Anda di halaman 1dari 2

Peranan Melahirkan Pelajar/Remaja Bersahsiah Mulia

Pendahuluan : Menelusuri sejarah awal tamadun Islam, minda kita pasti dapat mengingatkan
kehebatan dua orang anak muda yang menjadi ikon untuk dibanggakan. Mereka ialah Saiyidina
Ali KW dan Usamah Bin Zayid. Ali amat terkenal dalam peristiwa Hijrah Rasul manakala
Usamah merupakan panglima perang Islam yang paling muda. Keberanian dan ketokohan yang
ditunjukkan telah melayakkan mereka berada sebaris dengan tokoh-tokoh Islam yang terkenal.
Bezanya, ketika bangkit mencipta nama mereka masih lagi muda belia. Demikianlah suatu
gambaran betapa sumbangan anak muda sangat ditagihi dalam usaha membantu membangunkan
negara. Tubuh yang sasa, tenaga yang kuat dan minda yang cerdas menjadi aset untuk seseorang
anak muda turut sama terlibat memajukan negara. Walau bagaimanapun, ketahanan minda dan
fizikal sahaja belum cukup untuk mengangkat seseorang anak muda untuk menjadi wira dan
wirawati kepada negara, malahan anak muda juga perlu menggilap sahsiah dan akal budi yang
baik.
Langkah perdana yang wajar diatur, sebagai anak muda saya harus menjadi hamba Allah yang
soleh, beriman dan bertakwa. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah menjadi syarat utama
untuk menjadi insan yang sedar akan hakikat hidup dan mati. Kita dihidupkan supaya dapat
mengabdikan diri kepada Allah selain menjadi insan yang berguna kepada insan yang lain.
Seseorang yang patuh kepada Khaliq, maka memberikan impak kepada seluruh isi alam. Apabila
memiliki kesedaran bahawa segala amal kita sama ada baik mahupun buruk akan memperoleh
ganjaran, baharulah saya sedar tentang perlunya berbuat baik. Dengan hal demikian, saya
berazam untuk menjadi insan soleh dengan taat kepada perintah Allah, meninggalkan segala
larangan-Nya serta mengamalkan sahsiah yang terpuji dalam kalangan masyarakat. Hakikat
tersebut sesuai dengan kata-kata, Insan yang kenal kepada Tuhannya, justeru kenallah pada
dirinya.
Selain prakarsa di atas, saya juga perlu menjadi remaja yang cinta akan ilmu. Penguasaan
terhadap ilmu pengetahuan sama ada ukhrawi mahupun duniawi boleh membentuk diri saya
menjadi insan yang berguna terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat malah negara juga.
Ilmulah yang menjadi lampu suluh untuk keluar daripada kegelapan dan kejumudan dan ilmulah
yang membuka minda untuk memperoleh kejayaan sama ada dalam kerjaya mahupun untuk
hidup sejahtera. Perihal pentingnya menguasai ilmu bertepatan dengan nukilan Saiyidina Ali
KW. Jadikanlah dunia ini dalam kalangan yang berilmu, atau mengajarkan ilmu, atau yang
mempelajari ilmu, atau yang berkasih sayang dengan golongan berilmu. Sekiranya salah satu
daripadanya tiada kepada kamu, nescaya punah-ranahlah dunia ini.
Amalan menghormati sesama manusia juga menjadi keperluan kepada saya sebagai anak
muda. Inilah sari pati terpenting dalam menzahirkan watak yang mulia dengan sahsiah yang
cemerlang. Amalan seperti mengucapkan salam, memberikan hormat, bercakap secara sopan dan
berbudi pekerti sangatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Sebagai anak muda, saya
perlu menunjukkan hormat kepada golongan tua dan para guru manakala dengan rakan sebaya
saya perlu berlemah lembut dan sering menyantuni mereka. Sekiranya watak tersebut menjadi
ikon kepada semua anak muda nescaya masyarakat kita akan terus dihormati. Sesungguhnya

slogan, Yang muda disayangi dan yang tua dihormati wajar saya jadikan azimat utama dalam
membina jaringan silaturahim.
Selain itu, dalam hubungan masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, saya wajar
mempertahankan jalinan persefahaman dan perpaduan. Hal tersebut amatlah wajar kerana
tanpa perpaduan yang jitu amat sukar untuk kita mencapai matlamat keamanan dan kesejahteraan
yang total. Sikap yang suka berbalah dan tuduh-menuduh dengan mengagung-agungkan kaum
sendiri di samping meremahkan orang lain tidak lebih daripada amalan yang mengundang
perbalahan dan kekacauan. Oleh itu, saya berazam untuk mengelakkan sebarang pengaruh
negatif yang boleh mengundang perpecahan. Saya terlalu sedih apabila melihat satu lepas anakanak kecil yang tidak berdosa menjadi korban pertumpahan darah di seantero dunia yang
berpunca daripada runtuh semangat perpaduan dan tolak ansur. Ingatlah, kita yang hidup di muka
dunia ini mempunyai hak yang sama untuk bebas kerana sesiapa pun kita darah kita tetap merah,
maka fahamilah hakikat kalah jadi abu, menang jadi arang.
Sejajar dengan matlamat Wawasan 2020 yang ingin melahirkan bangsa Malaysia yang pintar,
gigih dan berdaya saing, saya hendaklah memiliki cita-cita dan matlamat untuk memajukan
negara ini. Selepas lebih setengah abad kita mencapai kemerdekaan sudah sewajarnya Malaysia
mampu sebaris dengan negara-negara maju untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.
Inti pati kepada cita-cita yang tinggi hendaklah saya realisasikan dengan kegigihan belajar,
mempunyai matlamat yang jelas dan semangat cinta akan negara. Saya juga harus sedar sudah
berbilion ringgit yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menghantar anak-anak muda ke
luar negara supaya mereka dapat menuntut ilmu dan menuruti teladan anak-anak muda di negara
maju. Semua usaha tersebut adalah untuk memperkasakan sikap mulia, cara berfikir dan cara
bertindak anak-anak muda Malaysia sejajar dengan pemikiran berkelas dunia. Saya yakin,
seandainya semua anak muda mahu berfikir secara positif dan bercita-cita tinggi demi negara
tercinta, maka hasrat untuk membangunkan negara ini bukanlah suatu wadah yang mustahil
untuk dicapai.
Kesimpulannya, menelusuri nukilan Imam Al Ghazali, Jikalau kamu melihat watanmu pada hari
depan, lihatlah kepada pemudamu pada hari ini, mengujai saya bahawa anak muda sangatlah
berharga kepada sesebuah negara. Kombinasi antara minda, iman, akhlak dan akal budi boleh
memberi saya dimensi baharu bahawa sesuatu yang luar biasa boleh dilakukan oleh orang biasa.
Saya sedar, inilah masa yang terbaik untuk anak-anak muda bangkit membina sahsiah, cita-cita
dan matlamat untuk membangunkan negara. Ayuh, bangkitlah anak-anak muda, kita realisasikan
slogan, Negara Kita Tanggungjawab Kita kerana di sini bumi dipijak, maka langitnya
dijunjung.

Anda mungkin juga menyukai