Anda di halaman 1dari 3

bahasa melayu tonggak perpaduan bangsa malaysia

Bismilahhiramannirahim…

         Kalau tidak kerana soto ,


         tak akan ku rasa kenyang sekali ,
         Kalau tidak kerana pidato,
         Tak akan saya berada disini.

        Datang bahtera dari Medan ,


        Singgah sebentar di laluan Kerai,
        Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
        Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum  W.B.H      
       Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi
bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa
peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat
yang saya hormati.
  
        Jauh berlayar si pedagang Cina ,
            Singgah di Melaka menjual sutera .
        Bahasa melayu bahasa perantara ,
            Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati


            Cogan kata ‘Hidup Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata
yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam
kehidupan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang,
permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu
teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh
anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk
seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan kelangsungan
keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting dalam sesebuah
negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi dan bagi
merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh dipandang
enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah
bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu ini sebenarnya boleh
dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai
tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan saya untuk
menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini yang
bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,


          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita
menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara
Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau,
nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca yang
didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman itu.Hal ini
dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan Inggeris
seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai
bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang berkunjung ke Melaka
ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa, setiap insan
di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak lapuk dek
hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa
Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa kebangsaan
kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa hamparan
sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang
cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,


          Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham
antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga
pendeta Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Apabila kita melihat
masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka
ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya sangat percaya
bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan semangat ‘kecinaan’,
kemelayuan’ ataupun ‘keindiaan’.
          “Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan
ah”
          “Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”
          Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia
dapat bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan
bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap kali
edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan pinjaman
daripada bahasa Cina dan India yang mengalami proses ‘kemalaysiaan’ sememangnya
dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan
kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila tidak kekok berbicara, sudah
tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah
bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu akan terbina kukuh di bawah
payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa Melayu itu
merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,


          Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah
bahasa Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data
yang saya peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa
Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat
Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara
yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang tidak berilmu ibarat
masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah
masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah
tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah negara. Saya juga ingin
mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung
pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengembalikan mandat
kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sesungguhnya, langkah
ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di luar bandar dan di
kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan sebarang
jurang bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh
memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek
kritikal ini, sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan
itu dirapatkan, sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi.
Selain dasar baharu itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program
Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai
wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas
menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan bahasa
Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak
perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,


          Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin
mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa
kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan
saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah
berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa
kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai