Anda di halaman 1dari 10

Membincangkan tentang tanda-tanda gangguan emosi dalam kalangan murid-

murid dan guru-guru serta menjelaskan langkah-langkah intervensi yang sesuai


bagi membantu murid-murid mengatasi dan mengurus tekanan emosi mereka.
Menghuraikan bagaimana cara pihak pentadbir sekolah membantu guru
menangani stress.

Peranan sistem pendidikan dalam sesebuah negara amatlah penting untuk


memastikan pembangunan negara. Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang
berterusan bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar berteraskan konsep
keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI). Rancangan
Malaysia Kesebelas (RMK11), pendidikan telah digariskan sebagai salah satu daripada
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan titik
permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian, RMK11
menetapkan umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6 tahun
ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi membolehkan murid memperoleh
pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal (Rancangan Malaysia Kesebelas,
2011). Dalam dunia pendidikan juga terdapat isu dan cabaran sama ada secara
nasional mahu pun global. Apabila teknologi semakin berkembang, perubahan semasa
di kalangan arus modenisasi dan globalisasi menjadikan keperluan bidang pendidikan
perlu dipertingkat dan mendesak para pendidik untuk bekerja keras demi
merealisasikan hasrat negara melahirkan guru yang bertaraf dunia. Guru dan juga
murid dituntut untuk menyesuaikan diri dengan sebarang bentuk perubahan dan
pembaharuan yang berlaku dari masa ke semasa. Cabaran ini boleh mengakibatkan
guru dan murid berhadapan dengan tanggungjawab yang semakin kompleks, amat getir
serta lebih mencabar.

Dalam perbincangan ini, keutamaan diberi kepada tanda-tanda gangguan emosi


dalam kalangan murid-murid dan guru-guru. Tekanan emosi boleh dialami oleh sesiapa
sahaja tanpa mengira usia. Smither (1994) menakrifkan tekanan sebagai respon
fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Schafer (1992)
mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam
bertindakbalas kepada permintaan terhadap dirinya. Emosi atau yang lebih sering
disebut sebagai aspek afektif adalah salah satu daripada aspek-aspek perkembangan
yang sangat berpengaruh besar terhadap sikap dan perilaku manusia. Menurut Kamus
Dewan Edisi keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih,
gembira, takut dan lain-lain. Menurut Mohd. Mansur & Siti Nordinar (1988) emosi
merupakan suatu tindak balas dari seseorang manusia terhadap suatu bentuk stimulus
ataupun gabungan reaksi dari keseluruhan organisma itu sendiri, yang dapat dilihat
perkembangannya. Menurut Kasmini (1998) secara umum emosi bermaksud perasaan.
Istilah emosi mengikut Hockenbury & Hockenbury (2007) melalui Dr Norain (2014),
emosi merupakan keadaan psikologi yang kompleks yang merangkumi tiga komponen
iaitu pengalaman yang subjektif, tindak balas fisiologi dan tindak balas tingkah laku.
Menurut Paul Ekman (2007) melalui Dr Norain (2014), telah membahagikan emosi
kepada enam jenis iaitu marah, menjijikan, ketakutan, kegembiraan, kesedihan dan
kehairanan. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih
kurang 4.2 juta rakyat Malaysia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, atau 29.2
peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental. Jumlah itu amat
membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan sebanyak 20.3 peratus berbanding
2006. Lebih merisaukan, masalah ini turut melibatkan pelajar apabila bilangan mereka
yang berhadapan masalah mental telah meningkat daripada satu dalam kalangan 10
individu pada 2011 kepada satu dalam kalangan lima individu pada 2016 (Utusan
Melayu 2017). Hal ini jelas menunjukkan kini gangguan emosi semakin meningkat
dalam kalangan murid.

Gangguan emosi dalam kalangan murid dapat dilihat dengan konsep kendiri
yang lemah dalam diri murid tersebut. Hal ini adalah, murid yang mengalami gangguan
emosi tidak akan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti kumpulan dan tidak berani
untuk mengeluarkan pandangan atau pendapat mereka. Ia juga tergolong dalam dalam
gangguan emosi sederhana. Gangguan ini dapat dilihat dari segi fizikal seperti gerak
badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut seperti marah, takut, sedih dan
sebagainya yang berada pada tahap biasa sahaja dan merupakan sesuatu yang normal
bagi kanak-kanak lain. Contohnya, murid mula menangis sekiranya guru mengarahkan
mereka menyertai aktiviti kumpulan. Hal ini kerana konsep kendiri yang lemah dalam
diri murid tersebut. Seterusnya, murid yang mengalami gangguan emosi kerap tidak
hadir ke sekolah tanpa sebarang sebab munasabah, suka termenung, berkhayal dan
berkelakuan ganjil dalam bilik darjah, bertindak tidak wajar disebabkan tekanan
perasaan, duduk dalam keadaan yang tidak selesa, cepat marah, suka bergaduh dan
kerap berbohong (Dr Norain, 2014). Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami
gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap
mengamuk dan berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai
dengan situasi-situasi normal. Sebagai contohnya, semasa saya menjalani praktikum,
sikap-sikap yang dinyatakan sebegini sering ditunjukkan oleh seseorang murid apabila
beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau seorang yang pendiam dan pasif di
dalam kelas. Sikap ‘luar biasa’ murid sebegini sememangnya amat bertentangan
dengan penampilan luarannya.

Malahan Tin (2000) pula menyifatkan murid-murid yang mengalami gangguan


emosi akan mempamerkan kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak mampu bertindak
balas dengan tepat sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut
menggariskan beberapa tingkah laku yang menunjukkan gangguan emosi ringan
seperti pemalu, sering suka menyendiri, mudah tersinggung, sering marah, tidak mahu
mengalah, kurang disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan
memukul rakan atau guru. Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh
murid-murid yang bermasalah, mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu
mengamuk, cepat marah dan pencapaian akademik yang merosot. Selain itu, Murid
yang menghadapi gangguan emosi akan melalui berat badan menyusut secara
signifikan dan tiada selera makan. Mereka juga menghadapi masalah tidur atau tidak
dapat tidur langsung. Ibu bapa dapat melihat perubahan anak mereka yang sentiasa
letih dan tidak bermaya.

Gold dan Roth (1993) menggambarkan status profesion perguruan masa kini
dianggap mempunyai tiga keadaan negatif, iaitu keadaan yang tekanan, moral guru
yang rendah dan perletakan jawatan. Menurut Winefield et al. (2003 dalam Tengku
Mastura dan Noraime, 2006) guru kini terpaksa berdepan dengan perubahan demi
perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan.
Menurut Ahmad Azhari (1998), masalah disiplin pelajar, hubungan dengan rakan
sekerja, gaji yang rendah, peluang kenaikan pangkat, persekitaran sekolah yang tidak
selesa dan kurang kemudahan yang disediakan menyebabkan guru merasa bosan dan
tertekan. Salah satu matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu,
menyediakan sumber tenaga manusia bagi memenuhi keperluan kemajuan negara
pada masa hadapan. Maka, bagi merealisasikan hasrat KPM, sebahagian besar usaha
terletak di bahu guru. Guru bukan hanya harus mempersiapkan para pelajar bagi
menghadapi masa depan yang penuh cabaran, malahan, guru juga perlu
melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran, menunjukkan
kesungguhan dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha bagi
meningkatkan kualiti pelajar yang bakal dihasilkan.

Namun, sejauh manakah guru-guru dapat mencapai standard yang ditetapkan


oleh KPM memandangkan tugas guru-guru pada hari ini sangat mencabar. Perkara ini
diakui oleh Valli dan Buese (2007) dalam kajiannya terhadap 150 orang guru mendapati
bahawa, tugas guru telah semakin bertambah, diperluaskan, diinsentifkan serta perlu
memenuhi harapan daripada masyarakat hingga memberi kesan stres terhadap guru.
Masyarakat kini harus sedar bahawa, tugas guru bukanlah semata-mata di dalam bilik
darjah, mengajar, membimbing dan mendidik. Tugas guru pada hari ini turut
merangkumi tugas di luar bilik darjah dan juga di luar waktu persekolahan. Lemaire
(2009) mendapati bahawa, guru-guru terlalu dibebankan dengan tugas-tugas yang tidak
berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti, aktiviti ko-kurikulum,
menghadiri mesyuarat, mengendalikan program-program pelajar, mengurus karenah
dan kebajikan pelajar serta, tugas-tugas pengurusan.

Seseorang guru terpaksa memainkan pelbagai peranan lantaran tanggungjawab


dan beban guru yang semakin bertambah. Seseorang guru bukan sahaja memainkan
peranannya di dalam bilik darjah dan semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan, malahan guru tersebut juga perlu melakukan tugas-tugas lain seperti
menanda kertas peperiksaan, menyertai kursus serta menghadiri mesyuarat.
Tambahan lagi, guru juga turut menjalankan tugas-tugas perkeranian terutamanya bagi
guru yang memegang jawatan utama seperti guru kelas, guru penasihat kokurikulum
dan sebagainya. Beban tugas yang banyak menjadi punca guru semakin tertekan dan
mengalami tekanan emosi. Berdasarkan satu keratan akhbar bertajuk “Beban Kerja
Guru Kini Terlalu Berat” yang pernah diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 23 Januari
2008, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mantan Menteri Pelajaran telah
menyatakan bahawa beban kerja guru pada masa kini adalah terlalu berat. Artikel ini
turut menjelaskan bahawa tugas guru bukan sahaja sekadar mengajar malahan mereka
turut memainkan peranan dalam pembangunan sekolah, menjaga disiplin serta
menguruskan pentadbiran sekolah. Dilaporkan oleh Berita Harian 30 Mac 1985, lebih 3
000 orang guru di sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia telah bersara awal
untuk berkhidmat di sektor swasta di antara tahun 1982 hingga 1985. Hal ini
disebabkan oleh stres pekerjaan itu sendiri di samping peluang berniaga, masalah
keluarga dan kehendak pasangan. Kesetiaan guru terhadap kerjayanya adalah alat
pengukur kepada tahap stres yang rendah.

Sehubungan itu, sejak kebelakangan ini seringkali kedengaran isu-isu yang


berkaitan tekanan kerja dalam kalangan guru yang mendapat perhatian pelbagai pihak.
Satu kajian telah dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)
pada tahun 2005 mengenai stres di kalangan 9328 orang kakitangan perguruan di
seluruh negara mendapati 69 peratus responden bersetuju bahawa, mereka bekerja
dalam keadaan stres (Utusan Malaysia, 29 Mac 2006). Mengikut Kyriacou (2000), stres
guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti
tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada
tugas sebagai seorang guru. Sementara itu, menurut Sapora Sipon (2007), stres
terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam
keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Maka, stres
merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa
yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.

Sebagaimana ahli falsafah Yunani Aristotle menegaskan, setiap individu mudah


mengalami gangguan emosi sekiranya seseorang itu tidak menguruskan sesuatu
perasaan itu dengan sebaiknya. Kini, kebanyakan murid menghadapi masalah dalam
menangani gangguan emosi ini. Maka, guru memainkan peranan utama dalam
membantu murid-murid menangani masalah tersebut. Sebagai langkah pertama, guru
perlu mengenal pasti masalah gangguan emosi yang dihadapi oleh murid tersebut.
Selepas mengenal pasti masalah tersebut, guru boleh meminta bantuan guru
kaunseling sekolah untuk memberikan bantuan emosi secara berkesan. Roslee et.al.
(2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan kaunseling kelompok boleh
digunakan bagi menangani masalah emosi dalam kalangan murid. Hal ini kerana dalam
kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan yang negatif
dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok. May dan Housley
(dalam Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling kelompok boleh
ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara lebih berkesan dan
bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara terperinci. Kaunselor boleh
membantu menyelesaikan pelbagai masalah murid-murid dari segi jangka pendek dan
boleh memperkembangkan kefahaman dan celik akal yang boleh menolong murid-
murid menghadapu dan menyelesaikan masalah gangguan emosi.

Guru juga boleh mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria dan kondusif bagi
membantu murid menangani masalah emosi ini. Gaya kepimpinan guru membolehkan
murid mengawal emosi mereka. Ssebagai contohnya, gaya kepimpinan demokratik
dapat membantu murid melibatkan diri secara langsung dalam pengajaran dan
pembelajaran dan mewujudkan inretaksi dua hala di mana murid diberi peluang untuk
bersuara dan memberi pandangan mereka. Ia juga mendorong kepada suasana sosio-
emosi yang sihat, harmonis di antara guru dan murid-murid. Hal ini dapat
mengurangkan suasana yang tegang dan murid tidak berasa terpinggir dan
menggalakan murid berdamping rapat dengan guru. Ia juga dapat membantu murid
untuk berkongsi masalah yang dihadapi oleh mereka tanpa segan dan guru boleh
mengambil tindakan segera bagi mengatasinya. Pembelajaran dan pengajaran dapat
berjalan dengan lancer dan murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti
kumpulan. Seterusnya, Selain daripada itu, guru juga dapat mengawal emosi murid
dengan menekankan nilai-nilai murni. Penerapan nilai-nilai murni boleh dilaksanakan
ketika memberikan penekanan kepada kepentingan mewujudkan hubungan personal
dan social dalam kalangan murid. Guru perlu memberikan nasihat dan bimbingan yang
sewajarnya terhadap proses interaksi sosial yang melibatkan murid semasa aktiviti
pembelajaran dan memberikan layanan yang saksama terhadap semua murid tanpa
membezakan setiap murid. Sehubungan dengan itu emosi murid tidak akan terganggu
dan apabila emosi terkawal maka kedua-dua pihak iaitu guru dan murid berpeluang
berbual-bual tentang perasaan mereka sekaligus memudahkan lagi penerimaan
terhadap proses pembelajaran yang dilaksanakan.

Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa mengambil berat
masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh guru
memberi peluang kepada murid untuk berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak
mengharapkan bantuan yang besar daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi
perkara yang lebih penting ada individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini
kerana perasaan terbiar yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang
mendapatkan kasih sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita.
Tambahan lagi guru sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua
murid ketika berada di sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk
mempamerkan rasa belas kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada murid-
murid.

Pihak pentadbir sekolah juga perlu membantu menangani stress dalam kalangan
guru-guru. Antaranya ialah, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan kaunselor
pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri
agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk
membantu mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh mereka dan lebih memahami
dirinya dan orang lain. Hubungan yang baik antara guru dan pihak pengurusan akan
mewujudkan suasana yang harmoni yang akhirnya akan mewujudkan satu organisasi
yang mantap. Faktor kekangan masa merupakan punca utama guru mengalami stress.
Tugas-tugas pentadbiran seharusnya diserahkan kepada pihak pentadbiran ataupun
kerani khas untuk melaksanakannya. Kekurangan kakitangan sokongan menyebabkan
kerja-kerja perkeranian seperti mengisi boring, menyediakan sistem fail, kerja-kerja
pentadbiran lain yang bukan di dalam bidang tugas pengajaran dan pembelajaran
terpaksa dilakukan oleh guru. Oleh itu, pihak sekolah perlu memohon kepada
Kementerian bagi menghantar kakitangan sokongan ke sekolah bagi menguruskan
usuran pentadbiran.
Chakravtory (1989) dalam Miller et al (1999) telah menekankan kepentingan
untuk menwujudkan sistem sokongan dalam kalangan guru, di mana ia boleh mengurus
dan mengurangkan stres kerja guru. Trendal (1989) juga berpendapat bahawa tekanan
dapat diminimumkan sekiranya terdapat hubungan yang positif dalam kalangan pekerja
dalam sesuatu institusi dan adanya rakan sekerja yang boleh diajak berbincang
mengenai masalah yang mereka hadapi. Kenyataan ini turut disokong oleh Manthei dan
Salman (1996) yang menyarankan pihak pentadbir sekolah harus mengambil kira
rungutan yang menyatakan golongan pentadbir adalah punca kepada tekanan kerja di
kalangan guru. Pentadbir sekolah disarankan supaya menyampaikan arahan yang jelas
dan lengkap kepada guru-guru sekolah agar konflik dan kekaburan peranan dalam
kalangan guru dapat dielakkan.

Faktor penghargaan yang berupa ganjaran seperti kenaikan pangkat, gaji yang
lebih baik dan sokongan profesional daripada pihak pentadbir amat perlu bagi
memotivasikan guru agar lebih bersemangat dalam menjalankan tugas pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu, peluang kenaikan pangkat yang lebih banyak dan terbuka
kepada semua guru tanpa mengira pengalaman mengajar harus diwujudkan. Terdapat
banyak anugerah perkhidmatan seperti Anugerah Guru Cemerlang telah dilaksanakan
namun tidak semua guru diberi peluang untuk merasai anugerah tersebut akibat sifat
pengetua dan guru besar yang terlalu memiih kasih danm enetapkan sasaran yang
terlalu tinggi untuk guru-guru akademik. Pengharagaan seperti ini amat perlu
diwujudkan di setiap sekolah agar guru-guru merasai diri mereka dihargai oleh pihak
pentadbir dan masyarakat.

Kesimpulanya, tekanan emosi merupakan pengalaman atau kejadian yang


sering dialami seseorang individu hingga menyebabkan gangguan terhadap pemikiran
,perasaan dan aktiviti harian,maka hal ini perlu diuruskan dan ditangani dengan segera
supaya tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kesihatan individu yang terlibat.
Tekanan emosi yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan
pengetahuan guru dan murid untuk menanganinya dengan baik. Pihak pentadbir
sekolah juga perlu menganding bahu dengan guru bagi menangani masalah stress ini.
Bibliography
Abdullah, I. b. (2017, April 24). Tekanan emosi dalam kalangan guru. Retrieved Ogos 3, 2017,
from blogspot: http://yahanana-edu3093.blogspot.my/2015/03/bab-4-tekanan-emosi-
dalam-kalangan-guru.html

Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon dan Abdul Rahim Hamdan 2006).
Menguasai Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd.

Gold, Y. and Roth, R. A. (1993). Teachers Managing Stress and Preventing Burnout : the
Professional Health Solution. London : The Falmer Press.

Kyriacou, C. (2000). Stress-busting for teachers. Cheltenham: Stanley Thornes.

Muhd Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin. (1988). Psikologi remaja. Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti.

Noriati A Rashid et al. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor: Penerbit Fajar.

Roslee Ahmad et. al (2004). Pendekatan Kaunseling Kelompok Untuk Menangani Masalah
Emosi Di Kalangan Anak-Anak Yatim. Kajian di Asrama Pertubuhan Anak- anak Yatim
Islam Johor. Universiti Teknologi Malaysia : Laporan Penyelidikan.

Sapora Sipon. (2007). Keperluan Perkhidmatan Kaunseling Dalam Negara. Jurnal PEMIKIR, Bil
49. Julai-September 2007.

Schafer, W. (1992). Stress Management For Wellness (2nd Ed.). Orlando : Harcourt Brace.

Smither, R. D. (1994). The Psychology Of Work And Human Performance (2nd ed.). New York :
Harper Collins College Publishers.

Tengku Mastura dan Noraime (2006). Stres Di Kalangan Guru: Satu Kajian Ke Atas Guru Di
Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai. Projek Sarjana Muda. Universiti Teknologi
Malaysia.

Trendall, C (1989). Stress in Teaching and Teacher Effectiveness: A Study of Tachers Across
Mainstream and Special Educattion. Educational Research. 31(1) : 52-58

Valli, L & Buese D. (2007). The changing roles of teachers in an era of high-stakes
accountability. American Educational Research Journal 44, 519-558.

Anda mungkin juga menyukai