Anda di halaman 1dari 3

BAHASA MELAYU TONGGAK PERPADUAN BANGSA MALAYSIA

Bismilahhiramannirahim…

Kalau tidak kerana bintang,


Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
Kalau tidak kerana pidato,
Tak akan saya berada disini.

Datang bahtera dari Medan ,


Singgah sebentar di laluan Kerai,
Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum W.B.H

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang
sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak
jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.

Jauh berlayar si pedagang Cina ,


Singgah di Melaka menjual sutera .
Bahasa melayu bahasa perantara ,
Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati

Cogan kata ‘Hidup Muafakat Membawa Berkat’ merupakan antara cogan kata yang
dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan
masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti
perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan
ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan.
Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada
perpaduan untuk meneruskan kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin
bahawa perpaduan penting dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara
berpendapatan tinggi dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan
tidak boleh dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan
mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu ini
sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa
kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan saya
untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini yang
bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,

Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri
akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara Malaysia. Apabila
memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, nyatalah bahawa Bahasa
Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan
antara masyarakat pada zaman itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti
catatan ilmuwan Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu
telah digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat
yang berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan
biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak
lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa
Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa kebangsaan kita
sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas
membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di
dunia.

Hadirin yang dikasihi,

Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa Melayu
turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya peroleh
daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu kerana hampir
800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk
pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk
memupuk perpaduan. Masarakat yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak
bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli
mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan
sesebuah negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan
terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana
mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di luar
bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan
sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu
boleh memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran
subjek kritikal ini, sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu
dirapatkan, sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain
dasar baharu itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program
Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai
wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas
menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu
dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,

Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan
kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan
merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa
insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu,
sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu
tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai