Anda di halaman 1dari 5

REMAJA PATRIOTIK MASYARAKAT SEJAHTERA

Bismillahhirrahmanirrahim.

Dengan kombinasi semangat patriotik dan toleransi, Tunku Abdul Rahman berjaya

memerdekakan seluruh Tanah Melayu . Dengan semangat Patriotik yang tidak berbelah bahagi,

Mohandas Karamchand Gandhi berjaya menjadi inspirator kedamaian kepada India. Semangat

Patriotik mengajar anak watan untuk berkorban segalanya bagi menyemai keringat sebagai

bukti cinta akan Negara. Maka benarlah kata Tun Dr. Mahathir bin Mohamad Perdana Menteri

Malaysia, kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi apabila berhadapan dengan

mereka yang ingin menjajah kita, kita perlu bersatu itulah makna patriotik.

Salam aprisiasi tuan pengerusi, Barisan panel kehakiman yang berintegriti, dif-dif terhormat

yang bervisi seterusnya para hadirin yang diberkati.Assalamualaikuwarahmatullahiwabarakatuh

Salam Ceria Ikatan Murni. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh Salam Ceria Bumi

Tuhan.

Remaja Patriotik Masyarakat Sejahtera, begitulah indahnya mauduk pidato yang bakal

disampaikan kepada warga dewan sekalian. Namun, sebelum ledakan hujah menghujani seisi

dewan, izinkan saya untuk merangkum dua bentuk pendefinisian terhadap mauduk pidato saya

iaitu secara literal mahupun secara leksikal. Menurut kamus dewan edisi keempat, remaja

merujuk kepada seseorang yang sudah akil baligh. Sementara itu, Patriotik dari segi bahasa

didefinisikan sebagai perasaan cinta yang sangat kuat kepada negara. Masyarakat sejahtera pula

bermakna sekumpulan manusia yang hidup aman dan sejahtera yang saling menyayangi antara

satu sama lain.

Apabila pendefinisian ini dikombinasi dan digabungkan, maka Remaja Patriotik Masyarakat

Sejahtera bermakna golongan pemuda dan pemudi yang dibajai dengan jati diri dan roh
patriotisme yang cinta kepada Negara yang boleh membentuk sebuah masyarakat yang menjadi

sebuah masyarakat rahmah, aman dan damai.

Sidang saksi yang bervisi,

Mantan Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata ‘Berikan aku sepuluh orang tua, dan aku

cuma akan mampu menggoncangkan perahu yang terlangkup namun berikan aku sepuluh orang

pemuda, dan aku akan mampu menakluk dunia’. Lantas, ayuhlah bersama-sama saya kita

rungkai satu persatu prakarsa ke arah melahirkan golongan remaja sehebat Muhammad Al-Fateh

yang mengenggam kota konstanstinople yang jiwanya kental dalam usia remaja menerusi empat

indikator utama.

Indikator saya yang pertama, di bawah lembayung kata “Remaja Berilmu, Teras Kejayaan

Negara”. Hari ini, kita melihat, kebijaksanan dan ilmu merupakan rencah tulen untuk mencapai

matlamat Negara. Kita perlu sedar, kita memerlukan resepi kepintaran yang wujud di dalam diri

remaja untuk menjadi acuan ke arah Negara maju. Hari ini, bersaksikan warga dewan sekalian,

beberapa nama sudah berpuing-puing dalam pusaran Negara . Lihat sahaja kehebatan Menteri

Belia dan Sukan Malaysia iaitu YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa menuntut di

Universiti Islam Antarabangsa telah berjaya menjadi Juara Asia dalam pertandingan debat yang

ditandinginya. Bukan itu sahaja, kepintaran semula jadi Lim Wern Jie yang baru berusia 15

tahun mencuri perhatian apabila membangunkan 50 aplikasi digital untuk platform iOS ketika

berusia 13 tahun, malah tidak dilupakan nama hebat seperti Nur Madihah, Azali Azlan ketika

remaja mereka dijulang kerana memegang rekod terhebat dalam bidang akademik. Mereka ini

bakal menjadi aset terpenting Negara dalam usaha mengejar impian. Lihat sahaja keutuhan

pemimpin kita yang begitu gigih menjulang sebelum diangkat menjadi pemimpin Negara. .

Benarlah kata-kata yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Muhamad “jika ingin

menjulang api kemajuan, nyalakan ilmu sebelum berjuang”.


Sidang dewan yang dikasihi sekalian,

“Remaja Berkarisma , peneraju pemimpin masyarakat”, menjadi kata kunci saya yang kedua.

Tokoh-tokoh besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Usamah bin Zaid, Umar

bin Abd Aziz, Uqbah bin Nafi’ dan Qutaibah al-Baakhily adalah sebahagian generasi remaja

Islam yang memiliki semangat kepimpinan yang tinggi. Tidak hanya berhenti disitu, semangat

kepimpinan dan kegagahan ruh perjuangan, terus meresap ke dalam diri Salahuddin Al-Ayubi

dalam mempertahankan Negara walaupun usia baru setampuk jagung. Kaliber dan karisma

kepimpinan terus mencetuskan kegemilangan apabila konstantinopel berjaya dibuka oleh Sultan

Muhammad Al-Fateh semasa usianya masih dalam usia remaja. Sedarilah, sekiranya remaja

mempunyai semangat patriotik dan dikolaborasi dengan sikap kepimpinan yang tinggi, Negara

dan masyarakat pun turut menjadi lebih bervisi.

Sidang dewan yang penuh santun,

Indikator saya yang ketiga di bawah kata kunci “Remaja kuat mental dan fizikal, menjana

masyarakat maju”. Akademik yang cemerlang tidak akan berguna sekiranya tidak disepadukan

dengan kesihatan fizikal dan mental remaja. Pada era globalisasi yang penuh kompetitif ini,

remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja agar dapat “berdiri sama

tinggi dan duduk sama rendah” dengan remaja di Negara maju. Oleh itu, sememangnya remaja

yang meyatupadukan kekuatan ini terus menaikkan nama Negara di seantero dunia. Lihat sahaja

kelincahan dan ketangkasan ahli-ahli sukan Negara yang akhirnya dinobat sebagai juara dunia.

Kekuatan fizikal dan kekukuhan mental yang dimiliki oleh Juara Badminton Remaja Dunia iaitu

Goh Jin Wei sudah tentu mempunyai kualiti yang tinggi. Tidak ketinggalan Skuad Bola Sepak

AFF Bawah 19 tahun Negara mendominasi dengan berstrategi dinobatkan menjadi Juara AFF

Bawah 19 tahun yang diadakan di Indonesia.


Mereka sebenarnya membuka mata masyarakat dunia merupakan contoh nyata yang

menunjukkan dengan semangat patriotik yang tinggi memungkin kerahan tenaga mental dan

fizikal luar biasa. Namun sudah tentu kekuatan mental dan fizikal ini dikombinasikan dengan

semangat patriotik yang tinggi

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

“Ketahanan rohaniah remaja, menjana pembangunan Negara”, menjadi kata kunci saya yang

keempat. Tidak dapat dinafikan, ramai remaja yang tersungkur kerana ilmu di dada masih tidak

disepadukan dengan iman yang hakiki. Oleh itu, menyedari hakikat pentingnya iman dan

ketahanan rohaniah, maka, kerajaan dengan sokongan pelbagai agensi yang lain telah

mengadakan program dan kem penghayatan islamiah untuk memantapkan iman golongan

remaja. Tidak cukup dengan itu, maka, wujudlah rancangan imam muda yang menjadi fenomena

yang menilai kefahaman ilmu dan iman dalam meniti kehidupan. Ali Bin Abi Talib menjadi

khalifah termuda mempunyai formulanya sendiri dalam mempertahankan syiar islam iaitu

menjadikan iman yang dipandu oleh Al-Quran dan Assunnah sebagai wadah pemerintahan

Negara. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa iman yang terdapat dalam diri remaja

mampu menerbitkan seorang remaja yang dapat membentuk masyarakat yang berwawasan.

Hadirin yang penuh santun,

Sebelum saya menoktahkan pidato ini, saya menyeru kepada seluruh masyarakat terutamanya

golongan remaja untuk sama-sama mencanai minda, membadai gelora globalisasi, mengerah

keringat untuk menjadikan Malaysia yang harmoni, maju dan terus maju. Saya bimbang, dalam

usaha Negara ingin menjadi sebuah Negara yang maju dengan hala tuju yang satu, kita masih

lagi duduk menunggu dan tersipu malu untuk memajukan diri. Malah saya takut, Negara yang
kita sayangi ini tidak kita jaga ibarat padi di tangan tumbuhnya lalang, ayam ditambat disambar

helang. Amri sama-sama kita berjuang dan menjulang Negara menjadi cemerlang dan terbilang.

Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.t.w

Anda mungkin juga menyukai