Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PERASMIAN PENUTUP SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

Bismillahirahmanirahim...Assalamualaikum w.b.t...

Yang saya hormati Guru Besar SK Temoh Pn.Marina binti Masdar,Penolong Kanan
Pentadbiran En.Azhar bin Idris,Penolong Kanan HEM En.Khairudin bin Mohd Jali,Penolong
Kanan Ko-kurikulum En.Irwan bin Abd Hamid, guru-guru serta para pelajar yang dikasihi
sekalian.

Bersyukur kita kehadrat ilahi kerana telah mengizinkan kita bersama-sama dalam majlis
perasmian penutupan bulan kemerdekaan ke-62 peringkat sekolah bagi tahun 2019.

Sayangi Malaysiaku,Malaysia Bersih begitulah tema hari kebangsaan kita pada tahun
ini. Saya percaya pemilihan tema ini adalah sangat tepat dan saya amat bersetuju kerana bagi
saya,sebagai warganegara Malaysia kita semestinya menyayangi tanah tumpah darah kita dan
menjadikan negara kita sentiasa terbaik di mata dunia serta menjadi negara yang sentiasa bersih
fizikal dan mental. Kemakmuran dan kejayaan yang dikecapi oleh negara kita dalam semua
aspek perlu dikekalkan demi menjadikan Malaysia sentiasa terbaik di rantau ini.

Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat
negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang
harmonis, aman serta sejahtera. Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih
selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan
kaum. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.
Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan
Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi
taruhan.

Apabila kita mengibarkan Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk
perpaduan dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita anuti,
warna kulit yang menyalut tubuh badan kita, pangkat atau darjat. Bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati.
Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada
kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.

Sebagai generasi muda, para pelajar juga perlu insaf bahawa dalam ledakan era
globalisasi ini, mereka perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran yang
membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing. Semua pelajar perlu melengkapkan diri
dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik.

Para pelajar sekalian. Maksud satu hadis : Berkawan dengan individu pintar seperti
berdiri di sisi penjual minyak wangi. Jika tidak dapat minyaknya tercium juga wanginya, jika
berkawan dengan individu jahil seperti berdiri dekat dengan tukang besi, jika tidak kena baranya,
kena juga asapnya. Apabila ingin cemerlang pilihlah kawan yang membantu kita mencapai
matlamat kearah kecemerlangan. Jika kita salah pilih kawan, kita akan kecundang.

Guru-guru dan para pelajar sekalian. Berbagai cara orang menyambut kemerdekaan.
Tetapi kita disini, marilah kita sama-sama menyambut kemerdekaan dengan rasa bersyukur dan
mengikuti program-program yang diatur oleh jawatan kuasa guru dengan penuh keinsafan,
bahawa kita dapat melakukan pelbagai aktiviti dengan keseronokan, bergembira, kebebasan
tanpa rasa takut dan bimbang.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada
semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan program bulan kemerdekaan ke-62 ini.
Sehubungan dengan itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis
Perasmian Penutupan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Kebangsaan Temoh bagi tahun
2019.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai