Anda di halaman 1dari 7

Memartabatkan bahasa Melayu memerlukan usaha secara berterusan

Pada saat perhatian hampir semua orang tertumpu pada globalisasi, dasar langit
terbuka, ledakan maklumat, pencapaian taraf negara maju sepenuhnya menjelang 2020
dan segala agenda besar lain yang merangsang cita manusia, terasa ironis juga apabila
kita masih perlu berbicara tentang nasib dan martabat bahasa Melayu yang kian
diperanaktirikan. Sejauh manakah usaha kita sebagai warga Malaysia memartabatkan
bahasa Melayu? Tepuk dada dan tanya selera.

Yang Mulia Tuan Peneraju acara, Yang Berbahagia Pensyarah pembimbing, En


Shafiee b. Hassan dari Jabatan Bahasa Melayu, dan seterusnya rakan seperjuangan
yang saya hormati dan kasihi sekalian. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
dan salam memartabatkan Bahasa Melayu. Sejak akhir –akhir ini, martabat bahasa
Melayu kian tercabar dan dirobek menyebabkan kegemilangan bahasa Melayu tidak
sehebat pada zaman dahulu. Sejajar dengan tajuk bicara perdana saya pada hari ini
iaitu ‘ Memartabatkan Bahasa Melayu Perlukan usaha secara berterusan ‘, saya akan
merungkaikan masalah ini dan seterusnya membicarakan tentang usaha-usaha
memartabatkan bahasa Melayu.

Warga dewan yang budiman,


Tak lengkap keris tanpa sarungnya, tak lengkap bahtera tanpa sauhnya dan tak
lengkaplah pidato ini tanpa definisinya. Justeru, izinkan saya menginterpretasikan tajuk
pidato saya pada hari ini. Dari segi konseptualnya, menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, frasa memartabatkan membawa maksud menjadikan sesuatu bermartabat
( berkedudukan pada mata masyarakat, darjat, pangkat, tingkat ) , frasa bahasa pula
membawa erti sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan
dalam lingkungan satu kelompok manusia manakala frasa usaha bermaksud daya
upaya ( ikhtiar, kegiatan perbuatan dan lain-lain ) untuk mencapai sesuatu dan menurut
kamus yang sama, frasa yang terakhir iaitu berterusan membawa maksud tidak
berkeputusan, berlanjutan dan berkepanjangan. Sebagai konklusinya, memartabatkan
Bahasa Melayu Perlukan usaha secara berterusan, secara istilahnya dapat
dimaksudkan sebagai usaha-usaha yang dilakukan untuk meningkatkan darjat bahasa
kebangsaan merupakan usaha yang berpanjangan dan tidak putus-putus.

Sidang saksi bermisi sekalian,

Memang tidak dapat dinafikan lagi, Bahasa Melayu memerlukan usaha yang
berterusan sebagai wahana memartabatkan bahasa Melayu. Perspektif saya yang
pertama untuk memartabatkan bahasa Melayu ialah bermula dari pihak kerajaan
sendiri, Kerajaan bertanggunjawab untuk meningkatkan dasar bahasa dan
penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu dan sistematik. Sebagai contoh,
Berlandaskan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan,
pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan
semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di seluruh peringkat di negara kita
mengutamakan penggunaan bahasa Melayu. Semua peruntukan yang sedia ada dalam
undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan
jujur dan berkesan oleh semua lapisan masyarakat yang bergelar rakyat Malaysia.
Usahlah ada sebarang tindakan yang dapat mencabul serta melemahkan undang-
undang tersebut, tidak kiralah dengan pengenalan dasar baharu, pernyataan atau
tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.

Warga dewan yang berkarisma sekalian ,

Bagi perspektif saya yang kedua, kerajaan perlu memberi penegasan yang lebih
serius kepada usaha memartbatkan bahasa melayu dalam dua aspek yang penting
melalui pendidikan . Yang pertama ialah penggunaan bahasa melayu bukan sahaja
bahasa pendidikan, malah sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan
pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa
Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuhkan oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran
Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan
1966.Jadi, Kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang masih ditonjolkan
seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti-universiti lain tidak harus
direncatkan. Aspek kedua pula ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun
dan mewakili budaya tinggi melalui proses pendidikan di sekolah seperti proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P), silibus pelajaran, buku teks dan tidak lupa juga
melalui kegiatan kokurikulum. Secara tidak langsung dapat mengatasi masalah
pelbagai ragam bahasa seperti bahasa rojak, bahasa sms atau yang lain supaya
masalah tersebut tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras
bangsa kita.

Hadirin yang budiman sekalian,


Kita teruskan perspektif saya yang ketiga, sekali lagi saya ingin mengutarakan
pendapat saya kepada kerajaan bahawa kerajaan perlu menambah komponen bahasa
dan persuratan dalam pelbagai program negara. Semua program negara yang bersifat
pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti dimasukkan program bahasa dan
persuratan, misalnya dalam kursus Biro Tatanegara (BTN), Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN), KP3P dan sebagainya. Komponen inilah dapat memberi kefahaman
dan kepentingan bahasa Melayu seterusnya dapat memartabatkan bahasa Melayu.
Selain itu, setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa,
penulisan dan persuratan dalam program” kursus dalam perkkhidmatan” masing
-masing. Secara tidak langsung, bahasa Melayu tidak hanyut dan tenggelam dalam
zaman globalisasi ini. Selain itu juga, modul bahasa dan persuratan juga perlu
dimasukkan dalam kursus atau apa-apa juga motivasi untuk kalangan golongan
profesional dan ahli politik. Sesungguhnya golongan inilah menjadi tulang belakang
asas pentadbiran negara. Sekali lagi saya ingin tekankan, jika usaha ini dilakukan
secara berterusan, insya-Allah martabat bahasa Melayu bukan sahaja dapat
dikembalikan, tetapi dapat ditingkatkan.

Warga dewan pewaris negara sekalian,


Di samping itu, pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu
menjadi perspektif saya yang keempat kerana salah satu usaha untuk memartabatkan
bahasa Melayu. Usaha ini sangat penting kerana untuk mengembalikan kegemilangan
bahasa Melayu seperti dahulu. Adakah tuan puan ingat bahawa bahasa Melayu pernah
digelar sebagai lingua franca? Kenapa diberi gelaran tersebut? Apa maksud lingua
franca? Jadi, aspek inilah yang kita perlu bincangkan agar rakyat Malaysia masa
hadapan dapat mengetahui kehebatan dan kegemilangan bahasa Melayu. Bagi
merealisasikan usaha ini, kita semua bertanggugjawab untuk meningkatkan usaha
penggayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu agar bahasa Melayu
lebih popular sebagai bahasa budaya tinggi. Salah satu usaha yang kita dapat
tingkatkan ialah menerbitkan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang
untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Jadi,
tidak hairanlah jika kita sama – sama memberi cadangan dimana agenda penting ini,
iaitu pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam
agenda pembangunan negara bukan sahaja melalui bajet tahunan, tetapi dalam
Belanjawan Negara. Secara tidak langsung, kita dapat mengembalikan kegemilangan
bahasa Melayu seterusnya kita dapat mengangkat martabat bahasa Melayu di persada
dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian ,

Memang tidak dapat dinafikan lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak
jemu meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Usaha inilah yang dapat
merangsang kita semua bahawa kita juga mempunyai tanggunggjawab untuk
memartabatkan bahasa Melayu. Jadi, bersatu tenaga untuk memartabatkan bahasa
Melayu dengan menyertai gerakan dan persatuan yang sentiasa membela nasib
bahasa Melayu menjadi perspektif saya yang kelima. Bak kata pepatah ‘bersatu teguh,
bercerai roboh’. Terdapat banyak pergerakan atau persatuan yang membela bahasa
ibunda kita sejak sebelum merdeka lagi. Gerakan yang terkini yang memerlukan kita
semua sebagai penyokong untuk memartabatkan bahasa melayu ialah Garakan Anti
PPSMI (GAP). Gerakan Anti PPSMI (GAP) adalah suatu usaha kesedaran "Selamatkan
Bahasa Melayu" yang ditubuhkan oleh PKPIM bagi memastikan Perkara 152,
perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia)
menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam
bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen" terus diperlihara. Penglibatan kita dalam
gerakan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu sejajar
dengan ayat terakhir dalam kertas kerja Aminduddin Baki, dalam Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu 1956 mengungkapkan falsafah pendidikan beliau, “Sa-sunggoh-nya,
masaalah “Perkembangan Bahasa Melayu Dalam Sekolah Rendah dan Menengah”
ada-lah berpusat dan bergantong kapada usaha2 menggunakan-nya sa-bagai bahasa
pengantar pelajaran dengan tidak bertanggoh dan berdaleh lagi.” Pelaksanaan dasar
PPSMI sudah meruntuhkan tembok bahasa yang memisahkan orang Melayu daripada
pendidikan, dan berjaya membuang kepungan ilmu yang membodohkan orang Melayu.
Sekarang PPSMI akan membina kembali tembok bahasa yang mengepung ilmu itu.
Alhamdulillah, PPSMI ini dimansuhkan berkat perjuangan kita semua, sesungguh jika
tiada permuafakat antara kita semua, dasar ini diteruskan dan memberi kesan yang
buruk terhadap martabat bahasa Melayu.

Warga pencinta bahasa Melayu sekalian,

Tegak-tegakkan badan anda, lurus majukan bahu anda, ayuh dengarkanlah


perspektif saya yang keenam iaitu pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran
dan media massa juga adalah salah satu wadah untuk memastikan martabat bahasa
Melayu terus terpelihara. Usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa
media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai agen pemantapan bahasa yang
baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Sekaligus dapat
mengurangkan pengaruh terhadap penggunaan bahasa rojak, dimana bahasa inilah
yang sering digunakan dalam penyiaran media massa seperti cerita dan filem dalam
televisyen. Jadi, tindakan ini perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan
apa jua tindakan agar pihak media massa sedar agar tanggungjawabnya. Setelah
gagasan idea bernas saya kemukakan, sudah terang lagi bersuluh usaha-usaha
memartabatkan Bahasa Melayu sememangnya memerlukan pemantauan berterusan
terhadap bidang penyiaran dan media massa.
Warga dewan yang budiman,

Atas lembayung kata kunci ‘ Kempen Budi Bahasa ‘ menjadi perspektif saya
yang terakhir. Salah satu usaha untuk menjadikan rakyat Malaysia modal insan kelas
pertama, kerajaan sentiasa mengadakan kempen termasuklah kempen untuk
memartabatkan bahasa melayu. Antara kempen yang dilakukan untuk memartabatkan
Bahasa Melayu ialah dengan mengadakan Kempen Budi Bahasa.Pada 11 Januari
2005, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri
Abdullah Haji Amat Badawi telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai
Murni peringkat kebangsaan. Kerajaan telah bersetuju supaya kempen ini dirancang
dan dilaksananakan secara berterusan dan meluas kepada segenap lapisan
masyarakat bagi tempoh lima tahun yang akan datang. Kempen ini jelas dapat dilihat di
pelbagai media massa dan media cetak yang menjadi sumber utama mempengaruhu
rakayat Malaysia. Kempen ini juga dijalankan di peringkat sekolah kebangsaan
mahupun sekolah menengah. Sejajar dengan pepatah ‘ melentur buluh biarlah dari
rebungnya’, pelajar yang menjadi harapan negara bengsa dapat melibatkan diri dalam
usaha memartabatkan bahasa Melayu. Pelbagai aktiviti dilakukan dalam Kempen
Budi Bahasa semata-mata untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Kempen ini dilihat
amat berkesan dan diteruskan demi mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan. Jadi, kempen ini hendaklah disokong dan disertai oleh
semua lapisan masyarakat dengan ikhlas dan tanpa rasa keraguan semoga produk
kempen ini dapat dihasilkan dengan jayanya. Tidak hairanlah jika ada cadangan untuk
menambahkan kempen ini kerana dasar utama kempen ini adalah untuk meningkatkan
martabat bahasa Melayu.

Yang kurik itu kendi,


Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Hadirin dewan sekalian,

Secara tuntasnya, ketujuh-tujuh perspektif yang telah saya huraikan, saya yakin
dan percaya dapat menanamkan tekad dan iltizam untuk meneruskan perjuangan
mengangkat martabat Bahasa Melayu.Sesungguhnya jika kita memahami sejarah masa
lalu,realiti masa kini dan memiliki wawasan masa depan,kita mampu mengembalikan
kegemilangan Bahasa Melayu dengan mencipta sejarahnya yang tersendiri. Ayuh
bersama kita mengembeling tenaga bersama-sama menjayakan gerak kerja demi
mengangkat martabat Bahasa Melayu. Sebelum kaki ini melangkah dari persada bicara
perdana ini, hayatilah kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti
bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri:

“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang
Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada
mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya,
maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai
dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar
bahasanya?

Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam


Memartabatkan Bahasa ibunda.

Anda mungkin juga menyukai