Anda di halaman 1dari 2

Sirih berlipat sirih pinang,

Sirih dari Seri Indah,


Pemanis kata selamat datang,
Salam sejahtera pembuka madah.

Yang dihormati saudari pengerusi majlis, kombinasi intelektual kehakiman yang penuh
berintigriti, yang dikasihi guru-guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa serta rakan-rakan
seperjuangan yang cukup berkredibiliti sekalian. Salam sejahtera saya tujukan.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma
berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya ‘Keluarga Malaysia Teguh
Bersama’.

Sidang hadirin sekalian,


‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari
Malaysia 2022 selari dengan konsep keharmonian yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, YAB
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Keluarga Malaysia merujuk kepada masyarakat yang hidup aman
damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Teguh bermaksud
kukuh, kuat dan erat. Bersama pula bersama-sama beserta atau berganding bahu. Manakala frasa
‘Teguh Bersama’ mendukung maksud kekuatan atau kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta
mampan. Dengan semangat Keluarga Malaysia, aspirasi rakyat Malaysia pasti akan dapat
direalisasikan. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan bersatu padu dan bekerjasama dalam
kalangan rakyat merupakan dasar kepada keamanan sesebuah negara.

Sidang hadirin sekalian,


Negara kita kini telah berjaya mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di mata dunia.
Kecermelangan negara kita dalam pelbagai bidang walaupun mempunyai rakyat yang berbilang bangsa
menyebabkan negara lain cemburu dengan pencapaian negara kita. Malah, negara Malaysia telah
dijadikan negara contoh oleh negara-negara dunia ketiga. Biarlah mereka cemburu melihat pencapaian
nusa kita yang sememangnya merupakan berkat amalan nilai bantu-membantu dan nilai toleransi
antara kaum yang wujud ini. Pepatah Melayu ada mengatakan ”bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat”.

Sidang hadirin yang dihormati,


Para pemimpin negara kita saban hari dan setiap ketika menyeru rakyat Malaysia membentuk
benteng pertahanan yang teguh menentang anasir-anasir luar. Hubungan dan kerjasama yang erat akan
memastikan negara Malaysia terus maju dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya perkara ini
tidak diberi perhatian, harapan dan aspirasi pemimpin kita pada masa lalu akan menjadi ’angan-angan
Mat Jenin’ sahaja. Perjuangan pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock
dan lain-lain akan menjadi sia- sia sahaja. Justeru, sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai jati
diri yang tinggi dan berhati waja, kita haruslah menghargai kemerdekaan yang telah diperoleh ini dan
berusaha mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam jiwa kita demi pembangunan negara.Mahukah
kita melihat perpaduan ibarat sebuah keluarga ini dinodai? Sekali ia dinodai, air mata darah sekalipun
bukan galang gantinya.
Ayuh kita lihat keadaan di Bangkok, Thailand suatu ketika dahulu. Rakyat negara jiran kita tidak
berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi secara diplomasi dan sebagai akibatnya demonstrasi,
pergaduhan, keganasan dan lain-lain berlaku pada setiap hari. Lihatlah juga keganasan yang berlaku di
Madura, Indonesia pada beberapa ketika yang lalu. Penduduk di situ diseksa dan diperkosa untuk
orang-orang yang mereka kenali. Inilah kesan apabila tidak wujud perpaduan yang mantap dalam
kalangan rakyat yang berlainan agama, bangsa, budaya, kepercayaan dan pandangan.

Sedang hadirin sekalian,

Sebelum saya mengundurkan diri saya dari pentas serba cantik ini, saya berharap agar nilai
perpaduan dan patriotisme akan disemai dan dibajai dalam diri anak-anak muda. Jangan biar titik hitam
13 Mei 1969 berulang semula dalam sejarah negara kita supaya negara dapat terus berkembang dan
maju mengikut acuan kita sendiri. Akhir kata,

Bersatu teguh bercerai roboh,

Bermuafakat bertambah berkat,

Bersatu bertambah mutu;

Berbahasa kita berbangsa.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai