Anda di halaman 1dari 2

Bismillahhirrahmanirrahim, Assalamualaikum WBT dan Salam perpaduan.

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan para hakim yang sentiasa berada di paksi kebenaran, penjaga
masa yang begitu peka dengan edaran jam, para guru dan seterusnya hadirin hadirat yang dikasihi
sekalian.

Hadirnya saya di sini bukanlah untuk menyampaikan amanat para cendekiawan, bukan juga untuk
melemparkan kata-kata para ahli falsafah akan tetapi, hadirnya saya di sini untuk menyampaikan bicara
yang berbunyi Barisan Hadapan : Wira Negara

Hadirin sekalian marilah sama-sama kita hayati pidato saya melalui empat fokus bicara yang berbeza.

Hadirin yang dihormati,


Pertama, pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) yang sedang melanda seluruh dunia
termasuklah Malaysia berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 dan mula dikesan
pada pertengahan bulan Disember di Wuhan, China. Virus ini mudah berjangkit dan telah meragut banyak
nyawa. Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat di bawah akta pencegahan dan pengawalan
penyakit berjangkit 1988 dan akta polis 1967 yang dikeluarkan untuk mengekang penularan covid 19
dengan mengehadkan sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai. Sedarkah kita bahawa di sebalik
PKP ini ada pihak yang perlu melaksanakan tugas dengan amanah dan dedikasi agar PKP berjalan
dengan lancar?

Warga dewan yang saya kasihi,


Kedua, tenaga bersatu, penghargaan terbina. Wira negara yang rela berkorban masa dan tenaga
memerangi covid-19, iaitu barisan hadapan dalam mengembleng tenaga untuk pelaksanaan PKP. Mereka
telah berjuang di perbatasan meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi tekad untuk
menyelamatkan rakyat dan negara daripada virus yang telah meragut banyak nyawa. Pengorbanan ini
daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sektor Kesihatan Swasta sewajarnya diberi penghargaan
oleh setiap lubuk hati pemimpin dan rakyat Malaysia. Segala pengawasan daripada doktor dan jururawat
bagi menjaga kesihatan pesakit telah dijaga dengan rapi merangkumi makan minum dan pakaian pesakit.
Bimbingan, nasihat dan motivasi juga diberikan kepada pesakit covid-19 bagi menaikkan semangat para
pesakit.

Hadirin yang dikasihi,


Ketiga, petugas kesihatan perlu mempunyai ketahanan mental dengan berpanas seharian menggunakan
sut peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sungguh mencabar untuk melaksanakan tugas mereka.
Sebenarnya PPE menyukarkan pergerakan berbanding pakaian biasa apabila merawat pesakit. Mereka
juga perlu sentiasa bersedia kerana setiap saat tugasan mereka berhadapan risiko jangkitan. Justeru itu,
masyarakat perlu sedar untuk menghargai pengorbanan mereka ibarat permata di dasar laut, kita perlu
menyemai dari kecil kepada anak-anak dalam menghargai jasa wira negara ini bak kata pepatah Melayu,
melentur buluh biarlah dari rebungnya

Warga dewan yang budiman,


Keempat, tanpa petugas barisan hadapan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia yang telah banyak
berkorban seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan
Pengangkutan Jalan dan agensi-agensi kerajaan berkaitan, sudah pasti sukar untuk membendung
penularan wabak covid 19. Mereka mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi dan
komited dalam melaksanakan tugas bagi memastikan semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
serta keselamatan dan kesihatan setiap penduduk terjaga. Pengorbanan besar yang mereka lakukan ini
sewajarnya dihargai oleh rakyat Malaysia. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh untuk memastikan kita
menang menangani penularan COVID-19.

Anak-anak bangsaku,
Saya menyimpulkan bahawa, pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan adalah tidak ternilai. Barisan
hadapan adalah wira negara dan saya sangat berbangga dengan kalian semua. Ayuhlah anak-anak
bangsaku, kita perlu menyanjung tinggi peranan setiap barisan hadapan kerana khidmat bakti mereka
negara kini hampir berjaya memerangi wabak covid-19. Sekian, Salam Malaysia Prihatin, Wabillahitaufiq
walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai