Anda di halaman 1dari 3

Datang bahtera dari Medan ,

Singgah sebentar di laluan Kerai,

Salam satu Malaysia saya hulurkan ,

Kepada warga dewan pembuka tirai.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang sedang
menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, para
perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.

Jauh berlayar si pedagang Cina ,

Singgah di Melaka menjual sutera .

Bahasa melayu bahasa perantara ,

Tonggak utama perpaduan Negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati

Cogan kata ‘Hid up Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata yang dicipta
untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan masyarakat yang
berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini
dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan
kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki
masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan kelangsungan
keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting dalam sesebuah negara. Oleh
itu, izinkan saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang syarahan pada hari ini yang
bertajuk “Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia”.

Hadirin yang dirahmati,

Sebagai pembuka tirai Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca iaitu sebagai
bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman dahulu. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai
bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang berkunjung ke Melaka ketika
itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu
berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa
Melayu. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa
bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,


Melalui bahasa Melayu, buruk sangka dan salah faham antara kaum dapat dikikis dengan
mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga pendeta Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa
menunjukkan bangsa’. Apabila kita melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang
lagi bersuluh bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya
sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan semangat ‘kecinaan’,
kemelayuan’ ataupun ‘keindiaan’.

“Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan ah”

“Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”

setiap kaum di Malaysia dapat bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan
menggunakan bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap
kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan pinjaman daripada
bahasa Cina dan India yang mengalami proses ‘kemalaysiaan’ sememangnya dapat mewujudkan
perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam
bahasa kebangsaan. Apabila tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra.
Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu
akan terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa
Melayu itu merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di
Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,

Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa Melayu turut
menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya peroleh daripada Arkib
Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah
ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu
pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang
tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah
masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir
akan menodai keamanan sesebuah negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran
Malaysia kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan
Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di
luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan
sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh
memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini,
sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah
perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha Kementerian
Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa
Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan.
Pengisiannya jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan
bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak
perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,


Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada
khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan merosakkan
perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir
yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu
kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.

Anda mungkin juga menyukai