Anda di halaman 1dari 7

BAB 3

TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

1.0 PENGENALAN

Pendidikan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam usaha membangunkan negara serta
minda rakyat kelas pertama.Pendidikan yang berkualiti menjadi tunjang kepada negara bagi
melahirkan generasi yang mampu bersaing dalam era globalisasi kini.Tambahan lagi dalam
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), pendidikan telah digariskan sebagai salah satu daripada
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan titik permulaan dalam usaha
menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian, RMK10 menetapkan umur bagi memulakan
persekolahan akan dikurangkan daripada 6 tahun ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi
membolehkan murid memperoleh pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal (Rancangan
Malaysia Kesepuluh, 2010).

Namun bagitu, dunia pendidikan bukanlah suatu bidang yang mudah untuk dikemudikan. Dunia
pendidikan tidak lari daripada menghadapi pelbagai isu dan cabaran sama ada secara nasional mahu
pun global. Setiap isu yang mendatangi dunia pendidikan pasti akan mencuri tumpuan segenap
lapisan masyarakat. Lantaran itu, individu yang paling terkesan dalam isu-isu yang timbul pastinya
insan yang bergelar “guru”. Saban hari, saban tahun, guru tidak pernah lekang daripada menghadapi
isu-isu yang timbul sama ada isu pendidikan yang dipolitikkan, bebanan kerja guru serta bebanan
tingkah laku murid, semuanya ditangani satu per satu tanpa membelakangkan etika keprofesionalan
keguruannya.

Tekanan atau juga disebut sebagai stres merupakan satu bentuk kecelaruan emosi yang kerap
berlaku pada masa kini.Individu yang menderita akibat tekanan biasanya menunjukkan pemikiran
yang negatif, enggan melibatkan diri dalam aktiviti dan kesukaran berinteraksi secara interpersonal
(Abbas & Lida, 2013). Dalam satu kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006,
iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam
kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996
(Utusan Melayu, 2011). Ternyata dapatan kajian ini amat membimbangkan dan perlu diberi
perhatian dengan lebih serius.Malahan tiada kajian lanjutan yang menunjukkan masalah ini
mengalami penurunan.

Tekanan juga disifatkan dapat menyebabkan beberapa perubahan tingkah laku dan tubuh badan
seperti kesakitan fizikal, gangguan emosi dan psikologi serta kemerosotan prestasi seseorang (Jerrold
dlm.Mohamad Zaid et.al, 2009). Isu ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun jika
dibiarkan tanpa jalan penyelesaian ia akan memberikan kesan jangka panjang yang memudaratkan.
Hal ini disokong oleh Sapora (2001) dalam penulisannya menyatakan bahawa telah banyak kajian
yang dilakukan mendapati tekanan atau stres mempunyai hubungan yang kuat dalam mempengaruhi
pencapaian akdemik pelajar.Menguatkan lagi kenyataan ini, Campbell dan Svenson (dlm. Mastura
et.al, 2007) menegaskan apabila tekanan dilihat dari aspek negatif atau terlalu tinggi ianya boleh
mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang lantas
menjadikan ia suatu fenomena yang membimbangkan.

Emosi pula membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang
terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah,
kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati dlm.Fariza, 2005).Dalam Kamus
Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi sebagai satu perasaan jiwa yang kuat seperti
sedih, marah, takut, ketawa dan menangis yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi
serta fisiologi pada seseorang. Oleh itu, emosi atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk
kepada individu yang mengalaminya jika tidak dapat dikawal dengan baik. Rentetan daripada Kajian
Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia yang dijalankan, didapati bahawa 11% golongan muda
berusia 16 tahun hingga 24 tahun yang menghadapi tekanan emosi ini pernah terfikir untuk
membunuh diri (Dewan Siswa, 2012). Maka, dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam
kalangan murid boleh dikatakan sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan
emosinya akibat daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar kemampuan mereka. Akta
Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa kanak-kanak dikategorikan mengalami gangguan
emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi sehingga menyebabkan gangguan mental
dan tingkah laku, kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri dan menunjukkan tingkah laki
permusuhan. Justeru, setiap isu yang membawa kepada tekanan emosi murid perlu ditangani segera
agar matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.

2.0 ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi dalam kalangan murid boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya kegelisahan,
menunjukkan tingkah laku distruptif dan mengasingkan diri daripada elemen-elemen di
persekitarannya.Sebagai seorang guru pelatih, saya telah pernah ditempatkan di beberapa buah
sekolah bagi menjalani Program Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum. Peluang mengenali empat
buah sekolah semasa PBS dan tiga buah sekolah semasa menjalani praktikum banyak memberi
pendedahan kepada saya isu-isu yang berlaku di sekolah sama ada melibatkan pentadbir, guru mahu
pun murid-murid. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid juga pernah dihadapi beberapa kali.
Menurut Haliza dan Joy (2009), terdapat beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid bagi
mendapatkan perhatian guru, antaranya ialah murid sering membuat tingkah laku yang mengundang
kemarahan guru sama seperti kes ini. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, guru tidak boleh
menghukum murid dengan sewenang-wenangnya. Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang
dihadapi di rumah akan bertambah teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid, murid akan melihat
persekitaran sekolah sebagai satu ancaman baharu. Selanjutnya, ia akan mengundang tingkah laku
distruptif lain dan mungkin akan menimbulkan gejala lain seperti ponteng dan pengambilan dadah
untuk menenangkan diri sendiri.
Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi akan menunjukkan
sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan berkecenderungan menunjukkan
tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal. Sikap-sikap yang dinyatakan sebegini
sering ditunjukkan oleh seseorang murid apabila beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau
seorang yang pendiam dan pasif di dalam kelas. Sikap ‘luar biasa’ murid sebegini sememangnya
amat bertentangan dengan penampilan luarannya. Menurut Lailawati (2006), masalah tingkah laku
yang ditunjukkan oleh murid kebanyakannya adalah disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi
seseorang yang mempunyai emosi yang tinggi dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku sosial
yang rendah (Eisenberg & Febes dlm.Lailawati, 2006).

Sapora (2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan kesan yang negatif ke
atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan positif. Menurut Chan dan Rodziah (2012)
dalam kajian mereka turut mendapati bahawa prestasi akademik murid yang dikaji yang mengalami
gangguan emosi daripada pelbagai faktor berada pada tahap yang rendah.Hal ini kerana
ketidakupayaan murid untuk menangani gangguan yang dihadapi menyebabkan mereka terus
mengabaikan pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah mencatatkan beberapa kajian oleh pengkaji-
pengkaji barat dalam kajiannya antaranya ialah Allchin (1975), Ghuman dan Sarles (1998) serta
Weiner (1970) dan Adelson (1980) yang menunjukkan gangguan emosi memberi kesan terhadap
pencapaian akademik pelajar. Selain itu, guru-guru perlu menangani konflik yang dihadapi oleh murid
agar ia tidak menular dalam kalangan rakan-rakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah
terpengaruh dengan rakan-rakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif. Menurut Haliza
dan Joy (2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh mendatangkan masalah disiplin lain
dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai nilai dan kecenderungan yang
sama. Sikap guru yang hanya membiarkan tindakan murid-murid tanpa mengenakan sebarang
tindakan akan mempengaruhi murid lain untuk melakukan tindakan yang sama. Hal ini kerana murid
lain akan beranggapan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk melakukan tindakan seperti
murid yang bermasalah tersebut. Hukuman atau dendaan perlu dikenakan kepada murid yang
bermasalah bukan untuk menghukumnya secara terus tetapi untuk membantunya menstabilkan
emosinya. Di samping itu, tindakan tersebut akan memberi gambaran kepada murid bahawa setiap
murid yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dari sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah
mereka merupakan guru di sekolah tersebut.

3.0 JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami gangguan emosi ringan
biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya dan masih mampu untuk mengawal diri
masing-masing. Malahan Tin (2000) pula menyifatkan murid-murid yang mengalami gangguan emosi
akan mempamerkan kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak mampu bertindak balas dengan tepat
sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut menggariskan beberapa tingkah laku yang
menunjukkan gangguan emosi ringan seperti pemalu, sering suka menyendiri, mudah tersinggung,
sering marah, tidak mahu mengalah, kurang disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang
dan memukul rakan atau guru. Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh murid-murid
yang bermasalah, mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu mengamuk, cepat marah
dan pencapaian akademik yang merosot.Menurut Sue et.al (dlm.Azizi dan Tan, 2007), individu yang
mengalami gangguan emosi boleh mendatangkan ketidakselesaan yang subjektif atau mengganggu
kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali sehingga boleh
menyebabkan sindrom kemurungan dan mania.Tanda-tanda yang dialami oleh Ahmad dan Tuah
boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat sekiranya tidak diatasi dengan lebih
cepat.Ahmad dan Tuah juga memerlukan sokongan dan bantuan daripada persekitarannya untuk
mengatasi gangguan tersebut memandangkan tahap kognitif mereka yang masih rendah.

Azizi dan Tan (2007) melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda seperti Ahmad dan
Tuah sebagai individu yang menghidap sindrom mania. Hal ini kerana menurut penulisannya, individu
yang mengalami sindrom ini biasanya berasa riang dan bertenaga tetapi mereka mudah melenting
lebih-lebih lagi apabila dikritik atau dihalang daripada melakukan sesuatu yang diingini.Tambahnya
lagi, individu tersebut mengalami masalah ketenangan perasaan yang tidak normal, misalnya gagal
untuk memberikan tindak balas yang sepatutnya apabila menerima berita buruk. Menurut Mary
(2001), sindrom mania merupakan penyakit yang membawa kepada perubahan emosi, pemikiran,
dan tingkah laku. Penyakit ini dikatakan menyerang hampir dua juta penduduk Amerika Syarikat pada
setiap tahun.

4.0 FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Murid-murid yang bermasalah, didapati mengalami gangguan emosi disebabkan faktor


keluarga.Keluarga sememangnya sebuah institusi yang memainkan peranan penting bagi setiap
individu terutama anak-anak kecil. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013) menyatakan ibu bapa
merupakan pengaruh yang besar dalam membentuk tingkah laku anak sejak dari kecil dan kecuaian
ibu bapa untuk memahami peranan mereka akan menjadikan anak-anak hilang panduan dan keliru
dalam menjalani hidupnya. Perhubungan negatif antara ibu bapa dengan anak-anak boleh
menimbulkan konflik yang tinggi dan memberi tekanan terhadap ibu bapa dan anak-
anak.Montemayor (dlm. Sapora, 2005) berpendapat bahawa satu daripada konflik yang berlaku
dalam keluarga akan menimbulkan emosi yang kuat dan tidak sihat. Tambahan lagi menurut Kasmini
Kassim, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia, gangguan emosi yang sering berlaku dalam
kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami
oleh mereka (dlm. Fariza, 2005).Kehidupan ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa
untuk bersama-sama dengan anak mereka merupakan punca utama kepada gangguan emosi yang
dihadapi oleh murid tersebut. Sebagai ibu bapa, mereka perlu faham akan tanggungjawab mereka
terhadap anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah sekadar zahiriahnya sahaja dengan
menyediakan tempat tinggal mahu pun kelengkapan peribadi.Perkara yang lebih penting ialah
belaian kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya.Shaffer et.al. (2011) dalam dapatan kajiannya
menulis bahawa risiko kontekstual apabila berada dalam keluarga yang tidak menyokong antara satu
sama lain atau “unsupportive parenting” memberi kesan terhadap emosi negatif kanak-kanak. Oleh
itu, kegagalan ibu bapa dalam memenuhi keperluan emosi anak mereka menyebabkan emosi anak
itu akan terganggu dan mencari ruang untuk melempiaskan emosinya ketika berada di sekolah.
Lantaran itu, pelbagai salah laku dilakukan oleh murid tersebut.

Menurut Azizi dan Badrulzaman (2010), murid yang mengalami gangguan emosi ini gagal melihat
keluarga sebagai suatu persekitaran yang sihat dan boleh memberikan kebahagiaan serta rasa
seronok kepada mereka.Tinjauan terhadap kajian-kajian lain seperti Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz
(1997) (dlm.Azizi dan Badrulzaman, 2010) mencatatkan bahawa perkembangan personaliti negatif
dan tingkah laku merupakan hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan.Fariza (2005) dalam
penulisannya juga menyatakan faktor keluarga turut menumbang kepada tekanan emosi murid-
murid. Emosi remaja dikatakan akan menjadi stabil jika keluarga bahagia, sebaliknya jika berada
dalam keluarga yang kucar-kacir maka emosi murid akan terganggu. Azizi Yahaya, Nordin Yahaya dan
Juriah Bachok (2010) dalam kajiannya terhadap hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi
menunjukkan bahawa faktor keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9% selepas jantina.
Hal ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang sangat penting dalam mempengaruhi
emosi murid-murid. Mengulas lebih lanjut faktor gangguan emosi dalam kalangan murid ini, Kasmini
Kassim (1998) dalam kajiannya bertajuk “Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma Terselindung”
menyatakan gangguan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh berlaku disebabkan
tertumpahnya masalah dan konflik orang dewasa kepada kanak-kanak tersebut. Dalam kajian
tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino, Gatmann dan Sealey et.al. (1986) yang
menggariskan lima tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dikira sebagai mendera emosi kanak-
kanak, iaitu penolakan, pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada
kelima-lima tingkah laku tersebut, tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh penjaga boleh
dikaitkan dengan kes Ahmad.Tingkah laku sikap tidak peduli ini didefinisikan sebagai menolak tindak
balas emosi, yang mana tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dengan sengaja tidak
mempedulikan usaha anak untuk mendapatkan kasih sayang daripada mereka.

Tambahan lagi, kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini melayan anak mereka secara
mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak mempunyai perasaan terhadap anak-anak malahan
tidak mencuba untuk merapati dan membelai anak-anak tersebut sehingga menyebabkan berlakunya
konflik emosi dalam diri kanak-kanak tersebut. Fitrah manusia juga terutama bagi kanak-kanak,
kanak-kanak perempuan akan lebih mudah mendekati ayahnya manakala kanak-kanak lelaki akan
lebih seronok mendampingi ibunya. Hal ini turut disokong oleh Teori Perkembangan Sosio-Emosi
Sigmund Freud, iaitu kanak-kanak lelaki akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih
tertarik kepada ibunya manakala kanak-kanak perempuan akan mengalami elektra kompleks iaitu
tertarik kepada ayahnya (Zakaria et.al., 2012). Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan, Norly
(2010) menyifatkan keluarga atau ibu bapa dianggap sebagai sosialisasi yang mempengaruhi tahun-
tahun awal kanak-kanak seharusnya menjadi model ekspresi emosi kepada kanak-kanak.Hal ini
kerana berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi masalah
dalam melahirkan perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah laku bermasalah yang
tinggi.Justeru, kajian tersebut menyarankan agar kanak-kanak dan ibu bapa mempertingkatkan
kemahiran emosi sesama mereka.
5.0 PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering dilihat berpunca dari rumah dan
keluarga yang kucar-kacir.Namun begitu, guru memainkan peranan penting bagi membantu murid-
murid menangani masalah tersebut. Hal ini kerana murid-murid menghabiskan masa hampir 8 jam
berada di sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini melebihi masa mereka bersama-sama ibu
bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis disebabkan murid menghabiskan banyak masa di
sekolah, guru juga menjadi pemangkin kepada kecerdasan emosi murid.Tambahnya lagi Pusat
Perkembangan Kurikulum turut menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan
Islam dan Pendidikan Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun tiada satu
subjek khas bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum.Justeru, di sinilah guru perlu
mencari ruang bagi membangunkan perkembangan emosi murid secara tidak langsung dalam
kurikulum yang dijalankan.Mohd Sahandri et.al.(2011) menggariskan beberapa elemen yang
membolehkan guru membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi.Antaranya ialah guru
perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan belas kasihan.Dalam aspek
mempamerkan sentuhan peribadi (personal touch), guru-guru perlu berhubung dengan murid-
muridnya secara profesional. Guru-guru akan mendorong murid-murid untuk berkongsi pengalaman
di dalam kelas, mengambil berat dan memahami setiap muridnya secara personal serta cuba
memahami masalah yang dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru berpeluang untuk
mengenali personaliti murid dengan lebih dekat di samping mengetahui latar belakang keluarga dan
persekitarannya. Pengetahuan yang diperoleh oleh guru dapat digunakan bagi membantu murid
menghadapi tekanan emosi yang yang dilalui. Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti
akan memberi layanan yang berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan masalah
keluarga yang dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak memahami masalah yang
dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan mencari jalan alternatif bagi
memuaskan dirinya.

Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa mengambil berat masalah
peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh guru memberi peluang
kepada murid untuk berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang
besar daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada individu yang
sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar yang dialami di rumah
membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan kasih sayang daripada para guru pula
terutamanya guru-guru wanita.Tambahan lagi guru sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa
kepada semua murid ketika berada di sekolah.Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk
mempamerkan rasa belas kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid.Abdul
Ghani dan Abd.Rahman (2009) pula berpendapat bagi menguruskan murid yang menghadapi
gangguan emosi yang menunjukkan masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek
kemanusiaan.Hal ini kerana mereka mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi
membentuk tingkah laku murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran kritis
merupakan elemen dalam aspek kemanusiaan.Nilai-nilai penting dalam aspek kemanusiaan ini ialah
keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini akan membantu
guru mengurus tingkah laku murid menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan membentuk
sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru merupakan model terbaik bagi murid dan hubungan baik
antara guru dan murid boleh membawa kepada kecerdasan emosi murid yang lebih baik.
Roslee et.al.(2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan kaunseling kelompok boleh
digunakan bagi menangani masalah emosi dalam kalangan murid.Kajian yang dijalankan terhadap
kelompok anak-anak yatim terpilih mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada
perubahan sikap yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal ini kerana dalam
kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan yang negatif dan akan
mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok. May dan Housley (dlm. Roslee et.al, 2004)
menyatakan pendekatan kaunseling kelompok boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan
bantuan emosi secara lebih berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara
terperinci. Dalam kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai kemahiran
seperti membina perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas, berempati, dan memberi
dorongan minima yang dapat membantu melancarkan proses kaunseling kelompok yang dijalankan.

6.0 KESIMPULAN

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga
empat peratus dalam kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus dalam kalangan remaja dan 15
hingga 20 peratus dalam kalangan dewasa. Mengikut kajian yang dilakukan oleh pakar mendapati
10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.Gangguan
atau tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi
perhatian segera.Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka
mengalami tekanan.Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.
Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau rakan-
rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun
begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat
umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati
dengan cara memberontak atau menangis.

Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi dalam kalangan
murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah.Tekanan emosi yang ditunjukkan dalam
pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan pengetahuan guru untuk menanganinya dengan
baik.Isu tekanan emosi dalam kalangan murid turut mendorong Kementerian Kesihatan menjalankan
kajian melalui projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi,
Utusan Malaysia 2011).Beberapa buah sekolah menengah di seluruh Malaysia telah dipilih bagi
menjalani projek rintis ini.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis tersebut akan
diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan
murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku.
Keprihatinan pihak kementerian dalam memandang serius isu tekanan yang dihadapi oleh murid
amat wajar. Hal ini kerana murid yang berada dalam keadaan tertekan pasti akan mengundang
pelbagai masalah lain di samping tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu,
seharusnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat setempat saling
membantu dalam menangani isu ini.

Anda mungkin juga menyukai