Anda di halaman 1dari 5

PIDATO : BELIA PELAPIS PEMIMPIN NEGARA

“Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi
mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati
diri unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan
terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak
berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara
yang mana tidak kita inginkan akan berlaku”
(penyair arab)

     Cuba kita fikir sejenak, Adik Nik Nur Mardihah melakar sejarah apabila mancapai 20A
dalam keputusan SPM. YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, menyerlahkan
karisma kepemimpinan semasa usia belia sehingga menjadi menteri kabinet termuda dalam
menerajui negara dan pada hari ini beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang
dekat di hati rakyat khususnya golongan belia. Seterusnya, keunikan zaman remaja
Rasulullah menjadikan baginda layak digelar suri teladan sejati. Fikir-fikirkan.      

Bismillahirahmani Rahim…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani…
Assalamualaikum w.b.t. dan salam 1 Belia 1 Malaysia.
Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis, barisan panel hakim yang sentiasa
berasmilasi dengan kebenaran dan keadilan, saudara penjaga masa yang cakna dengan
randiknya serta loceng keramatnya.

Salam hormat buat VVIP , warga pendidik yang bermisi, para belia beliawanis yang
cemerlang dan warga intelektual bakal peneraju negara.

Andai lancar sebuah kapal dek kecekapan kemudi, gagah tangkasnya seekor kuda kerana
cemeti, terjananya negara berjaya lantaran mekanisma apa? Justeru di bawah persoalan ini
marilah kita bersama –sama menghayati informasi bervisi yang akan saya kupas ,tajuk pidato
saya.

“BELIA PELAPIS PEMIMPIN NEGARA”,


Sebelum tirai membuka kata, sebelum wajah berganti rupa, marilah sama-sama melayari
bahtera definisi yang akan saya kupas pada hari ini.
Menurut kamus dewan dan pustaka edisi ke-4.
Belia – golongan muda.
Pelapis – mengambil alih sesuatu tugas
Pemimpin – seseorang yang berpengaruh di dalam sesebuah wilayah.
Negara - pula merujuk kepada sesuatu masyarakat yang menduduki suatu kawasan yang di
perintah oleh sesebuah kerajaan.

Menurut KBS, belia - golongan muda yang berumur dalam lingkungan 15 - 30tahun.
Maka setelah dirangkumkan frasa-frasa di atas, dapatlah di intepretasikan
disini bahawa belia pelapis pemimpin negara adalah  sesebuah kawasan
yang mempunyai glongan muda yang hebat, kuat dan berkuasa serta menyumbang kepada
kemajuan dari pelbagai aspek termasuklah pendidikan, politik dan sosial.Oleh itu,
secara keseluruhannya, belia masa kini bakal menerajui Negara pada masa akan datang bagi
mencapai misi dan visi Negara ke arah wawasan 2020.

Sidang belia yang berinspirasi,


Tak tumbuh tak melata, tak sungguh maka saya tak kata, Justeru, indikator pertama di bawah
lambayung kata,
“Belia Cemerlang, Negara Gemilang”. 
Adik Norul Aina buktinya, yang hanya berusia 15 tahun telah dilantik sebagai peyelidik
Mesir Kuno oleh Persatuan Pelancongan Angkasa Antarabangsa berkaitan penciptaan bekas
makanan untuk para angkasawan dunia. Beliau menjadi contoh remaja  cemerlang yang
menjulang nama negara.  Belia berwawasan juga menjadi generasi pelapis menerajui
kepemimpinan negara pada masa depan. Slogan “pemuda tiang negara, pemudi harapan
bangsa” menunjukkan di tangan belia terletak nasib rakyat dan di dalam keperwiraan mereka
terletak survival bangsa. Sesuai dengan apa yang diungkapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab
“Barangsiapa yang menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka gengamlah para pemudanya. ”
Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstantinopel pada umur 20-an jelas
membuktikan remaja juga  mampu memimpin Negara, walaupun baru berusia setahun
jagung, darah setampuk pinang. Tidak dapat disangkal lagi, kepemimpinan negara akan terus
terpelihara di tangan belia yang utuh demi menjana pembangunan negara untuk mencapai
misi dan visi wawasan 2020.
Tanya sama pokok apa sebab goyang, nanti jawab pokok angin yang goncang,Tanya sama
saya apa sebab berjaya, nanti jawab saya, ya!!
Belia Pelapis Pemimpin Negara
Sidang Belia yang penuh santun,
   Indikator kedua di bawah kata kunci  “Belia Dinamik, Bersemangat Patriotik”. Belia
yang dinamik dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi perlulah mempunyai
kefahaman yang mendalam tentang maruah, identiti bangsa dan kedaulatan negara.
Rasulullah s.a.w bersabda “cintakan negara sebahagian daripada iman”.  Menurut sejarah,
kebangkitan sesebuah bangsa bermula dengan “hamasah as-syabab” iaitu semangat
kepemudaan. Kebangkitan ini wujud kerana pemuda merupakan agen perubah. Sebagai
contoh, di Indonesia sumpah pemuda merupakan manifestasi generasi muda yang terdiri
daripada pelbagai suku kaum dan agama bagi menjulang prestasi bangsa dalam menentang
kolonialisme Belanda. Hal ini menjadi landasan utama dalam pembentukan Republik
Indonesia. Sehubungan itu, sikap “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-
masing” dapat kikis dengan semangat kekitaan. Sebagai iktibar daripada peristiwa tersebut,
kita memerlukan belia yang bersifat patriotisme agar negara akan terus terjamin dari
diganggu dan digugat oleh anasir luar.

Sidang dewan yang bervisi,

Indikator saya yang ketiga iaitu . “Belia Bestari , Peneraju Negara”. Professor Emiratus
Datuk  Dr. Khoo Kay Kim pernah berkata, “pelajar perlu bijak mengemukakan idea-idea
baru, bukannya mengulangi idea yang sedia ada”. Aspirasi ini sesuai dengan hasrat PIPP bagi
melahirkan modal insan berilmu serta menguasai bidang sains dan teknologi agar mampu
berdaya saing di persada dunia. Najmil Faiz buktinya, berjaya mencipta teknologi nano yang
membolehkan sektor perkilangan dan pembuatan di seluruh dunia menjimatkan kos berbilion
ringgit. Kejayaan beliau merupakan titik permulaan untuk meletakkan Malaysia “berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah” dengan Negara-negara maju yang lain menjelang tahun
2020.
Sidang Belia yang Berintelektual,

      Indikator saya keempat, bertunjangkan kepada “Belia Berakhlak Mulia, Pemimpin
Berwibawa”.Cabaran Wawasan 2020 ingin mewujudkan  masyarakat yang bermoral dan
beretika. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh ibarat
“kapal tanpa nakhoda”. Oleh itu, belia perlu memiliki nilai moral yang tinggi, berdisiplin dan
berakhlak mulia bagi melahirkan pemimpin yang membawa kecemerlangan bangsa. Kita
tidak mahu mewujudkan negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi rakyatnya muflis nilai
murni, kerana manusia bukanlah haiwan robotik, sebaliknya perlu dipupuk dengan nilai
keagamaan dan kerohanian serta didukung oleh nilai etika yang tinggi melalui peranan
pemimpin yang berwibawa. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia ke-4  melancarkan kempen
“Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” bagi melahirkan generasi berkeperibadian mulia tanpa
dilemahkan dengan cara hidup moden, sesuai dengan resmi padi, lagi berisi lagi tunduk,
kerana sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Analogiya cukup mudah, belia ibarat sebatang pokok dan dahan-dahan berfungsi sebagai
tanggungjawab yang terletak di bahu mereka.Maka, pemuda harapan bangsa bukan lagi
slogan kosong.Tetapi Ia memberi makna sebuah pengiktirafan dan harapan semua terhadap
golongan belia.Dalam misi pembangunan Malaysia, golongan belia perlu menguatkan
semangat Patrotisme,menjadi lebih profesional dalam pelbagai bidang, menjadi
maju,Dan menolak segala anasir negatif yang boleh menjatuhkan golongan belia Agar
mampu menjadi modal insan yang mapan.

Sidang hadirin yang bervisi,

      Demi merealisasikan visi Wawasan 2020, marilah menghayati pesanan Tun Dr. Mahathir
Mohamad mantan perdana menteri malaysia, “masa depan sesebuah negara ditunjangi
melalui sifat-sifat yang ditunjukkan oleh remaja yang tinggal di sesebuah negara”.
Konklusinya, berdasarkan indikator-indikator yang telah saya utarakan sebentar tadi
sesungguhnya mampu memperluas ufuk dan  horizon pemikiran belia kita, jelaslah
bahawa, belia berintelektual, cemerlang dan dinamik serta berakhlak merupakan hasrat
negara dan menjadi satu elemen penting untuk sesebuah negara dalam meraih kemajuan
hingga ke peringkat global. Jadilah “Remaja Pelapis Pemimpin Negara”.
Kita adalah 1 Malaysia, ayuh beliaku, gegar dunia, mengharumkan nama Malaysia. 1
Malaysia.

BELIA PELAPIS PEMIMPIN NEGARA

Di sediakan oleh :
MOHD ROSLAN BIN ABDUL RAHMAN.
PEMIDATO KELANTAN

Anda mungkin juga menyukai