Anda di halaman 1dari 3

Dalam mengharungi arus globalisasi dan pemodenan serta menerajui dunia ketiga,

setiap negara bersaing antara satu sama lain untuk menduduki tempat pertama di persada
dunia yang makin hari makin tertelan arus dalam pembangunan bidang sains dan teknologi.
Negara kita, Malaysia tidak tertinggal dalam persaingan ini. Kita pula berkejar untuk
mencapai Wawasan 2020 yang merupakan garis panduan masa depan negara kita.
Menurut kata Perdana Menteri yang keenam, keakraban rencaman kaum merupakan
penawar yang paling mujarab bagi menyemarakkan keakraban kaum bak kata pepatah
bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat. Sebelum memulakan
sesebuah kerja, kita haruslah memastikan tenaga kerja yang diperlukan dan komitmen
sesebuah organisasi tersebut. Begitu jugalah dalam pencapaian gagasan Wawasan 2020
ini. Wawasan 2020 ini adalah satu projek di mana ia memerlukan tenaga kerja orang ramai
dan komitmen rakyat dalam membentuk perpaduan agar matlamat dapat dicapai. Memupuk
perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum bukanlah begitu
senang malah ia memerlukan usaha-usaha yang proaktif dan efektif dalam merealisasikan
aspirasi rakyat seantero Malaysia.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, pada pandangan saya terdapat beberapa
cadangan-cadangan baharu yang saya rasa sesuai bagi menguatkan serta mengukuhkan
hubungan etnik dan integrasi masyarakat Malaysia di masa hadapan. Antaranya ialah
melalui sistem persekolahan iaitu dengan wujudnya Sekolah Wawasan. Apakah itu Sekolah
Wawasan? Sekolah Wawasan merupakan sekolah integrasi yang berpegang kepada
konsep belajar bersama-sama di bawah satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa
mengira kaum dan agama. Konsep ini bermaksud sekolah yang berlainan aliran seperti
Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan berada di satu kawasan sekolah yang
sama dengan berkongsi kemudahan-kemudahan asas seperti kantin, bilik komputer,
padang, pusat sumber dan sebagainya.
Matlamat sekolah wawasan ini adalah untuk mewujudkan perpaduan di kalangan
murid-murid yang berbagai bangsa latar belakang dan fahaman agama yang berbeza.
Pemupukan perpaduan haruslah dipraktikkan sejak kecil lagi bak kata, pepatah melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Remaja adalah tulang belakang negara dan masa depan
negara adalah dalam tangan mereka. Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku
mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang
muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia. Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis
daripada mantan Presiden Indonesia, Soekarno ini adalah satu contoh yang terbaik dan
yang kukuh bagi menjelaskan bahawa betapa pentingnya peranan remaja dalam
membentuk masa depan sesebuah negara. Jadi pembentukan sekolah Wawasan ini mampu
melahirkan generasi yang mementingkan perpaduan antara satu sama lain dan generasi

yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah
negara yang bersatu padu. Tambahan pula perkongsian kawasan dan kemudahan sekolah
ini memungkinkan usaha-usaha penerapan nilai-nilai masyarakat majmuk serta memupuk
toleransi dan semangat bekerjasama serta persefahaman antara kaum khususnya dalam
kalangan murid-murid sekolah sejak di peringkat rendah lagi.
Cadangan kedua yang saya rasa sesuai bagi menguatkan serta mengukuhkan
hubungan etnik dan integrasi masyarakat Malaysia di masa hadapan ialah aktiviti
kemasyarakatan seperti Rukun Tetangga dan sebagainya yang dapat memupuk perpaduan
kaum melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam program-program tersebut. Melalui
aktiviti-aktiviti sebegini, setiap kaum akan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti dan
saling membantu antara satu sama lain dengan tidak adanya sikap mementingkan diri bak
kata pepatah, enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Pada masa kini
ramai yang mengejar dunia materialistik siang dan malam tanpa menyedari betapa
pentingnya sifat kejiranana dan kehidupan bermasyarakat. Hal ini berleluasa dalam
masyarakat yang terutamanya duduk di bandar.
Penduduk bandar jarang menegur antara satu sama lain sedangkan mereka sangat
sibuk dengan kerja mereka. Apabila Rukun Tetangga atau pihak bertanggungjawab yang
lain mengadakan aktiviti-aktiviti sebegini pada hari cuti, semua penghuni satu taman dapat
dikumpulkan dan ini adalah peluang terbaik bagi mereka untuk berkenalan antara satu sama
lain. Tambahan pula, sikap negatif masyarakat terhadap semangat kejirananan dapat
dihapuskan. Aktiviti seperti gotong-royong memerlukan sumbangan daripada setiap pihak
agar dapat menjayakan aktiviti tersebut dan secara tidak langsung perpaduan dapat dipupuk
dan dapatnya melahirkan sebuah masayarakat yang mementingkan dan mengamalkan
semangat kejiranan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan adalah salah satu saluran yang
terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat selaras
dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun terdiri
daripada berlainan bangsa dan agama.
Selain itu, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah satu
langkah baru yang saya rasa sesuai bagi menguatkan serta mengukuhkan hubungan etnik
dan integrasi masyarakat Malaysia di masa hadapan. Dalam hal ini, perayaan memainkan
peranan yang penting di mana semua kaum di Malaysia hanya pernah menyambut semua
jenis perayaan bersama-sama dan tidak pernah adanya sebarang perselisihan faham
tentang hal tersebut. Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina
dan India. Tanpa sebarang tindasan rakyat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka
dari aspek pemakaian, pemakanan dan peradaban.

Sebagai contohnya, Orang Cina dan India makan Satay dan ketupat iaitu makanan
tradisional orang Melayu. Ramai wanita bukan Melayu pula memakai baju tradisional Orang
Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis formal ataupun ke kuliah. Makanan India seperti
tosai dan roti canai pula digemari oleh semua kaum. Dari kaca mata yang lain pula, semasa
kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Puasa, rakyat dari seluruh
negara telah memberi komitmen yang paling tinggi di mana ramai yang terdiri daripada
agama Hindu, Buddha dan sebagainya menghadirkan diri mereka dan menyambut sekali
Hari Raya Puasa. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan
hubungan antara kaum di Malaysia bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh. Oleh
itu, dengan menyambut pelbagai perayaan bersama-sama dan penerapan nilai-nilai budaya
dan warisan, saya rasa perpaduan antara kaum dapat dicapai.
Sebagai intijahnya, perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat majmuk
adalah satu keistimewaan yang harus dipeliharai oleh semua kaum di negara kita. Dengan
adanya perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, dapatlah kita menikmati
kekayaan negara bersama-sama serta wujudnya suasana yang positif. Dalam rancangan
Malaysia yang terbaru banyak lagi program telah dicadangkan supaya perpaduan dalam
kalangan rakyat Malaysia dapat dikukuhkan lagi. Perancangan untuk mewujudkan satu
bangsa Malaysia dalam rancangan Malaysia yang kedua telah dibawa semula dalam
Rancangan Malaysia kesepuluh sekarang iaitu di dalam program SATU MALAYSIA yang
bertujuan untuk mewujudkan satu sahaja bangsa Malaysia. Bagi merelisasikan konsep satu
bangsa Malaysia , semua pihak haruslah berganding bahu dan mengorak langkah bersamasama menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan mampu berdiri sebagai sebuah
negara yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Anda mungkin juga menyukai