Anda di halaman 1dari 2

Channel PA 900 STPM @CNM

Keselamatan siber, kebanjiran pendatang antara 66 cabaran baharu dalam


keselamatan negara

KUALA LUMPUR, 12 Julai

Kebanjiran pendatang asing, isu pelarian dan keselamatan siber dikenal pasti oleh Majlis
Keselamatan Negara (MKN) sebagai antara 66 isu yang menjadi cabaran baharu dalam
keselamatan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN Datuk Rodzi Md Saad berkata, tiga isu
berkenaan merupakan antara isu melibatkan ekonomi, sosial dan politik yang bakal ditangani
melalui Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.

Menurutnya, keselamatan siber dilihat sebagai isu yang bakal mendominasi ruang lingkup
keselamatan di saat negara menuju ke arah revolusi industri 4.0 (IR4.0).

“Keselamatan siber yang kukuh amat penting berikutan IR4.0 bergantung sepenuhnya kepada
teknologi digital dan sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap
kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat, buktinya kita dapat lihat peningkatan kes penipuan
dalam talian sejak kebelakangan ini.

"Kebanjiran maklumat yang belum ditentukan kesahihannya juga boleh mendatangkan ancaman
terhadap keselamatan negara kerana ia berpotensi digunakan untuk menimbulkan persepsi salah
terhadap sesuatu isu,” katanya dalam sesi taklimat khas media secara maya hari ini sempena
sambutan Ulang Tahun MKN ke-50.

Beliau berkata pada masa sekarang, orang ramai boleh menulis di laman-laman sosial
berdasarkan maklumat tidak sahih yang didapati melalui internet, tulisan-tulisan ini berpotensi
memecah-belahkan rakyat dan menggugat perpaduan seterusnya mendatangkan ancaman
terhadap keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Rodzi berkata kebanjiran pendatang asing dan pelarian Rohingya juga dilihat
sebagai ancaman terhadap keselamatan negara dan kerajaan sedang berusaha mengatasi masalah
berkenaan. “Kebanjiran mereka ini (pendatang dan pelarian) telah menimbulkan rasa tidak
selesa dalam kalangan penduduk tempatan kerana dikhuatiri bakal mengambil hak rakyat.

“Lebih merisaukan mereka kini dilihat telah menguasai perniagaan-perniagaan tertentu.


Bagaimanapun, kerajaan mula mengambil langkah tegas dengan menjalankan Ops Benteng dan
kawalan sempadan yang lebih ketat dan usaha berkenaan kini telah mendatangkan hasil,”
katanya.
2

Beliau berkata, Dasar Keselamatan Negara ialah dasar yang inklusif merangkumi setiap peringkat
pentadbiran dan aspek kehidupan rakyat. "Objektif dasar ini adalah untuk memastikan Malaysia
kekal berdaulat, aman dan sejahtera," katanya.

Dalam pada itu, Rodzi berkata MKN sedang menggubal Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK)
untuk dijadikan kayu pengukur bagi menilai secara telus dan menyeluruh tahap keselamatan
negara. “Indeks berkenaan kini dalam peringkat libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan
lain-lain pihak berkepentingan. IKK ini akan meliputi seluruh aspek yang mempengaruhi
keselamatan negara seperti ekonomi, sosial dan politik,” katanya.

Sumber Berita Bernama

Anda mungkin juga menyukai