Anda di halaman 1dari 3

BANGSA BERINTEGRITI GENERASI BERMARUAH

Bismillahhirrahmanirrahim. Cuba kita taakul dan berfikir sejenak dengan pengaplikasian integriti dan jati diri Maharaja Meijing membina maruah bangsa. Kerana integriti dan toleransi, Mahatma Gandhi berjaya memerdekakan India. Integriti telah mengajar sekalian anak watan Tanah Melayu menuai kudrat membebaskan nusa. Maka benarlah kata Prof. Dr. Yusuf Al-Qhardawi kerana integriti banyak bangsa menjadi dewasa. Salam apresiasi saudara pengerusi majlis, barisan panel kehakiman penuh berintegriti, penjaga masa yang tidak pernah lekang dengan waktunya, rakan-rakan seperjuangan, seterusnya hadirin yang diberkati. Assalamualaikum warahmatulhiwabarakatuh, salam ceria ikatan murni, salam 1 Malaysia. Bangsa Berintegriti Generasi Bermaruah. Begitulah bunyinya mauduk tajuk pidato yang disajikan buat santapan minda warga merdeka. Justeru, mari kita bermula dan merungkai idea yang tersirat mahu pun yang tersurat. Secara generalisasinya, menurut Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, bangsa berintegriti generasi bermaruah menuntut kita menganalisis atas satu sintesis tentang susur galur sejarah negara dan dibajai dan disemai dengan roh integriti. Usaha dalam memartabatkan integriti dan pengaplikasian integriti dalam diri akan terus membentuk generasi bermaruah. Lantaran itu, bagi mengupas dan mengulas persoalan ini, 3 perspektif utama saya ajukan. Pertama, Pengaplikasian integriti dalam mewarnai citra sejarah negara. Kedua, usaha yang dicanai dalam membudayakan integriti. Dan yang terakhir, membina dan mempertngkatkan integriti manusia. Sidang saksi bermisi, Saudara dan saudari, Pertama, Pengaplikasian integriti dalam mewarnai citra sejarah negara Mungkin kini sudah begitu lama untuk kita bangkitkan, untuk kita ungkitkan, betapa untuk kita bangun meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Parameswara gugur rebah dimamah penjajah durjana akibat integriti tidak menjadi suaka. Lalu, kita perteguhkan integriti untuk menuntut bela dengan kehebatan Dol Said menyusun pencak, rentapan Rentap menyusul jejak, menyelamatkan bangsa yang dulunya dipijak, kembali agung tersemat di pundak. Namun sayangnya gendang kemenangan masih belum kedengaran. Lantas kita ubah persepsi dan identiti. Bukan senjata jadi intipati. Tetapi dengan adanya rencah integriti, rempahnya toleransi, kaum muda dan tua bersatu hati bersama berdiplomasi menuntut kemerdekaan ibu pertiwi ke puncak ceritra bahkan pemimpin berintegriti pula ke seberang tanah air untuk membela kebebasan atas nama bangsa yang perlu dibela. Tersingkap di sebalik tabir sejarah kemerdekaan negara, 5 dasawarsa dahulu bukti jelas bangsa berintegriti generasi yang bermaruah.

Sidang penonton yang penuh santun, ke-2, Usaha yang dicanai dalam membudayakan integriti Dalam mengharungi ledakan dan hambatan globalisasi kini, peibagai usaha perlu difikirkan kerana dengan usaha yang berterusan, integriti dapat dimartabatkan. Perlu dingatkan, kerana usaha yang mampan juga, Lopez Disequira menjumpai Tanjung Harapan. Justeru, gagasan modal insan idea cipta pemimpin yang disegani, memperkenalkan personaliti unggul dari gerakan glokal, lambang kerajaan tidak pernah sugul, tidak pernah gagal dalam menitikberatkan integriti buat anak warisan. Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni dicanang di seluruh pelosok negara, integrasi nasional dijulang, semuanya demi matlamat yang tersemat, untuk menyahut seruan cabaran ke-4 Wawasan 2020 yang semakin dialpakan. Satu visi ke arah masyarakat yang mempunyai nilai dan moral yang teguh. Tidak cukup dengan itu, perilaku perkhidmatan diperkenalkan, badan pencegahan rasuah dinaiktarafkan agar lebih holistik dan menyeluruh kerana kita yakin dan percaya yang melakukan rasuah bukan pesawah atau penoreh getah tetapi mereka yang ada segulung ijazah dan yang berpengetahuan tinggi. Semuanya bermatlamat tidak akan ada lagi si Kitol dan Tun Mutahir, juga perilaku songsang yang berakhir dengan penaklukan halus di tanah air. Buktinya jelas, bangsa yang berintegriti menjadi acuan ke arah pembentukan generasi bermaruah. Sidang hadirin yang budiman, yang ketiga yakni yang terakhir, Membina dan mempertingkatkan integriti manusia Hari ini, selepas lebih 5 dasawarsa kita mengecapi nikmatnya kemerdekaan, Alhamdulillah, segala benih integriti yang kita semai sejak sekian lama, hari ini segalanya dituai. Tanggal bulan Ogos 1957, kita mula melangkah dan berlari jauh demi integriti dan maruah bangsa yang semakin ampuh. Konklusinya, tatkala integriti menjadi budaya, imej dan kredibiliti negara dan bangsa terus diperkaya dan kehebatan Malaysia menerajui pelbagai gagasan dunia iaitu NAM, ASEAN, OIC dan UNESCO, semuanya membuktikan tatkala integriti menjadi teras, kekuatan karisma negara dan bangsa dijadikan taruhan. Kerlipan integriti dalam diri personaliti bak kerlipan bintang di langit akan memandu dan menerang hasil cernaan insan mulia dalam kegelapan. Integriti para sahabat baginda seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Al-Khattab dan Uthman bin Affan begitu agung dan cemerlang. Acuan dan ramuan sudah pastinya iman, penghayatan dan akhlaktul karim, akhlak yang mulia. Impaknya, kemungkaran dalam keluarga, masyarakat dan negara tercegah dan terhapus lantaran lahirnya individu yang menjadi paksi bangsa berintegriti. Pada penghujung bicara,jelas tertera, daripada 3 persepktif yang saya ajukan tadi, pastinya terserlah kebenaran dan membuka minda pria dan juwita di dalam dewan yang mulia ini dalam memahami bangsa berintegriti generasi bermaruah. Tatkala kita jadikan integriti sebagai budaya dan pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah. Sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah, suka untuk saya ingatkan, pada hari ini, impian kita adalah untuk menjelmakan bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang, bukan bangsa yang kecundang, pincang dan terbuang . Ingat, jangan biar ayam direban disambar helang, jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang, mari bangkit dan sama-sama berjuang ke arah negaraku yang semakin gemilang.

Sekian, wabillah wabarakatuh.

hitaufik

walhidayah

wassalammualaikum

warahmatullahi

Anda mungkin juga menyukai