Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN PERASMIAN PENUTUP

Bismillah-ir Rahman-ir Rahim

Yang dihormati Saudara Pengerusi Majlis,

Yang berusaha
Tn. Hj. Mohammed Isa bin Khalis
Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh,
Pengarah-pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Zon Tengah,

Ketua-ketua Jabatan,
Pengurus-pengurus peserta dan pensyarah-pensayarah pengiring,

Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Nasyid Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat


Zon Tengah

Para peserta Pertandingan Nasyid Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Zon Tengah

Para pensyarah, seterusnya


Guru-guru pelatih yang dikasihi sekalian

Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya
jua, kita dipanjangkan usia dan dapat berhimpun di dalam auditorium ini untuk sama-
sama menyaksikan Pertandingan Nasyid Institut Pendidikan Guru Malaysia
Peringkat Zon Tengah bagi Tahun 2009. Peringkat zon tengah ini terdiri daripada
Institut Pendidikan Guru Kampus Islam Bangi, Kampus Bahasa Antarabangsa,
Lembah pantai, Kampus Bahasa Melayu, Kampus Ilmu Khas, Kampus Teknik
Cheras dan Kampus Ipoh sendiri. Penganjuran pertandingan ini selaras dengan
usaha untuk Membina Negara Bangsa seperti yang terhasrat dalam Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pihak
Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh selaku tuan rumah Pertandingan Nasyid
Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Zon Tengah bagi tahun 2009
kerana Majlis yang amat bermakna seperti ini dapat dilaksanakan atas iltizam yang
telah dipamerkan oleh kepimpinan Pengarah, Timbalan Pengarah dan disokong
dengan komitmen yang diberikan oleh para pensyarah dan para pelatih. Saya yakin
bahawa program ini amat bermanfaat dan memberi kebaikan kepada bakal guru di
Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia dan saya berharap agar program sebegini
dapat dijalankan pada masa akan dating tanpa ada titik penghujungnya.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

3. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak
penganjur atas kesudian menjemput saya untuk menyempurnakan perasmian
penutup Pertandingan Nasyid Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Zon
Tengah Tahun 2009 ini. Di sini, saya juga ingin merkamkan sekalung penghargaan
dan terima kasih kepada semua dif jemputan, para hakim yang arif lagi bijaksana,
pengurus-pengurus peserta, para pensyarah pengiring, dan peserta-peserta kerana
program ini dapat dijalankan dengan jayanya atas usaha dan inisiatif serta
kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan. Seiring dengan itu, saya dengan rasa besar
hati mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Auditorium Balai
Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

4. Kesenian Islam memang telah wujud sejak zaman Rasullullah SAW. Nasyid
merupakan salah satu genre kesenian tersebut. Nasyid merupakan nyanyian yang
bercorak keagamaan dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah para nabi, memuji
kebesaran Allah dan yang seumpamanya. Mengikut tradisinya, Nasyid dinyanyikan
secara a cappella, yakni nyanyian mengikut cara ini hanya diiringi dengan daff.
Lagak Muzik ini digunakan oleh kebanyakan Ilmuwan Islam kerana mereka
mentafsirkan bahawa ajaran Islam melarang penggunaan alatan muzik kecuali bagi
sesetengah alatan muzik asas berbentuk gendering (percussion). Di samping itu,
kebenyakan masyarakat kita pula lebih mengagumi ketulenan dan kesederhanaan
dalam muzik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

5. Pada peringkat awal nasyid membawakan alunan bercorak irama padang pasir,
tetapi kini irama nasyid telah menerima kepelbagaian rentak baru yang dikenali
sebagai nasyid kontemporari. Pembaharuan ini telah menjadikan lagu-lagu nasyid
lebih menarik, lebih segar dan berdaya saing dalam bidang seni. Hal ini telah berjaya
menarik minat golongan remaja dan belia yang menjadikan unsur keislaman sebagai
alternative dalam berhibur. Selalunya nasyid lebih kerap didendangkan dengan alat
muzik tanpa tali, namun mengikut beberapa pendapat ulama fiqh perihal memainkan
alunan irama nasyid dengan alat muzik bertali seperti gitar dan piano sebenarnya
dibolehkan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

6. Genre nasyid mampu membawa mesej tertentu untuk dihayati oleh pendengar dan
penonton. Selain itu, nasyid juga dapat memupuk minat pelajar kepada cabang seni
lagu yang mengandungi unsur dakwah yang mengajak pendengar kea rah
melakukan kebaikan dan mengambil iktibar daripada sejarah yang berlaku dalam
perkembangan Islam. Justeru, saya menyeru diri saya sendiri dan hadirin sekalian
agar membuat anjakan paradigma terutamanya bagi tujuan berdakwah apatah lagi
dalam era yang serba mencabar ini. Saya juga ingin melahirkan rasa bangga kerana
program-program berbentuk keagamaan seperti pertandingan nasyid ini
sesungguhnya dapat mendidik minda dan hati masyarakat. Ini kerana program
sebegini secara tidak langsung dapat memberikan impak positif dalam pembentukan
sahsiah masyarakat yang terpuji dan boleh diteladani agar kita dapat menjalani
kehidupan seperti yang dituntut oleh agama.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

7. Pertandingan nasyid yang dijalankan ini mampu dijadikan sebagai satu wadah yang
dapat melatih bakal guru agar dapat bekerjasama dalam satu pasukan, kreatif,
harmonis dan berkeyakinan ketika berhadapan dengan khalayak. Di samping itu,
secara tidak langsung melalui pertandingan ini juga para pelatih dapat berkenal-
kenalan, bertukar-tukar fikiran dan mewujudkan hubungan silaturahim dengan
pelatih-pelatih dari institut pendidikan guru yang lain dan seterusnya mewujudkan
jaringan kerjasama bukan sahaja antara sesame institute pendidikan guru Malaysia
bahkan juga dengan pelbagai institusi seni dan budaya yang lain.
Tuan-tuan, puan-puan hadirin hadirat yang dihormati sekalian,

8. Penganjuran pertandingan nasyid ini juga merupakan satu usaha untuk melahirkan
insan yang bertanggungjawab dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan
budaya bangsa yang luhur dan beridentiti Malaysia. Selain itu, aktiviti yang
dilaksanakan secara terancang dan sistematik ini juga dapat memupuk bakat dan
mengembangkan potensi kesenian yang berunsur Islam, menggalakkan penyertaan
aktif dalam kalangan guru pelatih, seterusnya melahirkan guru pelatih yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan social.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

9. Sejarah telah membuktikan bahawa keimanan merupakan faktor utama untuk


membentuk generasi insan yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk dalam
bidang pendidikan, ekonomi, social, politik, pertahanan dan sebagainya. Agama
Islam tidak menghalang umatnya untuk membina kemajuan dalam bidang yang
diceburi masing-masing tetapi kemajuan yang dibina perlulah bertunjangkan
keimanan yang sebenarnya.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

10. Dasar kemajuan atau pembangunan seimbang antara tuntutan duniawi dengan
uhkrawi yang emngambil kira keperluan fizikal dan kerohanian dalam setiap aspek
kehidupan ummah sejagat, merupakan formula sebenar yang diadun dan digarapkan
oleh baginda Rasulullah SAW dalam menjejaki kecemerlangan, keharmonian,
keamanan, kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak.
Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian
kefahaman bahawa Islam ialah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga
ialah umat yang agung dan mulia. Namun perubahan hanya dapat dicapai menerusi
kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri.
Melaui usaha-usaha sebegini diharapkan bakal guru mempunyai keterampilan
peribadi serta memiliki nilai-nilai murni yang tinggi sehingga berupaya menyumbang
kepada pembangunan bangsa, agama dan negara.
11. Mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah
kepada pasukan yang berjaya, dan bagi yang tidak berjaya anggaplah ini merupakan
satu kejayaan yang tertunda. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Ahli
Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Nasyid Institut Pendidikan Guru Malaysia
Peringkat Zon Tengah bagi tahun 2009. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada
semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung
dalam menjayakan Pertandingan Nasyid Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat
Zon Tengah. Semoga usaha murni ini dapat dapat menyuburkan daya fikir dan jati
diri seiring dengan hasrat untuk merealisasikan pembangunan modal insan pendidik
yang mempunyai minda kelas pertama. Segala sumbangan dan kerjasama yang
diberikan mudah-mudahkan akan dirahmati da diberkati Allah SWT. Maka, dengan
Iafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim saya dengan ini merasmikan penutupan
Pertandingan Nasyid institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Zon Tengah
Tahun 2009.

Sekian, Wabillahi taufik Wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi

Wabarokatuh.

Teks disediakan oleh:


Habibah Binti Mohd Samin,
Jabatan Pengajian Melayu,
Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.
14 Ogos 2009

Anda mungkin juga menyukai