Anda di halaman 1dari 5

Memartabatkan Bahasa Melayu melalui sistem pendidikan

Kata orang jika kita hendak melihat apa-apa yang akan berlaku pada masa
hadapan, lihatlah generasi muda kita sekarang. Hal ini bermakna sistem pendidikan
merupakan landasan terbaik untuk membentuk generasi kita bagi merealisasikan
aspirasi Negara. Dalam hal ini, sekolah dan institusi pendidikan diumpamakan
seperti tapak tempat menyemai benih generasi masa depan. Manakala kurikulum
sekolah pula merupakan inti pati yang akan disuntik ke dalam minda serta jiwa
mereka. Oleh itu, jika hendak menyemai apa-apa juga aspirasi Negara dan
membentuk generasi masa depan mengikut acuan kita sendiri, di sinilah
tempatnya, begitu juga dala usahaa kita hendak memartabatkan bahasa Melayu.
Dalam hal ini, jika kita meninjau saranan Profesor Dr Awang Sariyan dalam Majlis
Bicarawara Bahasa di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka
yang lalu ada benarnya. Menurut beliau, pembudayaan bahasa Melayu melalui
sistem pendidikan perlu dimantapkan semula iaitu bermula daripada prasekolah
hinggalah ke pengajian tinggi. Menurut beliau lagi, penegasan perlu diberi kepada
usaha pembudayaan bahasa sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Melayu
dalam dua aspek iaitu:
i) Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses
pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan Jawatankuasa
Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman
Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 serta Akta Pendidikan 1996
dan

ii) Pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi
melalui kegiatan kokurikulum sehingga ragam bahasa tidak rasmi seperti bahasa
sembang intenet dan bahasa khidmat pesanan ringkas (sms) tidak sampai
menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.

Mungkin pada dasarnya saranan beliau tersebut bukanlah satu idea yang baru dan
mungkin telah direncanakan dalam sistem pendidikan kita. Namun dari segi
pelaksanaan dan penguatkuasaan masih belum mencapai matlamatnya, meskipun
telah lima puluh tahun lebih kita merdeka. Oleh itu, adalah wajar untuk pihak-pihak
tertentu melihat semula kandungan yang ada dalam sstem pendidikan kita dalam
usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan bandingan saranan beliau dengan
usaha tersebut. Jika belum ada, adakan. Jika sudah ada, mantapkan dan tingkatkan
pelaksanaan serta penguatkuasaan.
Ayuh, bangunlah kita perlu bangun dan sedar, jika bukan kita siapa lagi yang kita
akan harapkan untuk mengalas tanggungjawab ini. Sekadar membicarakan dasar
dan menggubal akta sahaja masih belum mencukupi, gerakkan dan kuatkuasakan
pelaksanaannya. Tepuk dada, tanyalah selera dan fikir-fikirkanlah peranan yang
perlu kita mainkan untuk mencapai matlamat ini
USAHA-USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA
Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa
Malaysia. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca
lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula
pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah dinobatkan
sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka.
Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa
kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu
Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini
semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.
Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang
kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua
berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana
orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Malaysia daripada
rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan
kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah
terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang
ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu
bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak
menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.
Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam
bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot,
ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden.
Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu
itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur
sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding
jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang
enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan
teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi.
Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat
kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat
menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah
sebaik mana.
Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan
bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi.
Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas
tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan
untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.
Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka
merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam
memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di
Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah
undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans
dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan
glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum
ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini
merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu
program pendidikan di pusat pengajian tinggi.
Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan
bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam
majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka
hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan
pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan
Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan
Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin
kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa
Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.
Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa
mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa
Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3
kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3
merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun
kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah
memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum
boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat
bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.
Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang
proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa
perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua
bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau
mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan
menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan
kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap
bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan
perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak
pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang
dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping
memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.
Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk
memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa
Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan
konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa
adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata
pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa
Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk
melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan
membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai
masyarakat yang positif perlu diterapkan melalui pendidikan bahasa.
Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa
Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan
lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan
atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan
memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia
sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang
mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia
yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat
mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita
malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan


kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika
tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan
mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga
mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang terdiri
daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu
diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa
Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan
samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang
demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa
Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.
Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan
pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini
dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat
ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini
tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan
masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik.
Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata
memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia.
Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-
kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.

Anda mungkin juga menyukai