, berdasarkan kepelbagaian masalah yang timbul ketika sesi latihan
pasukan hoki sekolah sehinggakan mempengaruhi penguasaan kemahiran murid.
Pengkaji mencadangkan kaedah yang bersesuaian bagi mengatasi masalah yang
melibatkan jumlah murid yang terlalu ramai semasa sesi PdP mahupun sesi latihan. Hal
ini demikian kerana, atas faktor jumlah murid yang terlalu ramai telah menyebabkan
tumpuan guru terhadap penguasaan kemahiran bagi setiap murid kurang. Tambahan
lagi, jumlah murid yang begitu ramai turut menyebabkan berlakunya kekurangan alatan
sehinggakan murid terpaksa bergilir-gilir untuk melakukan aktiviti. Kesannya, keadaan
ini telah menyebabkan segelintir murid menghadapi masalah dari segi penguasaan
kemahiran yang diajar. Perkara ini nyata selari dengan dapatan kajian yang dijalankan
oleh Thomas dan Beaudoin (2002) yang mendapati bahawa kemudahan peralatan
untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani merupakan salah satu
faktor yang mempengaruhi PdP tersebut.
Bagi menangani pelbagai masalah bilik darjah seperti masalah kekangan alatan,
kaedah arahan serta jumlah murid yang terlalu ramai, pengkaji mencadangkan agar
guru mahupun jurulatih untuk mengaplikasikan kaedah pengajaran berasaskan teori
spektrum pengajaran Mosston dan Ashworth (2008). Ini kerana, gaya pengajaran
Mosston dan Ashworth (2008) menyediakan aneka pilihan kepada guru mahupun
jurulatih tentang pelbagai gaya pengajaran bagi memenuhi sesuatu tujuan PdP
mahupun latihan (Dougherty, 2003). Sebagai contoh, pengkaji mencadangkan guru-
guru mahupun jurulatih untuk mengaplikasikan gaya pengajaran berpasangan mahupun
dipanggil sebagai gaya resiprokal bagi mengatasi masalah PdP mahupun latihan.
Biarpun objektif dan tujuan utama pengajaran berasaskan resiprokal adalah untuk
meningkatkan kefahaman dan penguasaan kemahiran murid melalui pengajaran
berpasangan serta penggunaan kad kriteria dan maklum balas bagi memperbetulkan
kesalahan (Mosston & Ashworth, 2008), namun secara tidak langsung melalui kaedah
pengjaran tersebut juga mampu menyelesaikan masalah PdP seperti berkaitan jumlah
murid yang terlalu ramai, kekurangan alatan, kekangan masa serta maklum balas yang
terhad kepada murid semasa sesi pembelajaran (Jackson & Dorgo, 2002). Justeru,
gaya pengajaran resiprokal adalah wajar untuk digunapakai bagi mengatasi masalah
PdP mahupun latihan.
Menurut Mosston dan Ashworth (2008) gaya resiprokal (timbal balik) merupakan
pengembangan dari gaya latihan yang ditingkatkan pelaksanaannya untuk memberi
impak pada hubungan sosialisasi antara dua individu serta memberi kesan atas
perlakuan individu secara timbal balik. Melalui gaya resiprokal juga dipercayai mampu
menghasilkan sesi pengajaran berpusatkan murid. Justeru, murid akan mempunyai
lebih banyak masa, ulangan serta pengalaman bermain dalam mempelajari sesuatu
kemahiran. Justeru, melalui pengaplikasian gaya pengajaran secara resiprokal bukan
sahaja mampu memudahkan tugas guru, malahan dapat meningkatkan penguasaan
kemahiran murid melalui pembelajaran aktif dimana murid menguasai kemahiran
melalui penerokaan bersama-sama rakan yang bertindak secara timbal balik
berdasarkan penggunaan maklum balas dan kad kriteria.
Gaya pembelajaran resiprokal juga merupakan satu gaya pengajaran di mana
guru menentukan objektif manakala murid memainkan peranan secara berpasangan.
Bagi setiap pasangan, salah seorang akan menjadi pemerhati manakala seorang lagi
akan melakukan aktiviti (Mosston & Ashworth, 2008). Gaya pembelajaran resiprokal
juga sebenarnya menekankan berkenaan penggunaan kad kriteria dan maklum balas
dalam meningkatkan penguasaan kemahiran tertentu (Mosston & Ashworth, 2008). Ini
kerana, perlakuan motor mahupun penguasaan kemahiran dipengaruhi oleh pelbagai
faktor, salah satu daripada faktor yang mempengaruhi perlakuan motor dan kemahiran
adalah maklum balas. Hal ini ternyata selari dengan pendapat yang dinyatakan oleh
Magill (2009), untuk mencapai tahap kepakaran dalam kemahiran motor, maklum
balas adalah diperlukan. Tambahan lagi, penggunaan maklumat lisan atau verbal juga
bertujuan untuk menyatakan kesalahan dan pembetulan adalah berguna bagi sesi
pembelajaran khususnya kepada golongan amatur (Kernodle & Carlton, 1992).
Justeru, guru pendidikan jasmani yang bertindak sebagai jurulatih mahupun tenaga
pengajar haruslah menekankan berkenaan maklum balas berkaitan perlakuan
kemahiran samada dalam bentuk lisan mahupun dalam bentuk bukan lisan. Ini kerana,
maklum balas telah dikenal pasti sebagai kunci dalam meningkatkan kemahiran motor
(Schmidt & Wrisberg, 2004). Oleh itu, maka tidak hairanlah bahawa mengapa pengkaji
ingin melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kemahiran hoki menggunakan gaya
resiprokal kerana ianya melibatkan pembelajaran berpusatkan murid disamping
menekankan penggunaan maklum balas dan kad kriteria dalam meningkatkan
penguasaan kemahiran murid.
Bagi mempelajari perlakuan motor mahupun kemahiran sukan, terdapat
beberapa teori yang diperkenalkan bagi membantu penguasaan dan perkembangan
perlakuan motor individu. Sebagai contoh, teori kemahiran tertutup yang diperkenalkan
oleh Adam (1987) mendapati bahawa penguasaan kemahiran tertutup yang
memerlukan proses maklum balas sebagai rujukan. Hal ini kerana, maklum balas
diperlukan bagi membolehkan pergerakan berlaku seperti yang telah dirancangkan.
Tambahan lagi, melalui maklum balas tersebut juga memberikan maklumat tambahan
untuk pergerakan yang sedang berlaku dan membuat pembetulan sekiranya terdapat
kesalahan yang dilakukamn semasa kemahiran dilaksanakan. Ini kerana, menurut
Thorpe (2003) maklum balas adalah elemen penting untuk pembelajaran motor dan
kemahiran. Akhir sekali, Adam (1987) juga menekankan berkenaan perlunya
pengulangan maklum balas dan aktiviti yang dilakukan bagi meningkatkan penguasaan
kemahiran.

Maklum balas juga dianggap sebagai pemboleh ubah kritikal bagi pemerolehan
kemahiran dan secara umumnya ditakrifkan sebagai sebarang maklumat deria yang
berkaitan dengan tindak balas atau pergerakan (Schmidt and Wrisberg, 2004). Maklum
balas juga adalah maklumat yang timbul akibat prestasi (van Dijk, 2006). Kegunaan
maklum balas nyata mampu menyediakan asas bagi penilaian ketepatan pergerakan
atau tugas. Justeru, melalui maklum balas yang diberikan mampu memberikan panduan
kepada individu untuk menilai perlakuan kemahiran serta menggunakannya untuk
tujuan pembetulan. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa pengkaji mencadangkan agar
kaedah pengajaran resiprokal diterapkan semasa PdP mahupun latihan kemahiran
memandangkan kaedah tersebut dapat meningkatkan penguasaan kemahiran murid
melalui penekanan dan penggunaan maklum balas berdasarkan kad kriteria yang
disediakan.

Anda mungkin juga menyukai