Anda di halaman 1dari 12

KEPENTINGAN PENDIDIKAN DALAM HUBUNGAN ETNIK

PENGENALAN
Hubungan etnik adalah antara isu yang paling penting dalam sejarah pembentukan
negara-negara Malaysia (Askandar, 2007). Sehubungan dengan itu, pendidikan merupakan tiang
asas dalam proses penyatuan bagi merialisasikan aspirasi negara Malaysia bagi mewujudkan dan
meningkatkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini. Tidak
dapat dinafikan lagi bahawa pendidikan dari peringkat rendah ke paling tinggi memainkan
peranan yang amat penting dalam pembentukan perpaduan. Oleh itu, pendidikan adalah faktor
unggul kepada perpaduan negara dan pendidikan patut bermula sejak dari generasi muda lagi bak
peribahasa Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Jika dikaitkan dengan konsep Satu Malaysia yang berasaskan prinsip Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diperkenalkan oleh Perdana Menteri keenam iaitu Datuk
Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009, gagasan ini diwujudkan adalah untuk memupuk
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Oleh itu, nilai-nilai
yang penting seharusnya diterapkan dan dijadikan amalan oleh masyarakat berbilang etnik dalam
negara ini.

Mari mengimbas kembali rentetan peristiwa 13 Mei, adakah kita mahu peristiwa tersebut
berulang lagi? Tepuk dada tanya selera. Maka, kursus-kursus seperti hubungan etnik patut
diperkenalkan kepada masyarakat melalui saluran pendidikan kerana kursus-kursus seperti inilah
yang menekankan perdamaian supaya nilai ini dapat diterapkan dan menjadi cara hidup
masyarakat pelbagai etnik.

Justeru, pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan sememangnya menampakkan hasil.


Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sikapnya yang rajin membaca
dan mengkaji bahan sejarah serta berjaya menaikkan nama negara Malaysia ke persada dunia
seharusnya menjadi contoh masyarakat di Malaysia.
OBJEKTIF

1. Mengenal pasti jenis-jenis pendidikan sebelum dan selepas Merdeka.


2. Mengenal pasti kesan perlaksanaan Pendidikan Kebangsaan kepada Hubungan Etnik
3. Melihat cabaran yang dihadapi dalam perlaksanaan pendidikan dalam mengecap
perpaduan.
4. Mengukuhkan kesepaduan dalam hubungan berbagai etnik.
5. Menghargai dan menanam semangat patriotism dalam diri masyarakat berbilang etnik.
SEJARAH PENDIDIKAN SEBELUM KEMERDEKAAN

Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, penjajah berperanan utama dalam


menentukan hala tuju sistem pendidikan. Pihak British melaksanakan dasar pecah dan perintah
dengan mengasingkan etnik mengikut komuniti masing-masing. Tujuannya adalah untuk
mengelakkan konflik antara satu sama lain dan wujud satu sistem yang dikenali sebagai sistem
vernakular. Sekolah dibina di kawasan tertentu seperti di ladang, kampung dan bandar mengikut
tempat tinggal setiap etnik. Ini menyebabkan 4 buah jenis sekolah di Tanah Meayu telah
ditubuhkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris. Sistem
vernakular ini tidak menyediakan pelajaran vokasional dan teknikal kepada para pelajar.

Pendidikan Melayu dibentuk bersesuaian dengan sistem komuniti Melayu. Pada


peringkat awal, dua bentuk sekolah telah dibina. Pertama, persekolahan secara tidak formal, iaitu
sekolah pondok. Sekolah ini turut menyediakan pengajaran di peringkat rendah dan menengah.
Kedua, di sekolah vernakular Melayu yang didirikan oleh kerajaan British, bahasa Melayu
dikekalkan sebagai bahasa pengantar dan tumpuan lebih kepada perkara asas seperti membaca,
mengira, menulis, ilmu pertukangan, anyaman dan pertanian bagi memenuhi kehendak
kehidupan luar bandar (Chelliah, 1940). Lepasan sekolah Melayu yang berkelayakan akan
menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Walaubagaimanapun, mereka
tidak berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi disebabkan kelayakan yang rendah berbanding
dengan mereka yang berkelulusan sekolah Inggeris.

Komuniti Cina telah menubuhkan sistem pendidikan tersendiri yang lebih menjurus
kepada pendidikan Cina klasik. Sukatan pelajaran pendidikan lebih kepada pemahaman
penulisan Cina klasik (Loh, 1975). Dasar laissez-faire British membuka peluang kepada
penubuhan sekolah vernakular Cina yang menerapkan nilai-nilai kecinaan seperti bahasa Cina
dikekalkan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran, guru dan buku teks adalah berdasarkan
negara China. Tujuan penubuhan sekolah berkenaan adalah untuk mengekalkan identiti komuniti
Cina di Tanah Melayu agar tidak terpisah dengan negara asal. Sekolah itu juga turut
menyediakan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah (Thock, 2005).
Menurut Paul Chang, Ming Phang, sejarah sebenar pendidikan Tamil di Tanah Melayu
bermula dengan perkembangan hasil tanaman. Kebanyakan sekolah ini merupakan hasil usaha
persendirian. Pada tahun 1905 terdapat 13 buah sekolah Tamil (kerajaan) dan 4 buah sekolah
Tamil persendirian di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1923 Kerajaan British
memperkenalkan Kanun Buruh yang memaksa pihak pengurusan ladang untuk mendirikan
sebuah sekolah sekiranya terdapat lebih daripada 10 orang anak buruh yang berumur di antara 7-
14 tahun. Sekolah-sekolah ini hendaklah dibiayai oleh pihak pengurusan ladang. Mutu pelajaran
Tamil adalah rendah kerana kekurangan guru terlatih. Pada tahun 1920-an, kerajaan British mula
mengawal sekolah-sekolah Tamil.

Pendidikan Inggeris mula berkembang di Tanah Melayu setelah penubuhan Penang Free
School pada tahun 1816. Pada peringkat awal, sekolah ini dikuasai oleh para mubaligh Kristian
dan Bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai bahasa pengantar utama. Ramai komuniti Cina dan
India telah memasuki sekolah tersebut manakala bagi komuniti Melayu pula, kelas atasan lebih
diberikan keutamaan (Chelliah, 1940). Para pelajar lepasan sekolah ini berpeluang untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka juga berkebolehan untuk
memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran British.

Pendidikan di Sabah tidak begitu maju. Sekolah Inggeris telah dikelolakan oleh gereja
katolik yang telah dibuka di Sandakan 1883. Pada tahun1909, jabatan pelajaran ditubuhkan
untuk mengawasi sekolah-sekolah dan dibiayai oleh badan persendirian seperti mubaligh
Kristian dan pertubuhan Cina. Pada tahun 1952, satu maktab perguruan di Tuaran telah
ditubuhkan. Berdasarkan Laporan Woodhead yang diterbitkan pada tahun 1955, cadangan ini
adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan sekolah rendah, menengah, vokasional dan kelas
dewasa di bawah satu sistem pendidikan yang bersepadu.

Di Sarawak, sekolah mubaligh dan cina telah dibuka dan dikelolakan oleh misi mubaligh
dan pertubuhan komuniti cina. Antara sekolah mubaligh yang paling awal dibuka ialah St.
Thomas dan St. Joseph. Sekolah Melayu pula dibuka atas bantuan kerajaan. Berdasarkan
Laporan Mclellan, sekolah cina ditukar bahasa pengantar secara berperingkat kepada satu bahasa
pengantar umum iaitu bahasa Inggeris dan semua sekolah harus menggunakan kurikulum yang
sama bagi membolehkan murid-murid daripada semua keturunan etnik belajar bersama-sama
dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

SEJARAH PENDIDIKAN SELEPAS KEMERDEKAAN

Laporan Rahman Talib digunakan untuk memantau Ordinan Pelajaran 1957. Terdapat
beberapa isi kandungan laporan ini contohnya, bahasa kebangsaan ialah bahasa perantaraan di
Malaysia. Bahasa kebangsaan hendaklah dipraktikkan di peringkat sekolah rendah, sekolah
menengah dan juga universiti. Semua peperiksaan am akan menggunakan satu bahasa rasmi di
peringkat sekolah menengah. Selain itu, pendidikan teknik dan vokasional ditekankan demi
memupuk minat masyarakat Melayu untuk melibatkan diri dalam bidang ini. Akhir sekali,
semangat saling menghormati dipupuk dalam diri masyarakat dengan menekankan pendidikan
moral dan keagamaan. Laporan ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pendidikan 1961.
Pada Ogos 1960, laporan ini telah diluluskan dan juga telah dimasukkan dalam Akta Pendidikan
1961 pada Oktober 1961 (Shamsul Amri Baharuddin, 2012).

Terdapat dua jenis sekolah yng ditanggung oleh kerajaan di Malaysia iaitu Sekolah
Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Kedua-dua sekolah ini berbeza dari segi bahasa
pengantara yang digunakan. Namun, kokurikulum di kedua-dua jenis sekolah ini adalah sama.
Kini, pembaharuan dilakukan bagi memupuk semangat saling menghormati antara etnik seperti,
Sekolah Kebangsaan juga memperkenalkan subjek bahasa-bahasa lain agar masyarakat yang
berbilang bahasa mendapat peluang mempelajari bahasa etnik yang lain. Dengan cara ini,
perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dapat dieratkan di samping mengelakkan
terjadinya pemisahan kelompok ras.

Sekolah menengah terbahagi kepada dua iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kerajaan dan
juga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil. Sekolah Menengah Kebangsaan merangkumi
beberapa jenis sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM), Sekolah Agama, Sekolah Seni dan Sukan, Sekolah Teknik dan Vokasional, Sekolah
Kluster dan juga Sekolah Menengah Harian (Shamsul Amri Baharuddin, 2012). Perpaduan juga
dipupuk dalam masyarakat pelbagai etnik dalam sekolah-sekolah. Ambilan pelajar ke SBP agak
terhad berbanding sekolah harian dan ambilan pelajar juga telah dibuka kepada pelajar bukan
Melayu. Pelajar bukan Melayu dapat mempelajari cara hidup dan memahami amalan pelajar
Melayu di SBP dengan baik kerana masa yang diluangkan di sekolah lebih lama berbanding
sekolah harian. Hal seperti ini menjadikan sikap hormat-menghormati budaya dan amalan etnik
yang lain telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi sekali gus menguatkan lagi perpaduan di
negara kita.

Sekolah Wawasan merupakan sekolah rendah yang bermatlamat bagi membolehkan


pelajar dari berbagai etnik untuk belajar bersama-sama. Objektif konsep Sekolah Wawasan
adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mencintakan negara melalui sistem pendidikan
yang seragam. Ini bagi memudahkan pertembungan antara etnik berlaku dengan cara semula
jadi. Terdapat beberapa tujuan perwujudan Sekolah Wawasan. Antaranya ialah mewujudkan
perpaduan di kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai etnik, aliran dan latar belakang.
Selain itu, generasi yang bersifat toleransi dan mempunyai kesefahaman yang tinggi mengenai
budaya lain dapat dilahirkan bagi mewujudkan negara yang bersatu padu. Juga menggalakkan
interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui pengkongsian kemudahan
sekolah dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah (Kementerian Pelajaran, n.d).

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, program Pembangunan Modal Insan telah


diperkenalkan. Program Pembangunan Modal Insan dalam Sains, Teknologi dan Inovasi
bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal, kreativiti serta inovasi dalam sumber
manusia bagi memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Objektif Pembangunan Modal Insan
ialah untuk menentukan kualiti modal insan selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi
negara. Program ini turut berfungsi dengan mengenal pasti dan menganalsis isu-isu berkaitan
pembangunan modal insan dan pasaran buruh serta mengemukakan cadangan untuk
menanganinya. Selain itu, program ini turut menggubal dasar dan strategi pendidikan, latihan
dan pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan sistem penyampaian menyediakan modal
insan berkelayakan tinggi yang mencukupi bagi memastikan kemampanan pertumbuhan dan
daya saing ekonomi.
Program ini menggubal dasar dan strategi berpendudukan tenaga buruh serta guna tenaga
untuk meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam memastikan keberkesanan dan
kecekapan fungsi tenaga buruh (Unit Perancang Ekonomi, 2014). Bagi menjana sumber manusia
yang efektif, ini telah dibentangkan di peringkat universiti awam dan swasta dengan matlamat
sebagai aset terpenting negara. Oleh yang demikian, golongan intelek merumuskan bahawa
mahasiswa-mahasiswa di Malaysia adalah sasaran utama justeru, mereka dilihat sebagai pelapis
yang dapat mewarisi masa depan negara pada suatu hari nanti. Agenda ini turut bertujuan untuk
memanfaat dan memaksima potensi mereka dengan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan
negara.

Pada tahun 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Dasar


Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ini bertujuan
untuk memperkasakan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah
kebangsaan dan sekolah menengah sambil memastikan bahasa bahasa Inggeris dikuasai dan
digunakan dengan fasih dan betul. Lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
Kampus Bahasa Inggeris khusus telah diwujudkan dengan persetujuan Pihak Kementerian untuk
melatih guru-guru bahasa Inggeris. Penempatan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru
yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar oleh Kementerian secara dasarnya
telah bersetuju. Ini bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Bagi
kelas yang melebihi 35 pelajar, jawatan pembantu guru bahasa Inggeris akan diwujudkan.
Tumpuan yang lebih mampu diberi kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa
Inggeris. Mereka boleh dibimbing dan membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan
lebih baik.

KESAN PERLAKSANAAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KEPADA HUBUNGAN


ETNIK.

Pendidikan adalah medium terpenting bagi memupuk perpaduan kaum dari sebelum
merdeka sehingga kini. Melalui pendidikan juga, sesuatu bahasa dapat dipertahankan dan
disebabkan hal ini, terdapat kesukaran dalam membentuk pendidikan kebangsaan kerana setiap
etnik ingin mengekalkan bahasa ibunda masing-masing. British telah menjalankan dasar pecah
dan perintah yang telah menyebabkan kesukaran untuk melaksanakan pendidikan kebangsaan.

Pendidikan vernakular telah menghasilkan etnik yang ingin mempertahankan bahasa


ibunda masing masing dan jauh daripada perpaduan kaum. Oleh itu, pelbagai laporan dan cara
telah dilakukan bagi memupuk sikap perpaduan antara kaum. Laporan Barnes menganjurkan
agar sekolah vernakular dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan kebangsaan serta
mewajibkan pengunaan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar. Di peringkat
menengah pula, bahasa Inggeris dikekalkan sebagai bahasa pengantar (Fennell, 1968). Laporan
ini ditentang dan wujudnya Laporan Fenn Wuu yang lebih memihak kepada kaum cina.

Ordinan Pelajaran pula menekankan tentang dua jenis pendidikan kebangsaan iaitu Melayu
dan Inggeris manakala India dan Cina pula mengikut permintaan ibubapa dengan syarat 15
orang dalam kumpulan yang sama. Laporan Razak pula memartabatkan bahasa Melayu dalam
sistem pendidikan. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah rendah dan sekolah
menengah serta ke peringkat universiti dan bahasa Cina, Tamil serta Inggeris akan digunakan
sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan. Untuk menjayakan lagi perpaduan kaum,
bahasa melayu dijadikan sebagai kursus wajib untuk semua pelajar.

Kesan daripada pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan kaum telah mewujudkan
dua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Peluang mempelajari
bahasa asing di peringkat rendah telah membuka minda dan persefahaman tentang kaum masing-
masing. Perlaksanaan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di
peringkat menengah telah menggalakkan percampuran etnik yang berbeza dari pelbagai segi.
Struktur pendidikan yang unik telah membawa kepada pencapaian perpaduan kaum antara etnik
serta menggalakkan perkembangan pendidikan (Musa, 2012).

CABARAN YANG DIHADAPI DALAM PENDIDIKAN

Pendidikan adalah antara satu wadah penting dalam mencapai kesepaduan kaum di
kalangan golongan muda terutamanya pelajar. Di Malaysia terdapat pelbagai sistem pendidikan
yang berkait rapat dengan kesepaduan sosial misalnya dari segi penggunaan bahasa pengantar
dan kurikulum (Baharuddin, 2012) . Kepelbagaian dalam sistem pendidikan memberi cabaran
dalam pelaksanaan sistem tersebut.

Terdapat sistem pendidikan di negara ini yang memperlihatkan dominasi mengikut


kepentingan etnik masing-masing (Fernandez, 2011). Sebagai contohnya pelajar Melayu yang
belajar di sekolah Melayu sememangnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
perantaraan. Begitu juga dengan etnik India dan Cina. Ini menyebabkan pelajar terpisah
mengikut bahasa ibunda mereka dan wujud cabaran dalam membentuk kesatuan dalam sistem
pendidikan (Nusi, 2012).

Terdapat beberapa tuntutan dari politik Cina untuk mengekalkan, memelihara dan
mengembangkan sekolah jenis kebangsaan Cina iaitu tiga rukun politik Cina. Persatuan Guru-
Guru di Sekolah Cina Kuala Lumpur telah mengemukan satu memorandum iaitu Memorandum
Pendidikan Pesatuan untuk menggesa Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina di negeri lain
menyokong tindakan mereka. Tuntutan mereka adalah agar bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa
Inggeris dan bahasa Melayu dilayan sama rata dan tersenarai sebagai bahasa rasmi. Selain itu,
pendidikan Cina juga harus dijadikan sebagai salah satu aliran pendidikan negara (Baharuddin,
2012) .

Antara cabaran lain dalam bidang pendidikan adalah perbezaan bahasa, kebudayaan,
kepercayaan dan keturunan menjadi cabaran terhadap bidang pendidikan (Nusi, 2012). Hal ini
kerana disebabkan perbezaan kaum mereka dengan kaum yang lain mewujudkan kesukaran
dalam menerima perubahan yang dilaksankan kerajaan dalam dasar pendidikan (Nusi, 2012).
Mereka menyangka dasar perubahan dalam bidang pendidikan ini akan menyebabkan mereka
terpaksa menurut setiap adat dan unsur dari kaum lain. Hal ini akan mengikis adat kaum mereka
sendiri (Fernandez, 2011).

Konklusinya, setiap etnik harus bersatu padu dan bertolak ansur agar kesepaduan dalam
sistem pendidikan dapat dicapai. Masa depan generasi baru amat bergantung pada pendidikan
yang mereka dapat dan ini membantu dalam pembentukan generasi pelapis yang akan
mengekalkan perpaduan etnik di Malaysia untuk masa hadapan.
KESIMPULAN

Kesimpulannya, pendidikan adalah agen penting dalam menyatupadukan kaum-kaum di


Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai jenis aliran atau sekolah yang wujud di negara ni, dapat
dilihat dengan jelas hubungan di antara etnik-etnik di negara Malaysia semakin kukuh. Interaksi
diantara pelajar yang datang daripada pelbagai kaum telah memantapkan persefahaman di antara
kaum. Interaksi yang telah berlaku akan membantu seseorang pelajar mengenali dan memahami
adat resam dan budaya rakannya yang berasal dari bangsa lain. Ini sekaligus akan mendidik
pelajar supaya menghormati kaum lain dan menjauhi sikap diskriminasi terhadap kaum lain.
Dengan mengukuhkan hubungan kaum melalui pendidikan, kerajaan Malaysia akan dapat
mencapai matlamat gagasan 1Malaysia.
RUJUKAN
Abdullah, M. R. T. (2010). Cabaran Integrasi Anatara Kaum Di Malaysia: perspektif sejarah,

keluarga dan pendidikan. Jurnal Hadhari, 2(1), 61-84.

Andaya, B. W dan Andaya, L. Y. (2001). A History of Malaysia. Honolulu: Universiti Hawaii

Press.

Askandar, K. (2007). Perpaduan dan Perdamaian Etnik.

Baharuddin, S. A. (2007). Modul hubungan etnik. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti

(UPENA), Universiti Teknologi MARA.

Fernandez, J. H. (2011). Hubungan Etnik di Malaysia. Dipetik daripada,

http://joehoze.blogspot.com/2011/10/hubungan-etnik-di-malaysia.htm

Harris Jadi. (1990). Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://bukitserabut.blogspot.my/2011/04/dasar-pendidikan-di-malaysia-pra.html

Ishak Saat. (2009). Pendidikan Negara Bangsa. Shah Alam; Karisma Publications Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran. (n.d). Sekolah Wawasan. Dipetik daripada,

pmr.penerangan.gov.my/index.php/pendidikan/1199-sekolah-wawasan.html

Nusi, K. (2012). Integrasi Dan Perpaduan Kaum Melalui Dasar Pendidikan. Dipetik daripada

http://kasturinusi.blogspot.my/2012/05/integrasi-dan-perpaduan-kaum-melalui.html

Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul Hubungan Etnik Edisi Kedua. UKM Bangi, Selangor:

Institut Kajian Etnik.

Shiamala Danabalan. (2012). Sistem Pendidikan Malaysia dan Perpaduan Kaum.

Unit Perancang Ekonomi. (2014). Pembangunan Modal Insan. Dipetik daripada,

www.epu.gov.my/pembangunan-modal-insan

Zaireey Khairuddin. (2013). Ringkasan Pelan Pembangunan Pendidikan. Dipetik daripada,

www.zairedin.com/2013/09/ringkasan-pelan-pembangunan-pendidikan_8.html?m=1

Anda mungkin juga menyukai