Anda di halaman 1dari 5

Dalam zaman pertembungan tamadun dan budaya seperti mana yang wujud pada zaman

globalisasi masa kini, Islam jika hendak dijadikan panduan pilihan yang bermakna, harus dari
segi perbincangan di peringkat ilmu, mampu diutarakan oleh ahli ilmuwan Muslim sebagai
yang paling sempurna, canggih dan sesuai dalam menyusun kesemua aspek kehidupan
bermasyarakat dan bernegara di zaman sekarang dan seterusnya di masa hadapan. Pendekatan
dan ramuan Islam dalam kesemua aspek penyusunan dan pengendalian bernegara perlu
diketengahkan semoga ia mampu menjadi panduan kepada kepimpinan negara
melaksanakannya.

Tidak memadai, ahli ilmuwan Muslim hanya mampu mencari kelemahan kepada pendekatan
yang sedia ada. Mereka patut mengemukakan pilihan kepada pendekatan Islam dengan cara
yang lebih terperinci, mendalam dan yang boleh dilaksanakan. Dengan cara yang sedemikian
Islam akan mampu berperanan mempengaruhi corak hidup individu dan masyarakat.

Di samping kebangkitan kesedaran kepada Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka akan
menjadi kawasan yang paling maju di dunia pada Abad 21 ini. Jika arah haluan pertumbuhan
ekonomi di kalangan negara rantau ini dapat dikekal dan diteruskan, pada abad ini, kawasan
Asia Pasifik akan dapat menghasilkan lebih dari satu perlima Keluaran Negara Kasar (KNK)
dunia, sama besar dengan saiz KNK di Eropah dan KNK di Amerika Utara.

Suasana di mana kemajuan ekonomi menjadi kenyataan, negara-negara umat Islam perlu
pandai merebut peluang dan tidak tercicir dalam arus kebangkitan tersebut. Yang akan
menjadi lebih menarik jika panduan Islam diguna pakai dalam menerajui negara dalam
suasana tersebut.

Dalam menangani perkembangan tersebut, negara yang didiami oleh majoriti umat Islam di
kawasan Asia Pasifik, kepimpinan negara perlu menggubal satu corak pembangunan negara
yang syumul dan berkesan. Pendekatan tersebut mesti diasaskan kepada nilai kemanusiaan
dimana pendekatan Islam sudah pasti dapat menjadi panduan.

Dalam suasana semasa dan masa hadapan, kepemimpinan negara oleh itu perlu memiliki
beberapa ciri yang membolehkan mereka membawa negara Malaysia maju kehadapan. Di
antara ciri-ciri tersebut adalah berikut:

Pertama, pemimpin negara perlu mendokong fahaman yang luhur, berakhlak dan jujur untuk
memajukan rakyat dan negara.

Tanpa sifat ini negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela. Sejarah telah
membuktikan dan keadaan semasa jelas menyokong pandangan ini bahawa kemajuan
sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinan tersebut di sesebuah negara.

Sifat-sifat mulia tersebut sangat terserlah dikalangan kepimpinan Khalifah al-Rashidin dan
Khalifah Umat Abd Aziz. Punca keberkesanan dan kejayaan kepimpinan mereka adalah
bermula dengan penghayatan sifat-sifat tersebut.

Kedua, kepimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran yang mantap yang
berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru itu sistem pengendalian negara perlu
bersandarkan kepada asas fahaman yang jitu yang didokong oleh Arahan Illahi.
Dalam zaman semasa kita dapati sistem pengendalian negara yang berasaskan sistem
kefahaman yang tidak mantap dan tidak menepati nilai kemanusiaan menghadapi keruntuhan
dan menimbul berbagai bentuk gejala kepada masyarakat negara terbabit. Sistem
Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai
kemanusiaan. Begitu juga tamadun sekular Barat yang diasaskan kepada ideologi Liberal
Kapitalis. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya turut
bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sejarah telah membuktikan dan begitu juga keadaan yang terdapat sekarang, bahawa
sesebuah negara yang mencapai taraf perekonomian yang maju tidak akan dapat mengekal
kecepatan kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak
disertai dengan kekuatan nilai kemanusiaan. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat
seperti amalan rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya dalam
masyarakat adalah fakta-fakta utama yang melemahkan dan seterusnya meruntuhkan
sesebuah sistem sosial bernegara.

Oleh itu negara mesti berusaha dengan gigih melalui sistem pendidikan negara dan segala
bentuk sebaran media, samada media cetak atau media elektronik semoga kesemuanya
berperanan secara berkesan membina ahli masyarakat yang memiliki pandangan hidup,
penghayatan akhlak dan penguasaan kemahiran hidup yang sempurna.

Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta
berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan
untuk menerajui negeri dan negara. Kejayaan untuk membangunkan martabat masyarakat
bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan. Kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan
Khalifah Al-Rashidin adalah bukti yang nyata. Pada satu kajian yang dibuat oleh Professor
P.Kotter dari Harvard Business School, 80% kejayaan sesebuah organisasi termasuk sesebuah
negara bergantung rapat dengan mutu kepimpinan.

Dalam zaman semasa yang penuh dengan cabaran dan persaingan, seseorang pemimpin perlu
memahami suasana di dalam negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem,
keupayaan rakyat, dan sumber negara. Mereka harus mampu mengembeling kesemua lapisan
rakyat untuk memajukan ekonomi ke peringkat yang tertinggi. Kesemua ahli masyarakat
dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang paling tinggi dalam usaha
pembangunan tersebut.

Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara
berkesan di peringkat antarabangsa.

Dalam zaman globalisasi, samada kita mahu atau tidak mahu, negara hanya boleh dimajukan
di peringkat tinggi jika negara berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa. Oleh itu
setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran
antarabangsa.

Kepemimpinan negara Islam, justeru itu, tidak boleh memisahkan diri mereka dengan ajaran
Islam. Untuk maju dan berjaya di peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan yang
syumul dengan berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya
mengatasi corak pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah dengan fitrah
kemanusiaan.
Sebagai umat Islam kita yakin bahawa kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam dalam
menyusun dan membangunkan negara adalah kerana ia menepati fitrah kemanusiaan. Mana-
mana pendekatan dalam menyusun dan memajukan masyarakat dan negara yang
bertentangan dengan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia
yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan yang negatif di alam akhirat.
“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sudah terang lagi bersuluh bahawa
pemuda-pemudi dalam negara kita merupakan individu yang bakal memacu pentadbiran
negara pada masa hadapan. Dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020, pelbagai
cabaran dan konkurensi yang sengit yang harus ditempuhi oleh negara dan hal-hal ini perlu
dipikul oleh golongan belia dalam negara kita kerana merekalah merupakan nadi kepada
bangsa Malaysia. Oleh yang demikian, saya sebagai remaja, haruslah menyiapkan diri dalam
pelbagai aspek sebelum saya menggalas tugas sebagai pemimpin negara pada masa akan
datang. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang harus saya miliki sebagai belia yang akan menjadi
tonggak negara pada masa hadapan?

Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi, “Ibarat keris panjang sekeluk, ke mana pergi
ke mana elok” yang bermaksud seorang pemimpin yang baik akan tetap berguna kepada
rakyat walau di mana-mana dia berada. Seorang pemimpin yang baik hendaklah mempunyai
pedagogi ataupun pendidikan yang tinggi. Pendidikan merupakan wahanayang tepat kerana
pendidikan mampu mematangkan pemikiran seseorang. Dengan adanya pemikiran yang
matang, buah fikiran yang baik untuk mencetuskan pembangunan negara mampu dicetuskan.
Saya dan belia-belia lain hendaklah menggunapakaikan pendidikan dengan sebaik-baiknya
kerana sebuah bangsa yang tidak mempunyai pendidikan merupakan sebuah bangsa yang
tidak akan pernah maju. Oleh itu, sebagai pemacu pentadbiran negara pada masa hadapan,
saya haruslah menjadi seseorang yang berpendidikan kerana persis mutiara kata “ Ilmu lebih
mulia daripada harta kerana ilmu menjaga manusia sedangkan harta dijaga oleh manusia”.

Seterusnya, ciri-ciri yang perlu saya miliki adalah patuh kepada ajaran agama. Ajaran
agama merupakan akses fundamental kepada keperibadian yang lebih sempurna dan mulia.
Hal ini demikian , ajaran yang disampaikan oleh agama dapat dipraktikkan oleh masyarakat
dalam kehidupan harian. Hasilnya ialah, sebuah komuniti yang lebih bertamadun dapat
diwujudkan. Selain itu, dengan adanya ajaran agama, saya dapat menggelakkan diri daripada
terjebak dalam kancah sosial di luar rumah. Hal ini disebabkan oleh kemurniaan ajaran
sesebuah agama dapat mematangkan pemikiran seseorang. Dengan berbekalkan pemikiran
yang matang, seseorang itu dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Oleh itu,
tidak dapat dinafikan bahawa ajaran agama amat penting dalam menyediakan seseorang
individu untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Bukan itu sahaja, untuk menjadi tonggak negara pada masa hadapan saya hendaklah
melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran. Kemahiran-kemahiran seperti kemahiran
komunikasi di hadapan umum, kemahiran bersosial dan sebagainya perlu dikuasai untuk
menambahkan keyakinan diri. Seseorang pemimpin perlulah mempunyai keyakinan diri
dalam menjalankan tugas mereka. Dengan itu, mereka akan sentiasa disanjungi dan dihormati
oleh masyarakat yang dipimpin oleh mereka. Selain itu, saya hendaklah mempunyai motivasi
ekstrinsik dan instrinsik bagi membolehkan saya bersemangat dan dapat mendorong saya ke
arah yang lebih maju kerana lebih banyak motivasi diri seseorang itu, lebih terdorong juga
seseorang itu untuk memajukan dirinya.
Riwayat Muslim ada mengatakan “sedarlah, bahawa setiap daripada kamu adalah
pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinan kamu”. Riwayat ini jelas
menyatakan bahawa seseroang pemimpin haruslah mempunyai nilai bertanggungjawab dalam
diri mereka. Hal ini demikian kerana tanggungjawab dalam kepimpinan, mustahil kita dapat
menggembalakan manusia. Ibu bapa dan para guru di sekolah hendaklah mempraktikkan nilai
ini didalam diri anak-anak mereka dengan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dalam
setiap perlakuan mereka. Golongan ini haruslah ingat bahawa anak-anak akan memerhatikan
dan mengikuti semua jejak orang yang lebih dewasa dan mereka persis mutiara kata “Guru
kencing berdiri, murid kencing berlari”. Tuntasnya seseorang pemimpin perlu mempunyai
nilai bertanggungjawab dalam dirinya.

Selain itu, pemimpin negara pada masa hadapan hendaklah meletakkan agenda perpaduan
negara sebagai yang terpenting. Agenda perpaduan tersebut melebihi segala agenda penting
yang diperlukan dalam membangunkan negara yang maju. Sekiranya seseorang pemimpin
tidak mengetengahkan perpaduan dalam membangunkan negara, pasti pembangunan negara
tidak akan dapat mencapai matlamatnya. Selain itu, saya juga perlu mempraktikkan
perpaduan sesama rakan-rakan di sekolah. Dengan modus operandi yang sebegini, saya dapat
menonjolkan jati diri sebagai seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan. Bukan
itu sahaja, saya juga bersedia memperjuangkan kemerdekaan tanah air supaya tidak dijajah
buat kali yang kedua kerana kemerdekaan sesebuah negara yang tidak mudah dicapai, bak
kata Tun Dr Mahathir “..bukan kecil tugas kita untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan
kerana mengisi kemerdekaan itu lebih sengsara”.

Natijahnya, menjadi seorang pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
“Kurangkan bercakap, lebihkan tindakan” merupakan prinsip seseorang pemimpin yang baik.
Saya sedar bahawa sebagai seorang belia yang bakal memegang tonggak negara pada masa
hadapan perlulah seimbang dari semua aspek dan tidak seharusnya bersikap seperti segelintir
pemimpin yang hanya makan gaji dan bersikap materialistik namun tidak melakukan apa-apa
yang mendatangkan faedah buat masyarakat. Selain itu, saya hendaklah bijak memanfaat
setiap peluang yang terbuka untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Oleh yang
demikian, belia pada zaman pascakemerdekaan ini tidak seharusnya hanyut dibawa arus
kemodenan kerana belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa yang akan datang.

Anda mungkin juga menyukai