Anda di halaman 1dari 2

Karangan Bahagian B :

Langkah – Langkah menyuburkan semangat kejiranan

Jiran merupakan perkataan pinjaman bahasa Arab yang bererti orang yang menetap berhampiran
dengan rumah seseorang sama ada bersebelahan kiri atau kanan, depan atau belakang mahupun di
tingkat atas atau bawah. Apabila dilihat dari sudut yang berbeza, hubungan baik bersama jiran
haruslah terjalin bagi mewujudkan negara yang bersatu tanpa mengira warna kulit, bangsa dan
agama sekaligus dapat mengukuhkan perpaduan negara. Namun, isu masyarakat yang
membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing sering
diungkitkan dalam perbincangan para pemimpin mahupun rakyat. Persoalan yang sering bermain
dibuah fikiran umat manusia ialah apakah langkah – langkah menyuburkan semangat kejiranan?

Dalam era kemodenan ini, langkah-langkah menyuburkan semangat kejiranan adalah dengan
adanya ibu bapa mendidik anak-anak tentang kepentingan semangat kejiranan sejak kecil. Perkara ini
membenarkan anak-anak untuk mengenali jiran tetangga mereka. Secara tidak langsung, dapat
meningkatkan kemahiran komunikasi anak-anak terhadap orang dewasa dan membolehkan mereka
mempunyai minda yang lebih matang dari umurnya. Hal ini berkait rapat juga dengan nilai-nilai
murni yang dapat dipupuk oleh anak-anak iaitu saling menghormati sesama masyarakat sama ada
tua atau muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Misalnya, ibu bapa wajarlah
membawa anak-anak menyertai aktiviti kemasyarakatan. Impaknya, dapat menunjukkan teladan
yang baik kepada anak-anak kerana bertegur sapa dan bertanya khabar apabila menziarahi jiran.
Oleh itu, ibu bapa seharuslah mencorak kain putih anak-anak dengan baik kerana ke mana tumpah
kuah, kalau tidak ke nasi. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa mendidik anak-anak
untuk mengenali jiran tetangg merupakan langkah-langkah menyuburkan semangat kejiranan.

Dari perspektif yang lain, terdapat juga langkah menyuburkan semangat kejiranan iaitu media
massa menyebarkan maklumat tentang kepentingan semangat kejiranan. Perkara ini bersangkut paut
dengan keadaan generasi muda yang semakin membangun maju dan lebih tertarik pada maklumat di
atas talian berbanding dengan maklumat pada keratan akhbar yang dianggap lapuk. Oleh hal
demikian, media massa seharusnya merasakan tanggungjawab yang berat kerana masyarakat lebih
gemar menghabiskan masa melayari internet dan pihak kerajaan sewajarnya menyuntik nilai-nilai
kejiranan atau kekitaan dalam hiburan yang disajikan. Bukan itu sahaja, apabila internet dipenuhi
dengan perkara berilmiah seperti ini, tidak lagi berlaku kes gejala sosial yang bakal makan diri
sesebuah masyarakat. Tamsilnya, media massa bolehlah menayangkan filem atau drama yang
mengandungi nilai-nilai kemasyarakatan. Implikasinya, para remaja dapat membuka minda dengan
lebih meluas tentang keadaan sebenar dunia pada masa kini dan menyedari bahawa jiran merupakan
manusia pertama yang bakal menghulurkan pertolongan sekiranya berlaku musibah kerama malam
tidak berbau. Hal ini diibaratkan telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua kerana jika kita berada
dalam kesusahan, jiran yang lain juga turut merasai kesusahannya. Bulan kian terang, bayang kian
jelaslah bahawa penyebaran kepentingan semangat kejiranan melalui media massa merupakan
langkah menyuburkan semangat kejiranan.
Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti
gotong-royong oleh ahli komuniti atau badan bukan kerajaan. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran
dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai
contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain disamping membolehkan
seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan
melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati
budi antara satu sama lain barulah benih-benih cinta mula tumbuh. Melalui cara ini, masyarakat yang
penyayang dapat dilahirkan sekaligus dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Mahathir, Mantan
Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-
royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan
kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah
bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa
terdapat beberapa langkah yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat. Dalam era globalisasi ini, golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat
kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang bakal menyinari negara pada masa hadapan.
Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk
sebelah tangan tak akan berbunyi. Akhir kalam, semua pihak perlulah berganding bahu bagi
menghidupkan semangat kejiranan dalam negara.

)patah perkataan 507(

Anda mungkin juga menyukai