Anda di halaman 1dari 2

Pendidikan Wadah Perpaduan Negara

Sejak dahulu kala bangsa kita terus diperkosa, oleh penjajah yang tamak haloba. Kita dilagakan
hingga terjadinya pergaduhan. Kita dipisahkan sehingga terjadinya pertumpahan darah. Perpaduan
yang kita impikan, semuanya menjadi tidak keruan. Penyatuan kaum yang kita rancang, semuanya
kian hilang. Disebabkan inilah, saya bangkit dan berdiri di hadapan anda sebagai srikandi yang
memperjuangkan perpaduan.

Salam apresiasi seharum kasturi, salam sejahtera sejambak kenanga buat tuan peneraju
majlis, barisan hakim yang berpaksikan keadilan, penjaga masa yang sentiasa setia serta sidang
hadirin pencetus minda. Tampilnya saya di sini adalah dengan satu tujuan, iaitu untuk
memperdengarkan wadah perpaduan yang menjadi tanda permuafakatan demi penyatuan bangsa
Malaysia. “Pendidikan Wadah Perpaduan Negara”, demikianlah mauduk syarahan saya pada
hari ini.

Hadirin yang saya hormati,


Pendidikan wadah perpaduan negara mengajak dan mendesak kita untuk menilai dan
merungkai bagaimana pendidikan dapat menjadi saluran untuk menggabungkan masyarakat yang
dimulakan dengan sejarah pendidikan negara, pemerkasaan bahasa Melayu, dan program
pendidikan. Ketiga-tiga kata kunci inilah yang menjadi inti kepada syarahan saya hari ini.

Hadirin sekalian,
Jika kita singkap sejarah silam, memang terbukti bahawa pendidikan amat berperanan dalam
penyatuan bangsa. Berpaksikan kata kunci sejarah pendidikan negara, saya bawakan inti syarahan
saya yang pertama. Dek kerakusan penjajah menguasai wilayah, bangsa kita telah dipecah-
pecahkan. Setiap jenis sekolah dikhususkan mengikut kaum dan dibezakan mengikut kurikulum.
Tidak cukup dengan itu, bahasa penghantar dijadikan berlainan, lokasi sekolah setiap kaum
dibiarkan berjauhan agar kita terus tidak sehaluan.
Namun bak kata pepatah, langit tak semestinya sentiasa cerah. Tahun 1956, titik tolak
pendidikan bermula ke arah pemupukan perpaduan. Disebabkan kepintaran mantan Perdana menteri
kita yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang juga merupakan Menteri Pelajaran pada masa
itu, terbentuklah Jawatankuasa Pelajaran yang dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Berbekalkan
matlamat untuk mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun
bangsa di Tanah Melayu pada ketika itu dan mengembangkan sistem pendidikan agar jurang
perbezaan antara kaum dapat dikurangkan, ternyata Penyata Razak menampakkan hasil apabila
wujud sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan yang sama telah diterapkan.
Proses ini tidak berhenti begitu sahaja malah diteruskan lagi dengan wujudnya Laporan
Rahman Talib dan pemerkasaan Akta pelajaran 1961 yang memberi penegasan kepada kurikulum
ala Malaysia yang menghendaki setiap pelajar mengenali aspek budaya negara. Hal ini
diperkukuhkan lagi dengan termaktubnya Laporan Kabinet 1979 dan rang undang-undang
pendidikan 1995 yang turut menekankan prinsip yang sama, iaitu membawa kepada penyatuan
bangsa.

Hadirin pencetus minda,


Sejajar dengan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, secara tidak
langsung hal ini memainkan peranan dalam proses perpaduan. Pemerkasaan bahasa Melayu, kata
kunci saya yang kedua. Lihat sahaja intipati dalam Dasar Pendidikan negara, kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa perpaduan terus diperkasa. Dalam stratergi perlaksanaannya, bahasa Melayu
digunakan di seluruh negara agar komunikasi rakyat berjaya. Apabila komunikasi berjaya melalui
penggunaan satu bahasa, bangsa kita merdeka.

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa Lingua Franca
sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka yang banyak digunakan dalam perdagangan dan hubungan
diplomatik antarabangsa. Kini, bahasa Melayu melebarkan sayapnya ke arah bidang pendidikan
secara lebih mendalam. Buktinya yang jelas adalah dengan adanya pertandingan syarahan dan Ujian
Bertulis bagi SJKC dan SJKT. Hal ini membuktikan bahawa melalui penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa perantaraan dalam dunia pendidikan, jelas rakyat Malaysia bersatu dan dapat
memupuk nilai perpaduan.

Kita lihat sendiri ketika ini di sekolah-sekolah, tanpa ada resah dan gelisah para pelajar tanpa
mengira bangsa dan agama, bertutur dalam bahasa Melayu dengan mudah dan petah. Betapa besar
peranan bahasa Melayu dalam dunia pendidikan dalam usaha menyemai semangat perpaduan.

Hadirin pendengar budiman,


Perpaduan kaum turut disumbangkan dengan penganjuran pelbagai program pendidikan,
kata kunci syarahan saya yang ketiga. Contoh yang jelas lagi bernas, dalam Program Pendidikan
Prasekolah telah diselitkan satu program yang dinamakan Tabika Perpaduan. Program yang
diperkenalkan pada tahun 1976 ini merupakan program yang disediakan untuk penyertaan kanak-
kanak berbilang kaum yang berumur 5 hingga 6 tahun. Objektifnya mudah saja, membolehkan
kanak-kanak berbilang kaum menghayati nilai-nilai hidup bermasyarakat dan membentuk anak-
anak yang memahami adat dan budaya setiap bangsa.

Sudah terang lagi bersuluh, kewujudan Sekolah Wawasan yang berkonsepkan belajar
bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama turut menyumbang
kepada penyatuan kaum di Malaysia. Pemerkasaan perpaduan juga diteruskan dengan wujudnya
Program RIMUP atau Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. Disebabkan wujudnya
kesedaran bahawa perpaduan tonggak kekuatan dan kestabilan, program RIMUP telah diwujudkan
untuk memupuk dan menyemai sikap bersatu padu dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah
lagi. Peranan RIMUP dalam penyatuan bangsa dalam kalangan anak muda jelas sekali apabila
program dimasukkan dalam Teras 1 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PIPP), iaitu
membina negara bangsa.

Hadirin yang saya muliakan,


Sudah kita tinjau sejarah lampau, kita sapa penggunaan bahasa, tidak cukup dengan itu saya
canangkan pula program pendidikan negara. Akhir kata, slogan pendidikan untuk perpaduan sudah
lama dijaja oleh ahli akademik, tokoh-tokoh pendidikan dan pencinta perpaduan. Ini bukanlah satu
istilah yang sukar untuk difahami. Andai ada orang bertanya, bagaimana perpaduan mampu
dijanakan? Jawapannya mudah saja iaitu, semua ini harus bermula daripada satu tapak yang
dinamakan pendidikan. Ayuh, saya ajak anda semua yang berada di hadapan saya, sama-sama kita
genggam erat, pendidikan sebagai wadah perpaduan. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai