Anda di halaman 1dari 3

Salam Malaysia Madani,

Yang dihormati saudari pengacara majlis,barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana,guru-guru dan hadirin sekalian.Tajuk syarahan yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Perpaduan Tunjang Keharmonian Negara.

Hadirin sekalian,

Sejak mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia telah


menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam mencapai keamanan pada
hari ini. Namun begitu, keharmonian yang dinikmati oleh nenek dan moyang
kita semakin hari semakin goyah. Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai
rambut yang sama hitam tetapi hati masing-masing lain. Justeru, meraikan
perbezaan dan sikap toleransi hendaklah dipupuk dalam setiap individu
yang ingin melihat negara kita maju ke hadapan.

Hadirin yang dihormati,

Apakah usaha dalam memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia? Salah


satu usaha yang pasti membuahkan perpaduan antara kaum di Malaysia
adalah dengan menyatukan institusi pendidikan dari peringkat rendah.
Secara langsung dan tidak langsung, mereka akan berinteraksi dan bergaul
sesama mereka dan melahirkan kesefahaman serta kekitaan dalam
menghadapi persekolahan. Tegasnya, dengan menyatukan institusi
pendidikan di bawah satu sistem sahaja semangat perpaduan antara kaum
dapat dilahirkan persis kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari
rebungnya.

Usaha lain untuk memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia


adalah dengan menyambut hari perayaan bersama-sama. Negara kita
merupakan antara masyarakat yang banyak meraikan perayaan sepanjang
tahun iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Deepavali,
Wesak, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan Hari Natal. Dengan pengajuran
rumah terbuka, bangsa lain boleh mempelajari dan menikmati hidangan
yang lazimnya dihidangkan. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Pada masa yang sama, aktiviti kunjung mengunjung semasa hari perayaan
dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga dan komuniti.

Dari kaca mata yang lain, perpaduan antara kaum boleh dipupuk
dengan memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi . Selain manfaat kesihatan,
aktiviti sukan dan rekreasi juga mampu melahirkan sifat bekerjasama dan
toleransi antara satu sama lain. Oleh itu, pihak kerajaan hendaklah
berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam menyediakan dan
menyelenggara infrastruktur rekreasi dan sukan untuk masyarakat umum.
Intihannya, dengan menyertai aktiviti sukan dan rekreasi, masyarakat
bukan sahaja dapat bersatu padu malah menjadi lebih sihat dan cergas.

Seiring dengan itu, mempergiat aktiviti gotong-royong sukarelawan


dan kebajikan dalam komuniti juga dapat melahirkan perpaduan antara
kaum. Ibarat kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Secara tidak langsung, penyertaan yang aktif dalam aktiviti sukarelawan
atau kebajikan dapat menambah nilai perpaduan antara kaum.

Hadirin sekalian,

Sebenarnya, banyak usaha yang boleh dijalankan untuk memastikan


perpaduan antara kaum kekal utuh. Masyarakat hari ini sudah mempunyai
minda yang terbuka untuk menerima dan menghormati kaum atau bangsa
lain serta hidup dengan aman dan harmoni di bawah satu bendera. Semoga
usaha-usaha di atas dapat direalisasikan dan menjadi tunjang kemajuan
negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara
maju yang lain.

Sekian,terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai