Anda di halaman 1dari 5

TEKS PIDATO 1 MALAYSIA; SEHATI SEJIWA

NEGARAKU, DI SINILAH SEGALANYA


PEMBUKA Saudara,
KALAM
Sebelum saya menjejak kaki ke arena pidato ini, seorang anak kecil
menarik baju saya dari belakang, lalu membisikkan sesuatu kepada saya.
Nak tahu apa yang dibisikkannya ? Tunggu, hingga akhir pidato ini.

Terima kasih peneraju acara, kombinasi hakim, penjaga masa, warga


intelektual penerus wawasan negara.
Assalamualaikum WBT Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa.

ALU- Saudara dan saudari,


ALUAN
Mengenang kisah Ashabul Kahfi dalam firman- firman Tuhan, tentang
kemulian, tentang keberanian, tentang pemuda- pemuda yang ditidurkan
Tuhan, mempertahankan akidah dari kezaliman, mengegarkan rasa jiwa,
betapa agungnya kepercayaan sang pemuda, lantas dibangkitkan dengan
keazaman di dada, membawa tamadun ke mercu jaya.

Maka benar kata- kata Prof Dr Yusuf al- Qardhawi;


"Jika kamu mahu melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan,
maka lihatlah generasinya pada masa kini".

Dari sini terinspirasinya pidato ini, "Negaraku, Di Sinilah Segalanya".


Saudara, tiada siapa bisa menafikan, Kuasa dan aura generasi muda
sebagai perencana, dalam memastikan negaranya maju dan Berjaya.
Oleh yang demikian belia perlu meneruskan kelangsungan citra
peradaban bangsa, kerana belia adalah asset Negara yang sangat tinggi
nilainya, yang akan menentukan jatuh bangun dan letak duduk
pembangunan Negara.

Maka, atas dasar ini saudara, peranan belia dalam konteks sebuah negara
yang gemilang dibina dengan 3 kebitaraan ;
1) Idealisme
2) Intelektualisme
3) Jati Diri
ISI Saudara dan Saudari,
PERTAMA
1) Idealisme
Apalah ertinya ilmu pengetahuan yang tinggi tanpa akhlak yang terpuji.
Kerana akhlak mulia yang bersemi menjadi pelengkap kepada belia
madani. Bermula dari sekecil- kecil menghargai ketuanan bahasa
sehinggalah kepada perjuangan adat dan warisan, menjadi petanda asas
jati diri yang mekar berpanjangan. perlu di ingat bait- bait indah yang
mengatakan, 'Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara' boleh
dipatahkan begitu sahaja andai mahasiswa Malaysia tidak diperkasa,
kerana, penjajahan pada hari ini bukan lagi berbentuk pedang dan
perang, tetapi idealogi songsang dan wang ringgit yang terhidang.

Saidina Umar Al-Khattab pernah ditanya oleh para sahabat tentang apa
yang diinginknnya dalam kehidpan, tatkala yang lain sibuk mengejar
kemewahan, kekayaan dan harta. lantas, jawab Saidina Umar dengan
penuh memberi kesan, "Aku hanya inginkan pemuda- pemuda seperti
abu Ubaidah Al- Jarrah, Muaz Ibn Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah
untuk membantu aku mendaulatkan agama".

Hari ini, kita sedar bahawa belia Malaysia mungkin tidak sehebat dan
setabah para khalifah dan sahabat. namun, kita boleh berbangga andai
mahasiswa kita mencabar dan memperhebat diri untuk menjadi seperti
mereka. Justeru, pelbagai kejayaan kita hidangkan di depan mata, Selat
Inggeris, Puncak Everest, Kutub Utara, Kembara Ke Tanah Suci
merentas negara dan benua, semuanya kita lakukan dengan semangat
perwira.
Dari aspek kejayaan dalam pendidikan pula, kita mula kehadapan,
Najmil Faiz dengan kertas kerja teknologi Nanonya, Tan Han Shun dan
Rafael Mohamad Zafrael gah dengan ciptaan kereta lumbanya,
sehingglah kepada adik Aimi Nadiah Zainuddin dan adik Nadira Ahmad
Tarmizi, sungguh berinovasi dengan hasil ciptaann perangkap tikus tanpa
meninggalkan sebarang kecedaraan dan luka terhadap si tikus , cukup
untuk membuatkan kita menarik nafas lega, Inilah belia yang bakal
mendepani cabaran negara.
ISI Saudara dan Saudari,
KEDUA
2) Intelektualisme.
Tatkala Datuk Sheikh Muzaffar Shukor menerjah angkasa raya sebagai
Angkasawan Pertama Negara, dunia mula sedar dan membuka mata akan
kehebatan belia Malaysia yang bukan sekadar menananm angan dancita,
tetapi semuanya kita jelmakan menjadi nyata. bahkan, langkah kerjaan
meletakkan golongan mahasiswa sebagai kumpulan sasar utama dari
aspek pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia
Kesembilan, cukup membuktikan bahawa tingginya kedudukan golongan
ini di mata pemimpin negara.

Persoalannya ? Bersediakah belia kita mengharungi cabaran yang


digalaskan. Bersediakah belia kita andai bekalan yang dijana, hanya
secebis angan dan cita ? Bersediakah kita ? Andai mahasiswa yang kita
anggap sebagai permata, rupanya hanya serakan kaca yang menambah
luka kerana, gelanggang siasah semasa tidak lagi memberi ruang kepada
pertembungan kuasa semata- mata, tetapi, persaingan minda,
pertempuran idea dan penjelmaan ilmu adalah bukti yang nyata.

Tanyalah satu dunia, siapa yang boleh menafikan keperluan ilmu bagi
memacu impian negara maju. Kehebatan Sultan Muhammad Al fateh,
pemuda yang membuka Kota Konstantinopel, Keagungan Kota Ilmu di
Basrah dan Kuffah sehinggalah kepada pembinaan Jamatul Qurwaian di
Kota Parsi semuanya berpaksikan ketinggian ilmu di dada dalam
menjulang intelektualisme sehingga kegemilangan tamadun diangkat dan
diperhebat hasil muafakat bangsa berdarjat. Inilah hasilnya, andai belia
Malaysia pada hari ini memperkasa ketinggian ilmu yang ada,
berpaksikan kepada keampuhan jati diri dan sahsah yang terpuji, apa
yang kita impi, pasti menjadi realiti.

ISI Saudara dam saudari,


KETIGA
3) Jati Diri

Usia merdeka sudah lebih separuh abad lamanya. Namun, adakah kita
sudah cukup dewasa?

Jika ya, mengapa bayi-bayi lahir tanpa nikah, dibuang tanpa rasa
bersalah? Mengapa opium, syabu dan pil kuda, menjadi makanan ruji
anak muda? Mengapa gadis-gadis kita, semakin hilang arah dan tujuan?
Semua ini amalan syaitan laknat, yang melarat dalam masyarakat.

Ada dalam kalangan anak muda kita, sudah hilang santun dalam bicara,
sudah hilang pantun dalam siulan lagunya, sudah hilang gemalai dalam
rentak langkahnya. Kita khuatir, andai belia kita akan menjadi seperti si
kitul yang menghancurkan kota Melaka. Kita risau, andai belia kita
lemah tidak berdaya ibarat runtuhnya tamadun romawi dan parsi akibat
pemuda-pemudi tidak membela pertiwi. Kita bimbang, andai belia kita
hanya mampu menang sorak tapi seluruh maruah dan negara kita
tergadai. Belia harus bijak menilai kebenaran berita yang diperoleh. Kita
khuatir dakyah daripada orang yang ingin menangguk di air yang
keruh untuk memecahbelahkan kaum di negara ini.
Pilihan di tangan kita, kerana kerajaan sentiasa bersiap siaga. Pendidikan
untuk semua, pusat kemahiran kita perkasa, Program rakan muda,
makmal transformasi pembangunan belia telah diadun secukup rasa. 15
Mei diangkat sebagai Hari Belia Malaysia memastikan Satu Malaysia,
Satu Belia, melantun ke sarwajagat raya. Semuanya untuk memastikan
kejayaan pasti dalam genggaman.

PENUTUP Saudara dan saudari,


Sebelum menoktah bicara, suka saya mengajak seisi dewan untuk sama-
sama menabur bakti, menghulurkan secebis kekuatan untuk
merealisasikan hasrat negara. Beringatlah, jangan pisang berbuah dua
kali, apabila kita terlalu mudah diperbodohkan oleh penjajah yang silih
berganti, menjadikan kita kuli di negara sendiri. Tanamkan tekad di hati,
bulatkan azam penuh bermisi, jadikan negara Malaysia, negara tersohor
di mata dunia.

Oh ya! Anak kecil tadi berbisik kepada saya bahawa dia bangga dan
gembira tinggal dibumi bertuah bernama Malaysia. Katanya, Negaraku,
Disinilah Segalanya.

Assalamualaikum WBT.

Anda mungkin juga menyukai