Anda di halaman 1dari 5

1.

0 Pengenalan

Hubungan etnik dan integrasi nasional adalah isu yang penting dalam pembinaan negara
Malaysia yang berbilang etnik. Menurut Nadzan Haron dan Rozeman Abu Hassan (2010),
integrasi bermaksud satu proses sosiobudaya dan sosiopolitik untuk mewujudkan jati diri
kebangsaan yang diterima oleh semua rakyat walaupun berbeza dari segi rumpun bangsa,
bahasa agama dan budaya. Maka integrasi nasional pula membawa maksud satu proses yang
menyatupadukan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat melalui pengenalan atau
pengwujudan satu identiti yang sama. Selain etnik Melayu, Cina dan India, terdapat etnik-etnik
lain seperti Orang Asli, Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan lain-lain lagi. Kepelbagaian ini
menuntut satu pendekatan yang membolehkan ke semua etnik ini dapat hidup bersama dan
berusaha memajukan negara tanpa perasaan syak wasangka dan tidak selamat. Terdapat juga
satu keratan akhbar Utusan Online yang menyatakan Malaysia berjaya membentuk kesepaduan
antara kaum kerana negara ini memilih konsep integrasi iaitu dengan memberi kebebasan
kepada setiap kaum untuk mengekalkan identiti, budaya dan bahasa masing-masing. Tetapi,
kesejahteraan hubungan antara kaum di Malaysia sejak kebelakangan ini tampak semakin luntur.
Maka, usaha-usaha perlu dilakukan oleh masyarakat untuk mengintegrasikan hubungan antara
kaum supaya lebih mantap.

2.0 Usaha-usaha mengintegrasikan hubungan antara kaum

Antara usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai integrasi nasional adalah melalui
pendidikan di sekolah. Pihak kerajaan harus berusaha terus untuk mencapai perpaduan
terutamanya melalui sistem pendidikan agar semangat kekitaan dapat dipupuk sejak dari bangku
sekolah dan juga cuba untuk menerapkan pendidikan yang berkaitan dengan perpaduan.
Umumnya, sekolah merupakan satu medium perhubungan antara pelajar pelbagai kaum. Jadi, ia
bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga berperanan sebagai satu pusat yang
memupuk perpaduan di kalangan pelajar di bangku sekolah. Pihak sekolah boleh menganjurkan
sukan, perkhemahan, program motivasi dan sebagainya agar pelajar dari aliran lain dapat turut
menyertainya. Misalnya, aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk dan mengeratkan
hubungan di kalangan murid dan juga antara sekolah serta masyarakat. Di samping itu, sekolah
wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah jenis
kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil juga mempercepat proses pengintegrasian
antara kaum. Sebagai contoh, aktiviti kumpulan yang dijalankan dapat memperkasa hubungan
kaum di peringkat sekolah. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia iaitu bahasa rasmi
negara kita sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan
pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain seperti slogan ‘bahasa jiwa bangsa’. Izharnya,
memang tidak boleh kita nafikan bahawa sistem pendidikan negara kita menjadi pemangkin
dalam proses memperkasa hubungan sesama kaum. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di
kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

Di samping itu, masyarakat Malaysia perlu sedar akan kepentingan perpaduan dan
integrasi nasional pada masa kini. Ramai di kalangan rakyat masih berpegang kepada sifat
perkauman yang kuat. Menurut Fatimi Hanaf & Zulkanain Abdul Rahman (2016), sikap
perkauman mudah menghasilkan hubungan yang tegang dan jarak sosial di antara individu-
individu atau kelompok-kelompok yang berlainan etnik. Maka, program kemasyarakatan seperti
rukun tetangga, gotong-royong dan hari keluarga perlu diadakan bagi memupuk semangat
kejiranan. Hubungan mesra di antara jiran tanpa mengira kaum boleh mewujudkan suasana
harmoni dalam kalangan rakyat. Setiap golongan kaum di negara ini akan membuat rumah
terbukan dan kunjung-mengunjungi ke rumah jiran atau kawan walaupun berlainan etnik
sempena perayaan seperti Hari Deepavali, Hari raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina (Ahmad
Fauzi, 2016). Sebuah keratan akhbar Utusan Online menyokong kenyataan ini bahawa amalan
rumah terbuka mampu memupuk perpaduan berbilang kaum di negara kita. Misalnya, etnik India
akan menyediakan makanan halal kepada orang Melayu apabila mereka dijemput datang ke
rumah terbuka. Senario ini menunjukkan bahawa etnik India mengambil berat dan memahami
budaya etnik Melayu. Maka, pertimbangan ini menunjukkan keharmonian hubungan etnik yang
terjalin kukuh serta sikap memahami dan menghormati budaya masing-masing. Amalan ini
membuktikan integrasi sosial dalam kalangan masyarakat begitu tinggi walaupun berlainan
agama dan bangsa.

Kerajaan juga boleh memantapkan lagi integrasi kaum dengan mewajibkan remaja yang
17 tahun ke atas untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan
PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat kekitaan dalam naluri remaja yang
merupakan tunjang negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum
berpeluang untuk mengembleng tenaga bagai aur dengan tebing melalui aktiviti-aktiviti kumpulan
yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut
memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum (Ahmad Ali, 2015).
Pembentukan rakyat yang diharapkan akan dicapai oleh PLKN adalah selaras dengan falsafah
Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1991. Sepertimana yang ita tahu negara Malaysia
terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya perlu dibina dengan satu
ikatan kesatuan supaya kaum remaja ini akan mewarisi kepemimpinan negara pada masa kelak.

Selanjutnya, penglibatan dalam Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)


mampu melahirkan integrasi hubungan kaum dan persefahaman antara murid pelbagai kaum di
sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggerakkan semula RIMUP dan
memberikannya pendekatan yang lebih segar sebagai salah satu langkah untuk membolehkan
murid di sekolah yang majority muridnya terdiri daripada satu kaum sahaja berinteraksi dan
bergaul dengan murid pelbagai kaum dari sekolah lain. Rancangan ini juga bertujuan untuk
memastikan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid serta warga sekolah dalam aktiviti
sekolah. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan supaya dapat mewujudkan sikap kerjasama, bertolak ansur,
hormat-menghormati dan sekaligus melahirkan persefahaman antara murid pelbagai kaum di
sekolah serta berkongsi kemudahan peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakkan
kegiatan khas secara bersama. Segala aktiviti yang dilaksanakan di bawah rancangan ini setiap
seorang pasti ditanam dengan rasa cinta kepada Negara, memupuk semangat perpaduan dan
peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di kalangan murid. Di samping itu, penerapan
sikap dan nilai-niai yang murni dapat mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dalam
kalangan muriid yang berbilang bangsa (Noriati A. Rashid, 2008).

Dari kaca mata yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah
satu langkah dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita dalam mencapai
integrasi kaum. Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yakni Melayu, Cina dan India.
Rakyat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka dari aspek pemakanan, pemakaian dan
peradaban serta berkongsi dengan kaum-kaum lain. Sebagai contoh, semakin ramai wanita
bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis dan
kuliah-kuliah. Makanan India seperti roti canai dan tosei juga semakin diminati oleh kaum yang
lain. Jelas bahawa kebudayaan kebangsaan merupakan isu penting dalam mewujudkan negara
Malaysia yang harmoni. Dari segi takrifnya kebudayaan kebangsaan merujuk kepada
kebudayaan negara yang rasmi dan bersifat formal tetap merentasi batasan etnik. Ini bermakna
dalam konteks Malaysia, ini bersifat sepunya dan rasmi bagi semua kaum dan mencerminkan
kemalaysiannya. Oleh itu, kemasukan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat
menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi hubungan
integrasi kaum dalam negara.
Tambahan pula, bidang sukan bukan sahaja medan melahirkan ahli sukan semata-
mata, tetapi sebenarnya juga berperanan menjadi landasan mengintegrasikan hubungan antara
kaum. Ini kerana sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan
batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan masa.
Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan di semua sekolah di Malaysia menjadi penggerak utama
perpaduan murid berbilang kaum di negara ini. Dasar tersebut dibuat setelah terbukti bahawa
sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Menurut kata bekas
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Meor Shaharuddin, dengan
menceburi bidang sukan, akan dapat memupuk semangat setiakawan dan
berpasukan terutamanya dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita di samping mampu
melahirkan atlit yang berkaliber sehingga ke peringkat antarabangsa. Seterusnya, melalui
Kejohanan Sukan Malaysia atau secara ringkasnya SUKMA juga berperanan sukan dalam
membentuk perpaduan kaum juga boleh dilihat melalui acara sukan berkumpulan seperti bola
sepak, badminton beregu, kapal layar dan sebagainya. Acara berkumpulan memerlukan
semangat kerjasama yang tinggi di antara ahli kumpulan tanpa mengira warna kulit mahupun
kepercayaan masing-masing. Sekiranya masing-masing membuang sifat perkauman serta sikap
prejudis di kalangan ahli kumpulan yang berlainan bangsa, pastinya kumpulan sukan itu mampu
mencapai kemenangan serta melangkahlebih jauh.

Selanjutnya, dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan
bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang
boleh mencetuskan provokasi kaum. Menurut kata Tun Juhar Mahiruddin (2014), rakyat Malaysia
perlu menghindari sebarang tindakan yang boleh menncetuskan provokasi kaum bagi
mengekalkan persefahaman serta perpaduan demi kesinambungan generasi masa depan.
Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan
mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan
kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan
bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan adalah elemen
yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak
sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Oleh yang demikian hubungan etnik seharusnya
dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan saling hormat menghormati antara
kaum. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha
memupuk perpaduan kaum di negara kita.

3.0 Kesimpulan

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya mengeratkan hubungan


pelbagai etnik dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Hubungan etnik ini akan
melahirkan masyarakat Malaysia yang harmonis, saling bekerjasama dan bersefahaman dan
sentiasa menghayati perjanjian kemasyarakatan yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan
lagi. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum,
nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan
liberalisasi. Maka pelbagai usaha dijalankan demi menuju ke arah membentuk sebuah
masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan
adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan
dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah
pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.

Anda mungkin juga menyukai