Anda di halaman 1dari 12

SEMANGAT 1MALAYSIA TERAS KEJAYAAN

Sejambak kasih, seharum kasturi buat saudara/i peneraju majlis, kombinasi kehakiman yang
berlandaskan neraca keadilan, guru-guru penggerak generasi berwawasan seterusnya warga dewan
sekalian. Assalamualaikum wm..wbt...

Semangat 1Malaysia Teras Kejayaan. Begitulah tajuk pidato saya pada hari ini.

Semangat bolehlah ditakrifkan sebagai perasaan dan jiwa, 1Malaysia bolehlah ditakrifkan sebagai
rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Teras kejayaan pula bermaksud
sesuatu yang menjadi asas agar berjaya untuk kemenangan ataupun hasil yang diperoleh. Aspirasi ini
adalah untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam
kalangan rakyat.

Warga dewan yang dirahmati Allah sekalian,

Semangat persaudaraan membawa kejayaan negara tercinta. 1Malaysia adalah lahir daripada
semangat setiakawan. Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan agama dan akar budaya namun
rakyat Malaysia berpegang pada satu prinsip yang sama iaitu Rukun Negara.

Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People (Dengan Izin). Dalam hal ini,
1Malaysia, menuntut rakyat berfikir melepasi sempadan kaum dan etnik masing-masing.

Hubungan kaum dan etnik dipereratkan bagi jangkamasa panjang. Kewujudan satu bangsa
Malaysia membentuk sikap menghormati, ikhlas, saling mempercayai dan persaudaraan.

Buktinya RIMUP dan e-intergrasi telah mensasarkan murid-murid dari SK, SJK(C) dan SJK(T) bersama-
sama mengikuti satu program bersama. Pelaksanaan RIMUP dalam Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan adalah untuk membina negara bangsa.

Ideologi dengan semangat persaudaraan dalam 1Malaysia pasti menggerakkan kejayaan negara.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sidang intelektual sekalian,

Meniti wasilah kedua saya dengan untaian kata, Kemajuan ekonomi dinikmati, kemakmuran
negara dikecapi. 1Malaysia dapat membangunkan ekonomi negara. Pelancong dan pelabur asing
mengenali rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi.

Kini, Malaysia menerokai bidang sains angkasa, bioteknologi dan teknologi nano. Menurut
laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, Malaysia mencatatkan nilai digital 0.57 bermakna kita
mendahului kemudahan akses digital dalam kalangan negara ASEAN.

Justeru, 1Malaysia telah meningkatkan taraf ekonomi negara menjadikan Malaysia berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Idea terbilang terakhir saya dengan gagasan bicara, perpaduan dan semangat nasionalisme,
negara aman dan sentosa. Peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu dijadikan iktibar. Formula yang
dicipta oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan adalah untuk
perpaduan dan semangat nasionalisme.

Kini 1Malaysia disandarkan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional.
Negara ini adalah negara kita. Kita adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati dan
dikongsi secara bersama. Segala pembangunan adalah limpahan daripada perpaduan yang diteruskan
dalam 1Malaysia.

Lihatlah apa yang berlaku pada negara-negara yang sedang bergolak seperti Mesir, Syria dan
Libya. Perpaduan sudah tiada. Kemusnahan berlaku di mana-mana. Rakyat menderita dan sengsara.
Mengorbankan banyak nyawa. Sehingga melibatkan campur tangan negara luar.

Kasihan.... Jangan sampai negara kita menerima nasib seperti mereka. Kami, anak-anak pasca merdeka
dahagakan keamanan untuk kesejahteraan.Saya menyeru tuan-tuan, puan-puan dan rakan-rakan
sekalian berpegang pada konsep 1Malaysia agar negara ini terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Sekian, salam ilmiah menjana sahsiah.








Disediakan oleh,


Puan Hajah Norliza bt Sam Zakaria
SK. Taman Tuanku Jaafar 2, Seremban.
Mac 2012



Remaja Berwawasan Aspirasi Negara

Cuba kita fikir sejenak, zaman remaja yang ditonjolkan oleh Bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham
Lincon yang punya hati budi membantu orang lain walaupun dirinya juga dihambat kemiskinan. Malah,
lakaran kemurnian zaman remaja turut ditunjukkan oleh Perdana Menteri kesayangan kita, Datuk Seri
Najib Tun Abdul Razak, yang menyerlahkan kridibeliti dan karisma kepimpinan sehingga akhirnya beliau
diangkat menjadi menteri cabinet yang termuda dalam meneraju Negara. Seterusnya, hakikat tidak
pernah berdusta, apabila mengangkat Rasulullah sebagai rollmodel dan contoh tauladan kerana semasa
zaman remaja baginda, keunikan dalam gerak kerja dan tindakan, sifat dalaman dan penampilan telah
pun mewarnai diri Rasulullah....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis, barisan panel hakim yang sentiasa berasimilasi
dengan kebenaran, saudara penjaga masa yang cakna dengan randiknya, warga pendidik yang bermisi,
seterusnya warga intelektual penerus wawasan Negara.

Asslammualaikum w.t.w dan salam perjuangan di bumi Tuhan.

Remaja Berwawasan Aspirasi Negara, begitulah indahnya mauduk pidato yang bakal menitip di bibir
saya. Namun, sebelum ledakan hujah menghujani sesisi dewan, mohon izin untuk melakukan dua
bentuk pendefinisian terhadap mauduk pidato saya iaitu secara literal mahupun secara leksikal. Remaja,
menurut kamus dewan edisi keempat yang merujuk kepada seseorang yang sudah akhil baligh.
Sementara itu, berwawasan pula merupakan suatu yang bermatlamat untuk mencapai cita-cita. Aspirasi
merupakan suatu bentuk keinginan dan Negara merujuk kepada suatu masyarakat yang menduduki
suatu kawasan yang diperintah oleh sesebuah kerajaan. Oleh itu, secara generalisasinya, remaja masa
kini yang bakal menerajui Negara pada masa akan datang dengan cirri-ciri kepimpinan dan kewibawaan
yang lengkap serta mantap demi mencapai misi dan visi Negara untuk menjadi Negara maju selaras
dalam wawasan 2020.

Sidang saksi yang bervisi,

Indikator saya yang pertama, di bawah lembayung kata Remaja berintelek, penjana wawasan Negara.
Hari ini, kita melihat, kebijaksanan dan ilmu merupakan perencah untuk mencapai matlamat Negara.
Kita perlu sedar, kita memerlukan resepi kepintaran yang wujud di dalam diri remaja untuk menjadi
acuan ke arah Negara maju. Hari ini, bersaksikan warga dewan sekalian, beberapa nama sudah
berpuing-puing dalam pusaran Negara . Lihat sahaja kepintaran semula jadi adik Nik Nur Madhiah dan
adik Azli Azali yang membentangkan hasilan usaha yang mereka cipta. Mereka ini bakal menjadi asset
terpenting Negara dalam usaha mengejar impian. Lihat sahaja keutuhan pemimpin kita yang begitu gigih
menjulang sebelum diangkat menjadi pemimpin Negara. Betullah apa yang pernah dikatakan oleh Tun
Dr. Mahathir Muhamad jika ingin menjulang api kemajuan, nyalakan ilmu sebelum berjuang.

Sidang dewan yang dikasihi sekalian,

Remaja berkaliber, peneraju pemimpin Negara, menjadi kata kunci saya yang kedua. Tokoh-tokoh
besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Uthaman bin Affan, Usamah bin Zaid, Umar bin Abd Aziz, Uqbah
bin Nafi dan Qutaibah al-Baakhily adalah sebahagian generasi remaja islam yang memiliki semangat
kepimpinan yang tinggi. Tidak hanya berhenti disitu, semangat kepimpinan dan kegagahan ruh
perjuangan, terus meresap ke dalam diri Salahuddin Al-Ayubi dalam mempertahankan Negara walaupun
usia baru setampuk jagung. Kaliber dan karisma kepimpinan terus mencetuskan kegemilangan apabila
konstantinopel Berjaya dibuka oleh Sultan Muhammad Al-Fateh semasa usianya masih 20-an. Sedarilah,
sekiranya remaja mempunyai sikap kepimpinan yang tinggi, Negara pun turut menjadi lebih bervisi.

Sidang dewan yang penuh santun,

Indikator saya yang ketiga di bawah kata kunci Kekuatan fizikal dan mantel remaja, menjana Negara
maju. Akademik yang cemerlang tidak akan berguna sekiranya tidak disepadukan dengan kesihatan
fizikal dan mental remaja. Pada era globalisasi yang penuh kompetitif ini, remaja kita perlu memiliki
kecergasan fizikal dan bersemangat waja agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan remaja di Negara maju. Oleh itu, sememangnya remaja yang meyatupadukan kekuatan ini terus
menaikkan nama Negara di seantero dunia. Lihat sahaja kelincahan dan ketangkasan ahli-ahli sukan
Negara yang akhirnya dinobat sebagai juara nombor satu dunia. Kekuatan fizikal dan kekukuhan mantel
yang dimiliki oleh ratu syuasy dunia, Datuk Nicol ann David, mampu menghambat pihak lawan yang
dihadapinya. Datuk Lee Chong Wei mampu tersenyum dalam stretegik dan kekuatan pergelangan
tangannya, Azizul Awang hasni yang melakukan kayuhan emas dalam acara pecut dan keirin, terjunan
akrobatik penuh bergaya Pandalila Riong yang membuka mata masyarakat dunia merupakan contoh
nyata yang menunjukkan kekuatan fizikal dan mantel adalah suatu perkara yang signifikan.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Ketahanan rohaniah remaja, menjana pembangunan Negara, menjadi kata kunci saya yang keempat.
Tidak dapat dinafikan, ramai remaja yang tersungkur kerana ilmu di dada masih tidak disepadukan
dengan iman yang hakiki. Oleh itu, menyedari hakikat pentingnya iman dan ketahanan rohaniah, maka,
kerajaan dengan sokongan pelbagai agensi yang lain telah mengadakan program dan kem penghayatan
islamiah untuk memantapkan iman golongan remaja. Tidak cukup dengan itu, maka, wujudlah
rancangan imam muda yang menjadi fenomena yang menilai kefahaman ilmu dan iman dalam meniti
kehidupan. Ali Bin Abi Talib menjadi khalifah termuda mempunyai formulanya sendiri dalam
mempertahankan syiar islam iaitu menjadikan iman yang dipandu oleh Al-Quran dan Assunnah sebagai
wadah pemerintahan Negara. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa iman yang terdapat dalam diri
remaja mampu menerbitkan seorang remaja yang berwawasan.

Hadirin yang penuh santun,

Sebelum saya menoktahkan pidato ini, saya menyeru kepada semua masyarakat terutamanya golongan
remaja untuk sama-sama mencanai minda, memajukan Negara. Namun kita perlu sedar, gaya hidup
remaja yang tidak sihat dan diliputi dengan cara hidup hidonisme boleh membantutkan pembangunan
insaniah remaja. Oleh itu, pelbagai gelaran yang tercipta seperti Mat Rempit, Mat Gian, Samseng
Jalanan, bosiah, bohjan, kaki lepak perlu dihapuskan. Hal ini demikian kerana, ianya akan
memberi gambaran buruk terhahap masa hadapan Negara dan umat. Ayuh, remajaku, gegar dunia
mengharumkan nama Negara.

Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.t.w


MALAYSIA DI PENTAS DUNIA
Teringat ketika tangan ini menyelak sebuah buku atlas di perpustakaan, mengamati betapa kerdilnya
Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun, jangan disangka cili tidak berapi, kini Malaysia
sudah menjadi sebuah negara yang gah di seantero dunia. Bak kata orang tua-tua duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi. Fikir-fikirkan...
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Jutaan apresiasi kepada pimpinan majlis, saf hakim yang sentiasa cakna dengan keadilan dan
berintegriti, saudara penjaga masa yang semestinya menjunjung prinsip Al-Asr, barisan warga pendidik
budiman, seterusnya generasi pendukung wacana wawasan negara.
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatu dan salam perdana lakaran 1 Malaysia.
Malaysia Di Pentas Dunia, begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya hidangkan kepada hadirin
untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang ini. Sebelum, menjelmakan butir-butir bicara
bermadah, mohon diizinkan untuk melakukan pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada
aspek hurufiah mahupun secara generalisasi. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di Asia
Tenggara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pentas pula merujuk kepada tempat
berdirinya seseorang melakukan acara. Manakala dunia merujuk kepada kawasan yang luas di muka
bumi ini. Oleh itu, secara holistiknya, Malaysia Di Pentas Dunia membawa konotasi yang mendalam
iaitu, keadaan Negara yang kita cintai ini semakin dipandang tinggi oleh masyarakat dunia lantaran
keberjayaan Malaysia mencipta nama dan mencorak mutiara berharga dalam semua lapangan sama ada
ekonomi, politik dan social. Maka, pada hari ini, saya akan mengetengahkan fenomena anjakan
paradigma Malaysia setelah 5 darsawarsa pasca merdeka.
Bersaksikan warga dewan yang penuh bervisi,
Di bawah lembayung kata Ekonomi Malaysia terus kukuh dan teguh menjadi hujah saya yang pertama.
Berbicara tentang ekonomi, maka kekuatan Malaysia tidak boleh disangkal lagi. Kita singkap sedekad
yang lalu apabila satu persatu Negara serantau dunia jatuh tersungkur ekoran kegawatan ekonomi yang
melanda dunia. Hakikatnya, ketika itu juga, Malaysia hampir tersungkur dek pelukan IMF. Namun,
kepintaran pemimpin kita ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu bijak mengemplementasikan
tambatan ringgit untuk mengurangkan beban Negara. Kejituan ekonomi Negara terus diwarnai dengan
pelantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank wanita pertama Malaysia dalam meneruskan
wadah perjuangan ekonomi negara. Lantaran dengan kondusi ekonomi Negara yang kukuh dan teguh,
menjelma pujian dari Negara barat mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai ekonomi gergasi dunia.
Sidang hadirin yang budiman,
Indikator saya yang kedua ialah di bawah kata kunci politik di Malaysia lambang keamanan dunia.
Hari-hari, kita sering mendengar pergolakkan yang wujud di seluruh dunia. Malah, kekacauan yang
melanda diterjemahkan melalui rusuhan berdarah dan ledakan senjata. Lihat sahaja kepimpinan Husni
Mubarak di Mesir yang telah pun tumbang, getaran pergolakan politik acuan Muammar Gadafi di Libya
semakin hari semakin pudar. Malah, Negara maju seperti Perancis dan Rusia turut menerima
bahangnya. Di Malaysia, dengan konsep demokrasi dan raja berpelembagaan, Negara mampu
mengerakkan politiknya di mata dunia. Ikatan tiga kompenen utama iaitu UMNO, MIC dan MCA di
bawah bumbung Barisan Nasional mampu menjana kemajuan politik negara. Sukar untuk menjentik
kekukuhan Negara yang kini tidak dapat di nafikan lagi.
Sidang hadirin yang santun budi,
Sains dan teknologi Negara adalah kelas pertama, menjadi inti hujah saya yang ketiga. Kini, Negara
kita semakin ampuh di pentas dunia kerana inovasinya dalam penciptaan mahupun penyelidikan.
Kejayaan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini di Geneva dalam konvensyen sains
dan teknologi merupakan wadah pembuka mata masyarakat dunia. Hasilnya, Negara mampu
mengenggam 3 kilauan emas berharga, mengalahkan Negara maju yang lain dalam penghasilan ciptaan
bermutu. Kejayaan demi kejayaan terus terungkai dan menjadi keutuhan apabila, Dr sheikh Muzafar
Sukor Berjaya menjejak kaki ke angkasa. Tetapi, ada yang cuba memberikan tomahan bahawa itu
kejayaan biasa. Namun, sedar atau tidak, kejayaan itu adalah satu pintu permulaan Negara kita dalam
perlumbaan meneroka sains angkasa. Malah, ianya tidak termampu untuk direalisasikan oleh negara
yang seusia dengan Malaysia. Syabas dan tahniah kepada angkasawan pertama Negara. Saya tetap
teguh di belakang Dr.
Sidang hadirin yang penuh intelektual,
Kata kunci saya yang keempat di bawah lembayung kata Sukan dan Negara kita semakin ke hadapan.
Dulu, ketika berbicara tentang sukan olimpik, maka ligat minda memikir Negara Amerika Syarikat dan
China. Pabila melihat catat pungutan emas yang berbutir-butir banyaknya, Kita hanya mampu mengigit
jari tanpa sekerat pingat dikalungkan. Namun, dersawarsa ini, kita semakin mendapat perhatian di mata
dunia. Hasilnya, kita mampu menghasilkan atlit tersohor bertaraf bintang nombor satu dunia. Ligat
dengan pukalan silang membenam lawan di gelanggang kaca, itulah Dato Nicol Ann David pemain
skuays nombor 1 dunia. Teknik bertahan dan menyerang di samping smash lintang yang mengerunkan,
itulah Datuk Lee Chong Wei, badminton di dalam genggaman, memecut laju bagai kipas kudung di arena
baledroom, itulah roketmen Malaysia, Azizul Awang Hasni menjadi sebutan. Dan pelbagai hambatan
kecemerlangan yang muncul digenggam Malaysia. Malah, Sorakan gooolll, terus meniti di bibir peminat
sukan bola sepak negara, pabila pasukan harimau Malaya bangkit menunjukkan taringnya.
Sidang pendengar yang setia
Di penghujung kalam, kita perlu sedar, kematangan Negara semakin menyerlah dek semangat waja yang
ditunjukkan oleh pemimpin negara dan disepadukan dengan keazaman rakyatnya tercinta. Suka saya
mengajak seisi dewan sekalian, untuk sama-sama menabur bakti, menghulurkan secebis kekuatan untuk
merealisasikan hasrat Negara. Beringatlah, jangan pisang berbuah dua kali, apabila kita terlalu mudah
diperbodohkan oleh penjajah yang silih berganti, menjadikan kita sebagai kuli di Negara sendiri.
Tanamkan tekad di dalam hati, bulatkan azam penuh bermisi, jadikan Negara Malaysia, Negara tersohor
di mata dunia.




Teks Pidato : Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia


Bahasa Melayu indah nan santun,
Mekar-megah di pentas dunia,
Jari sepuluh kemas kususun,
Mohon bicara nan menyusun kata.


Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.


Salam aprisiasi saudara pengatur majlis,
Barisan panel penghakiman penuh berkarisma,
Guru-guru seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal minda dan penerus wadah tonggak negara.


Sidang hadirin yang dihormati,


Tajuk pidato saya Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia. Bahasa sangat luas pengertiannya, bahasa
tidak hanya merujuk sebagai satu sistem linguistik semata-mata, tetapi bahasa juga citra budaya
bangsa Malaysia dan fungsi bahasa itu sendiri sebagai alat perhubungan sosial dalam masyarakat.
Menurut Pendeta Bahasa Zaaba , bahasa merupakan citra masyarakat, budaya, akal budi, jiwa atau roh
sesuatu bangsa. Keintelektualan dan tamadun bangsa membuktikan peranan terbesar bahasa sesuatu
bangsa. Melalui bahasa orang dapat mengenal sesuatu bangsa atau petunjuk kepada sesuatu
kebudayaan. Sebagai warga Malaysia, kita seharusnya menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan
sebagai jiwa bangsa kita dan citra jati diri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada
bahasanya . Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu
lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.


Bicara saya yang pertama,
Bahasa Melayu Citra Bangsa 1 Malaysia


Bahasa Melayu merupakan wasilah terpenting dalam menyatukan bangsa Malaysia. Sesungguhnya,
apa yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyediakan peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan
dengan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan .Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-
kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, bahasa Melayu bukan lagi
menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh
warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Justeru niat murni mendaulatkan bahasa Melayu dapat
menyatupadukan kaum-kaum, yang terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, dan lain-lain di bawah satu
bahasa. Cuba kita bayangkan, bagaimana selepas hampir 55 tahun merdeka, jika kaum Melayu hanya
dengan bahasa Melayunya, dan kaum Cina dengan bahasa Mandarin,Tionghua, ataupun Hokkien nya,
dan kaum India pula dengan bahasa Tamil nya sahaja, maka bagaimanakah kewujudan bangsa Malaysia
dapat direalisasikan? Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul
mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka akan terzahirlah citra dan
keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa 1 Malaysia. Sebaliknya, jika kitamendaulatkan
bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri
kita sebagai bangsa 1 Malaysia. Ayuh , marilah k ita berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan - 1
bahasa, 1 bangsa, 1 nusa dalam merealisasikan wawasan 2020.


Hadirin hadirat sekalian,
Bicara saya yang kedua,
Bahasa Melayu Memajukan Bangsa Malaysia,


Bahasa Melayu menjadi pemancu ke arah kemajuan bangsa. Sesungguhnya untuk mewujudkan satu
bangsa itu bukanlah mudah. Suka saya tegaskan di sini, bahawa dalam konteks pembinaan bangsa
Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada
bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing. Walaupun kita mempelajari bahasa asing sebagai
bahasa global, namun kita tidak seharusnyamembiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa
asing. Cuba kita teladani , Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, negara-bangsa di benua
Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina
bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing . Nah , sewajarnya kita
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden. Justeru, akan
tercapailah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika kita sebagai rakyat Malaysia
tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan kita sendiri, siapa lagi?
Inilah prinsip umbi yang seharusnyakita junjung, jika kita benar-benar serius untuk mewujudkan bangsa
Malaysia, bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.


Seterusnya, izinkan saya meneruskan bicara saya yang ketiga
Bahasa Melayu Memartabatkan Bangsa Malaysia


Bahasa Melayu memartabatkan bangsa Maysia . Bahasa adalah penanda identiti atau jati diri sesuatu
bangsa.Tetapi malangnya,dewasa kini kita dapat lihat bangsa kita sendiri telah memusnahkan
kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Kesannya, bagaimana untuk
kita memartabatkan bangsa kita? Bagaimana untuk dunia memandang tinggi bangsa kita? jika kita
sendiri tidak tahu menghargai keunikan dan keindahannya. Pembudayaan bahasa Melayu harus nyata
.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, Lorong Touch n Go. Bahasa apa ini?
Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja
yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah Lorong pacu segera Sudahkah kita betul-
betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan touch n go Jika
tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam
bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch n go. Tepuk dada, tanya selera.
Sudah sampai masanya semua pengiklanan dalam negara menggunakan bahasa Melayu dengan betul
daripada aspek hukum nahu bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang diselangi perkataan dan
nilai bahasa asing secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti
terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi
bahasa Melayu yang berterusan. Bahasa Melayu yang baik akan memartabatkan bangsa Malaysia.


Kesimpulannya, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai satu
bangsa.Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar
daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa
kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai
bangsa yang bermaruah. Bahasa itu citra sesuatu bangsa.


Akhir kata;


Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.

Anda mungkin juga menyukai