Anda di halaman 1dari 2

Kemilau danau menyilau mata,

Tempat putera menahan ikan,


Lafaz bismillah pembuka bicara,
Gelanggang pidato hamba mulakan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Salam Satu Malaysia, salam aprisiasi buat
saudara pengatur majlis, barisan panel hakim yang berkarisma, penjaga masa yang
peka dengan edaran jam, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal
minda dan penerus wadah tonggak negara. Tampilnya saya di sini adalah untuk
menyampaikan pidato yang bertajuk ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’.

Sidang hadirin yang dihormati,

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘memartabatkan’ bermaksud menjadikan


sesuatu itu mempunyai kedudukan yang tinggi pada mata masyarakat. Bahasa Melayu
merupakan wasilah terpenting dalam menyatukan bangsa Malaysia. Sesungguhnya,
apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan menjelaskan bahawa bahasa
kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Justeru, niat murni hendak
memartabatkan bahasa Melayu dapat menyatupadukan kaum-kaum di bawah satu
bahasa. Walaupun kita mempelajari bahasa asing sebagai bahasa global, namun kita
tidak seharusnya membiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing.
Hatta, setiap di antara kita bertanggungjawab untuk mencari pelbagai alternatif bagi
memartabatkan bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa ibunda kita.

Hadirin yang budiman,

Usaha sulung yang wajar dilaksanakan untuk memartabatkan bahasa ibunda kita
adalah kerajaan perlu sentiasa memastikan urusan rasmi negara seperti
surat-menyurat menggunakan Bahasa Melayu Malaysia. Hal ini demikian kerana, ia
menunjukkan bahawa Bahasa Melayu Malaysia adalah bahasa rasmi yang digunakan
dalam urusan yang melibatkan pentadbiran di negara ini. Terdapat sebahagian daripada
jabatan kerajaan dan agensi yang lebih gemar menggunakan Bahasa Inggeris dalam
komunikasi dan juga penjenamaan kempen. Tambahan pula, kata-kata pinjaman
bahasa asing yang digunakan dalam bahasa Melayu perlu dikurangkan. Kita
mempunyai pakar-pakar bahasa dan sasterawan yang mampu memberikan pilihan
perkataan yang sesuai berbanding dengan meminjam perkataan daripada bahasa
asing. Jika isu seperti ini dapat diselesaikan, martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan
kerana mempunyai identiti yang jelas dan unik.
Alternatif yang kedua adalah kerajaan seharusnya menghapuskan sekolah-sekolah
vernakular. Kesan penubuhan sekolah vernakular pada hari ini telah melahirkan
warganegara Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia. Pemansuhan
ini bukan bertujuan untuk merendahkan potensi kaum lain. Akan tetapi, sekiranya kita
disatukan di bawah institusi pendidikan yang sama, pastinya perpaduan yang utuh akan
terhasil. Intihanya, isu-isu rasisme yang masih kekal sehingga hari ini dapat
dikurangkan dengan menyatukan institusi pendidikan dan seterusnya mewujudkan
perpaduan yang lebih kukuh.

Pada masa yang sama, para penerbit dan usahawan sastera perlu berkecimpung
dalam dunia elektronik dengan menghasilkan banyak karya seni dan penyiaran dalam
bahasa Melayu. Seiring dengan peredaran zaman, karya sastera tidak boleh kekal di
takuk lama iaitu hanya dilakukan di atas media cetak. Usaha ini boleh direalisasikan
dengan bantuan pihak berkuasa seperti kerajaan untuk memberikan geran kepada
penggiat seni bagi menghasilkan karya yang memartabatkan bahasa Melayu. Bak kata
pujangga, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan untuk memartabatkan bahasa
Melayu sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik.

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Secara tuntas, semua pihak perlu memanifestasikan fikiran dan sinergi untuk mencari
inisiatif terbaik dalam meningkatkan darjat Bahasa Malaysia, bukan sahaja dalam
kalangan rakyat Malaysia bahkan di persada dunia. Tiada bukit yang tidak boleh didaki
dan tiada lurah yang tidak boleh dituruni, tiada apa yang mustahil untuk kita
memastikan martabat bahasa Melayu dipelihara. Kepentingan ini bukan sahaja untuk
warisan bangsa malahan mencerminkan identiti dan imej masyarakat kita untuk
dipersembahkan kepada pelancong asing.

Batang halban dibawa ke huma,


Hendak dirikan sebuah taman;
Bahasa kebangsaan milik bersama,
Kita ungkapkan sepanjang zaman.

Sekian sahaja pidato saya pada kali ini. Semoga bermanfaat buat hadirin sekalian.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(561 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai