Anda di halaman 1dari 16

Ulasan Bab.

Bab 1. Sejarah Komunikasi


Pengenalan
Komunikasi secara umumnya telah wujud bersama dengan penciptaan manusia oleh Tuhan.
Sejak beribu-ribu tahun dahulu manusia sudah mengamalkan prinsip-prinsip komunikasi dalam
pelbagai konteks penggunaan untuk tujuan utama iaitu berinteraksi dan bertukar maklumat.
Dalam bab ini, kita akan mendalami sejarah komunikasi mengikut tahap-tahap perkembangan
dan melihat kedudukan bidang komunikasi sebagai satu bidang sains sosial. Perbincangan juga
akan ditumpukan kepada pembangunan bidang komunikasi di peringkat antarabangsa dan di
Malaysia.
Komunikasi Sebagai Satu Bidang Sains Sosial
Pengasasan bidang komunikasi banyak berdasarkan kepada bidang-bidang sains sosial yang
lebih dahulu wujud seperti psikologi, sosiologi, antropologi, sains politik dan ekonomi. Bidangbidang ini mempunyai banyak pengaruh terhadap bidang komunikasi kerana kebanyakan
penyelidikan awal komunikasi sebenarnya dipelopori oleh mereka yang berada di bawah bidangbidang tersebut. Perkembangan pesat teknologi dan komunikasi turut merangsang perkembangan
media yang mula memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Berbagai-bagai ciptaan
terbaru daripada telegraf, radio, televisyen, telefon, satelit sehinggalah kepada ciptaan peralatan
komputer mula wujud.
Perkembangan dan Pembangunan Bidang Komunikasi
Era Awal (1900 - 1930)
Era awal pembangunan bidang komunikasi dikenali sebagai era kebangkitan retorik. Ia
merupakan lanjutan daripada percambahan idea-idea ahli-ahli falsafah pada zaman Greek kuno.
Pada zaman Greek kuno, ahli-ahli falsafah seperti Aristotle dan Isocrates melihat retorik sebagai
satu aspek penting dalam kehidupan awam. Aristotle mengajar masyarakat bagaimana untuk
menganalisis pendengar, mencari idea untuk komunikasi, mengatur mesej secara efektif,
mengembangkan bukti bagi menyokong dakwaan dan menyampaikan ucapan yang boleh
mempengaruhi pendengar (Wood, 2001). Sekitar 1800-an dan awal 1900-an, retorik diajar
sebagai sastera praktik yang menyediakan masyarakat ke arah partisipasi bertanggungjawab
dalam kehidupan awam (Wood, 2001).
Era Komunikasi dan Sains Sosial (1930 1960)
Kemunculan kajian-kajian yang banyak bertumpu kepada isu-isu berkaitan dengan kesan media
turut menjadikan era kedua ini lebih dikenali sebagai era kesan media. Griffin (1997) merujuk
peringkat ini sebagai era kebangkitan empat orang sarjana yang digelar Bapa Penyelidikan

Komunikasi. Menurut Schramm (1963), empat orang sarjana tersebut mengambil pendekatan
sains perlakuan (behavioral science approach) untuk mengkaji kesan mesej pembujukan terhadap
audiens yang ramai dan mereka terdiri daripada Harold Lasswell, Kurt Lewin, Paul Lazarsfeld
dan Karl Hovland (Saodah Wok et al., 2004).
Era Komunikasi dan Sains Sosial (1930 1960)
Selepas dua perang dunia, para profesional dalam bidang komunikasi yang hanya memfokuskan
kepada pengucapan awam sebelum ini mula berminat dengan isu-isu sosial. Ahli-ahli dalam
disiplin ini merasa amat perlu untuk memahami hubungan antara komunikasi dan kebangkitan
kuasa Hitler, perkembangan sikap prejudis terhadap kumpulan-kumpulan sosial, kesediaan untuk
mengikuti pemimpin autoritarian, kesan-kesan propaganda, dan perubahan sikap dan
kepercayaan (Wood, 2001). Perkembangan luas bidang ini menerangkan sebab Persatuan
Nasional Guru-Guru Pengucapan Awam menukar namanya kepada Persatuan Pengucapan
Amerika.
Era Revolusi (1950 1970)
Ia muncul pada pertengahan abad ke-20. Pembentukan Persatuan Komunikasi Antarabangsa
(ICA) pada 1950 menandakan satu kemajuan kajian saintifik dalam bidang komunikasi.
Walaupun Persatuan Pengucapan Amerika memasuki bidang kemanusiaan, ICA bersekutu
dengan tradisi saintifik. Tradisi ini telah menarik ramai pengkaji komunikasi mengutamakan
bentuk kajian kuantitatif bagi mempelajari sesuatu isu itu dengan lebih jelas
Era Pergolakan 60-an (1960 1970)
Tahun 1960-an dan 1970-an melihat motif baru dalam perkembangan komunikasi yang sering
dirujuk sebagai asas pelancaran komunikasi interpersonal. Di Amerika Syarikat, ia merupakan
satu masa perubahan besar sosial dan politik yang dikatakan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pergerakan hak-hak asasi dan pergerakan wanita telah mengubah paten hubungan peribadi dan
sosial. Dalam waktu yang sama, pertembungan budaya berlaku dengan mendadak dan membawa
bersama idea-idea baru mengenai bagaimana manusia perlu berinteraksi dan apa yang
sebenarnya penting di dalam kehidupan (Wood, 2001).
Era Retorik Baru (1965 1980)
Pada akhir 1970-an sehingga 1990-an, minat dalam isu-isu sosial membentuk kembali semua
bidang komunikasi termasuklah retorik yang mula meluaskan kajiannya melewati kajian
pengucap secara individu. Para ilmuwan retorik mula mengkaji pergerakan sosial seperti
pergerakan kuasa orang kulit hitam dan pergerakan anti perang Vietnam. Mereka bukan hanya
mengkaji pengucapan awam yang merupakan sebahagian daripada pergerakan tersebut, malah
mereka turut menganalisis bagaimana taktik-taktik paksaan digunakan, bagaimana strategi

simbolik untuk menerangkan isu-isu berjaya dilaksanakan, dan bagaimana pergerakan sosial
mencabar dan merubah amalan dan nilai budaya yang telah diterima pakai umum (Wood, 2001).
Era Pencarian Model Sejagat (1970 1980)
Menurut Saodah Wok et al. (2004) saintis komunikasi adalah berbeza dengan sarjana retorik
kerana mereka cuba membuat penyatuan tetapi sarjana retorik cuba membuat kepelbagaian. Ia
bukan sesuatu yang mudah kerana walaupun melepasi satu dekad penyelidikan empirik
dijalankan, masih tiada hasil yang betul-betul boleh dibanggakan disebabkan kekurangan teori
besar yang dapat digunakan bagi memfokuskan semua usaha penyelidikan dalam bidang
komunikasi. Mereka seterusnya memandang para penyelidik komunikasi sebagai terasing kerana
kajian bertumpu kepada pemboleh ubah yang terpisah tetapi penting dalam proses komunikasi.
Era Pergolakan Bidang Komunikasi (1980 Kini)
Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi dan politik dunia serta teknologi komunikasi
maklumat pada era ini, bidang komunikasi juga turut berkembang daripada fokus kepada bidang
interpersonal dan komunikasi massa kepada percambahan pelbagai bidang lain. Antaranya ialah
bidang komunikasi organisasi, perhubungan awam, periklanan, komunikasi pembangunan,
pengurusan konflik, kemahiran kepimpinan, komunikasi antarabudaya dan komunikasi
pembujukan. Bidang ini terus ditawarkan di universiti-universiti berkaitan dan mendapat
perhatian ramai pelajar disebabkan oleh keperluan semasa yang relevan dengan kehendak sektorsektor pekerjaan dan arus globalisasi.

PERKEMBANGAN BIDANG KOMUNIKASI DI MALAYSIA


Fasa Pertama
Pada fasa ini perkembangan bidang komunikasi banyak dipengaruhi oleh bidang kewartawanan
yang mula berkembang sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Menurut
Mohd Safar (1996), ketika ini media cetak khususnya surat khabar banyak memainkan peranan
dalam masyarakat untuk memupuk semangat kebangsaan serta kemerdekaan kepada rakyat
Malaysia yang berada di bawah tekanan kuasa penjajah ketika itu. Media dan komunikasi banyak
memainkan peranannya dari aspek politik dan sosioekonomi seperti menyokong usaha-usaha
menanamkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat bagi membantu perjuangan menuntut
kemerdekaan. Pada peringkat ini bidang komunikasi belum diwujudkan sebagai bidang
pengajian formal.

Fasa Kedua
Fasa kedua bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Bidang komunikasi mula
berkembang dan mendapat perhatian apabila operasi persuratkhabaran dipindahkan dari
Singapura ke Kuala Lumpur. Perpindahan ini telah mengasaskan perkembangan media cetak di
negara ini. Seterusnya bidang komunikasi berkembang lagi dengan kewujudan bidang penyiaran
di sekitar awal 1970-an.
Fasa Ketiga
Fasa ketiga ini dikatakan sebagai satu fasa yang melalui anjakan paradigma dalam bidang
komunikasi negara. Pada peringkat ini, bidang-bidang ilmu dan amalan komunikasi yang baru
selain daripada bidang kewartawanan dan penyiaran mula muncul. Dengan kewujudan bidangbidang baru, latihan serta profesion dalam penyiaran radio, televisyen dan agensi berita mula
digandingkan dengan bidang periklanan dan perhubungan awam.
Fasa Keempat
Fasa terakhir ini bermula sekitar 1980-an. Perkembangan bidang pengajian komunikasi ketika ini
adalah seiring dengan perkembangan pesat teknologi dan komunikasi, dan kepesatan ekonomi
negara. Pada peringkat ini, bidang komunikasi dilihat semakin penting apabila berjaya muncul
sebagai salah satu bidang komersial. Selaras dengan kehendak sektor-sektor pekerjaan khususnya
sektor swasta dan keperluan semasa negara pada 1990-an telah memperlihatkan kemunculan
bidang-bidang baru seperti komunikasi organisasi, komunikasi korporat, periklanan, teknologi
komunikasi dan telekomunikasi di universiti-universiti awam. Melihat kepada senario semasa,
pada masa akan datang adalah dijangkakan terdapat lebih banyak lagi bidang baru yang akan
diperkenalkan.
Bab 2 Takrifan dan Fungsi Komunikasi
Pengenalan
Komunikasi adalah suatu proses interaksi antara manusia untuk mencapai tujuan bersama dengan
menggunakan saluran tertentu. Oleh yang demikian, manusia perlu mempunyai kod komunikasi
yang boleh difahami dan diterima oleh semua ahli masyarakat. Kod komunikasi sama ada bahasa
lisan, kod penulisan mahupun kod bukan lisan adalah penting untuk memastikan interaksi
manusia berjalan lancar sesuai dengan tujuan dan konteks komunikasi. Dalam bab ini, anda akan
didedahkan kepada beberapa takrifan komunikasi daripada pelbagai konteks. Di samping itu,
perbincangan kita juga akan ditumpukan kepada mengenal pasti fungsi-fungsi umum
komunikasi. Di akhir bab ini, kita akan membincangkan secara ringkas tentang proses
komunikasi dalam kehidupan manusia.

APAKAH KOMUNIKASI?
Kita berkomunikasi dengan ahli keluarga kita. Kita juga perlu berbincang dengan rakan sekerja
kita di pejabat. Tidak kurang juga kita sentiasa berhubung dengan pelanggan kita. Jadi, fungsifungsi asas komunikasi ini jika diteliti akan memandu kita kepada kepentingan komunikasi
dalam kehidupan kita seperti juga kita memerlukan makanan dan minuman. Komunikasi juga
merupakan satu keperluan biologi manusia. Tidak lengkap kehidupan manusia tanpa komunikasi.
Malah dunia akan sepi tanpa komunikasi. Oleh yang demikian, bidang komunikasi adalah suatu
bidang kemahiran sosial yang perlu dipelajari, tidak cukup sekadar mempunyai bakat semula jadi
untuk menjadi komunikator yang berkesan. Dalam erti kata lain kita perlu mendalami ilmu
komunikasi dan menguasai kepelbagaian bentuk komunikasi dalam menangani kehidupan yang
penuh cabaran.
TAKRIFAN KOMUNIKASI
Perkataan komunikasi berasal daripada terjemahan bahasa Inggeris, iaitu communication yang
diambil daripada perkataan Latin, iaitu communicare. Communicare bermaksud to make
common atau mewujudkan persamaan. Justeru itu, apabila kita berkomunikasi kita sebenarnya
cuba mencipta persamaan kefahaman terhadap sesuatu makna. Komunikasi adalah keperluan
asas kehidupan manusia selain makanan, minuman, pakaian dan tempat perlindungan.
Komunikasi berlaku setiap detik dalam kehidupan manusia sama ada berlaku secara sedar atau
tidak sedar, atau berlaku secara lisan atau menggunakan simbol yang mewakili sesuatu mesej.
Penekanan Aspek Penyampaian dan Penyebaran Maklumat
Lazimnya komunikasi adalah satu proses interaksi pengirim (sumber) dengan penerima
(khalayak) yang bertujuan untuk bertukar maklumat. Dalam erti kata lain, masing-masing
mencari ruang untuk menyampaikan maklumat. Berikut adalah beberapa takrifan yang merujuk
kepada penekanan penyampaian dan penyebaran maklumat:
Komunikasi adalah satu proses pertukaran dan penyebaran pendapat, pandangan, atau
maklumat melalui ucapan, tulisan ataupun isyarat.
(American College Dictionary)
Komunikasi adalah pengiriman maklumat, pemikiran, sikap atau emosi daripada seseorang
individu kepada kumpulan individu lain dengan menggunakan simbol-simbol.
(Theodorson & Theodorson, 1969)
Komunikasi ialah seni memindahkan maklumat, idea, dan sikap daripada seseorang
kepada seseorang.

Berdasarkan takrifan komunikasi di atas, kita dapati bahawa kesan tindak balas kepada
pertukaran maklumat tidak diberi perhatian. Takrifan tersebut adalah lebih kepada proses
komunikasi sehala. Justeru itu, sukar untuk kita mengetahui kesan penyampaian maklumat
kepada penerima. Jadi, kemahiran komunikasi bukan sekadar menyalurkan maklumat tetapi yang
lebih utama ialah memberi tumpuan kepada kesan penyampaian sesuatu maklumat.
Penekanan Aspek Perkongsian Makna dan Kesefahaman
Perkongsian makna dan kesefahaman yang ditekankan dalam takrifan ini adalah persamaan
mentafsir simbol dan orientasi komunikasi. Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang salah
faham atau ketidaktepatan makna sesuatu mesej. Berikut adalah takrifan yang berkaitan
perkongsian makna:
Komunikasi adalah suatu proses perkongsian sesuatu orientasi terhadap satu set tanda-tanda
maklumat. (Schramm & Robert, 1971)
Komunikasi sebagai satu proses apabila kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan
berkongsi di antara satu sama lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman. (Rogers, 1969)
Penekanan Aspek Tingkah Laku
Penekanan takrifan komunikasi ini tidak bergantung kepada peranan maklumat untuk mengukur
keberkesanan komunikasi. Sebaliknya, keberkesanan komunikasi bergantung kepada tingkah
laku individu mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi
seperti yang dikemukakan oleh Carter (1973):
Apabila individu berkomunikasi ia berusaha untuk mencari maklumat yang boleh digunakan
bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapinya supaya ia dapat satu gambaran yang lebih
tepat tentang persekitaran yang perlu dihadapinya.
Penekanan Aspek Pembujukan dan Perubahan
Dalam konteks takrifan komunikasi yang menekankan aspek pembujukan dan perubahan, kita
dapati bahawa proses komunikasi bukan hanya menyebarkan maklumat dan berkongsi makna
malah lebih daripada itu iaitu melihat kesan terhadap tingkah laku penerima selepas menerima
maklumat. Pembujukan merujuk kepada proses mempengaruhi seseorang untuk menerima
pandangan dan pendapat serta mengubah sikap dan nilai berdasarkan maklumat yang diterima.
Komunikasi dikatakan berkesan setelah berlakunya perubahan pada penerima.

Bab 3 Elemen Komunikasi


Elemen Komunikasi
Sumber
Sumber juga dikenali sebagai pengirim. Sebenarnya sumber boleh terdiri daripada orang
perseorangan, sesuatu kumpulan dan boleh juga terdiri daripada sesebuah organisasi. Fungsi
sumber itu sendiri adalah menghasilkan utusan. Mesej pula mungkin terhasil daripada perasaan
yang hendak diluahkan, pendapat dan idea-idea yang hendak disampaikan kepada pihak lain.
Mesej yang dihasilkan ada pelbagai tujuan sama ada untuk perbincangan, kefahaman,
memberikan maklumat dan arahan.
1.

Kemahiran komunikasi

Sebagai punca utusan, kemahiran berkomunikasi adalah amat penting. Bagaimana pula kalau
kita ingin berkomunikasi dengan orang yang bisu atau buta? Sebagai komunikator kita perlu
mencari pendekatan yang berbeza berbanding orang yang normal. Pelajar hendaklah memikirkan
pendekatan yang dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Ini bertujuan memberikan kesan
kepada komunikasi yang berlaku. Jadi, latihan berkomunikasi dan kemahiran menyesuaikan diri
dalam pelbagai konteks komunikasi amat penting dalam memastikan keberkesanan proses
komunikasi.
2.

Pengetahuan

Pengetahuan merupakan elemen yang mampu menyemarakkan proses komunikasi agar dapat
berjalan dengan lebih lancar dan berkesan. Mengapa ia memainkan peranan yang penting? Cuba
kita berkomunikasi tentang topik proses komunikasi dengan tukang kebun sekolah, sudah tentu
dia tidak dapat memberikan maklum balas dengan baik. Jika ada pun maklum balas daripadanya
mungkin berbentuk umum sahaja. Selain itu, perbincangan yang berlaku tidak diberikan
perhatian yang serius dan tidak ada sebarang keputusan. Justeru, pengetahuan sumber dan
penerima dapat menentukan kelangsungan komunikasi dan pemikiran seseorang.
3.

Sikap

Sikap dalam konteks sumber bermaksud sikap terhadap diri sendiri, kedua sikap terhadap mesej
yang hendak diperkatakan serta apa yang orang lain boleh dapat daripada mesej tersebut. Ini
bermakna sikap sumber hendaklah selari dengan sasarannya. Jika berlaku sesuatu yang
bertentangan, maka komunikasi yang berlaku tidak mendatangkan faedah atau tidak berkesan.

Contohnya, jika kita bercakap dengan seorang petani yang cetek pengetahuan tentang keupayaan
teknologi komputer dalam meningkatkan pendapatannya, sudah tentu apa yang hendak
disampaikan tidak diberi perhatian berbanding nelayan laut dalam yang memerlukan sistem
komputer untuk mengesan kawasan ikan yang banyak.
4.

Status

Terdapat peraturan yang perlu diikuti apabila kita berkomunikasi dengan orang lain. Pernahkan
anda memikirkan peraturan-peraturan tersebut? Mungkin kita terfikir bahawa yang penting kita
sudah memberitahu pihak kedua, tetapi bagaimana sistem budaya sesuatu masyarakat itu? Sistem
budaya juga adalah sesuatu yang amat penting kerana melibatkan imej dan adat. Contohnya,
ketika bercakap dengan ketua di pejabat kita memerlukan keadaan yang lebih formal berbanding
berkomunikasi di luar dengan rakan-rakan yang tidak formal. Kenapa dengan ketua di pejabat
kita berkomunikasi dalam keadaan formal tetapi dengan rakan-rakan tidak? Sudah tentu ia
disebabkan oleh peraturan-peraturan dan sosiobudaya yang sedia wujud.
Penerima
Dalam komunikasi antara manusia, penerima merupakan pihak yang penting. Sebagai penerima,
ciri-ciri yang ada pada sumber sepatutnya dimiliki. Cuba kita bayangkan sekiranya ciri-ciri
tersebut tidak sama atau tidak serasi? Ciri-ciri tersebut perlu selari supaya komunikasi yang
berlaku lebih berkesan. Kalau sumber berkeupayaan mengenkod, di pihak
penerima pula perlulah berkeupayaan mendekod. Jadi, maksudnya sama ada sumber atau
penerima kedua-duanya perlu membentuk kesefahaman supaya komunikasi antara mereka
berkesan.
Saluran
Saluran adalah merujuk kepada sama ada alat atau perantara yang berkemampuan menyalurkan
mesej daripada sumber kepada penerima. Pemilihan saluran dalam komunikasi memainkan
peranan yang penting kerana ia menyumbang kepada kejelasan dan ketepatan maklumat
komunikasi.
Saluran terbahagi kepada beberapa bentuk:
(i)

Saluran bersemuka interpersonal.

(ii)

Saluran perantara televisyen atau radio.

(iii)

Saluran melalui mesej tanpa lisan bahasa isyarat.

Mesej
Mesej merupakan intipati dalam proses komunikasi. Mesej terdiri daripada simbol-simbol bukan
lisan atau perkataan lisan yang digunakan oleh sumber untuk menyampaikan sesuatu makna.
Mesej juga ada yang tersurat dan yang tersirat. Sebagai penerima kita hendaklah
mentafsirkannya mengikut persekitaran termasuk pengetahuan dan pengalaman.
Kandungan mesej
Maklumat yang diperoleh dan didapati dalam mesej yang dienkodkan oleh sumber kepada
penerima. Maklumat seperti topik sesuatu perbincangan itu adalah contoh mesej yang hendak
disampaikan.
Kod utusan
Kod mesej membawa erti satu kumpulan simbol-simbol yang dapat memberi makna kepada
penerima.
Maklum Balas
Maklum balas merujuk kepada reaksi penerima apabila menerima sesuatu mesej daripada
sumber. Bagaimanakah anda memberikan reaksi apabila anda ditanya dengan cara menengking
tentang sesuatu perkara? Sudah pastilah anda terperanjat dan memberikan jawapan dengan keras.
Dalam proses komunikasi, maklum balas berlaku secara pasif dan agresif. Maklum balas boleh
dalam bentuk lisan ataupun simbol bukan lisan. Berdiam diri juga merupakan satu bentuk
maklum balas. Maklum balas penting dalam menentukan keberkesanan mesej dan kelangsungan
proses komunikasi.
Gangguan
Dalam proses komunikasi mungkin terdapat beberapa gangguan yang boleh menyebabkan
penerima tidak dapat menerima mesej dengan jelas seperti mana yang disampaikan oleh sumber.
Gangguan komunikasi boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu gangguan mental, gangguan
fizikal dan gangguan fisio-psikologi.
Gangguan mental
Gangguan seperti ini berpunca dari dalam diri sendiri. Contohnya, apabila kita menghadapi
masalah kewangan sudah tentu keadaan menjadi tidak tenteram dan mempengaruhi proses kita
berkomunikasi.
Gangguan fizikal .Gangguan seperti ini biasa dikaitkan dengan persekitaran seperti keadaan lalu
lintas yang bising, keadaan bilik yang panas dan pembesar suara yang tidak berfungsi dengan
baik ketika kita berkomunikasi.

Gangguan fisio-psikologi
Gangguan jenis ini lebih menekankan kepada keupayaan diri dan tanggapan terhadap orang lain.
Bagaimana ianya boleh berlaku? Ini disebabkan budaya yang berbeza dan kesediaan diri sama
ada pihak sumber mahupun penerima itu sendiri.
Bab 6 Jenis Komunikasi
Berikut ialah lapan jenis komunikasi yang berbeza mengikut konteks.
(i)

Komunikasi Intraperibadi (Intrapersonal communication).

(ii)

Komunikasi Antara Peribadi (Interpersonal communication).

(iii)

Komunikasi Kumpulan (Group communication).

(iv)

Komunikasi Organisasi (Organizational communication).

(v)

Komunikasi Awam (Public communication).

(vi)

Komunikasi Massa (Mass communication).

(vii)

Komunikasi Antarabudaya (Intercultural communication).

(viii)

Komunikasi Atas Talian (Online communication).

KOMUNIKASI INTRAPERSONAL
Komunikasi intrapersonal merujuk kepada proses komunikasi yang berlaku dalam diri sendiri.
Kita perlu memikirkan tahap kemampuan komunikasi yang kita miliki sebelum berkomunikasi
dengan orang lain (DeVito, 2002). Dalam proses komunikasi intrapersonal, komunikasi yang
berlaku merujuk kepada aktiviti berfikir, mempersepsi dan seterusnya kita menilai sebelum
membuat keputusan apa yang hendak dikomunikasikan. Justeru itu, komunikasi intrapersonal
adalah asas kepada proses komunikasi, iaitu kita menjana mesej (enkod) dalam diri kita terlebih
dahulu sesuai dengan konteks sebelum menghantar mesej dalam bentuk simbol lisan atau bukan
lisan kepada penerima.
KOMUNIKASI INTERPERSONAL
Komunikasi secara bersemuka adalah komunikasi yang berlaku antara dua orang individu atau
lebih. Komunikasi interpersonal berlaku disebabkan beberapa tujuan seperti untuk berkongsi
maklumat, menyelesaikan masalah, menangani konflik, memahami diri sendiri dan orang lain
serta pengukuhan hubungan dengan orang lain.
Selain itu, komunikasi interpersonal mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dengan
komunikasi yang lain. Ciri-ciri yang dimaksudkan adalah

(i)

Melibatkan sumber dan penerima.

(ii)

Berlaku secara bersemuka.

(iii)

Jarak yang dekat.

(iv)

Melibatkan komunikasi lisan dan tanpa lisan.

(v)

Asas proses perhubungan sosial.

KOMUNIKASI KUMPULAN
Komunikasi kumpulan terbentuk hasil daripada interaksi antara individu yang terjalin dari
semasa ke semasa sehingga terbentuk satu entiti untuk mencapai tujuan bersama. Menurut
Mansor dan rakan-rakan (1984), dalam mana-mana kumpulan sosial, komunikasi memainkan
peranan penting dalam membentuk dan mencorakkan kumpulan itu. Terdapat lima ciri
komunikasi kumpulan.
1.
2.
3.
4.
5.

Bilangan Ahli dalam Sesuatu Kumpulan


Interaksi
Hubungan
Saling bergantungan
Identiti

KOMUNIKASI ORGANISASI
Kebanyakan amalan harian dalam organisasi melibatkan proses pertukaran dan koordinasi
maklumat. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan menjadi lebih efektif apabila komunikasi organisasi
yang berkesan dipraktikkan. Komunikasi menjadi pemangkin kerjasama antara warga dalam
organisasi dan hubungan organisasi dengan pihak luar. Menurut Goldhaber (1993) komunikasi
organisasi ialah satu proses pembentukan dan pertukaran mesej antara jaringan hubungan yang
saling bergantungan untuk menangani persekitaran yang tidak menentu. Menurut Conrad (dlm.
Goldhaber, 1993) pula, komunikasi organisasi ialah proses yang menyebabkan individu-individu
saling bertindak balas, membentuk, mengekal dan menguruskan makna melalui penggunaan
tanda-tanda lisan dan simbol dalam keadaan yang tertentu. Muhd. Mansur (1998) pula
menyatakan bahawa komunikasi organisasi adalah suatu proses pengumpulan maklumat yang
tepat oleh ahli-ahli mengenai organisasi dan perubahan yang terjadi dalam organisasi itu sendiri.
KOMUNIKASI AWAM
Apabila disebut komunikasi awam, kita akan membayangkan berkomunikasi dalam suasana
yang ramai. Secara spesifiknya komunikasi awam adalah komunikasi yang berlaku secara
formal, iaitu seorang individu berkomunikasi bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada
sekumpulan manusia yang ramai. Komunikasi awam juga merujuk kepada komunikasi
pengucapan awam. Komunikasi awam mempunyai elemen-elemen seperti komunikasi yang lain.

Cuba anda nyatakan elemen-elemen komunikasi yang anda telah pelajari sebelum ini? Berikan
contoh-contoh setiap elemen yang anda berikan. Sebagai contoh dalam komunikasi awam,
maklum balas khalayak mungkin dalam bentuk tepukan, sorakan atau pasif terhadap maklumat
pengucapan yang diterima.
KOMUNIKASI MASSA
Komunikasi massa merupakan proses penyebaran maklumat untuk dikongsi bersama dengan
khalayak umum yang tidak dikenali. Ini bermaksud penyebaran maklumat adalah lebih luas dan
tidak diketahui sempadannya. Penyebaran maklumat melalui komunikasi massa adalah melalui
perantara iaitu media seperti internet, radio, telefon, surat khabar, majalah dan televisyen.
KOMUNIKASI ANTARA BUDAYA
Gamble dan Gamble (2002) menyatakan komunikasi antarabudaya sebagai proses
menginterpretasi dan berkongsi makna dengan seseorang yang mempunyai latar belakang
budaya yang berbeza. Komunikasi antarabudaya bukan sahaja melihat aspek bertutur secara lisan
atau bukan lisan tetapi faktor yang sama penting adalah memahami budaya yang berbeza. Di sini
faktor budaya memainkan peranan penting dalam menentukan ketepatan dan keberkesanan
komunikasi.
KOMUNIKASI ATAS TALIAN
Komunikasi atas talian juga dikenali sebagai komuikasi media baru yang mula mendapat
perhatian di penghujung abad ke-20 dan awal abad ke-21. Komunikasi atas talian merupakan
komunikasi yang dijalinkan atau dihubungkan menerusi elektronik. Kaedah komunikasi ini telah
diperkembang sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.
Komunikasi atas talian mempunyai cirinya yang tersendiri iaitu
(i)
Komunikator tidak bersemuka secara fizikalmereka yang terlibat dalam komunikasi
atas talian hanya menggunakan perantara elektronik dalam alam siber.
(ii)
Hubungan secara mayakomunikasi atas talian berlaku secara maya. Ia tidak
menyalurkan mesej secara lisan.

Bab 7 Komunikasi Organisasi


PENGENALAN
Komunikasi memainkan peranan penting dalam organisasi. Kakitangan sesebuah organisasi akan
berkomunikasi dengan rakan sekerja mereka untuk membincangkan tugasan harian. Lazimnya
komunikasi yang berlaku dalam organisasi melibatkan pertukaran dan proses koordinasi

maklumat. Tugasan harian dalam organisasi dapat dijalankan dengan efektif apabila komunikasi
organisasi yang berkesan dipraktikkan. Namun begitu kecekapan sesebuah organisasi tidak
hanya bergantung kepada kemahiran komunikasi tetapi juga faktor lain seperti kepimpinan,
sistem dan prosedur, teknologi dan budaya yang turut menyumbang kepada keberkesanan
pengurusan organisasi.
TAKRIFAN KOMUNIKASI ORGANISASI
Menurut Samsuddin (1993), komunikasi adalah proses pengiriman, penyebaran, pemindahan dan
tindak balas. Selain itu, terdapat takrifan lain oleh Bovee dan Thill (2000) yang menyatakan
komunikasi adalah suatu proses penghantaran dan penerimaan maklumat. Komunikasi menjadi
efektif apabila individu yang berkomunikasi dapat berkongsi kefahaman, merangsang pihak lain
dan bertindak balas serta menggalakkan pihak lain terus berfikir.
KOMPONEN KOMUNIKASI ORGANISASI
Antara komponen-komponen penting yang terdapat dalam komunikasi organisasi ialah seperti
berikut:
Sistem Pengurusan
Sistem pengurusan komunikasi organisasi terbahagi kepada tiga pendekatan iaitu klasik,
hubungan manusia dan sumber manusia. Pendekatan klasik melihat organisasi sebagai mesin
atau alat untuk mencapai sesuatu matlamat khusus. Kakitangan menjalankan tugas mereka
adalah berdasarkan arahan pihak atasan dan menyebabkan komunikasi formal. Pendekatan
hubungan manusia melihat manusia sebagai komponen utama dalam organisasi yang mempunyai
perasaan, emosi dan keupayaan untuk mencapai potensi jika dibimbing. Pendekatan hubungan
manusia menyebabkan komunikasi yang terbentuk lebih bersifat tidak formal dan amalan
komunikasi dua hala dapat dipraktik dengan terbuka.
Iklim dan Budaya Organisasi
Iklim dan budaya dalam sesebuah organisasi mempengaruhi komunikasi organisasi secara
langsung. Iklim adalah tanggapan mengenai nilai-nilai yang wujud dalam sesuatu organisasi itu.
Iklim organisasi sentiasa berubah-ubah dan mempengaruhi tingkah laku kakitangan sesebuah
organisasi tersebut. Manakala budaya pula merujuk kepada perkongsian andaian asas yang
dipelajari dan diamalkan oleh ahli kumpulan semasa menyelesaikan masalah. Apabila sesuatu
budaya itu dipraktikkan berterusan maka semakin sukar untuk diubah.
Jaringan Komunikasi
Jaringan komunikasi adalah struktur sosial yang tercipta melalui komunikasi antara individu dan
kumpulan dalam organisasi. Peranan yang dimainkan oleh individu atau kumpulan dalam

organisasi membentuk arah aliran maklumat seperti komunikasi ke bawah, komunikasi ke atas,
komunikasi bersilang dan khabar angin.
Buat putusan
Menurut Grenberg dan Baron (2000), buatputusan adalah satu proses membuat keputusan
daripada pelbagai alternatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Terdapat tiga elemen yang
membataskan proses komunikasi semasa proses buatputusan iaitu hubungan dalam kumpulan,
struktur hierarki dan pertimbangan politik.
Konflik, Kuasa dan Politik
Peranan komunikasi dalam menguruskan konflik, kuasa dan politik begitu penting sekali.
Kecekapan sesuatu komunikasi dapat menangani konflik yang wujud, malah kuasa dapat
digunakan dengan sewajarnya dan politik organisasi dapat dielakkan.
Kepimpinan
Kepimpinan adalah tindakan atau peranan yang dimainkan oleh seseorang pemimpin dalam
membantu ahli organisasi menjayakan sesuatu matlamat (Cragan & Wright, 1999).
Keberkesanan sesuatu kepimpinan adalah bergantung kepada sifat kepimpinan yang ditonjolkan
oleh seorang ketua dan amalan komunikasi bersama subordinatnya.
Etika Komunikasi Organisasi
Etika komunikasi organisasi adalah tindakan baik atau buruk organisasi dalam melaksanakan
tanggungjawab moral dan kewajipannya. Ia dipengaruhi oleh sistem nilai diri, sistem nilai
organisasi dan piawai profesionalisme organisasi.

PERANAN KOMUNIKASI ORGANISASI


Menurut Goldhaber (1993), peranan asas komunikasi organisasi adalah proses pengarahan agar
tindakan kerja dapat dilaksanakan, koordinasi tindakan dapat dicapai, membina persahabatan
serta membentuk rasa dipercayai dan diterima oleh organisasi. Keempat-empat peranan ini jika
dapat dilaksanakan dan dipraktikkan maka akan wujud perkongsian maklumat yang sistematik.
Kesan yang akan didapati ialah ia akan meningkatkan prestasi kerja warga organisasi dan secara
tidak langsung meningkatkan produktiviti organisasi itu.
Proses Pengarahan Agar Tindakan Kerja Dilaksanakan
Dalam organisasi pihak atasan akan mengarahkan sesuatu aktiviti dan tugas untuk dilaksanakan
oleh kakitangan bawahan. Oleh yang demikian komunikasi memainkan peranan yang penting

bagi memastikan setiap arahan ini sampai kepada kakitangan bawahan. Arahan yang dikeluarkan
ini sama ada ianya berbentuk memo, surat, e-mel dan sebagainya

Koordinasi Tindakan Dapat Dicapai


Kebanyakan organisasi ditubuhkan adalah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Justeru itu
proses untuk mencapai keuntungan perlu dikoordinasikan meliputi komponen struktur
organisasi, aplikasi teknologi, pembangunan sistem dan prosedur, sumber manusia dan budaya
organisasi yang wujud dalam organisasi. Apabila kelima-lima komponen ini dapat
dikoordinasikan dengan lancar melalui proses komunikasi yang efektif segala maklumat yang
perlu disampaikan dapat diterima dengan jelas, tepat, terperinci dan telus.

Membina Persahabatan
Komunikasi dalam organisasi bukan semata-mata untuk menjalankan tugas dan aktiviti yang
telah ditentukan oleh majikan sahaja tetapi komunikasi juga dibentuk untuk mewujudkan
jaringan perhubungan antara rakan sekerja dan juga pihak atasan. Apabila wujud jaringan
perhubungan yang harmoni di kalangan kakitangan maka suasana tempat kerja lebih aman dan
selesa tanpa sebarang konflik peribadi. Oleh yang demikian, hubungan persahabatan yang wujud
ini dapat menimbulkan semangat sepunya antara mereka dan membantu mengukuhkan semangat
cintakan organisasi.
Membentuk Rasa Dipercayai dan Diterima oleh Organisasi
Komunikasi yang berlangsung secara telus dapat menimbulkan rasa dipercayai dan dihargai
antara majikan pekerja. Oleh yang demikian, konflik, perbalahan kecil, rasa tidak puas hati
dapat ditangani dengan baik melalui perbincangan dan interaksi sosial yang harmonis. Apabila
wujud perasaan rasa dipercayai, maka secara tidak langsung akan wujud semangat setia kawan
dan cintakan organisasi.
KEPENTINGAN KOMUNIKASI ORGANISASI
Kepentingan komunikasi organisasi dapat dilihat menerusi tiga aspek iaitu hubungan dalaman
organisasi, hubungan dengan pihak luar organisasi dan antara individu dalam organisasi.
Hubungan Dalaman Organisasi
Setiap warga organisasi saling berhubungan dan berkomunikasi untuk memenuhi visi, misi dan
objektif yang telah ditetapkan oleh organisasi. Pandangan kedua-dua belah pihak, majikan dan
pekerja perlu sentiasa diambil kira dalam merancang sesuatu tugasan. Dalam konteks ini
komunikasi memainkan peranan penting dalam menjalinkan hubungan baik antara pihak atasan

dan pihak bawahan. Komunikasi yang telus dan ikhlas akan mewujudkan persekitaran hubungan
dalaman organisasi yang saling percaya-mempercayai antara satu sama lain. Situasi kondusif
secara tidak langsung akan dapat meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti organisasi
tersebut.
Hubungan dengan Pihak Luar Organisasi
Komunikasi memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan antara agensi kerajaan,
publik, pelanggan, pembekal, media dan pelbagai pihak luaran terjalin dengan baik dan
berterusan. Sebagai contoh, pihak Telekom Malaysia Berhad yang sentiasa membuat iklan
berkonsepkan kemanusiaan, menyebarkan risalah tentang promosi yang ditawarkan dan
sebagainya kepada pelanggan. Selain berorientasikan keuntungan, hubungan organisasi dengan
pihak luar juga adalah atas dasar memenuhi tanggungjawab sosial. Justeru itu, organisasi perlu
menggerakkan aktiviti komunikasi bagi memastikan kewujudan organisasi dirasai oleh
masyarakat.
Hubungan antara Individu dalam Organisasi
Komunikasi bukan sahaja penting dalam menyampaikan arahan tugasan tetapi juga penting
dalam pembinaan hubungan antara individu dalam organisasi. Komunikasi yang terjalin antara
individu dalam organisasi melibatkan perkongisan maklumat dan perasaan sesama mereka.
Sebagai manusia, kita mempunyai kelebihan untuk berkomunikasi dan memberikan pendapat
serta berkongsi pandangan dengan orang lain. Justeru itu, hubungan formal dan hubungan sosial
antara individu dalam organisasi yang seimbang dapat mewujudkan suasana kerja tanpa tekanan
(stress).

Anda mungkin juga menyukai