Anda di halaman 1dari 21

Contoh Pidato Masyarakat Berintegriti Menbentuk Bangsa Yang Bermaruah

Bismillahhirrahmanirrahim.

Cuba kita taakul dan berfikir sejenak dengan pengaplikasian integriti dan jati diri Maharaja Meijing
membina maruah bangsa kerana integriti dan toleransi Mahatma Gandhi berjaya memerdekakan India.
Integriti telah mengajar sekalian anak watan Tanah Melayu menuai kudrat membebaskan nusa. Maka
benarlah kata Yusuf Al-Qhardawi kerana integriti banyak bangsa menjadi dewasa.

Salam aspiasiasi saudara pengerusi, barisan panel kehakiman penuh berintegriti, dif-dif kehormat yang
dihormati, seterusnya hadirin yang diberkati,

Assalamualaikum warahmatulhiwabarakatuh, salam ceria ikatan murni, salam 1 Malaysia.

Mayarakat Berintegriti membentuk Bangsa Bermaruah. Begitulah bunyinya mauduk pidato yang
disajikan buat santapan minda warga merdeka. Justeru, mari kita bermula dan merungkai idea yang
tersirat mahu pun pidato yang tersurat. Secara generalisasinya, Menurut Perdana Menteri 1 Malaysia,
YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, masyarakat berintegriti membentuk bangsa bermaruah
menuntut kita menganalisis atas satu sintesis tentang susur galur sejarah negara dan dibajai dan disemai
dengan roh integriti. Usaha dalam memartabatkan integriti dan tidak dilupa tuai hasil yang berbuah
daripada pengaplikasi integriti dalam memartabatkan bangsa. Justeru, bagi mengupas dan mengulas
persoalan ini, 4 perspektif utama saya ajukan.
Pertama, Pengaplikasian intgeriti dalam mewarnai citra sejarah negara, kedua, usaha yang dicanai
dalam membudayakan integriti, seterusnya, hasil kejayaan pembentukan maruah bangsa. Yang
akhirnya, membina dan mempertingkatkan integriti manusia pastinya terserlah kebenaran dan
membuka minda peria dan juwita dalam memahami masyarakat yang berintegirti membentuk bangsa
bermaruah.

sidang saksi bermisi, Saudara dan saudari

Pertama- Pengaplikasian integriti dalam mewarnai citra sejarah negara

Mungkin kini sudah begitu lama untuk kita bangkitkan, untuk kita ungkitkan betapa untuk kita bangun
meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Parameswara gugur rebah dimamah penjajah durjana
akibat integriti tidak menjadi suaka. Justeru kita perteguhkan integriti untuk menuntut bela dengan
kehebatan Dol Said menyusul pencak, rentapan Rentap menyusul jejak menyelamatkan bangsa yang
dulunya dipijak,kembali agung tersemat di pundak Namun sayangnya gendang kemenangan masih
belum kedengaran, lantas kita ubah persepsi dan identiti bukan senjata jadi intipati, namun memusuhi
integriti, juga keluhuran budi pekerti, Maka dengan rencah integriti, rempahnya toleransi, kaum muda
dan tua bersatu hati bersama berdiplomasi menuntut kemerdekaan ibu pertiwi kemuncak ceritra
bahkan pemimpin berintegriti pula ke tanah air atas nama bangsa yang perlu dibela, tersingkap di balik
tabir sejarah kemerdekaan negara, 5 darsawarsa dahulu bukti jelas masyarakat berintegriti membentuk
bangsa bermaruah.

Saudara dan saudari, Sidang penonton yang penuh santun, ke-2.

Usaha yang dicanai dalam membudayakan integriti

Dalam mengharungi ledakan dan hambatan globalisasi kini, usaha perlu difikirkan kerana dengan usaha
yang mampan Lopez Disequira menjumpai tanjung harapan. Justeru, gagasan modal insan idea cipta
pemimpin yang disegani, memperkenal personaliti unggul dari gerakan glokal, lambang kerajaan tidak
pernah sugul tidak pernah gagal dalam menitikberatkan integriti buat anak warisan. Semua itu, kempen
budi bahasa dan nilai-nilai murni dicanang integrasi nasional dijulang,semuanya demi matlamat yang
tersemat menyahut seruan cabaran ke-4 Wawasan 2020 yang semakin dialpakan,satu visi ke arah
masyarakat yang mempunyai nilai dan moral yang teguh,tidak cukup dengan itu perilaku perkhidmatan
diperkenalkan, badan pencegahan rasuah dinaiktarafkan daripada keluarga sektor awam dan sektor
korperat yang terang dan menyeluruh kerana kita yakin dan percaya yang melakukan rasuah bukan
pesawah atau penoreh getah tetapi mereka yang ada segulung ijazah. Semuanya bermatlamat tidak
akan ada lagi si Kitol dan Tun Mutahir, juga perilaku songsang yang berakhir dengan penaklukan halus di
tanah air. Buktinya jelas, masyarakat yang berintegreti membentuk bangsa bermaruah.
Saudara-saudari, ke-3.

Hasil kejayaan pembentukan maruah bangsa

Hari ini, selepas lebih 5 darsawarsa kita mengecapi nikmatnya kemerdekaan, Alhamdulillah segala benih
integriti yang kita semai ,hari ini segalanya dituai. Bermula dengan tanggal Ogos 1957 kita mula
melangkah dan berlari jauh demi integriti dan maruah bangsa yang semakin ampuh. Konklusinya,
tatkala integriti menjadi budaya, imej dan kredibiliti negara dan bangsa terus diperkaya dan kehebatan
negara bangsa menerajui pelbagai gagasan dunia iaitu NAM, ASEAN, OIC dan terbaru,Kerusi Terhormat
UNESCO,semuanya membuktikan tatkala integriti menjadi teras kekuatan karisma negara dan bangsa
dijadikan taruhan.

Hadirin hadirat penuh hormat, Ke-4 Membina Integriti paksinya pastinya membina dan
mempertingkatkan integriti manusia.

Dunia akur dan iktiraf tamadun manusia jelmaan Junjungan Mulia. Tiada pertikaian terlipan integriti
pesonaliti bak kerlipan bintang di langit, memandu dan penerang hasil cernaan insan mulia dalam
kegelapan . Integriti para sahabat baginda seperti Abu Bakar Al-Siddiq, ‘Umar bin Al-Khattab dan
‘Uthman bin Affan begitu agung dan cemerlang. Acuan dan ramuan pastinya iman, penghayatan dan
akhlaktul karim, akhlak yang mulia. Impaknya, kemungkaran dalam keluarga, masyarakat dan negara
tercegah dan terhapus lantaran lahirnya individu yang yang menjadi paksi masyarakat berintegriti.
Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala kita jadikan integriti sebagai budaya dan pegangan, maka
impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah. Sebagai rakyat Malaysia
suka untuk saya ingatkan , Pada hari ini, impian kita adalah untuk menjelmakan bangsa yang cemerlang,
gemilang dan terbilang bukan bangsa yang kecundang, pincang dan terbuang . Ingat, jangan biar ayam
direban disambar helang, jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang, mari bangkit dan sama-sama
berjuang ke arah negaraku yang semakin gemilang.

Sekian, wabillah hitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber: Atin Syuhada


http://www.scribd.com/doc/25452527/Pidato-Insan-Cemerlang-Negara-Gemilang#scribd

Bismillahirrahmannirrahim,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan seluruh warga
dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya,
memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak
akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-
mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa Mentaliti Kelas
Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia.
Sesungguhnya, mentaliti kelas pertama bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan paradigma pemikiran
manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu
menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan.

Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini mampu mengharmonikan perpaduan
disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan
gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama sebagai tonggak kejayaan
1Malaysia?

Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama;

Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.

Hadirin sekalian,

Kita sedar bahawa kalimah iqra’, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup
manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah
tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.

Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita
dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan
membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara kita arusperdanakan, kemahiran
dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian
pendidikan demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang kita impikan.

Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan kita
di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran
graduan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan keterbukaan minda rakyat
menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras
gagasan 1Malaysia.

Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,

Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi idola berteraskan inovasi
dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang mentaliti kelas pertama mereka.

Lantaran itulah, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi
misalnya, inovasi keusahawanan mampu menganjakkan pemikiran rakyat – daripada mentaliti pengguna
kepada budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus
memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut peluang. Dalam
Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan
indeks pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara.

Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran
perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah
inovasi budaya kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti
pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi kejayaan
1Malaysia kelak.

Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.

Pujangga Melayu selalu berpesan;


Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,

Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan
kuku, irama dengan lagu, cinta dengan rindu.

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai nilai-nilai murni, subjek Sivik dan
Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan
bahkan pembinaan sahsiah kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya
ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global
meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang
memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan
mentaliti kelas pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah kejayaan
1Malaysia.
Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk mentaliti kelas pertama menuntut kepada
pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni
sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi
minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan 1Malaysia. Benarlah
bahawa “Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia”.

Teks disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil

Disampaikan oleh : Sdr. Muhammad Misykat bin Abdul Rahman

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28,

Peringkat Kebangsaan Tahun 2012


BELIA MALAYSIA PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGARA

July 13th, 2012 by admin

Number of View: 7802

Mengenang kisah Ashabul Kahfi dalam firman-firman Tuhan, tentang kemuliaan, tentang keberanian,
tentang pemuda-pemuda yang ditidurkan Tuhan, mempertahankan akidah dari kezaliman,
menggegarkan rasa jiwa, betapa agungnya kepercayaan sang pemuda, lantas dibangkitkan dengan
keazaman di dada, membawa tamadun ke mercu jaya.

Maka benar, betapa Profesor Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardawi juga percaya,

“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari
ini”

Kerana tiada siapa bisa menafikan, Kuasa dan aura generasi muda sebagai perencana, dalam
memastikan negaranya maju dan Berjaya.

Sebagai definisi awalan, Dasar Pembangunan Pembangunan Belia Negara memberi takrifan, golongan
pada lingkungan umur 15 -40 tahun dan secara statistiknya, 50% penghuni Negara kita adalah di
kalangan belia. Maka, “Belia Malaysia Pemangkin Pembangunan Negara” sebenarnya berkehendakkan
kita, untuk menghayati, dan menginsafi, peranan yang perlu dizahirkan belia bagi meneruskan
kelangsungan citra peradaban bangsa, kerana belia adalah asset Negara yang sangat tinggi nilainya, yang
akan menentukan jatuh bangun dan letak duduk pembangunan Negara.

Pertama, Bekalan Generasi Muda Bagi Mencorak Masa Hadapan.

Tatkala Datuk Sheikh Muzafar menerjah angkasa raya sebagai Angkasawan Pertama Negara, dunia
sudah mula sedar akan kehebatan belia Malaysia bukan sekadar menanam angan dan cita, tetapi
semuanya kita jelmakan menjadi nyata. Bahkan, langkah kerajaan meletakkan belia sebagai kumpulan
sasar utama menerusi aspek pembangunan modal insan, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, cukup
membuktikan betapa tingginya kedudukan golongan ini pada mata pemimpin negara.

Persoalan? Bersediakah belia kita dalam mengharungi cabaran yang digalaskan? Bersediakah belia kita
andai bekalan yang dijana cuma secebis angan semata? Bersediakah kita? Andai belia yang kita anggap
sebagai permata rupanya hanya serakan kaca yang menambah luka. Kerana, gelanggang siasah semasa
tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata, tetapi persaingan minda,
pertempuran idea, penjelmaan ilmu adalah bukti yang nyata.

Tanyalah satu dunia, diapa bisa menafikan keperluan ilmu bagi memacu impian negara maju. Kehebatan
Muhammad Al-Fateh pemuda yang membuka kota Konstantinopal, keagungan Kota Ilmu di Basrah dan
Kuffah hinggalah ke pembinaan Jamiatul Qurawin di Kota Parsi semuanya berpaksi kepada ketinggian
ilmu di dada dalam menjulang idealisme belia sehingga kegemilangan tamadun diangkat dan diperhebat
hasil muafakat bangsa berdarjat. Inilah hasilnya, andai belia pada hari ini memperkasa ketinggian ilmu
yang ada, berpaksi pada keampuhan jadi diri dan sahsiah terpuji, apa yang kita impi pasti menjadi realiti.

Kedua, Memperkasa Belia Dalam Mendepani Cabaran

Apalah ertinya ilmu pengetahuan yang tinggi, tanpa akhlak yang terpuji, kerana akhlak mulia yang
bersemi, akan menjadi pelengkap kepada belia madani. Bermula dengan sekecil-kecil menghargai
ketuanan bahasa, sehinggalah kepada perjuangan adat dan warisan, menjadi petanda asas jati diri yang
mekar berpanjangan. Perlu diingat, bait-bait indah “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”
boleh dipatahkan begitu sahaja andai belia Malaysia tidak diperkasa. Kerana penjajahan pada hari ini
bukan lagi dengan pedang dan perang, tetapi ideologi songsang dan wang ringgit yang terhidang

Saidina Umar Al-Khattab pernah ditanya oleh para sahabat, tentang apa yang diinginkan dalam
kehidupan? Tatkala yang lain sibuk inginkan kemewahan, kebendaan, kekayaan, Saidina umar
memberikan jawapan yang amat memberikan kesan, “Aku inginkan sekumpulan anak muda yang hebat
seperti Abu Ubaydah Al-Jarrah, Muaz Ibnu Jabal, dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku
mendaulatkan agama”

Hari ini, kita sedar belia Malaysia mungkin tidak setabah dan sehebat para khalifah dan sahabat, namun
kita sudah cukup berbangga andai belia kita berusaha memperkasa dan mencabar diri untuk menjadi
sehebat mereka. Justeru, pelbagai kejayaan kita hidangkan di depan mata, selat Inggeris, puncak
Everest, Kutub Utara, kembara ke tanah suci merentas Negara dan benua semuanya kita lakukan dengan
semangat perwira,

Dari aspek kejayaan dalam pendidikan, kita mula ke hadapan, Najmil Faiz dengan kertas kerja teknologi
nanonya, Tan Han Shun dan Rafael Mohammad Zhafrael gah dengan ciptaan kereta lumbanya,
hinggalah kepada adik Aimi Nadiah Zainudin dan Nadira Ahmad Termizi sungguh berinovasi dengan
ciptaan perangkap tikus tanpa tanpa sebarang cedera dan luka terhadap si tikus, cukup untuk buat kita
menghela nafas lega, inilah belia yang akan mendepani cabaran Negara.

Ketiga, Pengaruh Belia Terhadap Kemakmuran Negara.

Usia merdeka sudah lebih separuh abad lamanya. Namun, adakah kita sudah cukup dewasa?

Jika ya, mengapa bayi-bayi lahir tanpa nikah, dibuang tanpa rasa bersalah? Mengapa opium, syabu dan
pil kuda, menjadi makanan ruji anak muda? Mengapa gadis-gadis kita, berlumba-lumba siapa dulu yang
hilang dara? Semua ini amalan syaitan laknat, yang melarat dalam masyarakat.

Ada di kalangan anak muda kita, sudah hilang santun dalam bicara, sudah hilang pantun dalam siulan
lagunya, sudah hilang gemalai dalam rentak langkahnya. Kita khuatir, andai belia kita akan menjadi
seperti si kitul yang menghancurkan kota Melaka. Kita risau, andai belia kita lemah tidak berdaya ibarat
runtuhnya tamadun romawi dan parsi akibat pemuda-pemudi tidak membela pertiwi. Kita bimbang,
andai belia kita hanya mampu menang sorak tapi seluruh maruah dan Negara kita tergadai.

Pilihan di tangan kita, kerana kerajaan sentiasa bersiap siaga. Pendidikan untuk semua, pusat kemahiran
kita perkasa, Program rakan muda, makmal transformasi pembangunan belia telah diadun secukup rasa.
15 Mei diangkat sebagai Hari Belia Malaysia memastikan Satu Malaysia, Satu Belia, melantun ke
sarwajagat raya. Semuanya untuk memastikan kejayaan pasti dalam genggaman

http://agc-blog.agc.gov.my/agc-blog/?p=1412
Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi
maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah
diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan
ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis,
pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’
ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai
media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang
berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super
Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai
implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan
MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik
menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi
seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar,
menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui
perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik
darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di
Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan
tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke
rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer
untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media
dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan
adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara
perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas
hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel
elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’
bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet,
bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga
tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang
mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru,
jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,

Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita.
Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia.
Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum.
Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas
sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran
antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-
siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill
Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling
serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat
pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan
multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-
negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan
pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila
masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita,
ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam
kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah
daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan
antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui
internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan
berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Hadirin sekalian,

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya.
Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-
pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-
khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13
Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-
burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif
internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda.
Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet.
Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini.
Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur
seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak
dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut
memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada
ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe
ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia.
Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan
vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,

Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda
sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan
niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini
boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan
isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di
dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan
anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang
boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama
memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi
mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.

Sekian, terima kasih.


Anda mungkin juga menyukai