Anda di halaman 1dari 2

Keranamu kami mendakap tuah

Keranamu kami bangsa berjaya


Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara
Sejambak kasih, sekalung budi,saudari pengerusi majlis, barisan panel hakim yang
arif lagi berkarisma, penjaga masa yang setia, yang dimuliakan warga pendidik keringat
serta rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi sekalian.
Sambutlah salam sejahtera dan salam satu Malaysia, saya anak Malaysia.
Terbang bangau sepanjang hari,
Ke tasik juga tempat akhirnya
dilantai ini hamba berdiri
merungkai frasa penuh bermakna
Sebelum hujah diperkukuhkan bukti,sebelum bibir terus mengorak bicara,
biarlah saya canangkan dahulu tajuk pidato saya yang berbunyi, “Semangat Patriotik
membentuk modal insan terbilang ”. Maka, izinkan saya merungkai benang-benang kalimat
yang mengikat setiap frasa agar hadirin hadirat yang kabur semakin jelas maksudnya.
Hadirin hadirat sekalian,
Menurut definisi nilai-nilai murni dalam Pendidikan Moral,Frasa “Semangat patriotik
atau patriotisme” bermaksud perasaan sayang dan bangga kepada Negara serta
meletakkan kepentingan Negara melebihi kepentingan diri, membentuk pula bolehlah
diertikan membuat sesuatu menjadi rupa yang tertentu, manakala frasa seterusnya
iaitu modal insan merupakan frasa yang dipopularkan oleh Pak Lah dalam ucaptama
beliau ketika membentangkan Rancangan ke9 bermaksud tenaga kerja atau aset insani
Malaysia yang paling penting dalam usaha kerajaan merealisaikan sebuah negara bangsa
yang maju menjelang wawsan 2020. Terbilang pula membawa konotasi , dapat
dihitung satu,dua , tiga atau terkenal dan terkemuka. Secara tuntasnya, frasa ini
bermaksud perasaan cinta yang mendalam kepada negara mampu menjana tenaga kerja
yang terkemuka dan terkenal di persada dunia.

Warga dewan yang dikasihi sekalian,


Persoalannya , kenapa dan mengapa semangat patriotik dianggap wadah yang mampu
membentuk modal insan terbilang? 4 perspektif hujah akan merungkai persoalan ini.
Hujah saya yang pertama. Melalui Semangat patriotik inilah terpasaknya pelbagai elemen
nilai murni yang utama seperti nilai amanah, bertanggungjawab, taat setia, sanggup
berkorban dan yang paling penting kesyukuran kepada Tuhan kerana semangat patriotik
menjadikan seseorang itu tidak sanggup untuk melihat keutuhan negaranya digugat musuh.
Malah mereka lebih sanggup berputih tulang daripada berputih mata. Masihkah kita
ingat pejuang negara yang terbilang iaitu leftenan Adnan bin Alang Saidi? Dengan semangat
patriotik yang mengalir dalam darahnya, beliau mempertahankan tanah air tercinta.
Justeru, dengan adanya semangat patriotik ini tidak mustahil banyak lagi wira bangsa
seperti leftenan Adnan dapat dibentuk menjadi lambang modal insan terbilang.

Hadirin hadirat yang saya muliakan.


Menyusul pula hujah saya yang kedua.
Semangat patriotik juga menjadikan seseorang pekerja itu sanggup(mampu) memerah
tenaganya sama ada dari segi intelektual mahupun fizikal. Dalam hal ini kita tinjau seorang
tokoh maal hijrah 1432 , iaitu Yang Mulia Dato’ Dr Zeti Aktar yang memegang tampuk Bank
Negara dari zaman kegawatan ekonomi hingga hari ini. Jerih payahnya dalam menarik
ekonomi negara ini dari belenggu kegawatan sememangnya amat dikagumi, benarlah kata
pepatah tangan yang mengayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia.
Wanita yang begitu tinggi peribadi ini sanggup memperhambakan diri untuk menentukan
hala tuju perbankan negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Bukankah ini telah sekali
lagi membuktikan bahawa semangat patriotik mampu membentuk modal insan terbilang?

Sidang hadirin yang dihormati,


Meniti pula hujah saya yang ketiga.
Ahli sukan kita yang bertaraf dunia seperti Datuk Nicole David dan Datuk Lee Chong Wei
masih berdiri di bawah panji Jalur Gemilang walaupun Negara luar menadah tangan untuk
menerima mereka. Inilah persoalannya, mengapakah mereka tetap tidak tergoda dengan
penawaran lumayan yang diberikan oleh Negara lain?Tepuk dada, Tanya selera , Bukankah
sesuatu kejayaan kerjaya diukur melalui pulangan yang digenggamnya? Salah satu
jawapannya ialah semangat patriotik yang dipupuk pada jati diri telah menyebabkan diri
tetap bertaat setia kepada Negara. Justeru, Izharnya di sini semangat cinta akan Negaralah
yang akan membentuk modal insan terbilang !

Warga Dewan yang dihormati sekalian,


Sampai saya pada hujah yang terakhir. iaitu semangat patriotiklah membentuk modal insan
yang tidak mudah layu dipanggang suria, tidak mudah karam dipukul badai. Hal ini amat
jelas umpama sudah terang lagikan bersuluh jika di lihat pada jiwa warga pendidik yang
berada didepan mata.Walau di campak ke ceruk rantau, mereka tetap menabur jasa. Atas
semangat patriotik merekalah, dalam rancangan Malaysia ke 10, Perdana Menteri kita, Yang
Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf pendidik sebagai jurutera modal
insan yang mampu membentuk modal insan yang terbilang dan berfikiran kelas pertama.
Walaupun kerja yang ditanggung tidak terungkap dimulut, tidak terangkat dipundak ,namun
keikhlasan mereka dalam usaha medidik anak Malaysia ,mampu memperkasakan
pendidikan dan secara tidak langsung membentuk modal insan terbilang. Dibahu
merekalah letaknya pemacu dan penggerak negara dalam memenuhi lanskap perubahan
politik, sosial dan ekonomi .

Biar gelora ganas membadai, biar mentari hangus membakar,namun modal insan
yang tertancap semangat patriotik pasti dapat membentuk modal insan yang terbilang.
Lebih –lebih lagi, dengan sokongan Slogan SATU MALAYSIA yang diuar-uarkan, bukankan
slogan ini bertujuan untuk menyedarkan kita bahawa hanya bersatu padu, Negara maju,
hanya adanya perasaan sayang kepada Negara, maka Negara semakin berjaya ! Persis kata
pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. remaja hari ini merupakan bakal
pemimpin masa depan. Maka dayung sudah ditangan, perahu sudah diair, marilah kita
menanam semangat patriotik dijiwa sendiri agar menjana modal insan terbilang.

Saya akhiri syarahan saya ini dengan pantun yang berbunyi


Negeri Kedai Permai dan Indah
Pinggiran paya kundur berduri
berhujah sudah, bersyarah sudah
izinkan saya mengundur diri
Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai