Anda di halaman 1dari 22

TAJUK:

CABARAN DAN MASA DEPAN BAHASA MELAYU DALAM SEKOLAH JENIS


KEBANGSAAN (SJK)

PENGENALAN

Bahasa merupakan satu medium yang sangat penting sebagai salah satu alat
untuk mewujudkan komunikasi dalam kalangan manusia. Bahasa turut memainkan
peranan yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Hal ini demikian kerana
melalui bahasa seseorang ahli dalam sesebuah kelompok masyarakat tentu akan
dapat berkomunikasi dengan ahli yang lain dengan lancar dan berkesan. Di samping
menggunakan bahasa untuk berkomunikasi, manusia juga menggunakan bahasa
dengan tujuan untuk meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu, memberi arahan,
menyatakan sesuatu dan sebagainya. Bahasa juga mencerminkan pemikiran,
peraturan, sikap, kebudayaan dan peradaban sesuatu bangsa yang dapat
diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu mula-mula disarankan dalam


Laporan Razak 1956 dan kemudian diperkukuh dalam Laporan Abdul Rahman Talib
1960. Terbukti kini bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu apabila
digunakan sepenuhnya di institut pengajian tinggi awam di Malaysia. Apakah
dengan pencapaian tersebut mencerminkan masa depan yang gemilang bagi
bahasa Melayu? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak, bergantung kepada
persepsi individu yang melihat persoalan ini. Terkadangnya kedengaran suara
sumbang yang mengatakan bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu.
Pada hakikatnya orang itu sendiri yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu bukan sebaliknya. Bahasa yang canggih dikatakan bahasa
ilmu, bahasa bagi budaya tinggi, dan lebih tegas lagi bahasa bagi sains dan
teknologi. Peningkatan ilmu dan profesionalisme dalam sesuatu bidang itu haruslah
seiring dengan peningkatan ketrampilan wahana itu sendiri, yakni bahasa. Banyak
orang berfikir bahasa itu jatuhnya di tempat kedua dan pertamanya ilmu itu. Persepsi
ini perlu diubah. Bahasa itu juga satu ilmu dan sejarah membuktikan banyak ahli
yang melahirkan pemikiran dan ciptaan baru menguasai ilmu dan bahasa sebagai
satu entiti yang terpadu. Kita sebenarnya memiliki bahasa yang berkembang dan
dinamis dalam menghadapi apa juga cabaran yang bakal datang. Seharusnya tidak
timbul lagi krisis kepercayaan terhadap bahasa Melayu.

SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN

Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) merupakan lanjutan sekolah vernakular,


berasaskan kaum di Malaysia. Jenis sekolah rendah ini terbahagi 2 iaitu SJK (Cina)
dan SJK (Tamil). Asalnya sekolah-sekolah ini dibiayai oleh masyarakat Cina,
masyarakat India dan pentadbiran British. Namun kini sekolah jenis ini dibiayai
sebahagiannya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan dikira sebagai sekolah
bantuan kerajaan.

PERKEMBANGAN BAHASA KEBANGSAAN DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Pendidikan merupakan satu alat yang berpengaruh dan berkesan dalam


usaha perkembangan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, perkembangan bahasa
kebangsaan di negara ini dalam aspek pendidikan antara tempoh 1957 hingga 1966,
dapat dinilai berdasarkan dua dokumen penting yang dikenali sebagai Penyata
Razak 1956 (Ordinan Pelajaran 1957) (Penyata Jawatan-kuasa Pelajaran 1956: 17-
28) dan Penyata Abdul Rahman Talib 1960 (Akta Pendidikan 1961) (Penyata
Jawatan-kuasa Peranchang Pelajaran Tinggi, 1967). Kedua-dua dokumen tersebut
telah memainkan peranan penting dalam pembentukan Dasar Pendidikan
Kebangsaan yang begitu menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di semua peringkat pendidikan.

Menyedari kepentingan perpaduan kebangsaan yang menuntut kesefahaman


dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di Tanah Melayu, Penyata Razak
berpendapat bahawa bahasa dan pendidikan merupakan satu medium yang amat
sesuai untuk mencapai matlamat tersebut. Justeru itu, kedudukan bahasa
kebangsaan di bawah Penyata Razak dapat diteliti melalui cadangan-cadangan
yang dikemukakannya. Sebelum tahun 1957, sukatan pelajaran murid Cina dan
India diambil dari negara asal mereka menyebabkan sukatan pelajaran di sekolah
Cina dan Tamil lebih memberikan tumpuan terhadap hal-ehwal negara China dan
India. Keadaan sebegini sudah pastinya akan menyekatkan perkembangan bahasa
kebangsaan di samping mendalamkan lagi jurang antara kaum di Tanah Melayu.

Oleh itu, sebagai usaha untuk memperluaskan penggunaan bahasa


kebangsaan dalam kalangan murid-murid dari pelbagai kaum, Penyata Razak yang
menjadi Ordinan Pelajaran 1957 selepas negara mendapat kemerdekaan telah
mengesyorkan agar semua sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama
termasuklah sekolah Cina dan sekolah Tamil. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa
Melayu pula dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan
kebangsaan. Sementara itu, sebahagian besar daripada mata pelajaran utama
seperti sejarah, geografi dan sastera akan ditumpukan kepada hal-ehwal Tanah
Melayu. Berhubung perkara tersebut, Penyata Razak telah menjelaskan
pendiriannya sebagaimana yang terkandung dalam perenggan 12 penyata tersebut
yang berbunyi:

“Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah
bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam
negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua
bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengantar yang besar walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan
serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur” (Mastika,
November 1960: 6).

Apabila Perikatan berjaya memenangi pilihan raya 1959, satu Jawatankuasa


Kaji Semula dibentuk dan hasilnya lahirlah Laporan Rahman Talib 1960
(http//:sejarahmalaysia.pnm.my) yang menjadi asas Akta Pelajaran 1961 dan Dasar
Pelajaran Kebangsaan. Pada asasnya, Laporan Rahman Talib ini bersetuju dengan
Penyata Razak justeru itu hanya terdapat beberapa syor tambahan dilakukan.
Menyentuh perihal bahasa Kebangsaan, Laporan Rahman Talib mengemukakan
syor untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat
sekolah dan universiti. Hal ini dapat dilihat berdasarkan pernyataan yang berbunyi:

“The educational policy of the Federation… is to establish a national system


of education which will satisfy the needs of the nation and promote its cultural,
social, economic and political development… and for the progressive
development of an educational system in which the national language is the
main medium of instruction.” (Federation of Malaya, The Education Act, 1961,
Kuala Lumpur, 1961).

Selain itu, antara isi kandungan yang terdapat dalam Laporan Rahman Talib
ialah semua peperiksaan rasmi di peringkat sekolah dijalankan dalam bahasa rasmi
iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Antara syor-syor yang melibatkan
kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam Akta Pelajaran 1961 (Raja
Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain, 1992: 101) ialah:

i) Pelajaran rendah dalam bahasa kebangsaan dimajukan dengan mengadakan


pelajaran menerusi bahasa kebangsaan di sekolah yang dahulunya sekolah rendah
kerajaan dengan syarat ada guru yang sesuai dan semua sekolah rendah bantuan
akan diubah menjadi sekolah kebangsaan ataupun sekolah jenis kebangsaan
dengan mengadakan guru yang mendapat latihan yang sesuai.

ii) Bantuan separuh kerajaan kepada sekolah menengah Cina dimansuhkan mulai
Januari 1960. Sekolah ini bagaimanapun boleh menerima bantuan penuh sekiranya
bahasa pengantar pengajaran diubah kepada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris
dan sekolah tersebut menyediakan murid-muridnya untuk Peperiksaan Sijil Rendah
Pelajaran atau Sijil Persekutuan Tanah Melayu atau Sijil Seberang Laut.

iii) Semua peperiksaan awam ini di sekolah menengah diadakan dalam salah satu
bahasa rasmi sahaja. Ini bererti bahawa Peperiksaan Menengah Rendah III
Kerajaan atau Peperiksaan Meningkat ke Sekolah Menengah Cina yang mula
diadakan sejak tahun 1947, dan Peperiksaan Menengah Atas III Kerajaan atau
Peperiksaan Sijil Berhenti Sekolah Menegah Cina yang mula diadakan pada tahun
1951, dimansuhkan.

iv) Langkah hendaklah diambil untuk menambah bilangan guru terlatih yang layak
mengajar dalam bahasa Melayu.

v) Langkah yang lebih lanjut lagi hendaklah diambil untuk mengukuhkan kedudukan
bahasa kebangsaan dalam sistem pelajaran (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain,
1992: 101-102).
Dalam menelusuri perkembangan bahasa kebangsaan dari sudut pendidikan,
adalah perlu untuk melihat sejauh mana pelaksanaannya melalui penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pembinaan sekolah menengah
Melayu, penggunaan bahasa Melayu dalam peperiksaan serta penggunaan bahasa
Melayu dalam latihan perguruan. Berhubung pelaksanaan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, orang Melayu mendesak kerajaan supaya melaksanakan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan
menyegerakan penubuhan sekolah menengah Melayu.

Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Pengantar di Sekolah

Dalam melihat pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa


pengantar, perlu difahami dengan jelas bahawa menurut cadangan Jawatankuasa
Penyemak Dasar Pelajaran 1960, semua sekolah rendah aliran jenis kebangsaan
yang berbahasa pengantar Inggeris akan dijadikan sekolah kebangsaan. (Raja
Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain, 1992: 103). Ekoran itu apabila Akta Pelajaran 1961
diluluskan, kerajaan Perikatan menukar bahasa pengantar darjah satu sekolah aliran
Inggeris ke bahasa Melayu. Sementara itu, di peringkat institusi pengajian tinggi
yang melibatkan universiti dan kolej pula, penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar turut diberikan perhatian. Sebenarnya perubahan bahasa
pengantar dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi
telah bermula sejak tahun 1959 lagi apabila Maktab Perguruan Bahasa telah
mengadakan satu tunjuk perasaan yang telah memaksa pihak pentadbiran institusi
tersebut mengubah bahasa pengantarnya menggunakan bahasa Melayu (Raja
Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain, 1992: 103).

BAHASA MELAYU DAN DASAR PENDIDIKAN

Dasar bahasa pendidikan ialah dasar yang dipegang dalam menggunakan


bahasa sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar bahasa am ialah dasar yang
secara tidak rasmi diterima oleh kerajaan mengenai penggunaan bahasa dalam
perdagangan, perhubungan rakyat dan dalam hubungan dengan orang-orang luar,
badan-badan atau negara-negara luar (Asmah,1985:23). Perancangan taraf bahasa
Melayu telah memberikan tiga aspek penting kepada bahasa Melayu, iaitu bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pendidikan. Taraf
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan menyediakan ruang yang
cukup luas untuk bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu. Sebagai
bahasa ilmu, dua ciri penting yang perlu ada ialah keintelektualan dan
kesempurnaan dan bahasa Melayu memiliki kedua-dua ciri tersebut. Ini bersesuaian
dengan ketetapan yang diisytiharkan oleh UNESCO berkaitan dengan perancangan
bahasa dalam dasar pendidikan masyarakat yang multi bahasa. Persidangan
Antarabangsa UNESCO ke-31 pada Oktober 2001 telah mengisytiharkan satu
deklarasi prinsip yang harus dipatuhi olah anggotaanggotanya, iaitu:

(a) Menyokong pengajaran dalam bahasa ibunda sebagai kaedah untuk


meningkatkan kualiti pendidikan dengan membina pengetahuan pelajar dan
pengajar.

(i) Pengajaran dalam bahasa ibunda amat penting bagi pendidikan awal
kanak-kanak dan seharusnya diperluaskan kepada peringkat pendidikan yang
lebih tinggi. Oleh itu, setiap kanak-kanak seharusnya memulakan pendidikan
formal dalam bahasa ibunda dan keadaan buta huruf dalam kalangan orang
dewasa juga harus dimulai dengan pengajaran dalam bahasa ibunda.

(ii) Celik huruf hanya dapat dicapai sekiranya ada bekalan bahan bacaan
yang mencukupi bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. Oleh itu
penghasilan dan penyebaran bahan pengajaran, sumber pembelajaran, dan
bahan bacaan yang berkaitan seharusnya dihasilkan dalam bahasa ibunda.

(iii) Semua perancangan pendidikan seharusnya merangkumi latihan, iltizam


yang tinggi, guru yang cekap dan kompeten serta biasa dengan kehidupan
masyarakatnya sendiri agar dapat mengajar dengan baik dalam bahasa
ibunda.

(b) Menyokong pengajaran dalam dwibahasa atau multibahasa pada semua tahap
pendidikan sebagai satu kaedah untuk meningkatkan kualiti sosial dan persamaan
jantina dan unsur penting bagi masyarakat yang pelbagai linguistik. Komunikasi,
ekspresi dan keupayaan mendengar dan bertutur seharusnya ditingkatkan, pada
awalnya mestilah dalam bahasa ibunda dan kemudian dalam bahasa kebangsaan
dan selepas itu baharulah bahasa asing.

(c) Menyokong bahasa sebagai komponen penting dalam pendidikan antara budaya
dalam usaha untuk menggalakkan pemahaman antara kumpulan populasi yang
pelbagai bangsa serta menghormati hak-hak fundamental.

(i) Hak mendapat pendidikan setiap anggota kumpulan minoriti sebagaimana


juga hak bagi penduduk asli perlulah dihormati melalui pelaksanaan hak
mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda.

(ii) Pendidikan seharusnya melahirkan kesedaran tentang nilai positif


kepelbagaian budaya dan linguistik.

CABARAN DAN MASA DEPAN BAHASA MELAYU DALAM SJK

Mengikut Acquisition-Learning Hypothesis (Krashen, 1994), penekanan


utama diletakkan pada input difahami (comprehensible input) bahasa yang
didedahken kepada pelajar. Pemahaman input bahasa lisan dan bertulis dilihat
sebagai satu-satunya mekanisme yang menyebabkan peningkatan kecekapan
linguistik asas, dan output bahasa dianggap tidak membawa apa-apa kesan kepada
kecekapan bahasa pelajar. Tambahan pula, Krashen (1994) menyatakan kecekapan
linguistik hanya maju apabila bahasa diperolehi separa sedar, dan pembelajaran
sedar tidak boleh digunakan sebagai sumber hasilan bahasa yang spontan. Akhir
sekali, pembelajaran itu sangat bergantung kepada mood murid, misalnya dengan
pembelajaran akan terjejas jika murid berada di bawah tekanan atau tidak mahu
untuk belajar bahasa itu.

Pendapat di atas disokong oleh Zulkifley (2005). Dalam menguasai bahasa


pertama, individu tidak mempunyai pilihan, dia akan berusaha untuk menguasai
bahasa pertamanya untuk membolehkannya berkomunikasi dengan orang di
persekitarannya. Dengan kata lain, semua kanak-kanak penutur jati bermotivasi
untuk menguasai bahasa pertama mereka. Sementara dalam bahasa kedua pula,
individu sendiri yang memilih sama ada beliau mahu atau tidak mahu untuk
berusaha menguasai bahasa yang selain bahasa pertamanya. Walaupun dipaksa
untuk mempelajari sesuatu bahasa kedua, bukan semua murid akan berjaya
dimotivasikan untuk belajar.

Secara umum, pengajaran dan juga pembetulan tidak wujud semasa proses
penguasaan bahasa pertama pada peringkat lisan. Sebaliknya bagi bahasa kedua,
biasanya penguasaannya sama ada kemahiran lisan atau tulisan melibatkan
pengajaran dan pembetulan. Seterusnya, penguasaan bahasa pertama oleh semua
kanak-kanak normal sebelum mereka mencapai umur lima tahun adalah fenomena
yang lumrah sebaliknya penguasaan bahasa kedua oleh para pelajar bukanlah
suatu kemestian, tetapi kerap kali ditentukan oleh pelbagai sebab dan akibat.

Bagi murid-murid bukan penutur jati, mempelajari bahasa kedua, iaitu Bahasa
Melayu merupakan satu proses mempelajari lakuan baharu. Alat-alat artikulasi
mereka sudah biasa dan terlatih untuk menyebut bunyi-bunyi dalam bahasa ibunda.
Mereka juga sudah menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa itu.
Keadaan ini menyebabkan mereka mengalami beberapa “gangguan bawaan”, yakni
bahasa pertama mereka mengganggu bahasa kedua, dan sebaliknya (reverse
transfer) (Archibald et.al, 2004).

Dengan itu, jelas bahawa penguasaan bahasa pertama bagi penutur jati
Bahasa Melayu adalah merupakan penguasaan terhadap konsep-konsep baharu
bahasa walaupun bahasa tersebut telah dikuasai sejak semula jadi. Dalam
pembelajaran bahasa kedua, yakni bagi murid bukan penutur jati yang mempelajari
Bahasa Melayu, pembentukan konsep yang dipelajari adalah sesuatu yang baru dan
berbeza dengan bahasa ibunda yang menjadi pertuturan seharian. Keadaan ini akan
menimbulkan masalah dalam pembelajaran bahasa kedua. Oleh yang demikian,
pengajaran bahasa kedua hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara semula
jadi dan tidak terlalu formal. Penekanan sebaiknya dilakukan dalam konteks
kebudayaan dan sosial yang hidup yang membolehkan bahasa tersebut sering
didengar dan dituturkan.

Walau bagaimanapun, didapati bahawa tahap penguasaan pelajar terhadap


mata pelajaran ini berada pada tahap yang kurang memuaskan terutama bagi
pelajar yang terdiri daripada bukan penutur jati Bahasa Melayu. Kebanyakan murid-
murid Cina jarang menggunakan buku dan bahan bacaan berbahasa Melayu
sebagai sumber utama dalam memperolehi ilmu pengetahuan. Sehubungan dengan
itu, murid–murid Cina sering menghadapi masalah untuk menguasai sebutan dan
penulisan dalam Bahasa Melayu.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Chew dan Lee (2009), didapati murid-
murid Cina di SRJKC gagal untuk menguasai sebutan dan penulisan bahasa
Melayu. Kelemahan penguasaan Bahasa Melayu mereka disebabkan faktor ibu
bapa yang tidak mengambil berat pelajaran mereka, sikap sendiri yang menganggap
bahasa itu tidak penting, dan peluang bertutur dalam Bahasa Melayu yang kurang.

Dalam perkembangan fonologi, kanak-kanak menghasilkan bunyi secara


rambang. Hal ini berlaku di peringkat agakan. Mula-mula ia memperolehi fonem-
fonem yang kasar dan ketara perbezaan fiturnya, tetapi kemudian ia maju kepada
fonem-fonem yang halus dan seni perbezaan fiturnya (Fadilah Amzah & Nor
Hashimah Hashim, 2009). Penulis mendapati banyak berlaku perubahan dari segi
fonologi jika dibandingkan dengan variasi Bahasa Melayu Baku. Dari perkataan-
perkataan jelas menunjukkan bahawa perubahan pada fonologi sering berlaku
kepada murid-murid semasa sesi pembelajaran Bahasa Melayu.

Menurut Mahzan Arshad (2008), muridmurid bukan Melayu selalunya


mengalami masalah dan kesukaran untuk menyebut huruf contohnya “d”, “l”,”r” dan
“t”. Sebutan konsonan bergabung pada awal atau akhir perkataan sepeti “a”, “au”,
“oi” dan gabungan konsonan “kh”, “sy”, dan “th”, amat rendah mutunya. Gagal dalam
membezakan bunyi vokal, teruama vokal “a” dan “e”, “o” dan “u”, serta “i” dan “e”
juga menyebabkan perkataan tidak jelas dituturkan.

Selain itu, masalah pembelajaran lain yang dihadapi oleh murid-murid Cina
ialah aspek penulisan terutama dari segi tatabahasa, seperti imbuhan, golongan
kata, struktur ayat, penjodoh bilangan, dan tanda bacaan. Kesalahan imbuhan,
golongan kata dan struktur ayat merupakan kesalahan yang kerap ditemui dalam
kalangan murid-murid bukan Melayu, khususnya muridmurid Cina (Nuraini Yusoff,
2005; Tengku Nor Faizul Tengku Embong, 2006).
Sikap dan Minat Murid Cina dalam Pembelajaran Bahasa Melayu

Salah satu hambatan dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa


kedua ialah sikap murid terhadap bahasa itu. Affective Filter Hypothesis
beranggapan bahawa banyak input alam sekitar tidak bermakna bahawa murid
boleh belajar bahasa sasaran itu dengan baik. Dalam pada itu, faktor emosi
memainkan peranan untuk menggalakkan atau menghalang, iaitu motivasi. Sama
ada matlamat pembelajaran murid adalah jelas atau tidak akan memberi kesan
langsung kepada pembelajaran mereka (Krashen, 1994). Pengambilan subjek
Bahasa Melayu merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan menyebabkan
murid-murid Cina kurang memberi perhatian terhadap Bahasa Melayu.

Hasil kajian oleh Chiew Fong Peng (2016) menunjukkan bahawa murid-murid
Cina dalam kajiannya kurang membaca buku atau bahan dalam Bahasa Melayu. Hal
ini boleh dikesan daripada koleksi atau simpanan buku di perpustakaan rumah
mereka. Sejumlah 180 orang (45%) murid Cina kajian mempunyai buku simpanan di
perpustakaan rumah mereka, dan kebanyakannya ialah buku-buku Cina. Mereka
lebih terangsang untuk membaca atas dorongan kawan kerana kawan adalah teman
sekelas dan teman sepermainan yang dapat mempengaruhi sikap murid terhadap
bahan yang dibaca, terutama dalam bahan dan buku dalam Bahasa Melayu. Guru
juga orang yang kedua penting mempengaruhi sikap murid untuk membaca buku
dalam Bahasa Melayu memandangkan peranan guru sebagai model dan orang yang
paling dihormati di sekolah. Ibu bapa juga perlu memupuk minat membaca anak-
anak dengan memberi galakan kepada mereka. Maka, untuk meningkatkan minat
membaca murid-murid, guru-guru perlu meluangkan satu waktu khas untuk
membawa murid-murid membaca buku Bahasa Melayu di perpustakaan sekolah,
manakala ibu bapa harus banyak membeli buku bacaan Bahasa Melayu kepada
anak-anak mereka. Tabiat suka membaca harus dipupuk menjadi amalan seharian,
dan bukannya menjadikan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran peperiksaan
semata-mata.
Masalah Sebutan dan Ejaan Bahasa Melayu Murid Cina

Murid-murid Cina di SK dan SJKC menghadapi masalah sebutan dan ejaan


kerana kurang membaca buku atau bahan bacaan Bahasa Melayu. Tambahan pula,
pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di SJKC diberi peruntukan
waktu yang terhad di dalam kelas dan murid-murid terikat dengan lingkungan
penutur yang sama selepas waktu sekolah. Faktor persekitaran turut disentuh oleh
Siti Saniah (2013). Kajian beliau terhadap 10 orang pensyarah di IPTA dan IPTS
Malaysia, mendapati bahawa mereka tinggal di tempat yang tidak menggunakan
Bahasa Melayu, menyukarkan mereka menguasai bahasa itu. Selain itu, mereka
hanya bergaul sesama kaum sendiri. Oleh itu, Bahasa Melayu didapati tidak penting
bagi mereka.

Bahasa Melayu dianggap tidak penting dan sekadar bahasa perhubungan


yang digunakan secara santai. Keadaan ini menyebabkan pemelajaran Bahasa
Melayu sebagai bahasa kedua dipengaruhi penggunaan bahasa yang tidak formal,
seterusnya melakukan kesilapan bahasa dan sebutan (Puteri Roslina 2005).
Sehubungan itu, sebutan dan tatabahasa Cina dan Melayu adalah langsung berbeza
antara satu sama lain. Ini menyukarkan penguasaan bahasa Melayu yang baik
dalam kalangan murid Cina. Keadaan menjadi lebih mudarat apabila murid-murid
berkenaan ditertawakan oleh rakan mereka apabila sebutan mereka tidak betul.
Akibatnya, mereka bersikap negatif atau keberatan untuk bertutur dalam Bahasa
Melayu.
ISU-ISU DAN MASALAH DALAM SISTEM PENDIDIKAN:

A. SISTEM PERSEKOLAHAN PELBAGAI ALIRAN

Memasuki tahun 2018 telah menjadikan sistem pendidikan di Malaysia bergerak


seiring dengan keperluan semasa kerana masyarakat juga turut berubah disebabkan
oleh arus permodenan dan globalisasi. Sehingga kini, Malaysia masih meneruskan
kesinambungan sistem persekolahan lama dengan mengekalkan sekolah
kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Seringkali isu-isu berkenaan dengan sistem persekolahan dibincangkan dan
diperdebatkan yang akhirnya tiada jalan penyelesaian yang dilakukan bagi
mengubah kepada sistem persekolahan yang baru. Isu-isu sistem persekolahan
merupakan isu yang sensitif bagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa,
kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mendapat persetujuan daripada
masyarakat yang mempunyai pandangan dan kepentingan yang berbeza.

Seringkali setiap keputusan, sama ada yang hendak mahupun yang telah dibuat,
dipengaruhi oleh politik tanah air yang bermula sejak zaman penjajah lagi. Umum
mengetahui bahawa pihak kerajaan sentiasa memainkan peranan bagi menaikkan
mutu pendidikan kebangsaan, tetapi sejauh mana setiap tindakan yang diambil
dapat menyelesaikan masalah yang timbul. Sistem persekolahan Malaysia kini
masih tidak banyak berubah dari aspek perpaduan kaum. Murid-murid dan pelajar-
pelajar dapat menjadikan sekolah sebagai asas permulaan membina hubungan baik
sesama mereka di mana di sekolah, mereka dapat beramah mesra, bergaul,
bersukan, makan bersama, saling kenalmengenal, dan merapatkan hubungan
silaturahim. Namun begitu, kewujudan sekolah yang pelbagai aliran – seperti
sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil – telah
menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia. Kini, ianya sudah tidak relevan untuk
diguna pakai kerana sekiranya ia masih diteruskan, maka hubungan antara
masyarakat Malaysia akan semakin pudar. Hal demikian kerana sekolah merupakan
tempat mula-mula masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bertemu untuk
saling mengenal.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengatakan bahawa
beliau sedia menimbangkan untuk mewujudkan hanya satu sistem sekolah sahaja
yang diguna pakai sekiranya rakyat Malaysia bersetuju untuk mengikuti satu sistem
persekolahan. Dalam melaksanakan dasar baru itu, kerajaan perlu mengambil kira
kehendak rakyat kerana tidak mahu timbul perbalahan dan kesan buruk kepada
rakyat. Sehingga kini, masyarakat Malaysia masih belum bersetuju untuk
menggunakan satu sistem sekolah sahaja. Masyarakat Cina dan India dilihat masih
mahu menggunakan sistem sekolah pelbagai aliran yang dianggap dapat menjaga
bahasa ibunda mereka dan menjamin hak-hak mereka. Idea menubuhkan satu
aliran sistem persekolahan perlu dilaksanakan kerana melaluinya semangat
perpaduan di kalangan rakyat dapat dipupuk. Pelaksanaan sekolah satu aliran tidak
akan menyebabkan kehilangan identiti kaum tertentu, malah ia akan terus menyemai
semangat perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat Malaysia. Masyarakat
Cina, India, dan semua kaum masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa ibunda
mereka, walaupun belajar di sekolah yang sama aliran. Di sekolah-sekolah jenis
kebangsaan Cina dan Tamil, bilangan murid-murid Melayu terlalu sedikit jika
dibandingkan dengan sekolah kebangsaan. Keadaan ini menunjukkan jurang yang
begitu luas antara murid-murid Melayu, Cina, dan India. Masalah ini disebabkan oleh
penggunaan bahasa, iaitu bahasa Melayu, Cina, dan Tamil yang menjadi faktor
utama wujud jurang pendidikan antara masyarakat. Contohnya, di sekolah
kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tidak diterapkan; manakala di sekolah jenis
kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa Melayu bukan bahasa utama. Jadi, wujud dua
keadaan yang berbeza dan masalah ini sering berlanjutan sehingga kini.

B. PENGAJARAN PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA


INGGERIS (PPSMI)

Pada tahun 2003, semasa era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, suatu
dasar baru pendidikan diperkenalkan, iaitu Pengajaran Pendidikan Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Tujuan ianya dilaksanakan adalah untuk
memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Malaysia.
Namun begitu pada tahun 2009, Menteri Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa
PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012, disebabkan timbulnya masalah-
masalah. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, pelajar yang telah
memulakannya boleh meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Isu PPSMI
merupakan isu besar dalam pendidikan Malaysia kerana mendapat tentangan
daripada masyarakat Melayu terutamanya. Antara sebab-sebab ia mendapat
bantahan dari banyak pihak ialah kerana: (1) ianya bertentangan dengan
Perlembagaan Perkara 152, iaitu memartabatkan bahasa Melayu; (2) prestasi
pelajar-pelajar Melayu terutamanya merosot dalam subjek Sains dan Matematik; (3)
kurangnya guru yang terlatih; dan (4) tentangan daripada pejuang-pejuang bahasa
Melayu, para cendiakawan, tokoh akademik, ahli politik, dan NGO atau Non
Governmental Organization yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi. Ada sesetangah pihak mempersoalkan mengapa setelah 7 tahun ia
dilaksanakan, kini mendapat tentangan? Mungkin kah ianya sejajar dengan
kehendak masyarakat yang telah merasai kesan daripada pelaksanaan dasar
tersebut kepada pelajaran anak-anak mereka? Sememangnya, murid-murid dan
pelajar-pelajar di luar bandar menunjukkan keputusan yang merosot kerana ternyata
sehingga kini mereka masih lagi ketinggalan, terutama dalam penguasaan bahasa
Inggeris. Masyarakat luar bandar terutamanya masih belum bersedia sepenuhnya
menerima PPSMI dilaksanakan kerana bimbang dengan masa depan.

C. PENGISIAN KURIKULUM DAN KO-KURIKULUM

Masalah lain yang turut timbul ialah berkenaan dengan pengisian dalam kurikulum
dan aktiviti ko-kurikulum yang menjadi penentu kepada perkembangan murid-murid
dan pelajar-pelajar (Awang Had Salleh, 1980). Hal ini penting kerana ia memberi
kesan, sama ada positif atau negatif kepada masyarakat dalam membentuk jati diri
dan disiplin. Sekiranya pengisian dalam kurikulum dan ko-kurikulum mengikut
keperluan rakyat, maka tentu sebarang masalah tidak timbul. Tetapi oleh kerana
wujud kelemahan-kelemahan dalam pengisian kukirulum dan ko-kurikulum, reaksi
yang negatif kelihatan dalam hubungan masyarakat. Contohnya, sekolah
kebangsaan tidak menjadikan bahasa ibunda kaum Cina dan Tamil sebagai subjek
wajib telah menyebabkan ibu bapa daripada Cina dan India tidak mahu menghantar
anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Bagi mereka, bahasa ibunda ialah
identiti yang harus dipelihara. Mukriz Mahathir (2008) memberi pandangan supaya
satu sistem persekolahan sahaja diwujudkan dengan menerapkan bahasa Mandarin
dan Tamil sebagai subjek yang wajib diambil oleh murid-murid Cina dan India
(kenyataan dalam Utusan Online di http://www.utusan.com.my, 2/12/2008). Murid-
murid Melayu boleh mengambil bahasa Mandarin dan Tamil sebagai salah satu
subjek pilihan. Secara tidak langsung, orang Melayu akan dapat menguasai bahasa
Mandarin dan Tamil yang akhirnya dapat merapatkan jurang pendidikan antara
kaum. Masyarakat perlu memahami bahawa objektif penggubalan dasar dan sistem
pendidikan adalah berlandaskan keperluan pembentukan negara Malaysia sebagai
negara demokrasi yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa, agama, dan
menjadikan Malaysia maju ke hadapan. KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah)
dan KBSM (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah) merupakan kurikulum yang
diperkenalkan bagi meningkatkan lagi pendidikan dan perpaduan masyarakat, tetapi
keberkesanannya untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum masih
memerlukan penambahbaikan (Shahril @ Charil Marzuki et al., 1995:110-126).

D. MEREALISASIKAN WAWASAN 2020

Wawasan 2020 telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir
Mohamad, pada 28 Febuari 1991 yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara perindustrian dan negara maju menjelang tahun 2020. Reformasi yang telah
dilakukan dalam sektor pendidikan adalah langkah konkrit untuk menuju ke arah
Wawasan 2020. Bagi merealisasikan Wawasan 2020, antara sasaran yang mahu
dicapai adalah mengenai perpaduan negara di mana sektor pendidikan menjadi
peneraju utama. Dalam sektor pendidikan, sistem persekolahan yang sempurna
menjadi pendekatan yang digunakan untuk memastikan perpaduan di kalangan
masyarakat. Tema perpaduan dalam sistem persekolahan amat dititiberatkan kerana
hanya melalui perpaduan matlamat mencapai Wawasan 2020 dapat direalisasikan.
Bermula dari sekarang (2010), hanya 10 tahun sahaja masa yang ada untuk negara
Malaysia menjadi negara maju. Namun begitu, dengan situasi masyarakat dan
negara sekarang timbul persoalan tentang persediaan untuk menghadapinya.
Contohnya, hubungan masyarakat Malaysia kini masih lagi perlu diperkukuhkan
kerana masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan masyarakat. Sistem
persekolahan sepatutnya menjadi medium penggerak kepada masyarakat supaya
mereka dapat disatupadukan melalui peluang pendidikan. Tetapi, masih wujud
permasalahan dalam menentukan sistem persekolahan kerana ada sesetengah
pihak mahu mengekalkan sistem persekolahan yang sedia ada, manakala
sesetengah pihak lain mahu perubahan.

Masalah-masalah dalam sistem pendidikan yang bermatlamatkan perpaduan negara


diringkaskan melalui:

(1) Masalah isu berbangkit hak bumiputra dan bukan bumiputra;

(2) Jurang pencapaian pendidikan orang Melayu dan bukan Melayu melalui peluang
pekerjaan dan pendapatan;

(3) Masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dan bukan Melayu;

(4) Hubungan yang renggang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu;

(5) Kurangnya pergaulan antara pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu, terutama
selepas waktu sekolah; dan

(6) Kurangnya pengetahuan dan tidak memahami dengan mendalam mengenai


budaya, amalan, dan adat resam sesuatu kaum.

LANGKAH-LANGKAH PENDIDIKAN KE ARAH PERPADUAN

Pertama, Peranan Dasar Kerajaan. Kerajaan memainkan peranan utama dalam


membentuk lanskap masyarakat Malaysia, terutama selepas merdeka. Melalui
dasar-dasar dan strategik yang dilaksanakan, perubahan demi perubahan telah
kelihatan, malah menjadi agenda utama negara untuk membangunkan masyarakat
(INTAN Malaysia, 1994). Dasar-dasar awam merupakan alat yang digunakan untuk
memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar dalam membangunkan
negara dan masyarakat. Dasar awam boleh didefinisikan, antaranya, sebagai apa
sahaja pemilihan kerajaan, sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat
sesuatu (Jan-Erik Lane, 2000). Selain itu, dasar awam ialah sesuatu pilihan utama
yang dibuat oleh seseorang individu bagi menjelaskan, menerang,
mempertahankan, memimpin atau menggariskan sesuatu tindakan, sama ada yang
nyata atau bertujuan (Jeong Chun Hai @ Ibrahim & Nor Fazlina Nawi, 2007).
Menurut Ahmad Atory Hussin, dasar awam ialah program atau projek yang
dirancang oleh kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Contohnya,
Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menampakkan
keberkesanan pelaksanaan dasar yang dirangka (dalam Syed Othman Alhabhi &
Hasnan Hakim, 2010). Setiap dasar yang dirangka perlu mengikut kehendak dan
keperluan masyarakat supaya tidak timbul sebarang masalah. Contohnya, sistem
persekolahan satu aliran dan Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi penanda aras bahawa dasar yang dilaksanakan
memerlukan penambahbaikan segera.

Melalui dasar pendidikan, kerajaan boleh memainkan peranan dengan:

(1) Semua sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil
bergabung mengadakan dan menganjurkan program bersama yang melibatkan
penyertaan semua murid-murid dan guru;

(2) Pengisian pelajaran di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan
Tamil diselaraskan semula dengan menggunakan isi kandungan yang sama dengan
menambah bahasa Mandarin dan Tamil sebagai matapelajaran wajib;

(3) Satu sistem persekolahan boleh dijalankan melalui penggabungan elemen-


elemen – termasuk kebudayaan, pemakanan, dan adat resam – yang terdapat
dalam sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil;

(4) Pengisian kurikulum dan ko-kurikulum perlu seiring dengan keperluan


masyarakat kini yang menekankan nilai-nilai jati diri, mempunyai sifat patriotisme,
bertoleransi yang harus diperkasakan lagi, dan memerlukan nilai tambah; serta

(5) Menjadikan gagasan 1Malaysia sebagai tambahan wajib dalam matapelajaran di


semua jenis sekolah yang menjadi peneraju pembinaan bangsa kerana pendidikan
merupakan cabang utama penggerak kepada tercapainya gagasan 1Malaysia.

Kedua, Sistem Penyampaian. Pihak kerajaan adalah pihak pemerintah yang


berkuasa penuh untuk membuat keputusan kerana telah mendapat mandat daripada
rakyat. Kerajaan seharusnya menggunakan segala keperluan dan kebebasan yang
ada untuk menjadi pihak penyampai yang efisyen. Sistem penyampaian merupakan
alat yang sangat penting yang berperanan sebagai pemberi maklumat yang tepat
dan berinformasi. Masalah yang perlu diambil serius ialah mengenai cara
penyampaian oleh pihak pemerintah kepada rakyat. Biasanya, sistem penyampaian
ini ialah melalui media-media dan juga agensiagensi kerajaan, contohnya
Kementerian Penerangan dan Komunikasi. Dalam menyampaikan informasi
mengenai pendidikan, tidak semua masyarakat tahu mengenai perubahan yang
dilakukan terhadap dasar, dan mereka juga sering terpengaruh dengan berita-berita
yang salah. Keadaan ini menyebabkan masyarakat akan memandang serong
terhadap kerajaan, walaupun sebenarnya kerajaan telah menjalankan
tanggungjawab dengan baik. Zaman kini merupakan zaman yang terbuka dari
segala segi, termasuk sumber maklumat. Melalui Kementerian Penerangan dan
Komunikasi serta agensiagensi kerajaan yang lain, sistem penyampaian dapat
menjadi penggerak utama dalam mengambil semula hati rakyat dan kepercayaan
mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

Sistem penyampaian sistematik dan berkesan boleh dilakukan melalui:

(1) Menggunakan sepenuhnya peranan media, sama ada cetak mahupun elektronik,
sebagai medium utama dengan menayangkan iklan-iklan TV bertemakan perpaduan
dengan lebih kerap lagi dan ruang papan kenyataan yang mempromosikan keunikan
masyarakat Malaysia;

(2) Melakukan promosipromosi dengan lebih kerap lagi dengan membuka pusat
sehenti di merata tempat, terutama memberi fokus kepada masyarakat luar bandar
berkenaan dengan dasar-dasar kerajaan yang terkini supaya rakyat memahami
perkara sebenar;

(3) Menggunakan Van bergerak di seluruh negara yang menjadi simbol dan rujukan
untuk rakyat mengetahui perancangan yang dilakukan kerajaan; serta

(4) Menjadikan sekolah sebagai pusat sumber maklumat bagi segala dasar-dasar
dan program-program yang dijalankan oleh kerajaan.

Ketiga, Hubungan Masyarakat. Masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan


agama mempunyai risiko untuk berkonflik, malah di kalangan bangsa yang sama,
banyak masalah yang timbul. Bagi menjaga keharmonian negara, masyarakat
Malaysia perlu sentiasa menjaga perhubungan kaum agar dapat membangunkan
masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama. Menurut Simon Fisher et al.
(2000), konflik dalam masyarakat disebabkan oleh polarisasi, ketidakpercayaan, dan
permusuhan di antara kelompok-kelompok yang berbeza. Teori ini boleh menjadi
tunjuk sebab mengapa perpaduan negara ini sukar untuk dicapai secara
keseluruhan, di mana rakyat yang berbilang kaum mempunyai pemikiran dan
persepsi yang negatif terhadap kaum lain. Contohnya, peristiwa 13 Mei 1969
menjadi petunjuk hubungan kaum di Malaysia (Shamsul Amri Baharuddin, 1990: 31).
Melalui pelaksanaan dasar pendidikan yang terancang dan hubungan masyarakat
yang baik, maka tentunya perpaduan di kalangan Masyarakat Malaysia semakin
kukuh. Jika hanya dasar-dasar sahaja yang berjalan dengan baik tetapi hubungan
masyarakat tidak baik, pastinya negara Malaysia masih sukar untuk bergerak maju
ke hadapan. Dasar-dasar yang dirancang perlu seiring dengan hubungan
masyarakat yang harmoni.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa pembelajaran bahasa


Melayu tidaklah sukar bagi murid-murid SJK, jika mereka mendapat sokongan dan
galakan daripada rakanrakan, guru-guru dan ibu bapa. Dari masa ke semasa,
kemahiran pertuturan dan pemahaman murid-murid SJK ini akan dapat diperbaiki
dengan banyak membaca buku atau bahan dalam Bahasa Melayu, mendengar dan
menonton rancangan Bahasa Melayu yang baku serta terlibat secara aktif dalam
aktiviti pemelajaran di dalam kelas. Pemerolehan ilmu lain bermula dengan
penguasaan bahasa kebangsaan, dan penguasaan bahasa Melayu sebaik-baiknya
bemula sejak sekolah rendah seperti pepatah Melayu bahawa “melentur buluh biar
daripada rebungnya”.

Perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak


perubahan, terutama sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka.
Perkembangan masyarakat seiring dengan perkembangan dasardasar negara yang
sentiasa ditambahbaik bagi memastikan keperluan rakyat terbela. Perubahan dalam
sektor pendidikan menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan negara ke
arah yang lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju pembentukan masyarakat.
Aspek-aspek murni amat ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sebuah
masyarakat majmuk, nilai-nilai murni perlu ada dalam diri setiap masyarakat.
Namun, walaupun banyak perubahan yang telah dilakukan, kelemahan-kelemahan
masih lagi wujud dan perlu diambil serius oleh pihak kerajaan untuk
menyelesaikannya dengan segera. Kelemahan yang wujud umpama barah yang
akan merebak menjadi semakin besar, malah boleh menyebabkan perpecahan
dalam masyarakat. Masalah-masalah yang melibatkan isu-isu antara kaum perlu
diselesaikan segera, bukan dibiarkan senyap begitu sahaja. Oleh itu, untuk
mencapai matlamat perpaduan negara yang kukuh, seluruh masyarakat perlu
berganding bahu, seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan
rancangan baru. Mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang
harmoni menjadi tunggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara
maju dan dapat merealisasikan Wawasan 2020.
RUJUKAN

Asmah Haji Omar. (1985). Bahasa Malaysia saintifik.. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Asmah Haji Omar, 1985. Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada
perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

B. Mallikarjun Globalization and Indian languages. Language in India, Vol.3: 2


Februari 2003.

Gede Artika , Pengajaran Bahasa Indonesia bagi penutur asing : Peluang dan
harapan kertas kerja dalam Konferensi Internasional pengajaran Bahasa Indonesia
bagi penutur asing (KIPBIPA) IV, 1-3 Oktober 2001 Denpasar, Bali.

Globalization http:// www.germanenglishwords.com dipetik pada 12 Januari 2007 x


Hartmann, R.R.K, Stork, F.C. (1976). Dictionary of language and linguistics: London,
Applied Science Publisher.

National Geographic Vol.196(2) dipetik dari (http://uppikdasar.tripod.com)

Puteri Roslina Abdul Wahid. (2004). Bahasa dan globalisasi: Cabaran terhadap
perancangan Bahasa Melayu. dlm. MELAYU Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu
Jil.2 Bil.2 Disember 2004.

Puteri Roslina Abdul Wahid. Perancangan Bahasa Melayu: Menjelang Ambang 50


Tahun Merdeka dlm. Jurnal Melayu Antarabangsa, 2006. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Puteri Roslina Abdul Wahid. (2007). Terminologi dalam perancangan Bahasa


Melayu. Puchong, Selangor: Scholar Press Sdn. Bhd.

Rangila,R.S., Thirumalai, M.S., & Malikarjun,B. (2001). Bringing order to linguistic


diversity: Language planning in the British Raj. Language in India Vol.1: 6.

Steger Manfred B. (2002). Globalism: The New Market Ideology. Maryland: Rowman
& Littlefield Publishers Inc.

Teknologi http://ms.wikipedia.org/wiki/Teknologi pada 12 Januari 2007 x Teknologi


maklumat http://global-reach.biz/globstats/index.php3 dipetik pada 12 Januari 2007
Thomas Friedman. (1999). The lexus and the olive tree: Understanding
Globalization. http://www.usembassyjakarta.org/press_rel/friedman.html

UNESCO 2003 Education in a Multilingual World Position. Paris : UNESCO

Anda mungkin juga menyukai