Anda di halaman 1dari 2

ILMU PELITA HIDUP

Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berkarisma.
Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.
Hayatilah, sebuah pidato cetusan minda kurniaan Allah.. ILMU PELITA HIDUP.
Hadirin sekalian,
ILMU sebagai PELITA HIDUP bolehlah ditakrifkan sebagai prakarsa membudayakan pemahaman teori
dan praktikaliti dalam segenap aspek kehidupan kerana diyakini ilmu mampu menghijrahkan manusia
dari gelita kejahilan kepada cahaya kebenaran.
Maka, marilah sama-sama kita menilai potensi ilmu dalam menerangi kehidupan manusia.
Hadirin sekalian,
Hayatilah pragmatik pertama, pembudayaan ilmu meningkatkan darjat manusia.
Kita sedar bahawa ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan. Namun
bezanya darjat manusia, apabila berilmu pasti dipandang mulia.
Menyedari hakikat ini, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan memacu pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memfokuskan kepada usaha membangunkan
modal insan berilmu menerusi proses pendidikan berkualiti.
Natijahnya, menurut laporan agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) 2011, kadar literasi rakyat
kita mencecah 92.7%, kadar pengangguran menurun 3.1% dan indeks kebolehpasaran graduan pula
mencatatkan 88.4%.Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan menguasai ilmu berguna,
untung nasib rakyat dapat dibela sekaligus taraf hidup mereka mampu dijana.
Hadirin sekalian,
Pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.
Dek kerana budaya ilmulah, rakyat Jepun tidak pernah malu menggunakan kaedah Kanji dan Katagana,
maka kita juga mampu melakar kejayaan negara dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa
wasilah ilmu.
Bahkan, kerajaan turut berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya membaca. Hasilnya,
peningkatan purata 6 buah buku setahun dalam Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 20082011 membuktikan bahawa kita yakin bangsa Malaysia akan berjaya sekiranya ilmu dikongsi bersama,
bertitik-tolak dari budaya membaca. Benarlah bahawa, nadi ilmu amalan membaca yang membuka minda
bangsa.
Hadirin sekalian,
Pragmatik ketiga, pembudayaan ilmu memantapkan kemandirian bangsa.
Hikayat Melayu pernah menukilkan kepintaran Tun Perak menangkis serangan Siam ke atas Melaka dan
kecerdikan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari serangan todak. Bukti jelas bahawa kemandirian
sesebuah bangsa banyak bergantung kepada kebijaksanaan golongan ilmuannya.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita kini ditransformasikan. Namakan sahaja, dari pelancaran
program i-Think dan Permata Pintar; pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional; sehinggalah
program Brain Gain di peringkat IPT, semuanya bertujuan untuk melahirkan golongan ilmuan
berpemikiran kritis dan kreatif sekaligus memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan negara.
Hadirin sekalian,
Pragmatik keempat, ketinggian ilmu cerminan budi dan sahsiah bangsa terpuji.
Ibnu Khaldun dalam tamsilnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa al-insan madani bi al-taba,
manusia sentiasa membina tamadun dengan ilmu dan sahsiahnya. Bahkan pepatah Melayu turut
menggesa agar kita mengikut resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.
Lantaran itulah, modal insan berilmu dan berakhlak kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan.
Menerusi sistem pendidikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita perkasakan, pendidikan agama dan
moral kita mantapkan bahkan kempen budi bahasa kita jayakan. Hal ini kerana kita sedar bahawa apalah
gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.
Maka hadirin sekalian, bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui pembudayaan ilmu dalam
kehidupan seharian, kita mampu meningkatkan martabat diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Sesungguhnya benarlah kalam pencipta, kalimah iqra menyemarakkan budaya ilmu lantaran ilmu adalah
cahaya, pelita hidup manusia. Yakinilah bahawa, ILMU itu PELITA HIDUP.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai