Anda di halaman 1dari 3

5 SYAIR NASIHAT (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)

MAKSUD

RANGKAP 1
Penyair berkata bahawa sebuah cerita telah ditulis oleh seseorang yang cetek
pengetahuannya (penulis bersifat rendah diri) mengikut firasat penyair sehingga buku itu
ditulis sesuka hati.
RANGKAP 2
Penyair berkata bahawa dia menulis syair ini untuk meluahkan perasaan yang tersimpan di
dalam hati agar dapat dijadikan pedoman demi menjaga tingkah laku.
RANGKAP 3
Penyair menasihati anaknya yang bijaksana agar mengamalkan nasihat yang akan
disampaikannya di samping menjauhi sikap malas.
RANGKAP 4 Penyair berkata bahawa jika anaknya itu menjadi pemerintah, dia hendaklah
bertindak dengan betul dan rajin bekerja pada sepanjang masa.
RANGKAP 5 Penyair juga menasihati anaknya lagi supaya rajin berbuat kebajikan dan hati
perlulah ikhlas dan bersih dalam apa-apa perkara yang dilakukannya.
RANGKAP 6 Penyair menasihati anaknya agar tidak bersikap malu jika hendak menuntut
ilmu dan ilmu yang dituntut itu perlulah ilmu yang betul seperti yang telah tertulis dalam
kitab suci.
RANGKAP 7 Penyair menasihati anaknya agar rajin mengaji dan amalan ini perlu diutamakan
daripada yang lain kerana hukum-hukum Islam tidak boleh dilanggar supaya tidak
menanggung malu.
RANGKAP 8 Penyair berkata bahawa setiap perbuatan yang ingin dilakukan perlu
berpandukan ilmu pengetahuan supaya tidak tersasar dan tidak terjerumus dalam perkara
yang tidak elok.
RANGKAP 9 Penyair berkata kepada anaknya yang bakal menjadi raja bahawa ilmu
pengetahuan dapat membezakan perkara yang salah dan yang benar demi menjatuhkan
hukuman dengan adil.
RANGKAP 10 Penyair berkata bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh dianggap remeh jika
ingin menjadi pemerintah kerana masalah rakyat tidak dapat diselesaikan lantaran tiada
ilmu pengetahuan.
RANGKAP 11 Penyair berkata bahawa seseorang yang tidak berilmu tidak dapat
menjalankan tugas dengan baik dan hanya mampu berpeluk tubuh dan meminta hidayah
Tuhan.
RANGKAP 12 Penyair berkata bahawa seseorang anak raja yang yang tidak berilmu hanya
mampu berdiam diri tanpa berani berkata apa-apa lalu membawa diri pulang ke istana.
RANGKAP 13 Penyair berkata bahawa orang yang melaporkan dakwaan pula duduk
menunggu keputusan daripada seseorang anak raja yang tidak berkeputusan yang pasti.
RANGKAP 14 Penyair berkata bahawa seseorang raja yang tidak berilmu pengetahuan akan
mengambil jalan mudah dengan menghukum sesuka hati demi kepentingan diri.

RANGKAP 15 Penyair berkata bahawa seseorang raja yang menjatuhkan hukuman yang
tidak adil pula akan diterima oleh rakyat yang menghadap tetapi akan diumpat pula.
RANGKAP 16 Penyair berkata bahawa seseorang raja yang menjatuhkan hukuman yang adil
tidak perlu takut akan umpatan waima pujian kerana semuanya diserahkan kepada Tuhan.
RANGKAP 17 Penyair berkata bahawa anaknya wajar mendekati manusia yang berilmu jika
ingin menjadi pemimpin agar dapat bermesyuarat dengan kata-kata yang bernas.
RANGKAP 18 Penyair berkata bahawa anak raja mestilah menjaga tingkah laku dan
mengetahui adab dan adat supaya tidak terlibat dalam pekerjaan yang tidak baik.

TEMA
Tema syair ini ialah nasihat daripada seorang ayah kepada anak yang bakal menjadi
pemimpin negara. Nasihat ini penting agar anaknya tidak menjejaskan kedudukannya
sebagai seorang raja.
Di samping mendapat keyakinan daripada rakyat, tugas negara dapat dijalankan dengan
baik.
Oleh hal yang demikian, ilmu pengetahuan amat penting kepada seseorang anak raja untuk
memimpin negara dan menjadi suri teladan yang baik kepada rakyat,.

PERSOALAN
(a) Kepentingan sifat rendah diri dalam kalangan penulis.
(b) Luahan perasaan dalam bentuk puisi.
(c) Kebijaksanaan memimpin negara.
(d) Sifat malas yang memakan diri.
(e) Kerajinan bekerja demi negara.
(f) Keikhlasan dalam segala urusan.
(g) Kegigihan menuntut ilmu demi masa depan.
(h) Kepentingan ilmu dalam kehidupan.
(i) Ilmu pengetahuan dapat dimanfaatkan untuk mengatasi masalah.
(j) Didikan agama menjadi benteng kehidupan manusia.
(k) Pembelaan nasib rakyat melalui raja yang berilmu pengetahuan.
(l) Kepentingan menjaga tingkah laku diri.

GAYA BAHASA
(a) Sinkope
Buktinya, daripada sangat hajatku gerang, pengajaran kepada sekalian anakku, hendak
diam hati tak mahu, hukum tak betul dengan jalannya,
(b) Imej alam atau imejan
Buktinya, seperti air di dalam gelas.
(c) Responsi
Buktinya, Dengarkan tuan ayahanda berperi, nasihat kebajikan ayahanda beri, Ayuhai
anakanda muda remaja, jika anakanda menjadi raja, Kerja kebajikan janganlah malas, zahir
dan batin janganlah culas, ilmu yang benar jangan yang bukan, iaitu ilmu yang kebajikan
(d) Simile
Buktinya, seperti air di dalam gelas.

(e) Peribahasa
Buktinya, berpeluk tubuh tangan ke bahu,
(f) Anafora
Buktinya, di hadapan majlis diterimanya, di belakang kelak diumpatnya.
(g) Bahasa asing, Arab
Buktinya, kitab, zahir, syarak, adah, biladah, Allahu
(h) Bahasa sastera lama Buktinya, lalu masuk ke dalam puri. supaya pekerjaan jadi ugahari.
Hendaklah periksa adabnya wazir,
NILAI MURNI
(a) Kebijaksanaan
(b) Rasional
(c) Kegigihan
(d) Kepercayaan kepada Tuhan
(e) Berhemah tinggi
(f) Keadilan
(g) Keberanian
(h) Bertanggungjawab
(i) Amanah
(j) Cinta akan negara
(k) Ketegasan
PENGAJARAN
(a) Kita mestilah bijak memanfaatkan ilmu pengetahuan untuk kegunaan masa depan.
(b) Kita mestilah menulis puisi dengan pemikiran yang rasional agar isinya dalam
dimanfaatkan oleh pembaca. (c) Kita hendaklah gigih menimba ilmu demi berkhidmat
kepada negara.
(d) Kita hendaklah bersifat rendah diri agar diterima oleh masyarakat.
(e) Kita mestilah adil dalam perbicaraan jika bertugas sebagai pemimpin.
(f) Kita mestilah berani menegakkan kebenaran dengan ilmu dan bukti yang bernas.
(g) Kita mestilah bertanggungjawab dalam tugasan yang diamanahkan kepada kita.
(h) Kita mestilah amanah dalam tugas demi kelancaran sistem pentadbiran negara.
(i) Kita mestilah bersemangat cinta akan negara dan sedia untuk berkorban demi negara.
(j) Kita mestilah tegas dalam pendirian demi membuktikan kekukuhan jati diri sebagai
pemimpin negara.
(k) Kita mestilah sedar bahawa segala perbuatan kita akan diadili Tuhan.
(l) Kita mestilah mendengar nasihat ibu bapa demi kebaikan kita.

Anda mungkin juga menyukai