Anda di halaman 1dari 7

Fungsi dan pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu

PENGENALAN

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca. Pada
zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua
pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa
perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Maka itu, tidaklah menghairankan apabila sarjana
Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai
yang berikut:

Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan
di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami
di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau
sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu
sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan
saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan
Kepulauan Filipina.

Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, maka dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan
bahawa, tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan
bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini hendaklah dilaksanakan
dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan
Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di
negara ini.

Malah dalam Laporan Rahman Talib 1960, kedudukan sekolah rendah ditukar kepada sekolah
kebangsaan dan jenis kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah untuk
mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa
Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Bahasa Melayu telah mengalami proses perkembangan yang begitu pesat. Sejak merdeka,
bahasa Melayu telah dinaikkan martabat sebagai bahasa kebangsaan yang menggantikan bahasa
Inggeris yang ketika itu menjadi bahasa rasmi tunggal negara, dan dijadikan bahasa pengantar utama
di sekolah kebangsaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat menengah tinggi sampai ke
peringkat pengajian tinggi. Selain itu, bahasa Melayu menjadi pendukung dan berperanan sebagai
bahasa perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan beragam bahasa.

FUNGSI DAN KEPENTINGAN BAHASA MELAYU

Pengenalan

Fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961,
lanjutan penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
Lebih tiga dekad telah berlalu, sejak 1971 dan pelbagai kajian telah dibuat terhadap kesan sistem
pendidikan tersebut. Hasil yang diperoleh agak membanggakan. Bahasa Melayu terbukti dapat
menjadi bahasa pengantar pendidikan setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa
Melayu telah berjaya diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di
peringkat sekolah rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi.
Di Malaysia mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi awam menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar, sesudah 13 tahun Dasar Bahasa Kebangsan ditegaskan semula dalam
Sistem Pendidikan Kebangsan.

Kesediaan kerajaan pada waktu itu memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebijaksanaan
yang tepat untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana
bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui perancangan korpus bahasa
dalam bidang kosa kata (umum dan khusus), sistem ejaan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.
Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah
asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi utamanya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH

Bahasa Ilmu Pengetahuan

Konsep bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mula diperkenalkan dalam tahun 90-an seiring
dengan penekanan budaya ilmu pada masa yang sama setiap lapisan masyarakat melibatkan diri
baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap
kesempatan. Sebelum ini ketika tahun 80-an, konsep tersebut lebih dikenali sebagai bahasa Ilmiah
( Nik Safiah 1986 dan Abdullah Hassan 1987 ).

Bahasa Ilmu ialah bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu
pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi dan ianya memainkan peranan sebagai bahasa pengantar
kepada ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan tahun
1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib
yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan
bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai
bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan
mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.

Bahasa Perpaduan

Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan sangatlah penting
dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah
sebuah negara beraulat. Di Malaysia ini, terapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India.
Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima
puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah
dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana
bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum. Bagi merealisasikan
peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak
dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat
digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara
penduduk yang berbilang kaum.

Dengan ini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah memainkan peranan yang
penting untuk meyatupadukan semua kaum di negara ini. Ini selaras dengan pendapat Garvin dan
Mathiot ( 1968 ) yang mengatakan bahawa fungsi simbolik sesuatu bahasa standard ialah fungsi
penyatuan. Dalam hal ini, bahasa itu boleh bertindak sebagai alat yang menghubungkan penuturpenutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama, dan dengan sedemikian
menyatukan mereka ke dalam satu masyarakat bahasa. Hasil daripada penyatuanpaduan ini, akan
wujudlah satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia. Penyatupaduan rakyat sesebuah
negara jarang berlaku dengan hanya bersefahaman dalam politik dan agama sahaja. Akan tetapi
bahasa yang merupakan alat pengisi pemikiran dan alat untuk melahirkan pendapat dan fikiran itu
merupakan alat perpaduan yang sebaik-baiknya. Dalam hal ini, bahasa Melayu mendukung
tanggungjawab dalam perpaduan rakyat Malaysia.

Bahasa Komunikasi

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang
digunakan bagi semua maksud rasmi kerajaan, memenuhi fungsi komunikasi perkhidmatan awam,
yakni komunikasi dalam jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam, antara jabatan sektor
awam dengan sektor swasta dan korporat atau sebaliknya dan komunikasi antara jabatan sektor
awam dengan orang awam atau sebaliknya. Kita juga harus melihat peranan utama dan peranan
komunikatif bahasa kebangsaan kerana sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan
mempunyai peranan utama, yang antara lainnya menjadi lambang atau citra Malaysia. Ia dibuktikan
dengan penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan melalui media massa
berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan konsep satu
bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu menjadi
wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan
kegunaan umum antara individu berlainan etnik. Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa
dan budaya yang menggerakkan perkembangan Kesusasteran Melayu di rantau ini. Bahasa dan
sastera tidak boleh dikesampingkan kerana ianya umpama irama dan lagu, sekiranya salah satu
daripadanya tiada maka yang satu lagi akan pincang.

Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan
orang ramai, antara sektor awam dengan swasta dan korporat. Begitu juga sektor swasta dan
korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan
digunakan dalam penyampaian maklumat bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman,
arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau siaran melalui
media massa.

KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Bahasa Kebangsaan

Bahasa jiwa bangsa. Tidak sesiapa yang dapat menyangkal bahawa bahasa adalah tunggak jati
diri bangsa. Jika hilang satu bahasa, maka lenyaplah satu bangsa. Menurut Tunku Abdul Rahman,

adalah wajar bahawa sebagai satu Negara membangun kita memerlukan satu bahasa kepunyaan
sendiri. Jika bahasa kebangsaan tidak diadakan, negara kita akan ketiadaan nyawa ( Wong & Ee
1971: 78 ).

Semasa Malaysia masih dijajah oleh British, bahasa Inggerislah telah digunakan seluasluasnya sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran. Tidak ada usaha yang konkrit dijalankan untuk
memilih sebuah bahasa kebangsaan. Namun demikian, keperluan untuk menubuhkan sebuah
bahasa kebangsaan semakin mendesak selepas kemerdekaan negara pada tahun 1957. Pada masa
itu, hanya lebih kurang 10% daripada bilangan penduduk negara ini yang berkebolehan bertutur
dalam bahasa Inggeris. Untuk membolehkan penduduk Malaysia menjalankan hal-hal ehwal
pentadbiran negara sendiri, sebuah bahasa yang luas dipergunakan amat diperlukan. Tambahan
pula, sebagai sebuah negara yang baru merdeka, maka perlulah sebuah bahasa kebangsaan
diwujudkan untuk melambangkan identiti yang sama bagi semua kaum yang tinggal di Malaysia.
Justeru itu, keperluan untuk menubuhkan bahasa kebangsaan amat mendesak pada ketika itu.

Setiap negara yang merdeka memiliki sebuah bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti
negaranya. Selain itu dapat memenuhi keperluan sebagai lambang penyatuan, penubuhan, satu
bahasa kebangsaan juga timbul ekoran daripada desakan semangat kebangsaan. Dalam hal ini
bahasa Melayu dipikir selayaknya dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana jika diikut peratusan
bilangan penduduk, penduduk Melayulah paling ramai iaitu 43%, manakala penduduk Cina dan India
masing-masing 36% dan 8%. Tambahan pula bahasa Melayu yang dituturkan pada masa itu
mempunyai keseragaman dan teratur dan semua mampu menggunakannya. Dengan itu bahasa
Melayu secara langsungnya termaktub sebagai bahasa Kebangsaan yang tunggal di Malaysia dan
melambangkan identiti kebangsaan sehingga kini.

Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan
pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan Negara, urusan perdagangan dan perusahaan,
upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya. Melihat akan fungsi bahasa rasmi itu, maka bahasa
kebangsaan juga boleh dijadikan bahasa rasmi sesebuah Negara. Namun demikian, bahasa rasmi
tidak perlu merupakan bahasa kebangsaan semat-mata kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang
dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan semangat
kebangsaan.

Di Malaysia, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan sejak tahun 1957 hingga
1969, tetapi dalam urusan rasmi, dalam pemerintahan dan sebagainya, bahasa Inggeris masih
digunakan di samping bahasa Melayu, malahan bahasa Inggeris mengatasi bahasa Melayu dalam
konteks urusan sesebuah Negara. Walaupun bagaimanapun, mulai 1969, bahasa Inggeris hilang
kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan temapatnya digantikan dan telah diisi oleh bahasa Melayu.

Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa
rasmi tunggal di Malaysia. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu telah digunakan sepenuhnya
sebagai bahasa urusan pentadbiran kerajaan dan telah digunakan sepenuhnya sebagai urusan
bahasa pentadbiran kerajaan dan sebagai bahasa perbahasan di Parlimen dan di Dewan
Perundangan Negeri umpamanya. Dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman, dan
mahkamah, kedudukan bahasa Melayu sebagi bahasa mahkamah bertambah baik setelah seksyen 8
Akta Bahasa Kebangsaan dipinda (Jun 1991). Penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk tulisan
misalnya dalam surat-mesyuarat rasmi, minit mesyuarat dan dokumen kerajaan yang lain termasuk
Akta, buku rancangan pembangunan Malaysia, ucapan belanjawan Menteri Kewangan, dan
sebagainya.

Asas Pembinaan Negara dan Kebudayaan Masyarakat

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan


Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara152 ini telah mengiktiraf dan
mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Perkara ini
termaktub dalam Perkara 152 (1). Hal ini disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara ini
mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan.
Bahasa ini pula boleh difahami oleh setiap kaum. Lagipun peruntukan ini adalah berdasarkan
penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih daripada 50 peratus
penduduknya. Oleh yangdemikian, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapatinegara mempunyai
asas yang kukuh untuk membina sebuah negara. Selain itu, Bahasa Melayu mempunyai lambang,
iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat ini terungkap dalam
dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui
perkara ini, BahasaMelayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini
sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya Negara Jepun
dengan bahasa Jepunnya, Negara Jerman dengan Bahasa Jermannya dan Negara Perancis dengan
Bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayumemainkan peranan sebagai lambang Negara
Malaysia dipersada dunia. Dengan hal demikian, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan
kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti
yang digariskan dalam Wawasan2020.

KESIMPULAN

Secara jujur, perlu diakui bahawa masih wujud masalah semangat dan kesungguhan yang
belum cukup mantap dan hakiki dalam penggunaan bahasa Melayu. Fenomena ini berlaku, melalui
peristiwa-peristiwa bahasa Melayu kehilangan tempat dalam upacara dan majlis rasmi di peringkat
kebangsaan, apatah lagi pelbagai isu yang timbul melibatkan institusi pendidikan negara dicabar
dengan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa penggantar lebih diutamakan daripada bahasa
ibunda kita sendiri. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia.
Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya. Perlu ditegaskan bahawa bukan isu
antibahasa asing diperbahaskan tetapi prinsip kita jelas dan tegas mengatakan pelajari dan kuasailah
bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan
pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai