Anda di halaman 1dari 2

PERPADUAN MEMACU KEGEMILANGAN NEGARA

Sejambak kasih, seharum kasturi buat saudari peneraju majlis, barisan panel hakim
yang sentiasa menegakkan keadilan, penjaga masa yang sentiasa peka dengan
detak jam, guru-guru penggerak generasi berwawasan seterusnya warga dewan
yang dihormati sekalian.
Perpaduan Memacu Kegemilangan Negara. Begitulah tajuk syarahan yang akan
saya sampaikan pada hari ini. Perpaduan Memacu Kegemilangan Negara membawa
maksud kesepaduan, kesepakatan dan penyatuan rakyat ialah akar tunjang dalam
gerak kerja dan misi yang telah membawa negara tercinta ini ke arah
kecemerlangan.
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Kata kunci pertama: Pendidikan Tunjang Perpaduan
Bertunjangkan Rukun Negara dan berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
pendidikan menjadi wadah perpaduan. Bidang keberhasilan utama negara atau
NKRA bagi pendidikan ingin memastikan semua murid dapat berkomunikasi dengan
baik menggunakan bahasa kebangsaan di sekolah. Lantas terciptalah semangat
perpaduan sejak kecil lagi. Buktinya, program RIMUP yang mensasarkan murid-
murid dari SK, SJKC dan SJKT mengikuti satu program secara bersama. Justeru
dapat mengukuhkan lagi integrasi dalam kalangan murid di dalam dan di luar bilik
darjah. Bak kata pepatah, kalau melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Sidang dewan intelektual sekalian,
Intipati kedua: Sukan Wasilah Perpaduan
Sedarkah anda penubuhan MSSM di peringkat sekolah dan temasya sukan Malaysia
ataupun SUKMA merupakan wahana dalam menyuntik semangat patriotisme di
samping menyulam integrasi nasional kepada seluruh warganya. Para atlet bukan
sahaja dapat menyihatkan badan mereka menggembleng tenaga tanpa mengira
kasta dan bangsa untuk memastikan Malaysia gemilang seantero dunia. Contohnya,
siapa yang tidak kenal dengan Datuk Lee Chong Wei, Farah Anne Abdul Hadi dan
Saravanan dan ramai lagi atlet tanah air yang mengungguli arena masing-masing.
Bagi mereka nama Malaysia dibawa bersama sebagai pembakar semangat untuk
berjaya. Bak kata pepatah, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.
Sidang hadirin yang dihormati,
Penutup Gagasan Bicara: Budi Bahasa Penyatu Bangsa
Malaysiaku tercinta sifatnya sangat unik. Berbeza agama, bangsa dan budaya
namun boleh duduk semeja. Inilah cerminan kepada pembangunan modal insan
yang dititkberatkan dalam norma kehidupan masyarakat sejagat di bumi bertuah ini.
Hal ini sejajar dengan kempen Budi Bahasa Budaya Kita sejak tahun 2005 lagi. Atas
keyakinan perpaduan asas kejayaan maka budi bahasa hadir mengukuh
keharmonian. Sikap keakuan, persengketaan dan permusuhan dibuang pergi.
Sebaliknya, sikap kekitaan, hormat-menghormati dan tutur kata yang sopan dipasak
meneguh peribadi. Buktinya, saya dan kalian masih boleh berada dalam satu majlis
yang sama dengan satu tekad dan matlamat. Bak kata pepatah, “Tegak rumah
kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa. Sendi bangsa ialah budi. Runtuh budi,
runtuhlah bangsa.
Kesimpulannya, tidak dapat disangkal lagi bahawa perpaduan memacu
kegemilangan negara. Oleh itu, kita warga Malaysia haruslah sehati sejiwa bersatu
demi keutuhan dan kegemilangan bersama. Cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit.
Ayuh! Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai