Anda di halaman 1dari 3

2

Teks ucapan program Jerayawara Rukun Negara


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Yang diraikan dan dikasihi para jemputan sekalian, dif-dif Kehormat dan hadirin hadirat
sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah
kurnia-Nya kita dapat bersama-sama berhimpun dalam satu majlis yang amat bersejarah pada
hari ini iaitu Program Jerayawara Rukun Negara bersempena sambutan Ulang tahun ke-50
Rukun Negara.

Hadirin hadirat sekalian,


Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan cinta akan tanah air, prinsip-prinsip
Rukun Negara sentiasa kita junjung. Sejak di bangku sekolah lagi, kita diperkenalkan dengan
lima prinsip Rukun Negara yang tidak pernah lekang di ingatan kita. Kepercayaan Kepada
Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-
Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan bukan sahaja sentiasa disebut, malah telah sebati dalam
jiwa sanubari kita. Menyedari tentang kepentingan penghayatan Rukun Negara, pihak sekolah
mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Rukun Negara di SMK Senai bagi memantapkan lagi
penghayatan Rukun Negara dalam kalangan murid SMK Senai.
Hadirin hadirat sekalian,
Ketika ini, usia Rukun Negara memasuki separuh abad atau 50 tahun. Ia dilancarkan
selepas negara mengalami detik pahit pada 13 Mei 1969. Rusuhan kaum ketika itu mendorong
Kerajaan Perikatan yang memerintah bertindak segera untuk menyatukan semula rakyat
berbilang kaum negara ini. Perpaduan, rasa hormat-menghormati menjadi keutamaan yang
tidak boleh diambil mudah. Tanggal 13 Mei 1969 adalah sejarah hitam negara kita yang
mengaibkan. Negara kita dilanda rusuhan kaum, sekali gus mencacatkan keharmonian antara
kaum yang kita nikmati sesudah mencapai kemerdekaan pada 1957. Namun, pada hakikatnya,
akibat kejadian itu maka, timbul kesedaran, keinsafan dan kesungguhan serta pengakuan
betapa perlu perpaduan kaum di negara ini. Tanpa perpaduan, sudah tentu negara akan
menjadi huru-hara apabila setiap kaum akan memperjuangkan hak dan kepentingan masing-
masing.
Satu titik pertemuan, kebersamaan perlu dicari, manakala segala perbezaan perlu dirai.
Pada hakikatnya, inilah roh, falsafah dan semangat yang terkandung pada Rukun Negara. Rukun
Negara adalah ideologi dan falsafah yang punya makna mendalam. Berteraskan lima prinsip:
1. Kepercayaan Kepada Tuhan
2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-Undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan
Lima prinsip ini sekiranya diteliti dan dihayati dengan sepenuhnya oleh seluruh rakyat
Malaysia tanpa mengira kaum, sudah tentu akan menghasilkan masyarakat yang bersatu serta
2
Teks ucapan program Jerayawara Rukun Negara
mengetepi perbezaan demi kehidupan harmoni. Malah, Rukun Negara mampu membentuk
generasi punya nilai murni tinggi.
Hadirin hadirat sekalian,
Rukun Negara menjadi tonggak perpaduan kaum dengan tujuan, setiap rakyat negara ini
menyedari, menerima dan memahami hakikat bahawa kepelbagaian kaum, agama serta budaya
di negara ini adalah satu rahmat yang perlu dimanfaat bersama. Bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh. Prinsip-prinsip Rukun Negara inilah yang memberi makna yang amat mendalam
kepada diri kita sebagai rakyat Malaysia. Kita berasa bangga menjadi warganegara Malaysia
walau apapun kaum, agama dan warna kulit kita kerana kita mempunyai jatidiri yang
sebahagiannya dibentuk oleh prinsip Rukun Negara. Kelima-lima prinsip ini menjadi asas identiti
diri dan penyatuan kita sebagai bangsa Malaysia.
Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada Raja dan negara, kita junjung keluhuran
perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan
bertatasusila dalam pergaulan kita seharian. Tidak kiralah samada anda seorang Melayu, Cina,
India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana kaum dan suku
kaum sekalipun, sekiranya anda bergelar warganegara Malaysia, inilah ciri-ciri yang wajib anda
miliki. Perbezaan ras dan warna kulit tidak menjadi penghalang kepada kita semua untuk
bersatu hati sebagai satu bangsa yang mempunyai nilai-nilai yang sama, yang berpegang
kepada prinsip kenegaraan yang sama, dan berbangga menjadi warga sebuah negara yang
aman, makmur dan harmoni.
Hadirin hadirat sekalian,
Namun, kita sedar bahawa proses pembinaan negara bangsa yang bersatu padu lebih-
lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukanlah mudah. Jalan yang kita
tempuhi untuk sampai di tempat di mana kita berada sekarang agak mencabar. Banyak ranjau
dan duri yang kita tempuhi. Banyak liku dan lurah yang kita lalui. Sempena sambutan
ulangtahun ke-50 Rukun Negara yang mempertautkan seluruh rakyat Malaysia dalam satu
semangat dan nilai perpaduan yang jitu, marilah kita bersama-sama memperteguhkan iltizam
untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara.
Jerayawara itu bertujuan menyemarakkan sambutan dan memantapkan lagi
penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia. Jerayawara diadakan sebegini
untuk memperkenal kepada orang ramai terutamanya generasi baharu agar mengingat semula
tentang Rukun Negara. Penganjuran program berkaitan Rukun Negara perlu dilakukan secara
berkala setiap tahun sebagai ‘ulang kaji’ kepada semua rakyat Malaysia bagi mengukuhkan
semangat perpaduan dalam menjalani kehidupan di sebuah negara majmuk.
Hadirin hadirat sekalian,
Rukun Negara seharusnya menjadi ‘pengikat’ kepada semua rakyat Malaysia yang pada
masa ini semakin berdepan dengan cabaran masalah sosial. Ramai yang semakin melupakan
2
Teks ucapan program Jerayawara Rukun Negara
prinsip Rukun Negara terutamanya buat mereka yang sudah lama meninggalkan alam
persekolahan, yang semasa itu, bacaan ikrar Rukun Negara menjadi kewajipan setiap kali
perhimpunan. Saya melihat program dengan pengisian Rukun Negara adalah satu keperluan
pada masa ini, untuk rakyat Malaysia kembali mengingati bagaimana perpaduan kaum
membantu negara memperoleh kemerdekaan dan bangkit semula selepas insiden 13 Mei 1969.
Prinsip Rukun Negara seharusnya menjadi teras kepada murid-murid. Jika ia diamalkan dengan
baik, sudah pasti membantu negara untuk hidup dalam suasana harmoni kerana kita saling
hormat menghormati antara satu sama lain. Prinsip Rukun Negara juga membolehkan rakyat
hidup dalam suasana aman kerana mendukung prinsip kedaulatan undang-undang. Malah,
Rukun Negara juga menitikberatkan aspek hormat dan setia kepada raja yang seharusnya
mengelakkan insiden seperti menghina institusi beraja dan tidak seharusnya berlaku
Hadirin hadirat sekalian,
Saya berharap prinsip Rukun Negara bukan sekadar menjadi ikrar yang hanya dibaca,
sebaliknya setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan latar belakang perlu menerapkan
setiap prinsip itu dalam kehidupan seharian. Perpaduan nasional dan kesepaduan sosial terletak
pada keupayaan institusi pendidikan dan guru dalam menyatukan generasi muda berbilang
kaum, memupuk dan menerapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan mereka.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak
yang terlibat dalam penganjuran Sambutan Ulangtahun Ke-50 Rukun Negara. Semoga acara
yang dirancang sempena sambutan yang amat bersejarah ini akan menyemarakkan lagi
semangat perpaduan di negara kita.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Anda mungkin juga menyukai