Anda di halaman 1dari 2

Semangat Patriotik Membentuk Modal Insan Terbilang

Keranamu kami mendakap tuah


Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara
Sejambak kasih, sekalung budi,saudari pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi
berkarisma, penjaga masa yang setia, yang dimuliakan warga pendidik keringat serta rakan-rakan
seperjuangan yang dikasihi sekalian.
Sambutlah salam sejahtera dan salam satu Malaysia, saya anak Malaysia.
Terbang bangau sepanjang hari,
Ke tasik juga tempat akhirnya
dilantai ini hamba berdiri
merungkai frasa penuh bermakna
Sebelum hujah diperkukuhkan bukti,sebelum bibir terus mengorak bicara, biarlah saya
canangkan dahulu tajuk pidato saya yang berbunyi, “Semangat Patriotik membentuk modal insan
terbilang ”. Maka, izinkan saya merungkai benang-benang kalimat yang mengikat setiap frasa agar
hadirin hadirat yang kabur semakin jelas maksudnya.
Hadirin hadirat sekalian,
Menurut definisi nilai-nilai murni dalam Pendidikan Moral,Frasa “Semangat patriotik atau
patriotisme” bermaksud perasaan sayang dan bangga kepada Negara serta meletakkan kepentingan
Negara melebihi kepentingan diri, membentuk pula bolehlah diertikan membuat sesuatu menjadi
rupa yang tertentu, manakala frasa seterusnya iaitu modal insan merupakan frasa yang dipopularkan
oleh Pak Lah dalam ucaptama beliau ketika membentangkan Rancangan ke9 bermaksud tenaga
kerja atau aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha kerajaan merealisaikan sebuah
negara bangsa yang maju menjelang wawsan 2020. Terbilang pula membawa konotasi , dapat
dihitung satu,dua , tiga atau terkenal dan terkemuka. Secara tuntasnya, frasa ini bermaksud
perasaan cinta yang mendalam kepada negara mampu menjana tenaga kerja yang terkemuka dan
terkenal di persada dunia.

Warga dewan yang dikasihi sekalian,


Persoalannya , kenapa dan mengapa semangat patriotik dianggap wadah yang mampu membentuk
modal insan terbilang? 4 perspektif hujah akan merungkai persoalan ini.
Hujah saya yang pertama. Melalui Semangat patriotik inilah terpasaknya pelbagai elemen nilai murni
yang utama seperti nilai amanah, bertanggungjawab, taat setia, sanggup berkorban dan yang paling
penting kesyukuran kepada Tuhan kerana semangat patriotik menjadikan seseorang itu tidak
sanggup untuk melihat keutuhan negaranya digugat musuh. Malah mereka lebih sanggup berputih
tulang daripada berputih mata. Masihkah kita ingat pejuang negara yang terbilang iaitu leftenan
Adnan bin Alang Saidi? Dengan semangat patriotik yang mengalir dalam darahnya, beliau
mempertahankan tanah air tercinta. Justeru, dengan adanya semangat patriotik ini tidak mustahil
banyak lagi wira bangsa seperti leftenan Adnan dapat dibentuk menjadi lambang modal insan
terbilang.

Hadirin yang saya muliakan.


Menyusul pula hujah saya yang kedua.
Semangat patriotik juga menjadikan seseorang pekerja itu sanggup(mampu) memerah tenaganya
sama ada dari segi intelektual mahupun fizikal. Dalam hal ini kita tinjau seorang tokoh maal hijrah
1432 , iaitu Yang Mulia Dato’ Dr Zeti Aktar yang memegang tampuk Bank Negara dari zaman
kegawatan ekonomi hingga hari ini. Jerih payahnya dalam menarik ekonomi negara ini dari belenggu
kegawatan sememangnya amat dikagumi, benarlah kata pepatah tangan yang mengayun buaian
juga mampu menggoncangkan dunia. Wanita yang begitu tinggi peribadi ini sanggup
memperhambakan diri untuk menentukan hala tuju perbankan negara demi kesejahteraan rakyat
Malaysia. Bukankah ini telah sekali lagi membuktikan bahawa semangat patriotik mampu
membentuk modal insan terbilang?

Sidang hadirin yang dihormati,


Meniti pula hujah saya yang ketiga.
Ahli sukan kita yang bertaraf dunia seperti Datuk Nicole David dan Datuk Lee Chong Wei masih
berdiri di bawah panji Jalur Gemilang walaupun Negara luar menadah tangan untuk menerima
mereka. Inilah persoalannya, mengapakah mereka tetap tidak tergoda dengan penawaran lumayan
yang diberikan oleh Negara lain?Tepuk dada, Tanya selera , Bukankah sesuatu kejayaan kerjaya
diukur melalui pulangan yang digenggamnya? Salah satu jawapannya ialah semangat patriotik yang
dipupuk pada jati diri telah menyebabkan diri tetap bertaat setia kepada Negara. Justeru, Izharnya di
sini semangat cinta akan Negaralah yang akan membentuk modal insan terbilang !

Warga Dewan yang dihormati sekalian,


Sampai saya pada hujah yang terakhir. iaitu semangat patriotiklah membentuk modal insan yang
tidak mudah layu dipanggang suria, tidak mudah karam dipukul badai. Hal ini amat jelas umpama
sudah terang lagikan bersuluh jika di lihat pada jiwa warga pendidik yang berada didepan
mata.Walau di campak ke ceruk rantau, mereka tetap menabur jasa. Atas semangat patriotik
merekalah, dalam rancangan Malaysia ke 10, Perdana Menteri kita, Yang Amat Berhormat Datuk Seri
Najib Tun Razak mengiktiraf pendidik sebagai jurutera modal insan yang mampu membentuk modal
insan yang terbilang dan berfikiran kelas pertama. Walaupun kerja yang ditanggung tidak terungkap
dimulut, tidak terangkat dipundak ,namun keikhlasan mereka dalam usaha medidik anak
Malaysia ,mampu memperkasakan pendidikan dan secara tidak langsung membentuk modal insan
terbilang. Dibahu merekalah letaknya pemacu dan penggerak negara dalam memenuhi lanskap
perubahan politik, sosial dan ekonomi .

Biar gelora ganas membadai, biar mentari hangus membakar,namun modal insan yang
tertancap semangat patriotik pasti dapat membentuk modal insan yang terbilang. Lebih –lebih lagi,
dengan sokongan Slogan SATU MALAYSIA yang diuar-uarkan, bukankan slogan ini bertujuan untuk
menyedarkan kita bahawa hanya bersatu padu, Negara maju, hanya adanya perasaan sayang kepada
Negara, maka Negara semakin berjaya ! Persis kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. remaja hari ini merupakan bakal pemimpin masa depan. Maka dayung sudah ditangan,
perahu sudah diair, marilah kita menanam semangat patriotik dijiwa sendiri agar menjana modal
insan terbilang.

Saya akhiri syarahan saya ini dengan pantun yang berbunyi

Negeri Kedah Permai dan Indah


Pinggiran paya kundur berduri
berhujah sudah, bersyarah sudah
izinkan saya mengundur diri

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai