Anda di halaman 1dari 2

Salam apresiasi kepada peneraju acara, para hakim teguh saksama dan warga dewan

pencinta Bahasa Melayu. Hayatilah sebuah pidato dengan mata hati. Dengarkan agar

meresap dalam sanubari ‘ Bahasa Melayu Menjana Keintelektualan Bangsa ‘

Hadirin yang dihormati,

Dengan penuh iltizam ingin saya menyebarkan dogma bahawa ‘ Bahasa Melayu

Menjana Keintelektualan Bangsa ‘ bukanlah dongengan si tukang karut. Bahasa

merupakan citra masyarakat, budaya, akal budi, jiwa atau roh sesuatu bangsa. Bahasa

bukan sahaja dilihat sebagai sistem linguistik tetapi bahasa itulah tergambarnya etos

kita sebagai satu bangsa yang berilmu dan berintelektual.

Warga dewan yang disanjungi,

Sejarah tidak pernah menipu kita. Hamparan sejarah negara Malaysia membuktikan

bahasa Melayu amat unggul terutama dalam adikarya seantero dunia. Catatan ilmuwan

Inggeris seperti R.O Winsted menunjukkan bahasa Melayu berfungsi sebagai lingua

franca pada abad ke-15 di Melaka. Segala surat rasmi dan dokumen perjanjian

menggunakan bahasa Melayu bertulis jawi. Nah, apa lagi yang kita mampu pertikaikan

bahawa ia mampu menjadi wadah untuk menyampaikan buah fikiran dan

berkomunikasi pada ketika itu.

Hadirin sekalian,

Menurut Nik Safiah Karim Bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai bahasa akademik

yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baru

dalam aneka domain ilmu moden. Misalnya dalam bidang kejuruteraan. Bahasa Melayu

harus mempunyai laras-laras bahasa yang khusus untuk menerangkan hal-hal tentang

kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan sebagainya Perbendaharaan kata, istilah

dan laras bahasa yang sesuai dapat dikembangkan.


Warga dewan yang dikasihi,

Akar bahasa terpasak di tanah air ini. Hebatnya apabila kita berupaya menjadikan

bahasa Melayu yang menyatukan persada dunia. Hasil dapatan saya, Universiti

Kebangsaan Malaysia telah menjulat usaha memartabatkan bahasa ini. Maka

diwujudkan jawatankuasa Penataran Bahasa Melayu (PENABAYU) untuk

mengantarabangsakan bahasa Melayu. Sudah terang lagi bersuluh, gagahlah bahasa,

dahsyatlah bangsa. Justeru, Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan

toleransi yang begitu tinggi kepada kemasukan istilah-istilah baharu dan kata asing.

Dinamika ini amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu terus bertahan sebagai

satu bahasa yang ekspresif dalam bidang ilmu.

Warga dewan yang dikasihi,

Bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyampaikan pelbagai ilmu dan pengetahuan,

malah berupaya memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan. Hasil

kajian ini tentang nilai bahasa Melayu dalam penggemblengan ilmu dan pengetahuan

turut dibuktikan sejak sekian lama menerusi perpaduan yang kukuh dalam kalangan

masyarakat. Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia

digunakan secara bersama dan meluas. Kesempurnaan nilai bahasa Melayu dalam

aspek ilmiah pula harus mempunyai sistem dan peraturan yang lengkap, untuk

mencetuskan persefahaman. Pencapaian taraf keintelektualan dalam nilai bahasa

Melayu akan menjadi lebih nyata apabila digunakan sebagai bahasa ilmiah dalam

komunikasi demi perpaduan.

Konklusinya, percaya dan yakinlah bahawa bahasa kita ini mampu menjana

keintelektualan bangsa.Kedudukan ini perlu diperkukuhkan dan tidak perlu disangsikan.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai