Anda di halaman 1dari 1

8.

PUNCA BENCANA ALAM

Dalam alaf milinium pascaindustri ini, kejadian banjir besar, tanah runtuh, jerebu, dan
gempa bumi merupakan bencana alam yang kerap berlaku di negara kita. Bencana alam ini
telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan kerosakan sistem
infrastruktur serta trauma kepada mangsa bencana alam. Kerajaan seharusnya mengenal pasti
faktor yang menyumbang peningkatan dan kekerapaan kejadian bencana alam ini agar dapat
kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum bencana berlaku. Persoalannya, apakah punca
atau faktor yang menjadi penyumbang peningkatan bencana alam ?
Punca yang signifikan dalam isu yang menjadi trauma kepada masyarakat dunia
khususnya di Malaysia ialah sikap manusia yang suka membuang sampah merata-rata
menyebabkan sampah tersebut dibawa arus air ketika hujan lebat berlaku lalu terkumpul di
hilir sungai. Longgokan sampah yang tersekat ini menyebabkan laluan air menjadi kecil lalu
mendap dan menyebabkan aliran menjadi perlahan. Apabila hujan lebat berlaku sekali lagi,
sungai tersebut tidak mampu menampung air lalu mengakibatkan air melimpah keluar lalu
terjadinya banjir justeru tindakan tidak bertanggungjawab ini akan memberi kesan kepada
semua pihak.
Dari sudut yang sama juga, kita melihat penerokaan hutan secara haram berleluasa.
Pembalak haram mencuri pokok-pokok balak lalu menggunakan sungai sebagai pengangkutan
untuk membawa turun kayu tersebut. Keadaan ini menyebabkan laluan air sungai dipenuhi
dengan kayu balak dan tersekat di hilir sungai. Kejadian ini telah berlaku pada 2014 ketika
banjir besar terjadi di pantai timur negara dan kejadian tersebut menjadi bukti bahawa sikap
tamak haloba pembalak haram yang meneroka kawasan hutan dan menggunakan sungai
sebagai laluan tanpa memikirkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Tegasnya, sikap manusia
itu sendiri yang menzalimi diri mereka dan orang lain sehingga mengakibatkan bencana alam.
Pada sudut pandangan yang berlainan, faktor geografi menjadi punca kejadian bencana
alam ini. Kawasan di pesisir pantai sering mengalami hakisan tanah. Akibatnya banyak
kawasan perkampungan nelayan telah musnah akibat dilanda ombak besar. Keadaan ini
terbukti apabila hakisan tanah berlaku di Pantai Morib Kuala Selangor yang telah
menenggelamkan kawasan perkampungan nelayan lalu kini menjadi lautan. Malah, musim
tengkujuh yang berlaku sepanjang bulan November sehingga bulan Februari disebabkan kadar
taburan hujan yang tinggi turut mengakibatkan banjir. Keadaan ini menyebabkan jumlah air di
dalam empangan terlalu banyak lalu pihak berkuasa terpaksa melepaskan takungan air bagi
mengelakkan berlaku bencana alam yang lebih besar jika empangan pecah.
Peningkatan kadar urbanisasi penduduk dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar
telah menggalakkan pembangunan sektor perumahan bagi menyediakan rumah kepada mereka.
Malangnya, pembangunan sektor perumahan dan premis perniagaan ini tidak seimbang dengan
pembangunan sistem perparitan di kawasan tersebut. Akibatnya, banjir berlaku disebabkan
aliran air di dalam sistem perparitan yang terlalu kecil tidak dapat menampung air hujan yang
lebat. Banjir kilat ini sering terjadi di kawasan yang mencatatkan kadar kepadatan penduduk
yang tinggi. Jika tiada usaha dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), masalah ini akan
berlarutan dan kesan yang lebih besar akan berlaku di kawasan tersebut.
Secara tuntasnya, bencana alam merupakan satu daripada petanda kepada kita agar
menjaga bumi ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan bukan memusnahkannya. Kerjasama
daripada semua pihak khususnya kerajaan tempatan amatlah ditagih agar mereka lebih cakna
dengan masalah bencana alam yang berlaku demi mengelakkan tragedi yang lebih besar dan
buruk berlaku di kawasan jajahan atau daerah yang dipertanggungjawabkan demi menjamin
kesejahteraan penduduk dan masyarakat sekitar.

Anda mungkin juga menyukai