Anda di halaman 1dari 10

PENDAHULUAN Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum atau lebih dikenali sebagai masyarakat

majmuk. Situasi ini memerlukan negara menekankan kepada hubungan etnik yang mantap di kalangan rakyat negara ini. Apatah lagi bagi sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Maka, persoalan hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara berjalan rancak tanpa sebarang gangguan. Perpaduan antara kaum dan etnik yang pelbagai dalam sesebuah negara sangat penting. Jika di intai kembali peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, antara punca yang membawa kepada tragedi tersebut adalah timbulnya perasaan perkauman dan syak wasangka dalam kalangan penduduk Tanah Melayu. Perasaan cemburu, iri hati, dengki dan tidak puas hati yang bermaharajalela dalam kalangan penduduk pelbagai etnik pada ketika itu telah membawa kepada satu peristiwa yang sangat pahit. Nyawa dan harta benda melayang begitu sahaja dalam sekelip mata. Sungguh, perbalahan dan pertelingkahan itu tidak membuahkan hasil yang lumayan melainkan hanyalah kepada kita sendiri bahkan juga kepada negara yang dicintai. Oleh itu, perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk Malaysia yang berbilang etnik sangat penting bagi memastikan semua penduduk tidak kira bangsa, agama dan kaum dapat hidup dengan selesa, aman damai dan harmoni.

ESEI : LAPORAN RAZAK SEBAGAI PERINTIS PERPADUAN DALAM KALANGAN MURID PELBAGAI ETNIK DI MALAYSIA

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Satu peribahasa melayu yang acap kali singgah di telinga dan sering meniti di bibir kita. Sekali imbas sahaja kita sudah dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan. Apabila kita bersatu maka kita akan kuat sebaliknya apabila kita berpecah-belah, maka kita akan lemah dan hancur. Ia mempunyai kaitan yang rapat dengan perpaduan. Perpaduan merupakan satu isu yang sangat penting terutama sekali bagi negara kita yang mempunyai penduduk yang berbilang etnik. Menurut Kamus Dewan, perpaduan berasal daripada kata akar padu, yang membawa maksud bergantung, bersatu, bercampur untuk menjadi satu, kukuh dan utuh, bermuafakat, berunding dengan bersungguh-sungguh. Perpaduan atau solidarity dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Melihat kepada maksudnya sahaja sudah mencukupi untuk menerangkan kepada kita bahawa untuk menjadi kuat dan kukuh, tiada cara lain melainkan melalui perpaduan. Bagi kita rakyat Malaysia, yang pelbagai bangsa dan fahaman ini, perpaduan bermaksud kita semua mestilah bersatu, bermuafakat, bekerjasama, dan berunding untuk menjadi satu bangsa yang kuat. Perpaduan tidak akan utuh dan kuat begitu sahaja tanpa usaha yang padu dari pelbagai pihak. Ia hendaklah dipupuk daripada awal iaitu di peringkat sekolah lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Jadi, di sini pendidikan memainkan peranan yang sangat penting bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju yang mengikut acuan sendiri. Dalam hal ini, Laporan Razak 1956 telah menjadi perintis kepada perpaduan dalam kalangan murid pelbagai etnik di Malaysia.

Objektif utama Laporan Razak adalah perpaduan yang mana berfokus untuk mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu di samping mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Laporan Razak dianggap sebagai perintis kepada perpaduan dalam kalangan murid pelbagai etnik adalah kerana hasil daripada laporan tersebut, rakyat telah dapat disatukan di bawah satu kurikulum yang sama. Pendidikan pada zaman pemerintahan British lebih cenderung kepada pengasingan antara kaum di Tanah Melayu. Kaum Melayu, India dan Cina dipisahkan bukan sahaja dari segi penempatan, ekonomi bahkan juga dengan sistem pendidikan yang berbeza. Kaum India dan Cina diajar menggunakan sukatan pelajaran yang diambil daripada negeri asal mereka. Hal ini menyebabkan semangat cintakan tanah air tidak dapat diwujudkan dan timbulnya sifat prejudis antara kaum. British juga telah mewujudkan sekolah yang hanya sesuai untuk sesuatu kaum sahaja tanpa bahasa pengantar tunggal dan dipisahkan dengan kedudukan geografi yang mana telah mengehadkan pergaulan antara kaum. Keadaan ini telah mengakibatkan bercambahnya benih-benih perkauman dan perpecahan sehingga mereka hidup ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Perkara ini menunjukkan bahawa British langsung tidak menekankan perpaduan dalam sistem pendidikan ciptaan mereka. Namun, segala-galanya berubah setelah Laporan Razak diperkenalkan. Laporan Razak telah berjaya menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan etnik menerusi satu kurikulum yang seragam yang dibina bagi mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan perpaduan berpandukan rukun negara sehingga ke hari ini. Kurikulum dan perpaduan negara sememangnya mempunyai hubungan yang sangat rapat. Melalui kurikulum yang sama, murid dari pelbagai kaum dapat mengikuti kurikulum yang seragam melalui sukatan pelajaran yang sama kandungannya, melakukan kegiatan luar bilik darjah dan juga mengambil peperiksaan awam yang sama. Dengan itu, murid-murid akan lebih terbuka dalam memahami masyarakat berbilang kaum di negara ini. Hal ini mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk pelbagai etnik dan sikap saling bertolak-ansur dapat dipupuk. Dalam hal ini, memahami kepelbagaian kaum dan pemahaman

bahawa perkongsian dalam negara yang berbagai kaum adalah perlu bagi menjamin keamananan negara tercinta. Selain itu, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah juga telah dapat menyatupadukan murid pelbagai etnik di negara kita. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mempunyai kaitan yang rapat dengan usaha pembinaan negara. Bahasa Melayu yang digunakan adalah bagi membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi perantaraan yang berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat yang pelbagai dialek. Melalui penggunaan Bahasa Melayu juga perhubungan dan persefahaman antara kaum dapat diwujudkan seterusnya menghapuskan rasa curiga dan syak wasangka daripada mana-mana pihak. Setelah berlakunya tragedi berdarah pada 13 Mei 1969, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah telah ditekankan dan diperkuatkan serta dijalankan dengan cara yang paling berkesan. Dengan peredaran masa yang pantas, penggunaan Bahasa Melayu semakin meluas dan majoroti rakyat Malaysia boleh bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Masyarakat yang bersatu padu tidak dapat dibina jika sekiranya Bahasa Melayu tidak diperkenalkan dan digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan. Sebelum ini, masyarakat yang pelbagai kaum lebih cenderung untuk melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan kaum lain dan komunikasi antara mereka juga tidak wujud disebabkan masalah bahasa. Disebabkan itu, timbulnya prejudis dan persefahaman antara mereka tidak dapat dicapai. Jadi, bagaimana mungkin perpaduan dapat dicapai seandainya anggota masyarakat tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan tidak memahami antara satu sama lain? Oleh itu, Bahasa Melayu digunakan sebagai alat untuk mencapai perpaduan negara. Sehingga kini, Bahasa Melayu dijadikan satu subjek wajib di semua peringkat dan jenis sekolah di Malaysia dan kelulusan dalam subjek ini dijadikan syarat utama untuk mendapatkan kelulusan dalam peperiksaan awam. Seterusnya, Laporan Razak yang mencadangkan agar sekolah kebangsaan diwujudkan telah berjaya mencapai objektifnya untuk menyatupadukan murid pelbagai kaum di seluruh Malaysia. Sekolah kebangsaan yang telah diwujudkan ini telah menggalakkan penyatuan dan perpaduan antara murid pelbagai kaum dalam

satu sekolah yang sama. Apabila semua murid tidak mengira kaum berada di bawah satu bumbung yang sama, maka mereka akan dapat menjalinkan hubungan persahabatan dengan lebih erat dan juga berpeluang menjalankan aktiviti bersama dengan menggunakan pelbagai prasarana yang disediakan oleh sekolah tanpa ada dominasi ataupun diskriminasi. Setelah murid mengenali dan bersahabat dengan murid lain yang datang dari pelbagai kaum, maka murid akan saling dapat memahami adat, budaya, pemikiran dan juga perkara-perkara sensitif bagi sesuatu kaum yang tidak boleh diungkit. Dengan ini juga murid akan dapat memupuk semangat kekitaan di samping menguatkan lagi perpaduan dalam kalangan mereka yang mempunyai latar belakang yang berbeza-beza. Meskipun sekolah-sekolah jenis kebangsaan turut wujud di Malaysia, namun sekolah-sekolah ini juga turut mengamalkan sikap terbuka dengan tidak

mengehadkan pengambilan murid daripada kaum tertentu sahaja. Di sekolahsekolah jenis kebangsaan juga turut terdapat murid-murid daripada pelbagai kaum lain yang wujud secara minoriti bersekolah di sekolah terbabit. Hal ini membuktikan bahawa semua murid daripada pelbagai kaum dapat menerima antara satu sama lain. Mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di mana berada di bawah satu bumbung bersama kaum lain. Selain itu, menerusi aktiviti dan program yang pelbagai yang dijalankan di sekolah kebangsaan juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama murid yang berlainan kaum. Misalnya, aktiviti kokurikulum yang mana menggabungkan semua murid tidak mengira kaum dalam satu sukan ataupun permainan. Dengan cara ini, semua murid dapat bergaul, bermesra dan berseronok di samping dapat mengenali sesama mereka dengan lebih dekat. Di samping itu, sambutan perayaan ataupun hari kebesaran yang disambut bersama di sekolah turut dapat memupuk perpaduan yang jitu. Misalnya sambutan hari kemerdekaan dapat menguatkan lagi semangat kekitaan dan cintakan negara dalam kalangan murid pelbagai kaum. Laporan Razak yang telah diperkenalkan pada tahun 1956 ini nyata telah membuahkan hasil yang positif terhadap perpaduan sesuai dengan objektif utamanya iaitu untuk memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk yang pelbagai etnik di Malaysia. Menjadikan pendidikan sebagai wahana bagi mencapai perpaduan adalah satu langkah yang tepat kerana sekolah merupakan institusi yang paling

sesuai untuk menerapkan perpaduan. Pada peringkat sekolah inilah murid-murid mudah dilentur dan dibentuk. Jadi, pada peringkat sekolah ini perpaduan dan semangat kekitaan sesuai dan dapat diterapkan dalam diri murid secara efektif. Sebenarnya, mewujudkan dan mengukuhkan perpaduan bukanlah satu kerja yang mudah. Tambah-tambah lagi pada zaman modenisasi seperti sekarang, pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi harus ditempuh bagi memastikan perpaduan dapat juga diwujudkan antara masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Masalah berkaitan perpaduan sebenarnya wujud sejak lama dahulu lagi. Namun, selepas peristiwa 13 Mei 1969, barulah masyarakat mula membuka mata melihat isu ini dengan lebih serius dan mendalam menyedari bahawa akibat daripada perpecahan dan perbalahan antara kaum hanyalah membawa kepada kerugian dan perkara negatif. Tuntasnya di sini, Laporan Razak sememangnya telah memberi impak yang besar terhadap perpaduan negara melalui bidang pendidikan. Hal ini jelas dibuktikan dengan kenyataan-kenyataan yang telah diterangkan di atas. Laporan Razak merupakan asas kepada dasar pendidikan nasional yang berterusan hingga ke hari ini. Meskipun masih terdapat banyak kelemahan dalam pelaksanaannya namun ianya cuba ditangani dengan pelbagai dasar lain yang telah diperkenalkan selepasnya seperti Akta Pelajaran 1961 dan laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Kedua-dua dasar yang diperkenalkan ini masih membawa dan meneruskan dasar perpaduan Laporan Razak dengan meletakkan Bahasa Melayu sebagai prasyarat utama dan kurikulum yang sama. Kejayaan Laporan Razak dalam mewujudkan perpaduan di negara ini sudah tidak dapat dipertikaikan lagi.

PENUTUP Oleh kerana Malaysia mempunyai masyarakat yang majmuk maka konsep perpaduan dalam konteks negara ini perlu difahami dengan jelas. Satu prinsip Rukun Negara telah menyatakan bahawa perpaduan mestilah berupaya untuk menangkis semua gejala yang boleh memecahbelahkan rakyat, seperti semangat perkauman yang menebal dan perasaan kedaerahan yang melampau. Salah satu cara yang digunakan agar rakyat Malaysia sentiasa bersama adalah melalui pendidikan kebangsaan. Institusi sekolah diharap bukan lagi hanya sebagai tempat untuk belajar menulis, mengira dan membaca tetapi sekolah juga berperanan untuk membimbing pelajar untuk hidup bermasyarakat dan bernegara. Malah, cara ini di anggap paling berkesan kerana setiap orang pasti akan melangkah ke alam persekolahan dan keadaan ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan semangat cintakan negara berdasarkan sukatan pelajaran, penggunaan bahasa melayu dan sistem peperiksaan yang seragam. Semangat patriotik perlu ditanam dalam diri setiap kumpulan etnik agar negara kita kukuh daripada dijajah oleh anasir luar melalui pemikiran. Akhir kalam, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus bergerak sederap, seia sekata dalam iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Rakyat adalah aset negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi Wawasam 2020.

REFLEKSI Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah s.w.t pencipta sekalian alam dan makhluk di atas nikmat iman dan Islam yang dikurniakanNya maka saya telah dapat menyiapkan tugasan yang diberikan ini dengan lengkap dan sempurna, Alhamdulillah. Melalui tugasan Hubungan Etnik pada kali ini, saya telah berpeluang mempelajari banyak perkara baru dan menarik. Jika sebelum ini, saya kurang meminati subjek ini tetapi selepas mendapat tugasan ini saya menjadi lebih berminat untuk belajar dan mengetahui banyak perkara berkaitan dengan hubungan etnik di Malaysia. Saya juga telah menyedari bahawa pentingnya mempelajari mata pelajaran Hubungan Etnik untuk mengetahui keadaan negara kita secara lebih mendalam. Selain itu, saya juga telah menyedari akan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Hal ini seharusnya tidak dipandang enteng oleh semua pihak kerana perpaduan memainkan peranan penting dalam memastikan semua rakyat dalam negara tidak mengira bangsa, etnik, kaum dan agama dapat hidup dengan tenang, harmoni, aman dan damai tanpa timbulnya perbalahan dan perpecahan. Seterusnya, melalui tugasan ini juga saya telah dapat memahami tentang kepelbagaian etnik di Malaysia secara lebih mendalam dan terperinci. Maklumat yang diperoleh sedaya upaya saya gunakan sebaik mungkin agar dapat memberi manfaat dan faedah pada masa hadapan kelak. Namun begitu, dalam usaha menyempurnakan tugasan ini juga, saya telah mengalami beberapa masalah antaranya keliru dengan kehendak soalan,

kekurangan sumber rujukan dan beberapa lagi masalah lain. Namun, semua itu telah dapat saya atasi dengan bantuan pensyarah pembimbing iaitu Encik Zawawi Mokhtar dan juga rakan-rakan yang lain. Sungguh, jasa kalian semua tidak akan dapat saya lupakan. Selain itu, pengetahuan saya yang agak terbatas tentang Laporan Razak juga turut memberi masalah kepada saya. Saya sering keliru dengan cadangancadangan yang terkandung dalam laporan tersebut. Mujurlah, ada rakan-rakan yang

sudi membantu dan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada saya. Dengan bantuan mereka itulah, saya telah berjaya menyempurnakan tugasan ini dengan lengkap, Alhamdulillah. Akhir kalam, segala apa yang telah saya pelajari melalui tugasan ini akan saya aplikasikan pada masa hadapan. saya berharap agar hasil kerja saya ini dapat memuaskan hati semua pihak. Sekian, terima kasih.

RUJUKAN

Ahmad, A. (2008, Julai 20). Pendidikan untuk Perpaduan Etnik. Retrieved Mac 2012, from Negaraku Malaysia: http://nuar69.blogspot.com/2008/07/pendidikan-untuk-perpaduan-etnik.html

Anda mungkin juga menyukai