Anda di halaman 1dari 9

Konflik perkauman di Sabah: Isu bumiputera dan

pendatang asing dari perspektif sosialis


Oleh Muhammad Salleh (Disember 2001)

Di merata dunia, dari Britain ke Bosnia, Itali ke Malaysia, konflik perkauman telah menjadi bahasa rasmi bagi
perdebatan politik, lalu menggantikan konsep-konsep seperti penindasan dan fahaman bangsa. Tetapi
memandang dunia melalui cermin perkauman ini sebenarnya menyembunyikan isu-isu penindasan, lalu
memendamkan cara unsur-unsur perkauman ditekankan terhadap penduduk tempatan oleh kuasa-kuasa kelas
pemerintah.

Konsep penindasan adalah konsep yang penting bagi pemahaman Marxsis mengenai sejarah dan masyarakat
moden. Ia merujuk kepada diskriminasi secara sistematik oleh satu kumpulan sosial terhadap kumpulan sosial
yang lain berdasarkan ciri-ciri yang diwarisi seperti warna kulit dan jantina atau ciri-ciri yang dipupuk dari segi
sosial seperti kepercayaan agama dan orientasi seksual. Penindasan seperti ini berlaku tanpa mengira garisan
kelas, walaupun pengalaman penindasan mungkin lebih kejam lagi berdasarkan struktur kelas sesebuah
masyarakat. Penindasan kaum perempuan, misalnya, telah wujud sepanjang kewujudan masyarakat kelas,
manakala penindasan kaum-kaum agama adalah terhad kepada sistem kapitalis. Walau apapun sebab-sebabnya,
kelas-kelas pemerintah telah melancarkan penindasan terhadap kumpulan-kumpulan tertentu untuk memastikan
pembahagian dan pemisahan di kalangan mereka yang diperintah. Sekian lama, kumpulan-kumpulan tertentu
telah mengalami penindasan disebabkan bangsa mereka. Corak penindasan ini memang jelas kelihatan di bawah
sistem ‘kebumiputeraan’ di Malaysia, dan rencana ini akan membincangkan isu-isu bumiputera dan penindasan
kaum di Malaysia, terutamanya di negeri Sabah.

Oleh kerana isu-isu yang dipertimbangkan di sini mungkin disalah-fahami, biarlah saya menjelaskan tujuan
rencana ini. Isu-isu ‘bangsa’ atau perihal yang berkenaan dengan suku kaum seseorang biasanya disamakan
dengan adat resam, seringkali dengan adat resam golongan-golongan minoriti. Tujuan saya bukanlah untuk
mengutuk kepelbagaian bangsa dan adat resam, dan sudah tentu bukanlah untuk menyeru pihak sosialis atau
mana-mana kumpulan yang lain mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan masyarakat di
mana adat resam mereka diancam, atau mana-mana masyarakat lain yang mengalami penindasan. Pada abad
yang lalu, Vladimir Lenin telah menekan kepentingan pihak sosialis mengutarakan isu-isu penindasan dengan
kata-kata yang masih penting pada hari ini: “Kesedaran kelas pekerja hanya dapat menjadi kesedaran politik
yang tulin jika para pekerja dilatih untuk memberi tentangan kepada setiap kes kezaliman pemerintah,
penindasan, keganasan dan kekerasan, tanpa mengira kelas mana yang diakibatkan – hanya jika mereka dilatih,
lebih-lebih lagi, untuk memberi tentangan dari pandangan demokrasi sosial [iaitu, sosialis revolusioner] dan
bukannya pandangan yang lain.”1 Maka, bagi pihak sosialis, tidak terdapatnya perbezaan jika kumpulan-
kumpulan tertentu ditindas kerana bahasa, agama, kewarganegaraan atau suku kaum mereka. Dalam setiap kes,
tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan mereka yang ditindas dan menunjukkan perpaduan dengan
mereka.2

Kebumiputeraan di Malaysia
Sejak beberapa lama, kerajaan Barisan Nasional yang berpusat di Kuala Lumpur telah mengajukan dan
meluaskan polisi-polisi perkauman yang mendapat ruang yang cukup luas dalam media massa tempatan.
Misalnya, syair Cecil Rajendra, bertajuk The Kingdom of Purplaya3,yang diterbitkan baru-baru ini,
menimbulkan kontroversi apabila beberapa kumpulan Melayu mendakwa bahawa penyair tersebut mencela
kaum Melayu dan mencabar hak-hak istimewa kaum tersebut sebagai kaum ‘asal di Malaysia.’ Sambil Rajendra
menafikan dakwaan-dakwaan ini, karya tersebut telah diterbitkan dan disebarkan luas oleh beberapa akhbar
tempatan, termasuklah Utusan Malaysia.4

Apakah asal-usul hak-hak keistimewaan kaum ‘bumiputera’ ini? Dari segi sejarah, semasa kemerdekaan pada
tahun 1957, kaum Melayu telah membuat perjanjian yang meneraskan ‘keistimewaan’ bagi kaum mereka lalu
‘menghadiahkan’ status kewarganegaraan kepada kaum-kaum bukan Melayu (perjanjian ini juga melibatkan
keutamaan ekonomi bagi kaum Cina). Pada masa itu, ia dipersetujui bahawa “sesiapa yang dilahirkan di
Persekutuan Malaya pada atau selepas Hari Merdeka (31hb Ogos, 1957) akan menjadi rakyat dari segi undang-
undang.” Namun demikian, Artikel 159 dalam perlembagaan Malaysia telah digunakan untuk mengutamakan
‘hak-hak istimewa’ bagi kaum Melayu dan kaum-kaum peribumi. Artikel tersebut adalah berkenaan dengan
tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan kedudukan khas kaum Melayu dan warga-warga kaum
peribumi di negeri Sabah dan Sarawak. ‘Kedudukan khas’ ini diterajui oleh kerajaan-kerajaan Malaysia,
termasuklah kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa pada hari ini. Tujuannya adalah untuk memastikan
‘keistimewaan’ bagi golongan bumiputera, termasuk kaum Melayu dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan
Sarawak, dalam pertubuhan-pertubuhan pendidikan seperti universiti, perkhidmatan awam, pekerjaan dalam
firma-firma kerajaan dan dalam permohonan lesen atau pinjaman wang bagi perniagaan.

Melalui pindahan akta dan penggubahan perlembagaan sejak itu, kerajaan Malaysia telah memajukan konsep
kewarganegaraan pada tahap persekutuan yang sebenarnya berdasarkan fahaman perkauman. Misalnya,
Pindaham Perlembagaan 1971 dan pindahan-pindahan yang berikutan telah meletakkan kaum Melayu pada
kemuncak hierarki perkauman. Jika dikaji secara global, polisi ini begitu berbeza daripada polisi-polisi yang
agak mirip di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, di mana ‘keistimewaan’ telah diberikan kepada
kaum-kaum minoriti berdasarkan diskriminasi bersejarah. Di Amerika Syarikat, misalnya, mekanisme tersebut
pernah digunakan (kononnya) untuk memperbaiki kekurangan perwakilan kumpulan-kumpulan minoriti yang
tertindas.

Konsep kewarganegaraan yang berteraskan perkauman Melayu sudah lama mengancam kumpulan-kumpulan
bumiputera yang lain, termasuklah kaum Iban di Sarawak dan kaum Kadazan-Dusun di Sabah, serta kaum-kaum
bukan Melayu di Semenanjung Malaysia, seperti Orang Asli. Hak-hak keistimewaan ini menjadi isu hangat
apabila memorandum kumpulan Su Qiu, yang dikeluarkan sebelum pilihanraya umum pada tahun 1999,
menentang hak-hak keistimewaan tersebut, sambil mempertengahkan isu-isu keadilan sosial, pembahagian
kekayaan negara, pembanterasan rasuah, dan sebagainya. Isu bumiputera juga mendapat paparan berkali-kali
dalam akhbar tempatan berkenaan dengan kuota bumiputera dan bukan bumiputera bagi jawatan Ketua Menteri
Sabah.

Berkenaan khusus dengan Sabah dan Sarawak, oleh kerana kaum Kadazan-Dusun dan kumpulan-kumpulan
peribumi yang lain adalah kaum ‘bumiputera’ di negeri-negeri masing-masing, mereka berhak menerima polisi-
polisi keistimewaan bukan sahaja di negeri mereka sendiri tetapi juga di Semenanjung Malaysia. Misalnya,
Bahagian V dari Artikel 41 Perlembagaan Negeri Sabah adalah berkenaan dengan perihal yang mempertahankan
kedudukan kaum-kaum peribumi.5 Kaum-kaum peribumi dalam erti kata ini sebenarnya memaksudkan kaum-
kaum seperti Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Suluk, Orang Sungai dan kaum peribumi yang lain di Sabah. Ia
tidak melindungi kumpulan-kumpulan lain yang berhijrah ke Sabah selepas penubuhan Malaysia pada tahun
1963, seperti kaum Melayu, Cina dan India dari Semenanjung Malaysia, dan pendatang-pendatang asing dari
Filipina dan Indonesia.6

Penghakisan hak-hak kaum peribumi Sabah


Walaupun kaum Kadazan-Dusin di Sabah patut diberikan keistimewaan dalam teori, dari segi amalan hak-hak
kewarganegaraan kaum-kaum tersebut semakin dihakis. Ramai pemimpin parti-parti pembangkang di Sabah
mendakwa bahawa hak-hak kaum-kaum peribumi tertentu tidak diberikan keutamaan, dan isu ini telah menjadi
pertikaian semasa pilihanraya umum dalam beberapa tahun yang lalu. Bahkan terdapat juga golongan-golongan
tertentu di Sabah yang mendakwa bahawa kaum Melayu dilayani sebagai bumiputera kelas pertama sambil
kaum Kadazan-Dusun dan kaum-kaum peribumi yang lain dilayani sebagai bumiputera kelas kedua. 7 Dakwaan-
dakwaan hierarki kewarganegaraan ini adalah berdasarkan pengalaman diskriminasi atau pemungkiran janji oleh
kerajaan yang menjanjikan kaum-kaum itu hak-hak istimewa setanding dengan kaum Melayu.

Kaum Kadazan-Dusun berpendapat bahawa mereka berhak menikmati polisi-polisi keistimewaan kerana ini
menjadi salah satu syarat bagi Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963. Misalnya,
keistimewaan bagi bumiputera Kadazan-Dusun sepatutnya diberikan dalam pertubuhan-pertubuhan pendidikan
dan pusat-pusat pendidikan tinggi, serta dalam birokrasi kerajaan. 8 Sebenarnya, tuntutan-tuntutan seperti ini
adalah berdasarkan dakwaan bahawa kaum peribumi di Sabah, termasuklah kaum Kadazan-Dusun, adalah
‘kaum pertama’ yang menjejak kaki di Sabah dan, oleh kerana itu, berhak menerima keistimewaan. Dakwaan ini
tidak dapat difahami berpandukan garisan agama semata-mata (misalnya, agama Kristian menentang agama
Islam) kerana pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang di Sabah mengambil langkah untuk
mengumumkan bahawa kaum-kaum peribumi di Sabah (dalam pengertian mereka) juga melibatkan kumpulan-
kumpulan Islam seperti Orang Sungai, Bajau dan Suluk. Meskipun itu, dakwaan bahawa sesebuah kaum
peribumi berhak menerima keistimewaan kerana mereka adalah ‘kaum pertama’ di sesebuah tempat adalah
perdebatan yang merbahayakan. Misalnya, dakwaan yang hampir serupa digunakan oleh kerajaan Yahudi di
Timur Tengah untuk menindas rakyat Palestin dan menduduki negara mereka. 9 Ini bukanlah sama dengan
mengatakan bahawa parti-parti pembangkang haluan utama di Sabah ingin memerdekakan Sabah dari Malaysia;
sebaliknya, perdebatan saya adalah bahawa politik berdasarkan perkauman adalah tipu-helah yang digunakan
oleh ahli-ahli politik pembangkang Sabah untuk mendapat sokongan daripada kaum-kaum peribumi Sabah.

Meskipun ini, pemimpin-pemimpin dan akaliah-akaliah Kadazan-Dusun mendakwa bahawa pegawai-pegawai


kerajaan seringkali mentafsirkan ‘keistimewaan bagi bumiputera’ sebagai bermaksud keistimewaan bagi kaum
Melayu-Islam, lalu mengetepikan kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Ini memang jelas kelihatan apabila kaum
Kadazan-Dusun dan kaum-kaum peribumi dari Sabah dan Sarawak menuntut kelayakan bumiputera di
Semenanjung Malaysia. Mereka mendapati bahawa kaum Melayu dianggap sebagai rakyat pertama, dan kaum-
kaum lain sebagai rakyat bawahan atau rakyat kedua. Oleh yang demikian, ia didakwa bahawa hak-hak
kewarganegaraan kaum-kaum peribumi di Sabah (dan juga Sarawak) sedang dihakis.

Dari Semenanjung ke Sabah


Selepas kemerdekaan, kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur mencuba menekan kemajuan pada tahap yang
sama-rata bagi setiap negeri melalui perbadanan-perbadanannya. Namun, salah satu akibat daripada usaha ini
adalah keengganan kumpulan-kumpulan tertentu di Sabah dan Sarawak untuk menerima ‘pendatang asing.’
Keadaan ini dilanjutkan oleh polisi-polisi kerajaan di mana salah satu golongan diberikan keutamaan sebelum
golongan yang lain. Seringkali, kaum-kaum Kadazan-Dusun di Sabah menganggap penghijrah dari
Semenanjung Malaysia sebagai penghijrah dari negara asing. Ini tidaklah menghairankan apabila kita meneliti
sistem kerajaan di Malaysia, di mana kerajaan tempatan (misalnya, di Sabah) dibenarkan mengutarakan polisi-
polisi pentadbiran yang agak berbeza daripada polisi-polisi kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur.

Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963 dengan syarat-syarat khas yang digubahkan
untuk mempertahankan negeri tersebut berkenaan dengan hal-hal seperti keagamaan, kedudukan kaum peribumi
dan bumiputera, bahasa, pendidikan dan lain-lain. 10 Salah satu daripada pertahanan ini adalah kawalan imigrasi,
di mana pertahanan disediakan agar kaum-kaum peribumi tidak diketepikan sambil penghijrah dari
Semenanjung Malaysia yang mempunyai pendidikan dan latihan yang lebih baik membanjiri negeri itu. Namun,
salah satu kajian yang terdapat dalam buku Jeffrey Kitingan bertajuk The Sabah Problem menunjukkan bahawa
hanya 19 daripada 89 jabatan persekutuan di Sabah pada tahun 1989 diketuai oleh penduduk Sabah; jabatan-
jabatan lain diketuai oleh penghijrah-penghijrah dari Semenanjung Malaysia. 11 Jelasnya, kawalan-kawalan
imigrasi yang diwujudkan untuk ‘mempertahankan’ Sabah daripada dibanjiri penghijrah dari Semenanjung
Malaysia tidak berfungsi dengan baik.

Lebih-lebih lagi, kedudukan perlembagaan bagi imigrasi di Sabah dan Sarawak yang begitu rumit tidak
menyenangkan isu ini. Menurut Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak dibenarkan mengawal
imigrasi ke dalam negeri-negeri tersebut. 12 Maka, di bawah perintah Parlimen, seseorang mungkin dihalang
daripada memasuki Sabah atau Sarawak, atau sebaliknya, dibuang negeri dari kedua-dua negeri itu. Misalnya,
seorang aktivis dari Switzerland, Bruno Manser, pernah dibuang negeri dari Sarawak apabila menyuarakan
masalah-masalah kaum Penan.13 Serupa dengan ini, Tan Seng Hin dibuang negeri dari Sarawak pada bulan
Januari 2001, walaupun sudah menetap di negeri tersebut selama 23 tahun. 14 Kadang-kala, undang-undang ini
digunakan untuk menghalang penduduk tempatan dari Sabah dan Sarawak meninggalkan negeri-negeri tersebut.
Misalnya, pada bulan Ogos 1993, pasport seorang aktivis dari Sarawak, Jok Jau Evong, dirampas oleh Jabatan
Imigrasi, kerana dia didakwa berkelakuan dengan cara yang tidak berpatutan dengan “kepentingan negara.” Jok,
seorang petani, terlibat dalam kempen anti-pembalakan dan pernah mendakwa bahawa kerajaan Malaysia
sedang memusnahkan alam sekitar dengan pembalakan tanpa kawalan. 15 Kuasa-kuasa kerajaan persekutuan
untuk melarang seseorang daripada memasuki atau meninggalkan Sabah dan Sarawak di bawah Akta Imigrasi,
serta keperluan rakyat Semenanjung Malaysia untuk memohon kebernaran bertulis untuk memasuki negeri-
negeri tersebut, bermaksud bahawa rakyat Semenanjung Malaysia seringkali dianggap sebagai ‘pendatang
asing.’

Oleh yang demikian, konsep kewarganegaraan pada tahap negeri yang agak berbeza daripada kewarganegaraan
pada tahap kebangsaan menekan lagi keadaan di mana kaum bumiputera tidak dilayani dengan sama
berdasarkan tempat asal mereka. Dari segi ini, maksud ‘menjadi seorang warganegara Malaysia’ kini lebih rapat
dengan maksud ‘berasal dari Semenanjung Malaysia’ atau ‘berbangsa Melayu.’ Masyarakat-masyarakat
Semenanjung Malaysia dan Sabah yang dipisahkan bukan sahaja oleh Laut Cina Selatan, bahkan juga oleh
penghadan pada pergerakan rakyat Semenanjung Malaysia ke Sabah sedang mewujudkan kewarganegaraan
yang berbeza bagi kedua-dua bahagian Malaysia ini. Secara ringkas, rakyat Semenanjung Malaysia dilayan
sebagai ‘pendatang asing’ di Sabah dan Sarawak, sambil rakyat Sabah dan Sarawak pula dilayan sebagai
‘pendatang asing’ di Semenanjung Malaysia.

Masalah pendatang haram di Sabah


Penghijrah tetap dari Kepulauan Sulu ke Sabah datang pada hujung abad ke-15 apabila pihak penjajah Spain
mula menyerang Sulu dan Tawi-Tawi di selatan Filipina. Ombak penghijrahan kedua bermula semasa
perjuangan Mindanao pada tahun 1970-1977, apabila beribu-ribu penduduk Filipina melarikan diri daripada
negara asal mereka akibat peperangan. Kebanyakan daripada penghijrah ini akhirnya menetap di Sandakan,
Tawau dan Lahad Datu. Selepas tahun 1978, jumlah pendatang haram ke Sabah meningkat secara mendadak.
Pendatang-pendatang ini tidak dianggap sebagai pelarian kerana keadaan di selatan Filipina dikatakan telah
menjadi semakin baik selepas perjanjian Gerakan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dengan kerajaan
Manila pada bulan September 1996. Maka, ia diperdebatkan bahawa pendatang-pendatang terbaru ini adalah
penghijrah ekonomi yang mencari kehidupan yang lebih baik di Sabah.

Geografi Sabah membantu kemasukan pendatang haram ke Sabah tanpa kawalan. Sabah mempunyai persisiran
pantai sepanjang 250 batu dan jaraknya yang dekat dengan perairan Filipina membenarkan penghijrah pulang-
balik di antara sempadan Filipina-Malaysia. Lebih-lebih lagi, pulau-pulau di antara Sabah dan Filipina, di Laut
Sulu, menjadi tempat perlindungan bagi perompak laut.16 Pada hari ini, ia sudah menjadi ketahuan ramai bahawa
kebanyakan penduduk Sandakan sebenarnya berasal dari Filipina, sambil pendatang asing dari Indonesia telah
menjadikan Tawau sebagai destinasi mereka.

Menurut pendatang-pendatang asing ini, usaha mereka untuk menjadi ‘warganegara’ sah di Malaysia digalakkan
oleh rancangan-rancangan kerajaan, atau melalui perkahwinan, perasuahan, atau mendapat status pelarian.
Misalnya, pendatang-pendatang asing berkata bahawa ia sememangnya senang untuk memperolehi kad
pengenalan. Misalnya, akhbar Borneo Post pernah melaporkan bahawa kad pengenalan boleh dibeli untuk
RM$10.17 Tidak lama selepas ketibaan mereka di timur Sabah, pendatang-pendatang ini akan berpindah ke
bandar-bandar di barat Sabah, termasuklah Kota Kinabalu. Misalnya, Pulau Gaya (yang terletak berhampiran
dengan perairan Kota Kinabalu) telah menjadi tapak utama bagi pendatang-pendatang baru. Walaupun
kebanyakan penduduk pulau tersebut tidak mempunyai hak kewarganegaraan yang sah, Pulau Gaya mempunyai
bekalan elektrik, sebuah sekolah dan sebuah masjid tersendiri.

Pelbagai perangkaan disebut untuk menjelaskan betapa ramainya pendatang asing berada di negeri Sabah. 18
Beberapa anggaran mengatakan bahawa jumlah pendatang asing di Sabah sudah melebihi satu juta (jumlah
penduduk Sabah adalah 2.8 juta).19 Jika anggaran ini benar, ia bermakna bahawa hampir satu pertiga daripada
penduduk Sabah adalah pendatang asing. Lebih-lebih lagi, kebanyakan pendatang haram yang dibuang negara
akan kembali dalam beberapa hari. Walaupun kes-kes jenayah dan masalah rumah setinggan adalah isu-isu
penting, kaitan pendatang haram dalam pilihan raya adalah isu yang paling mendapat penyuaraan oleh penduduk
tempatan dan media massa.

Haram menjadi sah


Ia memang jelas bahawa terdapatnya pegawai-pegawai kerajaan negeri Sabah yang terlibat dalam proses
menjadikan pendatang-pendatang haram ke negeri Sabah penduduk ‘sah.’ Dalam tahun-tahun yang lalu,
beberapa kes telah memasuki pandangan media massa, di mana calon-calon pilihanraya yang terkenal di Sabah
didakwa terlibat dalam kes-kes pemalsuan kad pengenalan. Misalnya, pada tahun 1999, seorang calon parti
pembangkang dari daerah Likas, Dr. Chong Eng Leong, memberitahu makhamah bagaimana beberapa orang
ahli UMNO ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana pembabitan mereka dalam kes
pemalsuan kad pengenalan.20 Beberapa orang pegawai dari Jabatan Pendaftaran Kebangsaan juga ditahan kerana
pembabitan mereka dalam kes ini. Menurut seorang daripada tahanan tersebut, sejumlah 130,000 pendatang
asing diberikan kad pengenalan di bawah projek pemalsuan tersebut. 21 Menurutnya lagi, tujuan projek tersebut
adalah untuk meningkatkan jumlah penduduk Islam di Sabah.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akhirnya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Likas yang diadakan
pada tahun 1999 itu sebagai batal kerana terdapat “pengundi hantu yang tidak wujud dalam daftar pemilih
kawasan tersebut.”22 Menurut hakim yang mendengar kes tersebut, “Kewujudan pengundi bukan di kalangan
warganegara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih seperti yang disebutkan dalam perbicaraan mungkin
hanya bahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar.” 23 Dr. Chong mendakwa terdapat pengundi daripada
kalangan bukan rakyat Malaysia yang mengundi di kawasan Likas kerana Suruhanjaya Pilihan Raya tidak
mengeluarkan nama pengundi hantu itu daripada senarai pengundi walaupun bantahan telah dibuat semasa
siasatan umum sebelum pilihan raya itu.24

Ini hanyalah satu kes terkenal daripada beberapa kes yang muncul di mata negara dalam beberapa tahun yang
lalu. Ramai penduduk Sabah berpendapat bahawa strategi ini hanyalah cara terbaru untuk mendiamkan tuntutan-
tuntutan mereka. Sememangnya, strategi seperti ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi pada masa apabila
globalisasi sedang mencabar polisi-polisi imigrasi berdasarkan suku kaum, strategi kerajaan Barisan Nasional
ini semakin mendapat perhatian. Secara lazimnya, ia mungkin dikatakan bahawa matlamat strategi ini adalah
untuk mengubah demografi negeri Sabah, agar penduduk Melayu-Islam menjadi kaum yang terbesar. Oleh
kerana kesamaan adat resam dan keagamaan, pendatang-pendatang asing dari Indonesia dan Filipina disambut
baik oleh kerajaan Barisan Nasional di Sabah, dan lama-kelamaan pendatang-pendatang asing itu akan menjadi
‘rakyat Malaysia.’ Malah, bekas Ketua Menteri Sabah, Harris Salleh, pernah berkata bahawa kaum “Kadazan
akan menjadi seperti kaum Sikh di India pada hari ini, sebuah bangsa yang sentiasa di bawah pengawasan
bangsa majoriti.”25

Unsur Islam di kalangan pendatang-pendatang asing ke Sabah dilihat sebagai ‘alat’ yang dapat digunakan untuk
mengubah corak pengundian di Sabah demi kebaikan parti-parti Melayu seperti UMNO. Misalnya, M. D.
Mutalib telah mendedahkan beribu-ribu pendatang haram yang mempunyai kad pengenalan palsu dan
kemungkinan besar telah mengundi dalam pilihanraya negeri. 26 Buku Mutalib tersebut menyeneraikan nombor-
nombor kad pengenalan pendatang-pendatang haram itu, gambar-gambar mereka, dan juga nombor kad
pengenalan atau pasport Filipina atau Indonesia mereka. 27 Malah, beberapa akhbar harian telah mendakwa
bahawa pendatang-pendatang haram diberikan beras, duit dan jala ikan agar mereka mengundi untuk parti-parti
tertentu semasa pilihanraya.28 Kad-kad pengenalan palsu tersebut dihadiahkan dengan syarat penerima-
penerimanya mengundi untuk parti-parti Barisan Nasional.

Isu kad pengenalan palsu sememangnya telah menjadi isu hangat, terutamanya di Kota Kinabalu, hasil kes-kes
makhamah yang dimulakan oleh calon pembangkang. Misalnya, pada bulan November 1999, akhbar Borneo
Post memaparkan kisah seorang pendatang haram yang telah mengundi dalam lima pilihanraya negeri Sabah,
iaitu tiga kali di Sembulan dan dua kali di Kuala Penyu. 29 Menurut akhbar itu, pendatang asing tersebut tidak
pernah memohon untuk kad pengenalan atau mengisi borang-borang untuk tujuan itu. Menurut beberapa
pemimpin kaum-kaum peribumi di Sabah, kerajaan persekutuan dengan beberapa golongan dalam negeri ingin
mendiamkan hak-hak politik kaum-kaum peribumi di negeri tersebut. 30 Yang jelas adalah bahawa kaum ‘Melayu
asing’ yang diwujudkan dengan ‘pengesahan’ pendatang-pendatang haram dari Indonesia dan Filipina dapat
membantu parti Melayu-Islam yang utama, iaitu UMNO, untuk mengekalkan penguasaannya di Sabah sambil
memastikan yang parti-parti politik berteraskan kaum-kaum peribumi tidak lagi memasuki kerajaan.

Perasaan bahawa kaum-kaum peribumi di Sabah sedang dikuasai dan didiamkan oleh ‘pendatang asing,’ biarpun
mereka datang dari Semenanjung Malaysia atau luar negara, begitu nyata di kalangan kumpulan-kumpulan
bukan Islam di Sabah. Yang menjadi masalah adalah ancaman isu ini meletus akibat kegiatan keganasan
terhadap pendatang asing, seperti yang dilihat di Indonesia semasa krisis kewangan pada tahun 1997 dan baru-
baru ini di Kalimantan. Dalam pada itu, keselamatan negeri Sabah sendiri telah menjadi isu penting selepas dua
kes penculikan di sempadan timur Sabah oleh kumpulan pemberontak Abu Sayyaf. Pada 23hb April 2000, 21
orang, termasuk beberapa orang pelancong asing, diculik dari Pulau Sipadan oleh kumpulan tersebut, yang
berasal dari Jolo di Filipina. Kumpulan Abu Sayyaf juga bertanggungjawab untuk penculikan tiga orang rakyat
Malaysia pada 10hb September 2000 dari Pulau Pandanan. 31 Isu ini kembali ke dalam arena media massa
selepas penahanan Nur Misuari, bekas pemimpin MNLF, di Sabah pada 24hb November 2001.32

Pertimbangan dari segi sosialis


Apakah punca utama yang membangkitkan persefahaman perkauman atau bangsa ini? Sememangnya, kes
kebumiputeraan dan perihal perkauman di Malaysia bukanlah sesuatu yang unik di arena antarabangsa. Kita
sedang menyaksikan pembangkitan semula gerakan-gerakan perkauman di merata dunia. Misalnya, sejak tahun
1990, sekurang-kurangnya 20 buah negara baru telah diwujudkan berdasarkan kaum utama dalam sesebuah
masyarakat. Jelasnya, perihal perkauman telah menjadi isu utama dalam kehidupan politik dan sosial di hampir
setiap benua. Di merata dunia, termasuklah di Sabah, kerajaan-kerajaan semakin mengalami kegagalan untuk
menawarkan pengagihan sosial bagi golongan-golongan termiskin. Dan beberapa kawasan di dunia, seperti di
Afrika, telah menyaksikan peningkatan kemiskinan dan juga penumbangan sosial yang diakibatkan oleh krisis
ekonomi, dan ini tidak dapat dihalang atau diperbaiki oleh kerajaan. Dalam keadaan-keadaan seperti ini,
masyarakat perkauman, yang biasanya diwujudkan oleh kuasa-kuasa penjajahan, mungkin menawarkan apa
yang gagal diberikan oleh kerajaan. Rwanda memberikan contoh mengerikan di mana pembunuhan beramai-
ramai pada tahun 1994 dapat dikatakan berpunca bukan sahaja dari peluahan keganasan perkauman tradisional,
tetapi juga dari kesan penjajahan di Afrika Tengah.

Tekanan yang sama juga dapat dilihat bergelora di Sabah. Di mana reformasi parlimen semakin susah dicapai,
terdapat dua alternatif bagi memperbaiki keadaan penduduk. Salah satu daripadanya adalah perjuangan kelas,
untuk memaksa pengagihan semula kekayaan dari pihak borjuasi dan kelas pemerintah kepada kelas pekerja,
atau dengan memaksa kerajaan mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan rakyat dengan meluluskan
perundangan baru atau dengan meningkatkan pencukaian terhadap kaum kaya. Alternatif kedua, dan alternatif
yang diterajui oleh parti-parti pembangkang seperti Parti Bersatu Sabah dan, secara umumnya, parti-parti lain
seperti Keadilan, tidak menuntut pengagihan semula kekayaan dari kelas kapitalis kepada kelas pekerja –
sebaliknya, mereka mencuba mengagihkan kekayaan dari satu bahagian kelas pekerja ke bahagian yang lain,
atau dari satu kawasan ke kawasan yang lain, atau dari satu kaum ke kaum yang lain. Misalnya, satu
penyelesaian yang biasanya dikemukan oleh parti-parti politik haluan utama adalah untuk kerajaan persekutuan
mengagihkan kekayaan yang ‘dirampas’ dari Sabah kembali ke Sabah. Sebaliknya, terdapat pemimpin-
pemimpin politik, seperti yang sudah dibincangkan di atas, yang menuntut pengagihan kekayaan mengikut
garisan perkauman.

Strategi kedua ini mempunyai sejarah panjang di Britain, misalnya, dan bermula sejak awal tahun 1960-an lagi.
Ambalavaner Sivanandan pernah membincangkan bahawa “perlumbaan untuk mendapat pertolongan dari
kerajaan dan untuk pembiayaan kerajaan… pada dasar keperluan kaum dan masalah perkauman” oleh
kumpulan-kumpulan minoriti selepas rusuhan bangsa Brixton pada tahun 1981. 33 Masalah pendekatan ini bukan
sahaja perjanjian birokrasi dan pendiaman tuntutan-tuntutan radikal yang diperlukan untuk membawa perubahan
sebenar, tetapi juga bahawa persaingan di antara masyarakat-masyarakat dan kaum-kaum berlainan akan terus
membahagikan mereka, lalu menguatkan kelas pemerintah. Di mana pembiayaan dan pelulusan dapat
dimenangi juga, ia tidak akan dinikmati oleh kelas pekerja dan rakyat jelata, kerana kelas menengah dan kaum
kaya mempunyai pengaruh yang lebih besar dan secara lazimnya akan menelan apa-apa kemenangan yang
diperolehi.

Perkauman dan rasisme


Masalah yang mungkin muncul dari isu-isu perkauman ini adalah bahawa golongan-golongan tertentu akan
mula mengutarakan ideologi rasisme. Martin Barker, seorang ahli falsafah Marxsis telah memperdebatkan
bahawa kita sedang menyaksikan penimbulan ‘rasisme baru’ yang:

… dapat menolak pencelaan: ia tidak perlu mengutarakan perkataan-perkataan seperti ‘nigger,’ ‘wog’
atau ‘coon.’ Ia tidak perlu melihat kaum Yahudi sebagai kaum yang tidak bermoral, atau kaum berkulit
hitam sebagai ‘arnab hutan.’ Meskipun itu, dengan cara yang tersirat tetapi efektif, rasisme baru ini
membenarkan emosi-emosi kemarahan yang kemudiannya diluahkan dengan ungkapan-ungkapan
seperti ini.34

Apa yang menakutkan adalah bahawa konsep ‘perkauman,’ di mana ia digunakan dari segi adat resam, semakin
digantikan oleh ‘ras,’ iaitu cara untuk membina semula kategori-kategori berdasarkan ras tanpa menjadikan
warna kulit atau agama isu penting. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila Perdana Menteri Malaysia menolak
cadangan seseorang ahli politik dari kaum bukan Melayu-Islam menjadi Perdana Menteri. 35 Sememangnya,
pewujudan sebuah Majlis Hubungan Ras atau Majlis Kesama-rataan Ras telah menjadi salah satu tuntutan
utama bagi aktivis-aktivis di Malaysia sejak kebelakangan ini. 36 Lebih-lebih lagi, seorang profesor telah
menyamakan sistem kebumiputeraan di Malaysia dengan sistem apartheid di Afrika Selatan dahulu. 37 Alex
Callinicos pernah memperdebatkan bahawa ‘rasisme baru’ ini memang jelas dilihat, kerana rasisme berdasarkan
biologi dan ‘kelemahan’ kaum-kaum tertentu masih kekal dalam mentaliti golongan-golongan tertentu,
khususnya kelas pemerintah.38 Bukti bagi kritikan-kritikan Callinicos ini memang jelas kelihatan dalam
pendekatan-pendekatan yang mengatakan bahawa negeri Sabah dan Sarawak secara lazimnya tidak dapat
membangun selaju negeri-negeri Semenanjung Malaysia kerana penduduknya terlalu malas atau kerana
penduduknya ‘berbeza’ daripada penduduk di Kuala Lumpur.

Idea yang dimajukan oleh kelas pemerintah dan media massa ini – iaitu bahawa kaum-kaum yang berlainan di
Malaysia menginginkan pemisahan pada dasar kaum atau bangsa dengan inisiatif-inisiatif sistem ekonomi dan
politik – jelasnya menjadi wajah bagi ‘rasisme baru’ yang dibincangkan ini. Selagi logik perkauman wujud di
minda rakyat, maka tekanan untuk menerima logik perbezaan ini akan terus kekal. Kelas pemerintah, biarpun
kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur atau kerajaan pembangkang di Sabah akan terus mengutarakan konsep
satu ‘kaum’ yang berkuasa di sesebuah negeri, tanpa mengira kos dan kebinasaan pada kaum-kaum yang lain.
Misalnya, sambil mengutarakan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum-kaum peribumi di Sabah, parti-parti
politik tidak pernah menghalakan pandangan kepada kaum-kaum bukan peribumi, seperti masyarakat India yang
kecil di Kota Kinabalu atau minoriti kaum Cina di Tawau dan Sandakan. Begitu jugalah dengan keadaan Orang
Asli di Semenanjung Malaysia.

Jika kita tidak memisahkan proses-proses yang dihimbunkan bersama di bawah ungkapan ‘kaum,’ dan
menghalakan pandangan kita melintasi arena perkauman kepada proses-proses sosial yang lain, maka kelas-
kelas pemerintah akan terus menggunakan isu perkauman untuk memisahkan dan membahagikan rakyat jelata.
Oleh kerana ini, identiti perkauman tidak dapat dijadikan panduan tulin bagi perjuangan politik. Pembahagian
berdasarkan kaum seseorang, iaitu jenis politik utama di Malaysia – di mana kebanyakan parti politik disediakan
khas untuk kaum-kaum tententu – sebenarnya menarik perhatian kita, lalu memesongkan perhatian dari
persamaan kita. Sambil membahagikan rakyat mengikut garisan geografi, perkauman dan keagamaan, kelas
pemerintah menghalang kita daripada menerokai persamaan-persamaan yang tertera di antara kaum-kaum yang
berlainan.

Bagi sosialis dan parti revolusi sosialis, matlamat kita adalah untuk menghancurkan pembahagian dan
pemisahan yang semakin dihuraikan dengan ungkapan ‘kaum’ oleh kelas-kelas pemerintah dan ahli-ahli politik
haluan utama. Ini hanya dapat dilakukan dengan menghancurkan penindasan rakyat yang mengakibatkan isu
perkauman menunjukkan batang hidung. Ini mungkin bermakna memberi sokongan kepada kaum-kaum yang
ditindas, tetapi kita juga perlu memahami bahawa konsep ‘perkauman’ adalah cara zalim untuk membahagikan
penduduk sesebuah negara ke dalam kategori-kategori abstrak. Mungkin ada sesetengah orang yang
membantah, lalu mengatakan bahawa kerajaan persekutuan telah mengambil langkah untuk meraikan
‘perbezaan kaum’ (ini memang jelas kelihatan dalam propaganda media massa dan kerajaan, terutamanya
selepas rusuhan kaum di Semenanjung Malaysia baru-baru ini).

Tetapi realitinya adalah bahawa pembahagian rakyat mengikut garisan kaum, biarpun di antara kaum Melayu
dengan Cina, Kadazan-Dusun dengan India, atau Malaysia dengan Indonesia-Filipina, hanya menyembunyikan
persamaan-persamaan yang dapat menyatukan kelas pekerja (iaitu kebanyakan penduduk). Jika ini dibenarkan
berterusan, isu perkauman mungkin menjadi lebih serius, seperti yang telah berlaku di kawasan Balkan, di mana
kaum-kaum tertentu ‘dibasmikan’ atau dibunuh beramai-ramai. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh dan
tidak patut menganggap isu perkaumam sebagai sesuatu yang remeh-temeh, yang hanya dapat dipertikaikan
oleh ahli-ahli politik. Unsur-unsur perkauman yang disalahgunakan oleh ahli-ahli politik akan digunakan
selama-lamanya untuk membahagikan kelas pekerja dan rakyat jelata jika ia tidak dihancurkan.

Karl Marx pernah memperdebatkan bahawa idea-idea yang berkuasa dalam sesebuah masyarakat sentiasanya
adalah idea-idea kelas pemerintah. Dan dari segi isu-isu yang dipertimbangkan dalam rencana ini, idea-idea
‘perkauman’ yang digunakan untuk memecahkan dan melemahkan gerakan pekerja dapat dilihat sebagai idea
kelas pemerintah. Tetapi idea-idea kelas pemerintah seperti ini dapat ditumbangkan. Krisis-krisis sosial
sentiasanya mewujudkan keadaan-keadaan di mana idea-idea dan realiti kehidupan membawa aliran menuju
persefahaman dan perpaduan, terutamanya di kalangan pekerja. Dalam keadaan sebegini, cara-cara pemikiran
lama digugurkan dan digantikan oleh idea-idea revolusioner. Misalnya, semasa revolusi Indonesia pada bulan
Mei 1998, para pekerja yang berlainan agama, bangsa dan suku kaum semuanya bersatu untuk menumbangkan
rejim Jeneral Suharto.

Dari segi ini, pemupukan idea-idea perkauman perlu difahami sebagai cara kelas pemerintah dan kelas kapitalis
mempengaruhi rakyat jelata. Tahap pengaruh ini bergantung kepada dua faktor: tahap perjuangan kelas pekerja
menentang penindasan kerajaan, dan tahap kewujudan parti revolusioner yang dapat mengutarakan idea-idea
sosialis di tempat-tempat bekerja dan universiti-universiti. Untuk mengetepikan konsep-konsep kapitalis yang
dihulurkan oleh kelas-kelas pemerintah, kita perlulah dahulunya menghancurkan sistem sosial yang
membenarkan isu perkauman dan rasisme timbul. Sebagai sosialis, kita memperdebatkan bahawa unsur-unsur
perkauman, seperti yang telah dibincangkan di atas, akan berterusan di bawah sistem kapitalis, di mana kaum
kaya menjadi lebih kaya dan kaum miskin menjadi semakin miskin. Dan inilah isu yang paling penting. Ia
menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghancurkan sistem kapitalis yang melahirkan isu perkauman
dan ketidaksama-rataan ini. Sudah tibanya masa untuk kita menggugurkan belenggu perkauman dan bersatu di
bawah panji-panji idea revolusioner dan sosialisme. Seperti yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels
dalam Manifesto Komunis39,

Kaum proletariat tidak mempunyai apa-apa untuk kehilangan melainkan belenggu mereka. Mereka
mempunyai dunia untuk memenangi.

Kaum pekerja sedunia, bersatulah!


1
Nota:

V. I. Lenin, ‘Apakah yang dapat dilakukan?’ Selected Works, Jilid 1 (Moskow, 1975), muka surat 145.
2

Lihat N. Davidson, ‘Masalah dengan perihal bangsa,’ untuk penjelasan mengenai cara perkataan ‘bangsa’ mengemukan
masalah-masalah yang bercanggah. Dari majalah berkala International Socialism, Jilid 84 (Musim Luruh, 1999), muka surat
3-30.
3

Syair ini dapat dibaca di laman web Indian-Malaysian Online, http://www.geocities.com/sounvx/purplaya.htm.


4

Akhbar Utusan juga menerbitkan surat dari seorang pembantu kepada Menteri Luar Negara, Datuk Syed Hamid Albar,
yang berkata bahawa kesabaran kaum Melayu diancam oleh kaum bukan Melayu yang terus mencabar hak-hak
keistimewaan mereka. Pembantu tersebut juga berkata bahawa kewarganegaraan kaum-kaum bukan Melayu di Malaysia
adalah ‘penghadiahan’ kaum Melayu, dan bahawa Rajendra tidak berhak menentang keistimewaan tersebut.

5
Perlembagaan Negeri Sabah, Jabatan Pencetakan Kerajaan (1996), muka surat 57.
6
Seperti nota 5.
7

H. Luping, Sabah’s Dilemma: The political history of Sabah 1960-1994 (Kuala Lumpur, Magnus).
8
Seperti nota 8.
9

Lihat A. Alexander, ‘Krisis di Timur Tengah,’ International Socialism, Jilid 93 (Terbitan Khas); A. Alexander, ‘Tidak
berkuasa di Gaza: Pemerintahan Palestin dan mitos proses pendamaian,’ International Socialism, Jilid 89 (Musim Sejuk
2000); P. Marshall, Intifada: Zionism, Imperialism and Palestinian Resistance (London, 1989).
10

Malaysia: Laporan Majlis Antara Kerajaan, 1962 (Jabatan Pencetakan Sabah).


11

J. Kitingan, The Sabah Problem (Kota Kinabalu, 1997).


12

M. S. bin Abas, Selected Articles & Speeches on Constitution, Law & Judiciary (Kuala Lumpur, 1984).
13

Lihat B. Manser, ‘Pandangan sebelah: Pandangan peribadi Bruno Manser,’ 22hb April 1999.
http://www.bmf.ch/press/release/pressrelease19990422.html.
14

Lihat L. K. Siang, ‘Kenyataan Mesyuarat Media,’ 3hb April, 2001. http://www.malaysia.net/dap/lks0841.htm.


15

‘Aktivis Sarawak gagal mendapat pasportnya balik,’ New Straits Times, 12hb Januari, 1996.
16

‘Tidak ada cara untuk menghalang perompakan laut,’ Daily Express, 12hb September, 2000.
17

‘RM$10 untuk kad pengenalan palsu,’ The Borneo Post, 18hb Ogos, 1999.
18

Kajian Penduduk Sementara, Jabatan Ketua Menteri, Kota Kinabalu (1988).


19

J. Esplanada, “Peningkatan pendatang haram Filipina di Sabah,’ Philippine Daily Inquirer, 30hb Oktober, 1999.
20

‘Pendatang asing mengundi untuk BN,’ Daily Express, 29hb September, 1999, muka surat 1.
21
‘Komplot untuk memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing,’ Borneo Post, 12hb November 1999.
22

N. N. Samah dan W. N. Wan Chik, ‘Keputusan Likas dibatal - Mahkamah dapati wujud pengundi hantu pada pemilihan
1999,’ Utusan Malaysia, 9hb Jun 2001. http://members.tripod.com/skypin/politik/pol153.html.
23
Seperti nota 22.
24
Seperti nota 22.
25

P. Raffaele, Harris Salleh of Sabah (Hong Kong, 1986), muka surat 424.
26
M. D. Mutalib, IC Palsu: Merampas Hak Anak Sabah (Kota Kinabalu, 1999).
27

Seperti nota 26.


28

Misalnya, Daily Express, 17hb November, 1999, muka surat 2.


29

‘Pendatang haram mengaku mengundi dalam lima pilihanraya,’ Borneo Post, 16hb November, 1999.
30

H. Luping, seperti nota 8.


31

Misalnya, lihat ‘Tidak ada cara untuk menghalang penculikan,’ Daily Express, 12hb September 2000.
32

Lihat ‘Isteri dan anak-anak Misuari tiba di Malaysia,’ Malaysiakini,


http://www.malaysiakini.com/News/2001/12/2001122505.php3.
33

A. Sivanandan, ‘R[ace] A[wareness] T[raining] and the degradation of black struggle,’ Communities of Resistance (London
dan New York, 1990), muka surat 94.
34

M. Barker, The New Racism (London, 1981), muka surat 4-5.


35

Q. S. Hiang, ‘Affirmative action and Race Relations Act more relevant than the ethnicity of PM,’ Kenyataan akhbar Suqiu,
20hb Jun 2000.
36
K. K. Soong, ‘Menghalau rasisme di Malaysia,’ Malaysiakini,
http://www.malaysiakini.com/News/2001/09/2001092308.php3
37
P. Ramasamy, ‘Racial segregation a microcosm of Malaysian politics,’ Malaysiakini,
38

A. Callinicos, Race and Class (London, 1993). Muka surat 32-33.


39

K. Marx dan F. Engels, Manifesto Komunis (Moskow, 1959). Edisi Bahasa Malaysia diterjemahkan oleh V. Swami.

Anda mungkin juga menyukai