Anda di halaman 1dari 4

BENCANA COVID-19 MEMUPUK SEMANGAT NILAI MURNI DALAM DIRI

MASYARAKAT DI MALAYSIA
Oleh: Wan Azieman bin Wan Aziz
Bencana wabak COVID-19 ini juga dapat dikaitkan dengan peribahasa malang
tidak berbau. Secara umumnya, bukan hanya Malaysia yang dilanda dengan wabak
COVID-19 ini malah penularan ini melibatkan satu dunia. Seperti semua sedia maklum,
Malaysia dikejutkan dengan bencana wabak COVID-19 yang mula melanda di Negeri
Sabah (2 kes) dan Negeri Selangor (1 kes) pada 21 Januari 2020 melalui Pusat
Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC). Kian hari, jumlah kes
baharu kian meruncing naik sehingga pada 16 Mac 2022 menjadikan jumlah kes
kumulatif meningkat kepada 553 kes. Rentetan pada tersebut, YAB Perdana Menteri
Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin telah membuat pengumuman berkaitan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 sehingga 9 Mac
2020. Melalui pengumuman tersebut, semua syarikat atau organisasi adalah diwajibkan
untuk beroperasi secara dalam talian atau bekerja dari rumah (BDR) kecuali kepada
syarikat yang diklasifikasikan sebagai essential services yang dibenarkan beroperasi
secara fizikal dengan waktu masa disingkatkan dan perlunya kepada penjarakan fizikal.
Pada pandangan saya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menjadi bukti
bahawa rakyat Malaysia mampu berdisiplin dan bertanggungjawab apabila menghadapi
situasi seperti pandemik atau bencana yang mengancam kesihatan dan juga nyawa
masing-masing. Sebelum tibanya wabak COVID-19 ini, masyarakat hanya memandang
remeh dan tidak mengambil peduli akan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran
mereka Dengan adanya wabak COVID-19 ini, masyarakat Malaysia dilihat lebih peka
terhadap penjagaan kebersihan diri dan persekitaran mereka kerana mereka tahu cara
penularan novel coronavirus COVID-19 iaitu daripada individu kepada individu lain
melalui titisan daripada hidung atau mulut yang tersebar apabila mereka bersama
dengan individu yang COVID-19 yang batuk atau bersin. Titisan ini merentasi objek dan
permukaan di sekelilingnya. Orang lain kemudian mendapat jangkitan COVID-19
dengan menyentuh objek atau permukaan ini, kemudian menyentuh mata, hidung atau
mulutnya.
Selain itu, kita dapat melihat rakyat Malaysia mempunyai sikap berdisiplin dan
bertanggungjawab di mana mereka juga peka bahawa seseorang itu juga boleh
dijangkiti COVID-19 jika mereka berada dalam jarak yang dekat dengan pesakit
COVID-19 yang batuk atau bersin atau melepaskan titisan. Oleh itu, pentingnya mereka
untuk mengekalkan jarak lebih dari 1 meter (3 kaki) daripada orang yang sakit.
Misalnya, budaya mencuci tangan menggunakan sabun atau pembersih alkohol yang
disyorkan berjaya diamalkan sekali gus mencegah penularan wabak tersebut yang
sukar dilihat dengan mata kasar manusia. Tambahan pula, perkongsian informasi
daripada pihak berkuasa dan golongan profesional menguatkan lagi kesedaran
masyarakat supaya berdisiplin menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling mereka.
Apabila kebersihan menjadi tunjang utama masyarakat, pastinya pelbagai penyakit
berjangkit yang berpunca daripada kebersihan dapat dibanteras serta dapat melahirkan
masyarakat yang sihat dan persekitaran yang kondusif. Tuntasnya, menjaga kebersihan
dalam kalangan masyarakat merupakan disiplin baharu yang semakin dipandang serius
kerana kita tidak mahu bersikap seperti sudah terhantuk baru tengadah.
Sebagai salah satu langkah membentuk masyarakat berminda kelas pertama,
kita dapat melihat bahawa pematuhan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa kepada
masyarakat wajar dipuji. Walaupun terdapat segelintir yang ingkar dengan arahan yang
dikeluarkan namun, lebih ramai yang patuh dan akur dengan perintah tersebut. Kadar
pematuhan arahan agar masyarakat duduk di rumah dan mematuhi prosedur yang
ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta merekodkan
kehadiran di sesuatu tempat adalah sangat baik. Jika dibandingkan dengan masyarakat
di negara lain seperti Indonesia serta Amerika Syarikat yang bersikap seperti mencurah
air ke daun keladi, masyarakat di negara kita sedar akan kepentingan mendengar
arahan daripada pihak berkuasa. Hasilnya, penularan wabak dapat dibendung awal dan
kes positif COVID-19 khususnya kes tempatan dapat dikurangkan. Peribahasa Melayu
berkata, hanya jauhari mengenal manikam yang bermaksud kita perlu percaya dan
berharap kepada pakar dan golongan profesional dalam membendung penularan
wabak COVID-19 ini. Jelaslah, mematuhi arahan bukanlah perkara baharu dalam
masyarakat kita tetapi apabila menghadapi bencana yang melibatkan seluruh negara, ia
adalah hal yang mustahak supaya penyelarasan prosedur pencegahan dapat dilakukan
dengan baik. Hal ini juga dapat dikaitkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai sikap
kepimpinan dan kepatuhan di mana mereka cuba untuk mengadaptasikan segala
arahan dan peraturan baharu yang dikeluarkan oleh pihak berwajib mengenai cara
untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19 ini.
Seterusnya, wabak ini juga mengajar rakyat Malaysia untuk saling menolong
dalam memenuhi keperluan material dan kewangan. Hal ini termasuk dalam konteks
bantuan kewangan dan material dalam memenuhi keperluan harian seperti makan,
minum, pakaian dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan. Allah SWT
berfirman yang bermaksud, “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah
kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-
masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan
memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya” (Surah ar-
Rum: 38).
Kita dapat lihat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan
menyediakan makanan halal, sebahagian usaha diambil untuk membantu masyarakat
yang dalam kesusahan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Malah, rakyat
asing membantu warga tempatan, manakala anak tempatan sama-sama
menyelamatkan pekerja asing. Penyediaan makanan halal dengan sendiri membuktikan
kita sudah faham satu sama lain. Kita faham keperluan kaum lain. Kita menghormati
amalan mereka yang berbeza agama dan kepercayaan. Aspek ini tidak datang dalam
semalaman, sebaliknya ini hasil pendidikan, pemahaman dan penghayatan mengenai
budaya serta amalan sesebuah kaum, etnik dan penganut. Perkara ini sebahagian
daripada usaha menyemai dan memupuk perpaduan dalam jiwa rakyat Malaysia.
Kecaknaan menjaga keselamatan diri di semua tempat khususnya kawasan-
kawasan awam yang sesak seperti pasaraya dan restoran menjadi bukti kepada tahap
disiplin rakyat Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun
mengeluarkan satu garis panduan kepada setiap pihak untuk ikuti norma baharu seperti
yang diuar-uarkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contoh, pembelajaran secara dalam
talian dan budaya bekerja dari rumah (BDR) yang semakin digalakkan oleh organisasi
dan syarikat daripada pelbagai industri. Langkah ini secara tidak langsung
membataskan pergaulan masyarakat serta memutuskan rangkaian COVID-19 yang
mudah merebak di kawasan tertutup serta melibatkan orang ramai. Tambahan pula,
sikap berani masyarakat melaporkan kepada pihak berkuasa terhadap mereka yang
melanggar arahan KKM untuk berkuarantin tetapi keluar dan berada di kawasan awam
adalah baik. Hal ini kerana, terdapat mereka yang kurang cakna dan memakai gelang
pemerhatian KKM didapati positif COVID-19 dan menyebabkan kluster atau rantaian
penularan yang baru. Kesannya, ramai yang terjejas dan menerima mudarat kerana
tidak dapat bekerja dan mencari rezeki untuk diri sendiri dan ahli keluarga dalam
tempoh ekonomi yang serba mencabar ini.
Antara bukti lain yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menjadi lebih
berdisiplin setelah menghadapi PKP adalah ramai di antara mereka mendapatkan
maklumat daripada sumber yang sahih. Kepantasan perkongsian maklumat hari ini
telah memberikan kesan yang baik dan buruk. Kesan buruknya adalah penyebaran
berita palsu yang boleh menyebabkan fitnah serta timbul panik dalam kalangan
masyarakat. Tetapi kesan yang baik adalah masyarakat bersikap cakna dan lebih peka
untuk menghadapi sesuatu perkara atau bencana seperti pandemik ini. Apa yang dapat
dilihat ialah masyarakat akan menunggu pengumuman dan berita yang dikeluarkan
oleh jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai
COVID-19 dan juga bantuan kerajaan yang ditawarkan. Hal ini menunjukkan bahawa
rakyat sudah bijak untuk membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Persis
slogan yang dimasyhurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) baru-baru ini iaitu “jika tidak pasti, jangan kongsi”.
Saya juga berpandangan bahawa COVID-19 ini menyerlahkan budi baik orang
Malaysia. Sebenarnya 'Malaysia Prihatin' melambangkan nilai-nilai murni yang ditunjuk
oleh rakyat di negara ini. Sebagai contoh keprihatinan, pereka fesyen yang
bekerjasama dengan sekumpulan 20 anak muda menjahit set peralatan perlindungan
diri (PPE) untuk diserahkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada peringkat awal
negara berdepan COVID-19 (BERNAMA, 2020). Hal ini dapat kita lihat rakyat Malaysia
sebenarnya prihatin antara satu sama lain.
Secara tuntasnya, PKP yang diarahkan berjaya mengubah dan membentuk
disiplin rakyat Malaysia untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan peka dengan
keadaan semasa berdasarkan arahan–arahan daripada pihak berkuasa. Dalam usaha
memerangi musuh yang tidak dilihat secara zahir dan mampu mengorbankan nyawa
kita, masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran
membendung penularan wabak COVID-19 harus dihargai dengan terus mematuhi
arahan dan panduan KKM sehingga penawar atau vaksin berjaya dihasilkan untuk
semua. Sebagai rakyat yang sayang dan cinta akan negara kita hendaklah bersikap
bagai aur dengan tebing membantu antara satu sama lain jika melihat masyarakat yang
dalam kesusahan atau memerlukan bantuan. Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke
hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.
Semoga kesabaran kita menempuh norma baharu ini memberikan hasil yang
memanfaatkan masa hadapan terhadap diri kita, masyarakat dan juga negara. Dalam
situasi getir negara yang masih berhadapan impak penularan pandemik COVID-19,
pendekatan Keluarga Malaysia bertepatan dalam konteks kesejahteraan negara dan
rakyat apabila menawarkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti
kesukarelawanan, kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan.

Anda mungkin juga menyukai