Anda di halaman 1dari 4

TEKS PIDATO

TEMA : MALAYSIA PRIHATIN


TAJUK : JIKA PENGAYUH SAYANG DIBASAHKAN, SAMPAN TIDAK AKAN SAMPAI
KE SEBERANG

Malaysia Prihatin? Tin kosong bunyinya bergema buat jiwa yang tak meyelam makna. Tin hiasan
sekadar seni lapuk buat mereka yang tak cakna. Tin karat buat mereka yang membakar api
perkauman dalam tenat. Izharlah, Malaysia Prihatin ini sukar dijiwai buat mereka yang tidak
berkeringat.
Namun, kisah Malaysia Prihatin yang saya bawakan ini adalah kisah sebaliknya, kerana sedarlah
seisi dunia, amatlah ramai yang berkeringat, mengangkat Malaysia Prihatin dengan keramat,
menjiwai dengan hemat, meniti detik menjadi matlamat.

Assalamualaikum dan Salam Malaysia Prihatin buat yang mengadili, yang mendengar, yang
melihat, yang meraikan, yang berdarah merdeka, berjiwa Malaysia, bernostalgia dengan tema
Malaysia Prihatin.
Penonton yang saya muliakan,
Sebelum ledakan hujah menghujani pendengaran, sebelum kapal memulakan pelayaran, sebelum
saya membuat renangan, elok kiranya jika saya membuat pendefinisian maudhuk pidato saya yang
berbunyi ‘jika pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak sampai ke seberang’ agar jelas dimata,
terang dihati.
Sidang penonton yang penuh santun,
Kini kapal kita akan terus menuju ke tengah lautan. Maka izinkan saya mengunci setiap pergerakan
anda. Pinjamkan saya mata dan telinga, dan biarkan hujah saya menjadi sebuah irama yang
terindah. Kata emas pujangga yang menjadi maudhuk bicara saya pada hari ini iaitu ‘jika pengayuh
sayang dibasahkan, sampan tidak sampai ke seberang’ membawa makna tidak akan tercapai
sesuatu maksud jika tidak mahu berusaha dan bersusah payah.
Perkara ini membawa makna kepada kerjasama dan kegigihan daripada setiap pihak dalam negara
ketika berhadapan isu-isu getir. Di saat Malaysia Prihatin diangkat sebagai tema Hari Merdeka
2020, kita disentak dengan suatu makna, melupus hilang sifat kendiri dan penting diri. Kita
menghulur bantuan, berjabat tangan agar yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.
Namun penonton, dalam konteks apa?
Maka datanglah predikat bercerita soal dalam ancaman pandemik dunia. Di saat dunia diancam
virus maut COVID-19, Malaysia turut bertarung dengan pandemik yang sama. Kementerian
Kesihatan Malaysia Organisasi Kesihatan Dunia menakrifkan COVID-19 sebagai virus Corona
2019 bermula di Wuhan, China. Virus yang belum memiliki penawar ini berupaya menjangkiti
individu melalui kontak sosial dan cecair yang akhirnya menyerang sistem pernafasan.

Maka, kisah ini adalah kisah bangga perjuangan bersama kita selaku entiti penting dalam Malaysia
yang kekal kuat berdepan pedih dan perit pandemik COVID-19, moga kita terus kuat! Oleh itu,
ayuhlah pegang erat tangan saya, kita telusuri 2 makna tentang kisah ini, pertama, sinergi rawatan
prihatin, kedua, sinergi ekonomi prihatin.

Sidang umat bermatlmat,


Pertama, sinergi rawatan prihatin. Sejak COVID-19 menghambat negara, kita melihat barisan
hadapan bermandi peluh bersengkang mata demi erti sihat buat rakyat Malaysia. Peristiwa yang
memberi seribu makna, tatkala seramai 767 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada
di semenanjung kini di hantar bertugas ke Negeri Sabah bagi membantu mengawal penularan yang
kian menggusarkan. Tanpa mengira beza negeri, jarak, bangsa dan agama, mereka berani
berperang bersama, di tanah yang jauh daripada keluarga. Keprihatinan yang menyentuh jiwa ini
disambut baik oleh rakyat Malaysia, sekalipun rakyat tidak memiliki keupayaaan pakar, rakyat
inilah yang gigih mengumpul dana menyumbang teknologi agar barisan hadapan ini lengkap
bersenjata. Kumpulan media prima berhad antaranya telah menyumbang 2 buah ventilator ke
hospital kerajaan. Manakala daripada pemerintah, Sultan Johor mengurniakan 42 ventilator pula.
Sinergi rawatan terus melakar sejarah apabila institusi kesihatan swasta juga turut berani
menawarkan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 dengan harga mesra rakyat dalam misi
meringankan kesesakan dan bebanan yang dipukul oleh institusi kesihatan awam.
Hadirin,
Izharlah hadirin, tatkala Amerika Syarikat mendesak rakyatnya untuk melakukan ujian saringan
COVID-19 pada kadar RM1200 sekali sesi, di Malaysia ada di antara kita yang menjalaninya
secara percuma ataupun tidak melebihi RM400 bayarannya. Di saat kita gusar dengan kemampuan
negara berdepan pandemik ini daripada penawaran rawatan, Malaysia sekali lagi disapa khabar
bahagia dengan pemusatan Hospital Sungai Buloh sebagai institusi kesihatan utama yang
memastikan rawatan diberikan sebaiknya, hatta setiap negeri juga semakin mampan dalam
berdepan pandemik ini termasuklah kelantan yang kita cintai, kelantan yang bertuah ini, kita punya
pakar dan peralatan yang tersedia buat rakyat kelantan yang sentosa. Kelantan juga sebahagian
organ besar yang menterjemah Malaysia Prihatin kini.

Hadirin,
Kedua, sinergi ekonomi prihatin. Jikalau kita demam, pastinya kesan sampingannya sakit kepala
dan selesema. Tetapi dalam kisah hambatan COVID-19 ini, kesannya berbeza cuma. Di saat salur
pernafasan di serang virus buat sejumlah yang diuji, anggota masyarakat yang lainnya tersakiti
dengan impak ekonomi. COVID-19 mendesak kerajaan untuk terpaksa menutup sempadan,
menghad pergerakan, melaksanakan SOP dalam mengawal penularan. Tahukah anda? Sebanyak
19231 syarikat telah mengambil langkah menutup operasi kerana tidak tertanggung liabiliti dan
hutang di bahu sendiri. Yang bekerja, di buang, yang di lapangan terbang, terpaksa pulang.
Landskap ekonomi kian berubah termasuklah di Pasar Siti Wan Khadijah. Namun, bersyukurlah
kita masih di bumi Malaysia, di mana pemerintahnya masih ada usaha menghulur bantuan dan
prihatin dengan kemandirian ekonomi jelata.
Hadirin,
Tatkala ini, kita bersua dengan kepelbagaian inisiatif bantuan untuk menjadi talian hayat buat
masyarakat yang terjejas. Namakan sahaja, Bantuan Prihatin Nasional yang diumumkan ketika
Perintah Kawalan Pergerakan pertama kali diperkenalkan dengan memberi peluang kepada isi
rumah kategori B40 dan M40 menerima bantuan wang untuk kelangsungan hidup. Seterusnya,
inisiatif dalam meringankan bebanan hutang dan komitmen kewangan jangka pendek melalui
moratorium yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan dalam menangguhkan pembayaran
bulanan rumah dan kereta untuk tempoh yang relevan. Agensi Pengurusam Bencana Negara
Jabatan Perdana Menteri pula sedang giat menawarkan bantuan khas buat Warganegara Malaysia
yang bekerja di Malaysia tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji
sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 Di
Bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Hadirin,
Prihatinnya Malaysia, tidaklah sekadar pada pemerintahnya, prihatinnya kita disambut juga
dengan sinergi rakyat jelata yang sentosa. Betapa banyak syarikat korporat dan individu secara
peribadi menghulur bantuan, baik yang semegah Fashion Valet hatta seikhlas Ebit Lew. Tabung
Musa’adah COVID-19 Jakim, Tabung COVID-19 MedTweetMY, Mercy Malaysia pada 18 Mac
melancarkan Tabung Pandemik COVID-19, Tabung Bantuan Frontliners COVID-19 Sinar Harian
dan lebih 141 Tabung yang lain. Semuanya buat manfaat rakyat dengan iltizam kita jaga kita,
prihatin kita bersama.

Tuntasnya jiwa yang merdeka,


Kita mungkin sahaja belum menang, namun keprihatinan semua yang bangga menjadi sebahagian
Malaysia kini telah berjaya memenangi hati saya dan jiwa anda yang prihatin jua. Kemenangan
kecil ini wajar dirai, kemenangan kecil ini wajar dicontohi, kemenangan inilah bukti merdeka hari
ini. Kita kuat kerana kita Malaysia, kita gagah kerana kita prihatin bersama. Ingatlah, tidak akan
tercapai makna Malaysia Prihatin ini tanpa sinergi kaum madani. Laung bersama saya, Malaysia!
Prihatin! Malaysia! Prihatin! Dengarkan semua! Kitalah pemacu sektor kesihatan dan ekonomi
prihatin!
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai