Anda di halaman 1dari 3

TEKS PIDATO 2

Bismilahhiramannirahim

Kalau tidak kerana bintang


Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
Kalau tidak kerana pidato
Tak akan saya berada disini.

Datang bahtera dari Medan ,


Singgah sebentar di laluan Kerai,
Salam satu Malaysia saya hulurkan
Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum  W.B.H      

       Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang
sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya,
para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.

Jauh berlayar si pedagang Cina ,


Singgah di Melaka menjual sutera .
Bahasa melayu bahasa perantara ,
Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati

            Cogan kata Hidup Muafakat Membawa Berkat merupakan antara cogan kata yang dicipta
untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan masyarakat yang
berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini
dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan
kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki
masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan
kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting dalam
sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi dan bagi
merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh dipandang enteng kerana
bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina
negara bangsa yang bersatu padu ini sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan
kepentingan bahasa kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu,
izinkan saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini
yang bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri akar-akar
cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara Malaysia. Apabila memorabilia ini
membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi
sebagai lingua franca yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada
zaman itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan Inggeris

1
TEKS PIDATO 2

seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa
perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang berkunjung ke Melaka ketika itu.
Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu
berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak
lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang
kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah
bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa
perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,

          Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham antara kaum
dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga pendeta Zaaba yang
berbunyi bahasa menunjukkan bangsa. Apabila kita melihat masyarakat bertutur dalam bahasa
Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata
hikmat tersebut, saya sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan
semangat kecinaan, kemelayuan ataupun keindiaan.

          Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan ah

          Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu

          Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia dapat bermesra dan
bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan bahasa Melayu. Langkah Dewan
Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang
patut dipuji kerana perkataan pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang mengalami proses
kemalaysiaan sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di
Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila tidak kekok
berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah
bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu akan terbina kukuh di bawah payung
Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa Melayu itu merupakan medium
untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,

          Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa Melayu turut
menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya peroleh daripada Arkib
Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah
ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu
pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang
tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah
masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir
akan menodai keamanan sesebuah negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran
Malaysia kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan
Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di
luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan

2
TEKS PIDATO 2

sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh
memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini,
sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah
perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha Kementerian
Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa
Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan.
Pengisiannya jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan
bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak
perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada
khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan merosakkan
perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir
yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu
kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.

Anda mungkin juga menyukai