Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN NILAI PATRIOTISME DALAM KALANGAN PELAJAR

Tiup seruling Si Rumpun Bambu,


Untuk menghibur hati yang lara,
Di persada ini kita bertemu,
Salam ku hulur pembuka bicara.

Yang saya hormati saudari pengerusi majlis, kombinasi intelektual kehakiman yang penuh
berintegriti, rakan – rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti dan seterusnya warga
dewan yang dekat di hati.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan
sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk syarahan saya,
‘Kepentingan Nilai Patriotisme dalam kalangan pelajar’

Patriotisme seringkali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap


negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati
ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Patriotisme
merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta
menyumbang kepada ketamadunan manusia. Tuntasnya, definisi syarahan saya ini menjurus
kepada kebaikan yang diperolehi pelajar yang mengamalkan semangat cintakan negara.

Hadirin pencetus revolusi minda,

‘Semangat patriotisme melahirkan rasa cintakan negara’ merupakan hujah saya


yang pertama. Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat
patriotisme amat penting sekali. Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah mengingatkan “tanpa
semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan dan kekalkan hak kita. Kemungkinan
kita akan tinggal nama sahaja dalam sejarah”.

Bagi generasi yang melalui pengalaman berbeza, fokus patriotismenya mungkin


berbeza walau pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama. Semangat
patriotisme rakyat terutamanya generasi pasca merdeka perlu sentiasa dipertingkatkan demi
melahirkan para pelajar yang mencintai negara seterusnya berani dan sanggup
mempertahankan kedaulatan negara.

Hadirin pemacu kegemilangan negara,

Meniti hujah saya yang kedua di bawah kata kunci ‘Disiplin dibentuk berteraskan
semangat patriotisme’. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya
hedonistik yang merebak bagaikan virus epidemik. Maka, tindakan yang pragmatik perlu
diambil demi memastikan virus ini tidak memusnahkan remaja kita. Penerapan nilai cintakan
negara dapat mengekang masalah ini daripada berterusan. Pelajar yang memiliki rasa cinta
kepada tanah air tidak akan terjebak dengan jenayah mahupun masalah disiplin sebaliknya
mereka akan menunjukkan potensi kecemerlangan diri demi negara tercinta. Dato Nicol Ann
David contohnya merupakan seorang pemain skuasy wanita yang menjadi wanita pertama
Asia menduduki tangga pertama dunia dalam sukan skuasy selama 9 tahun. Semangat
cintakan negaranya telah membentuk disiplin diri yang mampu melonjakkan nama negara.

Sidang hadirin yang dirahmati sekalian,

Prestasi pembangunan modal insan atas bicara kata ‘Semangat cintakan tanah air
menjana pelajar produktif’. Pelajar yang berusaha dan produktif adalah mereka yang rajin,
gigih dan sentiasa mempertingkatkan usaha serta tabah menghadapi cabaran. Mereka juga
melibatkan diri dalam pembangunan negara serta peka terhadap isu-isu semasa dalam dan
luar negara seperti isu pemeliharaan alam sekitar dan sebagainya. Ayuh kita singkap kisah
seorang tokoh pejuang kemerdekaan negara bergelar Mat Kilau. Sifat kepimpinan dan
pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang yang disegani dek keberaniannya
menegakkan kebenaran. Rasa patriotisme telah membentuk individu yang mampu memberi
sumbangan besar terhadap negara.

Sidang hadirin yang budiman,

Kemerdekaan dalam erti kata sebenar merujuk kepada pembebasan mutlak daripada
gejala negatif. Hal ini bermakna, semangat patriotik yang tumbuh dalam jiwa individu pelajar
dapat membentuk nilai-nilai positif kearah pembentukan modal insan yang cemerlang dan
gemilang. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Semua pihak harus
menggembleng tenaga demi memastikan generasi muda pasca merdeka ini menghayati erti
kemerdekaan serta mendalami semangat patriotik yang sebenar-benarnya demi mencapai
matlamat negara untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Kalau tuan pergi ke Pekan,

Belikan saya kuih keria;


Semai patriotisme dalam kehidupan,
Agar negara aman bahagia.

SEKIAN, TERIMA KASIH.

Anda mungkin juga menyukai